23 September 2010

Kriteria Penghakiman Deklamasi


oleh Muhammad Salleh Rahamad (UM)

1. Vokal – 15%
Suara : bagi deklamasi puisi kemerdekaan suara memainkan peranan yang penting. Ini adalah untuk menaikkan semangat patriotik di kalangan audian. Calon mesti memastikan mempunyai suara yang besar, lantang, parau. Keseluruhan markah ditentukan oleh kesesuaian suara bagi puisi jenis ini.

2. Intonasi – 15%
Turun naik suara. Peserta dapat mengawal tinggi rendah/panjang pendek suara berdasarkan maksud puisi. Kebolehan dan kecerdikan peserta mengawal intonasi menentukan markah baik atau sebaliknya. Kebolehan menggunakan jeda, patah-patah kata, hentian yang betul diambilkira.

3. Nada – 15%
Bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu perasaan, sikap, aliran atau rentak puisi. Nada dalam deklamasi mengikut ‘mood’ sesebuah puisi. Peserta yang dapat mengikut mood dan nada bagi setiap baris, bait atau rangkap mampu memperolehi markah yang tinggi.

4. Kelancaran/Artikulasi – 15%
Kelancaran bererti peserta dapat mendeklamasi dengan lancar tanpa tersekat-sekat atau terhenti atau terlupa. Sekiranya peserta tertinggal lebih dua perkataan, markah bagi bahagian ini akan kurang kerana ia mungkin mengubah maksud puisi tersebut. Artikulasi bererti dapat menyebut bunyi atau kata dengan jelas. Sebutan dapat difahami dan menggunakan sebutan bahasa Melayu baku.

5. Mimik Muka – 10%
Peserta berjaya meniru, mengajuk gaya, cara setiap sifat dan perasaan dalam puisi. Contoh: Kalau terdapat perkataan yang membawa maksud marah, sudah pasti peserta memperlihatkan wajah yang marah bukannya tersenyum. Mimik muka amat penting bagi peserta berkomunikasi dengan audian untuk menyatakan maksud puisi.

6. Penghayatan – 10%
Peserta dapat mengalami dan merasai dalam batin, mengalami dan merasai, meresap ke dalam jiwa. Kesimpulannya peserta mesti berada dalam puisi tersebut. Penghayatan dapat dirasai oleh audian dari keseluruhan deklamasi.

7. Bahasa Tubuh/Gesture – 10%
Penggunaan anggota badan bagi menyokong, mengguatkan lagi maksud kata, bait dalam deklamasi. Penggunaan anggota yang betul, tepat amat penting bagi menarik minat audian.

Contoh: Ayuh, mari kita bestarikan tanah hitam putih tanah hadhari milik kita yang pasti. Mungkin penggunaan tangan sebagai bahasa badan untuk melambangkan tanah air. Kalau tangan menunjuk ke langit adalah salah tetapi kalau tangan menujuk ke bawah atau mendasar adalah tepat. Oleh itu peserta mesti berhati-hati.

8. Penampilan – 10%
Penampilan diri sebenar amat penting selain daripada kostum, alat bantu (Kalau ada) sesuai, cara deklamasi, berdiri dan bergerak juga amat penting.

Hakim ada mengambil kira seawal langkah pertama peserta berjalan dipentas. Di sini disiplin pentas, disiplin diri, pengawalan pentas dan pengawalan pembesar suara dianggap penting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan