24 Mac 2010

Retibasa atau Retibahasa

Perkataan 'retibasa' atau 'retibahasa' adalag gabungan daripada dua morfem bebas, iaitu reti dan bahasa. Morfem reti, menurut catatan dalam Kamus Dewan (2005: 1326) merupakan bahasa percakapan (lisan) kepada perkataan mengerti. Binaan perkataan mengerti hasil daripada gadingan morfem terikat, meN- dan erti (meN-  +  erti  = mengerti). 

Oleh sebab morfem reti berasal daripada perkataan mengerti, dapatlah kita fahami bahawa morfem reti (lisan) juga merupakan morfem erti yang telah dibakukan (sebutan dan tulisan). Kamus Dewan mencatatkan maksud reti atau mengerti sebagai tahu. Contoh ayat;

1.  Walaupun telah sepuluh tahun tinggal di Malaysia, lelaki itu
     masih tidak reti bercakap Melayu.



Walau bagaimanapun, morfem reti berubah maksud apabila digandingkan dengan basa / bahasa. Morfem basa / bahasa merujuk kepada bahasa. Kamus Dewan (2005: 106) mencatatkan maksud bahasa ialah (a) sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu  kelompok manusia (antara seorang individu dengan in dividu yang lain), dan (b) percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, sopan santun.  

Daripada maksud tersebut, dapat difahami bahawa asal perkataan retibasa / retibahasa ialah mengertibasa / mengerti bahasa. Namun, penutur jati bahasa Melayu tidak menggunakannya.  Dari segi susila, maksud perkataan retibasa / retibahasa adalah berbeza dengan maksud perkataan mengertibasa / mengerti bahasa. Perbezaan itu ada kaitan dengan permasalahan / isu. Perkataan atau ungkapan retibasa / retibahasa digunakan dalam situasi tegang seperti marah. Dalam situasi ini, maksud retibasa / retibahasa bukan merujuk mengerti bahasa. Sebaliknya, maksud retibasa / retibahasa telah berubah daripada makna asal. Ungkapan tersebut merujuk kepada makna (b).

Kalau anda menerima ungkapan itu daripada seseorang, ungkapan itu bermaksud anda tidak sopan, atau tidak beradab. Kini maksud ungkapan itu merujuk tingkah laku tidak sopan seseorang. Contoh ayat;

2. Awak tak retibasa / Awak tak retibahasa.

Kesimpulannya, perkataan retibasa / retibahasa bermaksud kelakuan seseorang yang tidak sopan, dan tidak beradab, iaitu tidak bertepatan dengan tatasusila masyarakatnya. Perkataan ini tidak bermaksud tidak faham bahasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan