04 April 2010

Kritikan Feminisme Cerpen 'Suara Hantu'

Oleh
Nurain bt. Mohd Zee
Nurul Afiqah bt. Mohd Soud
Nurul Fatihah bt. Abd. Hamid
(Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus Kota Bharu)

Awal bicara ingin saya ceritakan serba sedikit tentang karya yang dikarang oleh Nassury Ibrahim yang bertajuk “Suara Hantu”. Karya ini banyak memaparkan unsur mistik dan kepercayaan yang berlaku dalam masyarakat. Watak-watak yang disebut dalam cerpen ini termasuklah Kak Kiah, Abang Sudin iaitu suami Kak Kiah, Tuk Pawang, Tuk Penggawa, Mak Cik Munah dan watak-watak syaitan. Syaitan yang bernama Tsabar telah berpindah ke Kampung Che Lijah dan membuat kekacauan di sana. Ini membuatkan penduduk kampung menjadi tidak tenteram setelah mendengar suara yang menakutkan dari arah hutan di belakang rumah Kak Kiah. Dengan adanya bantuan daripada Tuk Pawang bejaya menghalau Tsabar dan keluarganya keluar dari kampung itu dan penduduk kampung menjalani kehidupan seperti biasa.


Dalam karya ini terdapat unsur feminisme yang menjadikan cerita ini lebih menarik. Apa yang dimaksudkan dengan feminisme? Feminisme dikatakan bermula pada abad ke-18 lagi di mana ia berasal dari negara barat. Sebab wujudnya feminisme ini kerana golongan wanita merasai tidak mendapat hak yang sama dengan golongan lelaki dalam bidang pendidikan, pemilikan harta, mengundi dan bergerak bebas dalam masyarakat. Dalam sastera, gerakan feminisme dilakukan oleh Virginia Woof iaitu seorang sasterawan Inggeris. Menurut Gotti, feminis ialah gerakan persamaan hak antara lelaki dengan wanita dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Ia juga merujuk kepada kegiatan ekonomi untuk memperjuangkan kaum wanita. Juliet pula mengatakan feminisme ialah aliran yang menyokong kuat hak asasi wanita, pembebasan wanita dan persamaan hak wanita. Kritikan feminisme berusaha menyelongkar peranan dan kedudukan wanita dalam karya sama ada karya itu dihasilkan oleh lelaki ataupun dihasilkan oleh wanita itu sendiri.

Pengarang cerpen Suara Hantu memaparkan imej wanita sebagai golongan lemah. Kelemahan wanita menjadi tema dalam menunjukkan unsur feminisme dalam cerpen ini, di samping memperlihatkan aspek kepekaan wanita lebih tajam berbanding kaum lelaki. Ini dapat dibuktikan melalui petikan pada perenggan kelima di bawah.

Kak Kiah yang mula-mula mendengarnya. Waktu itu Kak Kiah di telaga hendak mandi.

Perkataan yang dicondongkan, mula-mula mendengarnya, membuktikan pendengaran kaum wanita lebih tajam berbanding kaum lelaki kerana Kak Kiah orang pertama yang mendengar suara yang menakutkan dari arah hutan di belakang rumahnya, berbanding suaminya, Sudin.

Selain itu, unsur feminisme yang terdapat dalam cerpen ini menyatakan bahawa kaum wanita ialah kaum yang lemah semangat terutama dalam menghadapi situasi berhadapan dengan makhluk ghaib. Ini dibuktikan melalui kelakuan Kak Kiah selepas mendengar suara mengilai yang membuatkan Kak Kiah amat terkejut sehingga timba yang berada di tangan beliau terpelanting. Kak Kiah terus lari sampai ke tangga dan melompat ke beranda sehingga jatuh di betis suaminya, Abang Sudin. Melalui situasi dan respon yang dihadapi Kak Kiah inilah yang membuktikan bahawa kaum wanita merupakan kaum yang tidak kuat semangat dalam menghadapi perkara yang menakutkan. Ini adalah salah satu fitrah semula jadi yang perlu dihadapi oleh setiap wanita.

Kaum wanita juga memerlukan perlindungan daripada kaum lelaki. Situasi yang membuatkan seseorang wanita berasa tidak selamat dan terancam membuatkan wanita mengharapkan perlindungan keselamatan daripada kaum lelaki sama ada perlindungan daripada seorang suami atau ayah. Dalam cerpen Suara Hantu, Kak Kiah bergantung atau berharap pada Abang Sudin iaitu suaminya selepas mendengar suara yang mengilai di belakang rumahnya. Ini boleh dibuktikan melalui petikan di bawah:

Tangannya memeluk Abang Sudin. Kak Kiah menonyoh-nonyohkan kepalanya tidak ketentuan ke dada Abang Sudin.

