11 Ogos 2010

Cara Pemerolehan Bahasa Kedua

Oleh Hidayatul Akmal Hashim, Norfasihah Mohamad dan Norsuriaty Ahmad Sarkawi

PENDAHULUAN
Lazimnya kita mengetahui bahawa penguasaan bahasa pertama berlaku secara semula jadi semenjak kecil lagi. Pada tahap ini, pengetahuan bahasa diperolehi secara tidak langsung atau tidak formal. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) :

“Mereka dapat menguasai bahasa itu dengan cara ‘memperoleh’ bukan melalui proses pembelajaran. Mereka hanya perlu didedahkan kepada bahasa ibunda mereka dan secara tidak disedari mereka akan pandai dengan sendirinya menggunakan bahasa itu.”

Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Bahasa mesti dipelajari secara formal dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Oleh itu, dorongan (rangsangan) dan sikap positif adalah perlu.
 
Dalam konteks pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama kepada pelajar Melayu tidak banyak masalah. Sebaliknya, mengajar bahasa kedua kepada bukan penutur jati (orang Melayu misalnya) memerlukan lebih perhatian. Pelajar perlu melalui rancangan-rancangan dan aktiviti-aktiviti yang tersusun dengan kaedah-kaedah tertentu.
Menghuraikan masalah pembelajaran bahasa kedua, Abdullah Hassan (1980) menjelaskan :

“Mungkin salah satu masalah yang besar ialah bahasa Melayu yang diajar itu amat formal dan tidak ada kegunaan atau persamaannya dengan bahasa yang digunakan hari-hari, sehingga murid-murid terpaksa mempelajari suatu dialek yang berlainan yang tidak boleh mereka tuturkan di luar kelas.”

Adalah jelas bahawa mempelajari bahasa kedua merupakan satu proses mempelajari perlakuan baru. Justeru, dalam proses pembelajaran, gangguan daripada bahasa ibunda sering terjadi. Lingkungan kebudayaan dan bahasa ibunda pelajar sering mempengaruhi proses pembelajaran bahasa kedua mereka. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua hendaklah dirancang dan dilaksanakan secara bersistem. dan formal.

DEFINISI BAHASA KEDUA
Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) maksud bahasa kedua “adalah bahasa yang kedua dipelajari oleh seseorang itu di samping bahasa kandung yang dia peroleh. Bahasa kedua ini adalah bahasa asing yang dipelajari untuk tujuan-tujuan tertentu.”

PENGUASAAN PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA
Pengajaran bahasa kedua berbeza dengan  penguasaan bahasa pertama. Bahasa kedua diperoleh dan dikuasai melalui pembelajaran. Pembelajaranbya bersifat formal, menekankan banyak latihan dan pengulangan hingga membentuk satu tabiat. Rivers W. M (1964) menyatakan pembelajaran bahasa asing pada dasarnya adalah merupakan satu proses mekanikal yang membentuk tabiat.

Oleh itu, cara penguasaannya adalah sama dengan proses pembentukan
tabiat yang lain seperti belajar menaip, berenang, memandu, dan lain-lain. Proses pembelajaran menetapkan jika sekali berjaya dilakukan dengan baik maka ia akan dapat diulangkan untuk seterusnya secara automatik. Proses penguasaan bahasa kedua pada peringkat awal kanak-kanak berkemungkinan sama dengan proses penguasaan bahasa pertama. Namun, proses penguasaan bahasa kedua selepas peringkat awal kanak-kanak akan mengalami cara yang berbeza dengan proses pemerolehan pengetahuan bahasa pertama. Hal ini ditegaskan oleh Brown (1980) :

“Adult, more cognitively secure,appear to operate from the solid foundation of the first language and thus manifest more interference.”

Seterusnya, Rivers melalui teori pendekatan mengajar bahasa iaitu ‘pendekatan dengar sebut’ menyatakan bahawa :

Ø  Pembelajaran bahasa asing pada asasnya adalah merupakan satu proses yang mekanikal membentuk tabiat.
Ø  Analogi memberi asas yang lebih kukuh terhadap pembelajaran bahasa asing berbanding analisa.

Daripada kenyataan tersebut dapatlah diandaikan bahawa tabiat terbentuk melalui peneguhan. Tabiat berbahasa kedua boleh dibentuk dengan cara mempelajari atau latih tubi. Ia memainkan peranan penting bagi menggalakkan tabiat berfungsi.
         Menurut pendekatan kognitif (Chomsky), mempelajari bahasa ialah satu proses menguasai pola-pola fonologi, sintaksis dan leksikal bahasa berkenaan. Teori ini menekankan kepentingan pemahaman murid terhadap struktur bahasa. Kesenangan murid mempelajari bahasa kedua akan menyebabkan penguasaan kognitif mereka terhadap struktur bahasa itu mudah berkembang.

PRINSIP-PRINSIP PENGAJARAN BAHASA KEDUA
a)    Pembelajaran bahasa kedua ialah satu proses mekanis. Proses ini akan membentuk perlakuan dan tabiat baru menguasai kemahiran bahasa, iaitu melalui latihan-latihan dan peneguhan.
b)    Bentuk bahasa pertuturan dipelajari terlebih dahulu. Pengajaran bahasa kedua mesti didahulukan dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran bermula daripada kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut perkataan sebelum bentuk-bentuk tulisan.
c)    Pembelajaran secara membuat analogi. Pelajar cepat menerima dan memahami makna perkataan dengan cara melihat persamaan dan perkaitannya dengan objek yang dianalogikan. Analogi digunakan untuk menunjukkan persamaan ciri atau sifat. Cara ini akan mempermudah guru mengajar tanpa perlu menghabiskan masa panjang untuk menjelaskan konsep-konsepnya.
d)    Makna dipelajari dalam konteks. Makna haruslah dipelajari dalam konteks yang dapat menerangkan makna itu dalam konteks agama, adat dan adab, dan sosio budaya teks atau rujukan teks.

PERBEZAAN CARA PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA DENGAN  CARA PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA

1)    Dari Segi Prinsip

Ø  Penguasaan Kemahiran Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, penguasaan sesuatu kemahiran bahasa berlaku secara beransur-ansur. Mula-mula mereka mengeluarkan bunyi-bunyi, kemudian mencantumkan unit-unit bunyi menjadi perkataan dan selepas itu mencantumkan perkataan-perkataan menjadi ungkapan atau ayat. Kanak-kanak memerhati dan menangkap sebarang kemahiran bahasa ibunda daripada penutur lain. Lama-kelamaan mereka akan menjadi mahir dengan sendiri. Proses kefahaman boleh wujud lebih awal daripada proses melahirkan ucapan.
Manakala pembelajaran bahasa kedua adalah merupakan satu proses mekanis yang membentuk lakuan baru, iaitu lakuan kemahiran bahasa. Latihan-latihan peneguhan diberikan untuk membentuk tabiat bahasa yang dipelajari.

Ø  Penguasaan Aspek Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama setiap kemahiran bahasa dikuasai dengan cara yang perlahan. Cara ini membolehkan beberapa aspek bahasa dapat dikuasai secara sekali gus. Sebagaimana diketahui, bahasa mempunyai banyak rumus dan peraturan. semuanya itu dikuasai secara serentak. Kanak-kanak umpamanya dapat menguasai bunyi, perkataan, pengimbuhan, makna, dan penggunaannya dalam ayat secara sekali gus.
Hal ini berbeza dengan pengajaran bahasa kedua yang mesti didahulukan dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran bermula daripada kemahiran mendengar, kemudian bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut sesuatu kata itu dahulu sebelum mengajar bentuk-bentuk tulisan. Cara ini akan menghasilkan satu pengajaran bahasa kedua yang berkesan.

Ø  Mempelajari Penggunaan Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, prinsip ini menerangkan bahawa kanak-kanak tidak mengkaji tatabahasa untuk menguasai bahasa tersebut. Mereka belajar menggunakannya. Kanak-kanak tidak diminta menjelaskan sebab binaan ayat itu adalah betul atau salah, tetapi mereka diberi tahu betul dan salah ayat itu. Dalam aspek tatabahasa misalnya, kanak-kanak tidak diminta mengkaji rumus-rumusnya tetapi cukup sekadar menggunakannya dalam ayat-ayat yang betul.
Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, pelajar belajar secara membuat analogi. Pembelajaran cara ini membolehkan pelajar menerima pelajaran dengan cara melihat persamaan dan perkaitan antara bentuk-bentuk yang diajar. Mereka diberi latih tubi dalam pola-pola yang diajar. Analogi digunakan untuk menghasilkan penguasaan struktur bahasa tanpa menghabiskan masa dan tenaga untuk menjelaskan konsep-konsep tatabahasa. Mereka diberitahu sebab binaan bahasa yang digunakan itu adalah salah atau betul.
  
Ø  Penggunaan Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak belajar menggunakan bahasa melalui pemerhatian atau pendengaran dan kemudiannya menggunakan unsur yang sama dalam keadaan yang serupa bagi memberikan maknanya. Walaupun tidak memahami sistem tatabahasa, tetapi mereka amat mengetahui hubungan antara perkataan dalam ayat dan hubungan antara satu ayat dengan ayat lain. Mereka menggunakan sesuatu perkataan dalam konteks makna, bukannya dalam konteks tatabahasa. Semasa mengajar, guru perlulah mencari konteks makna bagi menjelaskan makna perkataan itu. Pelajar diberi latihan dan latih tubi pemakaian makna dan perkataan yang betul.
       Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, makna haruslah dipelajari dalam konteks yang dapat menerangkan makna itu sendiri. Makna perkataan perlulah diajar dalam konteks agama, adat dan adab, dan budaya. Ini adalah cara yang difikirkan berkesan dalam memberikan makna.

Ø  Kebiasaan Mempelajari Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak mempelajari pertuturan menurut kebiasaan tertentu. Kebiasaan ini mungkin kebiasaan seseorang individu atau kelompok penutur. Mereka mempunyai kumpulan sendiri dan mempunyai tabiat  bertutur yang tersendiri. Kanak-kanak tidak perlu dihalang mengembangkan kebolehan mereka berbahasa secara tersendiri.
Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Pembelajaran berlaku secara formal dan mempunyai guru. Peluang pembelajaran hanya dapat diikuti di tertentu sahaja.

2) Strategi

Ø  Tatacara Penguasaan
Cara memperolehi bahasa pertama tidak sama dengan cara menguasai bahasa kedua. Pemerolehan bahasa pertama melalui proses tidak formal. Sebaliknya, pembelajaran bahasa kedua memerlukan usaha gigih dan perancangan teliti. Manusia tidak perlu berguru dalam institusi formal untuk membolehkan mereka bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda. Sebaliknya, seseorang perlu berguru secara formal untuk mempelajari bahasa kedua, walaupun tidak menjamin orang berkenaan bertutur dengan fasih dan lancar dalam bahasa tersebut.
            Proses-proses yang menghasilkan kemahiran berbahasa dalam bahasa pertama dan bahasa kedua adalah berbeza. Hal ini dapat dilihat dari istilah yang digunakan. Bagi bahasa pertama, istilah ‘penguasaan’ atau ‘pemerolehan’ digunakan, manakala bagi bahasa kedua, istilah ‘pemelajaran’ digunakan. Dalam hal ini, Kamarudin (1988) menyatakan :

“Berbeza dengan pemelajaran bahasa pertama, penguasaan bahasa kedua bukanlah didapati melalui pemerolehan tetapi dikuasai melalui pemelajaran. Ini dilakukan dalam keadaan yang lebih formal, memerlukan banyak latihan dan pengulangan hingga menjadi sesuatu tabiat.”

Ø  Fungsi
Tujuan yang menguasai pengetahuan bahasa pertama dan mempelajari bahasa kedua adalah berbeza. Berlainan dengan proses pemerolehan bahasa pertama, pembelajaran bahasa kedua merupakan usaha yang ditentukan oleh manfaat yang bakal diperoleh.
Tujuan mempelajari bahasa kedua biasanya dikaitkan dengan peranan bahasa dalam kehidupan seseorang pengguna. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua sering mengarah kepada sesuatu tujuan yang tertentu.

Ø  Kebebasan Memilih
Dalam konteks ini, proses pemerolehan bahasa pertama merupakan satu proses yang tidak ada pilihan. Manakala proses penguasaan bahasa kedua pula adalah proses yang ada pilihan. Proses penguasaan bahasa kedua didorong oleh sebab-sebab tertentu. Biasanya kanak-kanak bahasa pertama mendapat dorongan dan motivasi yang kuat untuk mempelajari bahasa itu bersungguh-sungguh. Ini kerana mereka mempunyai keperluan untuk menggunakan bahasa itu. Ia agak berbeza dengan pemelajaran bahasa kedua. Keinginan untuk mempelajari bahasa ini tidak kuat walaupun mereka sedar bahasa kedua itu berguna.
Corak perasaan dan bentuk pemikiran akan menentukan sama ada seseorang itu akan berusaha gigih atau tidak mempelajari bahasa kedua. Bagi bahasa pertama pula, penguasaan pengetahuannya berlaku secara semulajadi, dan tidak ada kanak-kanak normal yang terkecuali daripada menguasai pengetahuan bahasa pertama.

Ø  Kejayaan Penguasaan
Penguasaan pengetahuan bahasa oleh penutur bahasa pertama dan bahasa kedua adalah berbeza. Dalam bahasa pertama, kanak-kanak, secara genetik, telah diprogramkan untuk berjaya dalam proses penguasaan bahasa pertama. Proses tersebut merupakan proses menyesuaikan pengetahuan bahasa semula jadi yang sedia ada dengan sistem bahasa pertama mereka.
Sementara pembelajaran bahasa kedua pula, faktor genetik tidak memainkan peranan penting. Faktor-faktor luaran yang menentukan kejayaan proses  pembelajaran bahasa kedua berkenaan. Berkenaan hal ini, Abdullah Hassan (1987) menegaskan :

“…pemerolehan bahasa ibu tidak berlaku di kalangan kanak-kanak secara tidak formal, yakni tidak perlu diajar. Bahasa kedua pula terpaksa dipelajari dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Bukan itu sahaja yang berlaku, kita mesti mempunyai dorongan dan sikap yang sihat untuk dapat belajar dengan berkesan.”

Ø  Masa
Dari segi masa, kanak-kanak mempelajari bahasa kedua sering mengalami kesulitan. Mereka tidak mempunyai masa yang cukup dan tidak pula dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap bahasa yang dipelajari itu. Bahasa yang dipelajari tidak dapat dipraktikkan sepenuhnya, sebagaimana mereka menggunakan bahasa ibunda sehari-hari. Peluang mempelajari dan menggunakannya berlaku di dalam kelas-kelas sahaja.


RUJUKAN

 http://www.geocities.com/pendidikmy/cikgupjj/bahasapertamabahasakedua.html


http://massofa.wordpress.com/2008/01/28/pemerolehan-bahasa-pertama-dan-bahasa-kedua/

2 ulasan:

  1. asslammualaikum. saya pelajar tahun pertama pendidikan bahasa melayu. harap diizinkan ntuk menjadikan entry tuan/puan sebagai rujukan saya. Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

    BalasPadam
  2. salam sejahtera,saya merupakan pelajar bahasa melayu semester 1. saya ingin menjadikan entry tuan/puan sebagai bahan rujukan saya. sekian terima kasih.

    BalasPadam