26 Januari 2011

Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Aidah Abd. Ghani
Universiti Terbuka Malaysia Cawangan Kelantan (OUM)


Pengenalan

Pendidikan adalah suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi antara individu. Misalnya, interaksi antara seorang ibu dengan anaknya atau seorang pengikut dengan ketuanya. Ia juga boleh berlaku di antara individu dengan beberapa individu lain seperti antara seorang anak dengan kedua ibu bapa atau keluarganya atau dengan rakan sebaya, atau seorang guru dengan murid-muridnya.

Pendidikan juga merupakan suatu proses komunikasi dan interaksi manusia dengan persekitarannya seperti sekolah, media massa, tempat tinggal, pekerjaan dan tempat berkerja serta institusi masyarakat lain. Oleh sebab pendidikan adalah suatu proses menerima dan menyebar maklumat, maka ilmu dan budaya yang tersebar secara langsung dan tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan fizikal, sosial dan rohani manusia. Proses ini berlaku sehingga manusia mencapai keserasian dalam kehidupannya yang perlu berinteraksi dengan individu dan masyarakat serta alam dan dalam keperluan beribadah kepada Tuhan (Allah s.w.t. (Ab. Rahman Abu Bakar, 1992)).