Petikan di atas menunjukkan bahawa kaum wanita amat memerlukan perlindungan jika merasakan keselamatannya tergugat.

Wanita merupakan kaum yang mudah terpengaruh dengan sesuatu benda terutama dalam soal yang berkaitan dengan hantu. Ini merupakan perkara yang semula jadi yang dialami oleh setiap wanita apabila mereka menghadapi situasi yang sama dengan wanita lain. Cerpen Suara Hantu mengetengahkan unsur feminisme di mana Mak Cik Munah iaitu jiran Kak Kiah terpengaruh dengan Kak Kiah selepas Kak Kiah mendengar suara hantu dari arah hutan di belakang rumahnya. Buktinya boleh dilihat melalui petikan di bawah:

Esoknya riuh jiran-jiran bercerita tentang berita Kak Kiah mendengar suara hantu. Mak Cik Munah, jiran Kak Kiah, turut mengeyakan. Seperti Kak Kiah juga, dia sendiri dengar suara mengeram, mengilai-ngilai, ketawa dan meminta tolong dari belakang rumah Kak Kiah.

Daripada petikan cerpen di atas dapat disahihkan bahawa kaum wanita mudah terpengaruh dan mudah mengeyakan sesuatu. Ini disokong lagi melalui kelakuan Mak Cik Munah selepas mendengar berita Kak Kiah dirasuk yang menyebabkan jiwa beliau tidak ketentuan dan seorang lagi wanita iaitu Kak Sal, bini Salleh Ayam tidak mahu lagi ke dapur atau ke bilik air kalau suami tidak bersamanya. Ini menunjukkan kaum wanita mudah terpengaruh dengan keadaan persekitarannya.

Seorang wanita juga mudah tersenyum dan gembira selepas segala perkara buruk yang menimpa pada dirinya telah selesai. Masalah yang berlaku pada Kak Kiah selepas mendengar suara hantu di belakang rumahnya benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya di mana dia telah dirasuk oleh syaitan yang bernama Tsabar. Selepas Tuk Pawang menggunakan ilmunya untuk memujuk Tsabar dan keluarganya berpindah, Kak Kiah terselamat daripada rasukan dan menjalani kehidupan normal. Petikan di bawah membuktikan Kak Kiah berasa gembira setelah terlepas daripada rasukan:

Waktu itu Tuk Penggawa melihat seorang wanita melambai-lambai tangan dari jauh.

“Siapakah perempuan itu, Sudin?” Tuk Penggawa meredupkan matanya yang sudah kurang kuasa penglihatan.

Perbuatan Kak Kiah yang melambai tangan ke arah Tuk Penggawa membuktikan dia sudah kembali normal ditambah dengan petikan dalam perenggan terakhir yang berbunyi:

“Kiah,” kata Sudin sambil mengukirkan senyuman kepada isterinya yang nampak gembira, kemudian beralih memandang Tuk Penggawa.

Akhir bicara, ingin saya membuat kesimpulan yang menyokong semua fakta yang saya kaji berdasarkan cerpen Suara Hantu. Dalam cerpen ini, saya merumuskan bahawa kelemahan wanita menjadi unsur feminisme yang paling utama. Kelemahan wanita merangkumi kelemahan dari segi lemah semangat, perlukan perlindungan dan mudah terpengaruh dengan sesuatu hal. Ini semua berdasarkan bahan yang saya kaji, ditambah dengan petikan bagi menyokong fakta. Bagi kami, kelemahan wanita mungkin dapat diatasi dengan mendalami ilmu agama supaya mereka hanya takut Allah dan jauh daripada segala tipu daya syaitan. Oleh itu, kritikan feminisme bukan sahaja memperlihatkan kelebihan wanita tetapi turut menunjukkan kelemahan wanita sebagai seorang penakut dalam menghadapi perkara-perkara mistik.

Rujukan

http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=122

http://ccm.um.edu.my/umweb/fsss/images/persidangan/Kertas%20Kerja/Nor%20Hayati%20Abd%20Rahman.pdf

http://www.penerbit.usm.my/pen2006/Buku_Detail.php?IDBuku=574

http://cetasasbuya.blogspot.com/2008/09/kritikan-feminisme-berkembang-sejak.html

Mana Sikana, 1986. Kritikan Sastera Pendekatan dan Kaedah. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan