26 Januari 2011

Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Aidah Abd. Ghani
Universiti Terbuka Malaysia Cawangan Kelantan (OUM)


Pengenalan

Pendidikan adalah suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi antara individu. Misalnya, interaksi antara seorang ibu dengan anaknya atau seorang pengikut dengan ketuanya. Ia juga boleh berlaku di antara individu dengan beberapa individu lain seperti antara seorang anak dengan kedua ibu bapa atau keluarganya atau dengan rakan sebaya, atau seorang guru dengan murid-muridnya.

Pendidikan juga merupakan suatu proses komunikasi dan interaksi manusia dengan persekitarannya seperti sekolah, media massa, tempat tinggal, pekerjaan dan tempat berkerja serta institusi masyarakat lain. Oleh sebab pendidikan adalah suatu proses menerima dan menyebar maklumat, maka ilmu dan budaya yang tersebar secara langsung dan tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan fizikal, sosial dan rohani manusia. Proses ini berlaku sehingga manusia mencapai keserasian dalam kehidupannya yang perlu berinteraksi dengan individu dan masyarakat serta alam dan dalam keperluan beribadah kepada Tuhan (Allah s.w.t. (Ab. Rahman Abu Bakar, 1992)).

Bagi setiap negara merdeka, salah satu aspek penting yang amat dititikberatkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara maju dari aspek politik, ekonomi dan sosial ialah penekanan terhadap perlaksanaan sistem pendidikan. Sistem pendidikan yang dilaksanakan bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan sosialisasinya, iaitu di mana kanak – kanak dididik untuk menjadi insan yang berjaya dan mengenali budaya serta alam sekeliling, malahan juga boleh digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan sesuatu ideologi kepada masyarakat. Hal ini dilakukan melalui proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. 

Pengertian Sukatan Pelajaran dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

(a) Sukatan Pelajaran

Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan pada tahun 1983, di samping menegaskan matlamat mengembangkan kebolehan murid secara menyeluruh dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M), juga menekankan perlunya memberi perhatian terhadap perbezaan diri murid kerana setiap murid berbeza di antara satu dengan lain sama ada dari segi pengalaman, amalan tingkah laku kecenderungan, bakat dan kebolehan. Untuk memenuhi keperluan-keperluan individu, maka KBSR menitikberatkan beberapa prinsip pedagogi seperti dalam aspek pemulihan, pengayaan, penilaian, penggabungjalinan dan penyerapan.

Antara prinsip-prinsip pedagogi baru yang diperkenalkan dalam KBSR yang paling penting dari pengurusan bilik darjah ialah pemulihan. Pemulihan ditakrifkan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran yang khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran belajar dalam menguasai satu-satu kemahiran sama ada kemahiran membaca, menulis, atau mengira. Justeru, sukatan pelajaran diperkenalkan sebagai satu set panduan kepada guru-guru menyampaikan isi kandungan dengan menggunakan kaedah ditetapkan dengan tujuan untuk mencapai aspek yang ditetapkan. Setiap sukatan pelajaran mempunyai perbezaan dan persamaan yang telah digarispandukan kepada guru.

(b) Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Pada asalnya, FPK dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Ia diperkenalkan sekitar pertengahan tahun 1980-an. Sekitar tahun 1990-an, FPN ditukarkan kepada FPK dengan sedikit pengemasan. Kandungan FPK sebagaimana di bawah. 

 “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insane yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Meneliti setiap kata yang terkandung dalam (FPK) di atas, dapat kita perhatikan bahawa matlamat atau hasrat kerajaan dalam sektor pendidikan di negara ini adalah untuk melahirkan individu atau modal insan yang seimbang dalam semua segi sama ada intelek, rohani, emosi mahupun jasmani (Roselan Baki, 2003). Bagi mencapai matlamat ini, sudah pastilah tanggungjawab dipikul oleh mereka yang bergelar guru dalam menerapkan segala aspek dalam kalangan pelajar bagi melahirkan modal insan yang unggul dan dapat melaksanakan tanggungjawab ini. Penekanan dalam aspek penyampaian ilmu melalui pengubalan kurikulum terpaksa dilakukan.

Hubungan Kandungan Sukatan Pelajaran Dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan

Pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk melahikran insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Falsafah Pendidikan Negara. Pada peringkat ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah memuatkan senarai kemahiran asas berbahasa dan tatabahasa yang perlu dikuasai oleh murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Kemahiran-kemahiran berbahasa ini meliputi kemahiran lisan (mendengar dan bertutur), membaca, dan menulis. Tatabahasa pula meliputi aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu (Abdullah Hassan, 1996).

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah ini pula mengandungi perincian, penjelasan serta huraian tentang Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Di dalam Huraian Sukatan Pelajaran ini, dimuatkan senarai kecekapan berbahasa dalam kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, menulis, tatabahasa, penjodoh bilangan, peribahasa, dan perbendaharaan kata yang sesuai bagi peringkat persekolahan murid. (Roselan Baki, 2003).

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) dan Tamil (T) disempurnakan dengan mengambil kita tahap kebolehan dan kemampuan murid di SJK(C) dan (T). Oleh itu, Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk SJK(C) dan (T) agak berbeza daripada Sekolah Kebangsaan dari segi huraian, senarai kemahiran berbahasa, contoh-contoh peribahasa, tatabahasa, dan jumlah perbendaharaan kata yang dicadangkan.

Huraian Sukatan Pelajaran ini merupakan satu cadangan, dan guru-guru tidak seharusnya terikat kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan. Sekiranya didapati ada di antara cadangan-cadangan ini tidak sesuai dengan keadaan bilik darjah, guru-guru boleh mengubah dan menyesuaikannya dengan kebolehan dan kemampuan murid. Huraian sukatan pelajaran ini juga boleh digunakan untuk merancang pengajaran dan pembelajaran mengikut penggal, mingguan, dan harian di dalam bilik darjah (Prof. Madya Dr. Nuraini Yusoff, 2003).

Matlamat mata pelajaran Bahasa melayu sekolah rendah ialah untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara, bahasa perpaduan dan bahasa imu, sesuai dengan semangat Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu usaha yang berterusan kea rah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dan usaha ini adalah semata-mat bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan berakhlak mulia.

Untuk melihat sama ada objektif Sukatan Pelajaran dapat dikaitan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, adalah lebih elok bagi kita melihat dahulu apakah objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang digubal oleh Kementerian Pelajaran untuk rakyat Malaysia. Dengan ini barulah kita dapat melihat adakah Sukatan Pelajaran yang digubal selama ini mempunyai kaitan atau menjiwai ‘roh’ dan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jika ia mempunyai kaitan, kita telah pun berada di jalan yang betul dalam usaha untuk memartabatkan semangat Falsafah Pendidikan melalui Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang diajar di sekolah rendah di Malaysia. Cuma beberapa pendekatan yang terbaik perlu diberi tambah nilai dari masa ke semasa untuk memantapkan pengakaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

Menurut kandungan Sukatan Pelajaran, setelah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah, murid-murid dapat:

• Mendengar, memahami dan menghayati pertuturan yang terdapat dalam kehidupann sehari-hari;

• Bertutur dengan petah dan mengeluarkan buah fikiran yang bernas serta menggunakan bahasa yang sesuai dan bertatasusila;

• Membaca dan memahami isi bacaan yang sesuai dengan kematangan;

• Menjadikan pembacaan sebagai satu kebiasaan dan amalan bagi mendapatkan pengetahuan dan hiburan;

• Menulis pelbagai jenis karangan dan surat kiriman mengikut tajuk dan format yang betul;

• Memahami dan mengisi borang yang sesuai dengan betul;

• Menghargai dan menghayati nilai-nilai estetika dalam karangan prosa dan puisi;

• Menggunakan Bahasa Melayu untuk memperoleh pelbagai ilmu;

• Menggunakan Bahasa Melayu yang betul dalam lisan dan penulisan;

• Memberi makna dan menggunakan peribahasa dalam konteks yang betul dan sesuai;

• Menggunakan Bahasa Melayu dengan berkesan untuk berkomunikasi antara ahli masyarakat yang berbilang keturunan.
Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolahan murid (Roselan Baki, 2003). Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi dan berfikir.

Sebelum kita melihat dengan lebih lanjut kaitan antara Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, adalah lebih baik kita lihat bentuk-bentuk strategi pengajaran dan pembelajaran.

Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran-kemahiran boleh digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran berbahasa, atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.

Dalam pengajaran Bahasa Melayu, unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni juga boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti Sains, Matematik, Sejarah dan lain-lain.

Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah, program pengayaan perlu diberi penekanan kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat dan minat. Bahan-bahan yang berbeza hendaklah diberi kepada murid-murid sama ada untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan-bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan dan bahan-bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid-murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran dalam jangka masa yang telah ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

Murid-murid yang belum menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam tempoh yang telah ditetapkan disedikan dengan program atau aktiviti pemulihan. Bahan-bahan untuk program ini terdiri daripada kad-kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Perlaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.

Penilaian merupakan sesuatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran dan pembelajaran. Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan. Setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid-murid. Dengan cara yang sedemikian, selain mengetahui tahap pencapaian, kelemahan murid dapat dipulihkan sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran terkumpul di tahap yang lebih tinggi.

Kesimpulan

Setelah melihat objektif dan matlamat sukatan pelajaran Bahasa Melayu secara jelas seperti yang dinyatakan di atas, apakah kita dapat menghuraikan apakah terdapat kaitan antara Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan?

Dengan merujuk kepada definisi Kurikukum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), matlamat serta ciri-ciri KBSR itu sendiri, saya dapati KBSR akan mampu mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa pendidikan itu suatu proses yang berterusan. Sebagai saluran pendidikan pada peringkat awal, KBSR sememangnya memikul tugas yang amat berat. Ini kerana pada peringkat permulaannya segalanya bermula. KBSR akan memastikan pendidikan yang diberikan kepada pelajar memuaskan dan menepati ciri-ciri yang diinginkan. Pendidikan awal adalah penting kerana ia membentuk asas sahsiah yang akan terus berkembang hingga ke akhir hayat nanti. Oleh itu, KBSR menekankan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Dengan kemahiran-kemahiran asas yang teguh dan mampat, segala proses pendidikan yang akan ditempuhi oleh pelajar menjadi mudah (Abdullah Hassan, 1996).

KBSR menitikberatkan soal nilai-nilai murni dan semangat patriotisme dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Dengan ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menginginkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani akan tercapai. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, KBSR bukan sahaja menekankan soal penyampaian ilmu pengetahuan bahkan setiap guru dikehendaki menyelitkan penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Selain itu, dalam seminggu hari persekolahan akan terdapat dua masa untuk matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Ini melambangkan KBSR amat menitikberatkan soal kesihatan para pelajar supaya pelajar tidak hanya memerah otak dalam sesi pembelajaran matapelajaran lain tetapi mereka juga boleh berekreasi dan menenangkan fikiran dengan bersenam dan bersukan.

Seterusnya, unsur Falsafah Pendidikan Kebangsaan ingin melahirkan rakyat yang memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sehubungan dengan itu, KBSR menekankan kemahiran berfikir dalam sistem pendidikan pada peringkat awal. Melalui ciri ini pelajar bebas meluahkan pendapat dan mencipta sesuatu yang baru. Secara tidak langsung hasil kreativiti pelajar akan terus digilap dan dihargai. Oleh itu, maka lahirlah generasi yang mampu memberi sumbangan dalam pelbagai bidang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan