28 Mac 2010

Ingin

Apabila kita menghadiri majlis, atau membaca kata alu-aluan dalam buku cenderamata, kita akan dengar atau baca beberapa frasa tercatat dalamnya perkataan ingin. Dalam ucapan pemidato, baik ucapan pembukaan, ucapan pengantar atau ucapan perasmian, kita sering kali dihidangkan dengan kata-kata berikut.

• Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada …. atau;
• Saya ingin memohon kemaafan jika …. atau
• Saya ingin menyampaikan salam daripada ....

dan kemudian, frasa berkenaan diikuti ucapan pemidato sehingga selesai.


Dalam bahasa Melayu, perkataan ingin dikelasifikasikan dalam golongan kata adjektif. Ahli bahasa tradisional seperti Za’ba menggelarkannya sebagai kata sifat. Oleh sebab istilah ‘sifat’ membawa maksud negatif bagi etnik Cina, maka ahli bahasa moden / traformasi generatif menukarkan daripada kata sifat kepada kata adjektif.


Baik dalam golongan kata sifat atau kata adjektif, maksud perkataan ingin tetap kekal. Menurut Kamus Dewan (2002: 492) perkataan ingin bermaksud “berasa mahu, hendak akan sesuatu” atau “berhasrat.” Apabila perkataan ingin digandingkan dengan imbuhan akan membentuk kata terbitan seperti ‘beringin,’ ‘teringin,’ ‘beringinkan,’ ‘mengingini,’ ‘menginginkan,’ ‘memperingin,’ ‘memperingini,’ ‘keinginan,’ dan ‘berkeinginan.’

Walau apa pun kata terbitan yang terhasil, maksudnya tetap merujuk kepada perbuatan atau peristiwa yang belum berlaku. Justeru, apabila kita mendengar atau membaca kata-kata (1) “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ….”, (2) “Saya ingin memohon kemaafan ….,” (3) “Saya ingin menyampaikan salam daripada ....,” dan diteruskan ucapan selanjutnya, sebenarnya si pemidato berkenaan belum lagi mengucapkan rasa ‘terima kasih,’ ‘memohon maaf’ atau ‘menyampaikan salam’ yang sepatutnya diucapkan. Ucapan itu sekadar retorik yang tidak membawa makna dan kesan kepada audien.

Oleh yang demikian, kita perlu mengubah kebiasaan yang salah ini. Maksud dan binaan frasa itu boleh diperbetulkan menjadi;

• Saya mengucapkan terima kasih kepada … atau;
• Terima kasih kepada … atau;
• Saya mohon kemaafan jika … atau;
• Maafkan saya jika … Atau
• Encik X kirim salam kepada tuan-tuan ....

Akhir kata, marilah kita bersikap membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul dalam aspek penggunaan kata adjektif ingin ini. Kalau kita tidak mendaulatkan bahasa kita janganlah kita berharap orang lain akan mendaulatkannnya kerana setiap yang bernama bangsa sudah tentu mempunyai bahasanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan