08 Mac 2011

Jenis-Jenis Gaya Bahasa

PENDAHULUAN
Sewaktu kita bercakap, membaca ataupun mendengar, kita tidak akan terlepas daripada mendapati satu bentuk, satu rupa atau satu corak gaya bahasa yang digunakan oleh seseorang, sama ada ianya dilakukan secara sedar atau tidak. Kebolehan menggunakan gaya bahasa, adalah terletak kepada sejauh mana seseorang itu mahair dan cekap berbahasa. Pada umumnya, para sasterawan dan ahli-ahli bahasa merupakan orang yang cekap atau pandai bergaya bahasa, terutama sekali dalam atau ketika mereka menulis. Sebab ada juga para sasterawan atau ahli bahasa yang tidak pandai begaya bahasa ketika berinteraksi secara lisan.
Orang-orang tua kita dahulu pun sebenarnya memang cekap bahkan mahir sekali dalam menggunakan gaya bahasa, sama ada semamsa mereka menulis apatah lagi ketika bercakap. Ini tebukti daripada hikayat-hikayat, cerita-cerita, dan berbagai jenis puisi, yang begitu banyak atau kaya sekali dengan berbagai-bagai gaya bahasa yang indah. Misalnya, bentuk pantun, syair, gurindam, seloka, peribahasa, simpulan bahasa, kiasan, perumpamaan dan sebagainya. Sebagai contoh, bila orang-orang tua menyebut, “budak itu berhati batu”, ini mereupakan satu jenis gaya bahsa untuk diibaratkan sebagai seorang yang berperangai degil, tolol, tak mendengar kata dan nasihat dan seumpamanya. Gaya bahasa jenis ini dikatakan sebagai “simpulan bahasa”.
Oleh kerana bahasa, seperti juga budaya, iaitu ianya tidak statis, maka ia juga berubah dan berkembang mengikut perkembangan masa atau zaman. Begitulah juga dengan gaya bahasa (yang terkandung dalam bahasa) yang kerap menerima perubahan, tokok tambah, cedok-mencedok terutamanya dalam bidang kesusasteraan. Dalam bidang kesusasteraan, karya puisilah yang begitu kaya dengan penggunaan gaya bahasa. Justeru itu, tidak menghairankan jika jenis-jenis gaya bahasa dalam Bahasa Malaysia “berbau” atau diambil terus dari istilah-istilah dalam Bahasa Inggeris atau Barat. Walaubagaimanapun soalan “penyesuaian’ buat masa kini, sudah boleh dianggap sebagai sesuatu yang lumrah dan tidak dapat dielakkan. Apa yang kita pentingkan ialah “penyesuaian” yang dibuat hendaklah kena pada tempatnya dan bukanlah dibuat secara melulu sahaja.
Sesuai digunakan dengan sifat dinamis bahasa, maka keseluruhan istilah yang digunakan dalam buku tipis ini adalah istilah yang boleh dianggap sebagai kemas kini yang lebih mirip kepada cedukan perkataan dab bunyi asing (Barat). Meskipun ianya boleh digantikan dengan istilah lama atau klasik yang pernah digunakan oleh pengarangdahulu, Zaaba misalnya. Misalnya istilah “metafora” (perbandingan terus), “personifikasi” (pertalian atau perhubungan), “euphimisma” (kata-kata halus atau pemanis kata), “ironi” (bahasa terbalik) dan sebagainya. Malah, dalam sesetengah keadaan, penggunaan istilah asing lebih menepati maksud yang hendak dinyatakan.
DEFINISI GAYA DAN BAHASA
Sebelum dihurai dengan lebih lanjut tentang gaya bahasa dalam karya-karya (sama ada karya berbentuk puisi ataupun prosa), terlebih dahulu hendaklah dilihat apakah definisi atau yang dimaksudkan dengan “gaya” dan “bahasa” itu.
1.1         Definisi “gaya”
Yang dimaksudkan dengan gaya dalam bidang penghasilan karya bertulis ialah: corak, bentuk, rupa, atau pengetahuan tentang penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat. “Gaya” juga bermaksud: “satu cara menulis atau bercakap”.
1.2         Definisi “bahasa”
Sebagaimana definisi tentang gaya, definisi mengenai bahasa juga agak banyak. Walaubagaimanapun, kesemua definisi itu tidak terhindar dari konsep sebagai alat perhubungan dan yang terbina dari kalimat-kalimat. Di antara  definisi yang boleh dianggap terkenal ialah definisi yang diutarakan oleh pengkaji dan pakar beahasa bernama Bloch & Trager. Mereka berpendapat bahawa: bahasa ialah salah satu sistem lambang-lambang pertuturan yang arbiterari yang digunakan oleh anggota masyarakat untuk berhubung.
Berhubung dengan definisi “gaya bahasa” dalm karya penulisan juga terdapat berbagai-bagai. Mislanya, mengikut pendita Za’aba, beliau mengatakan, “gaya bahasa ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang.” Gaya bahasa juga dikatakan sebagai kekuatan perbandingan yang dipakai dalam karangan. Bahasa yang dipakai itu ialah untuk menimbulkan daya (iaitu kata-kata biasa, sindiran dan perbandingan) yang mana ianya terhasil dari peribadi seseorang pengarang. Dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa gaya bahasa merupakan satu corak, bentuk kata-kata dan penyusunan kalimat yang digunakan sewaktu berhubung di antara satu sama lain secara lisan mahupun tulisan.

2.CARA PENGGUNAAN GAYA BAHASA
Setiap pengarang akan cuba sedaya upaya mencari satu gaya bahasa yang terbaik sebagai satu cara menarik minat pembaca di samping menghasilkan satu karya yang benar-benar bermutu. Sebab itu, bila kita membaca apa-apa sahaja bentuk tulisan (sama ada bentuk puisi atau prosa), kita akan tersua dengan berbagai gaya bahasa yang menarik. Dan, kemahiran menggunakan gaya bahasa ini merupakan sesuatu kekuatan berkarya bagi seorang pengarang. Sekiranya, pengarang tidak pandai atau tidak memasukkan gaya bahasa tertentu, nyata sekali karyanya “tawar dan hambar”, laksana gulai tidak bergaram. Gaya bahasa bolehlah diibaratkan sebagai perencah, pelazat rasa atau berbagai ramuan untuk menyedapkan makanan. Gaya bahasa merangkumi perkataan, ikatan ayat, jalan bahasa corak susunan ataupun betuk pembahasaanya. Dalam Bahasa Malaysia, terdapat dua jenis penggunaan  gaya bahasa iaitu, gaya cakap mulut dan gaya cakap surat. Kedua-dua jenis gaya bahasa ini boleh jadi terbina dari gaya bahasa Melayu betul dan gaya bukan Melayu betul.
            Gaya cakap mulut banyak atau kerapkali menggunakan perkataan yang pendek, sama ada disingkat atau diringkaskan. Mislanya perkataan “tak” (tidak), “nak”  (hendak), “dah” (sudah), “tu” (itu), “ni” (ini), “pak” (bapak/bapa), “mak” (emak), “bu” (ibu), “nak” (anak), “dik” (adik) dan sebagainjya. Dalam gaya cakap mulut ini, terdapat satu gaya lagi, iaitu bahasa pasar atatu dikatakan juga sebagai gaya bahasa kacukan. Gaya bahasa ini kebiasaanya digunakan oleh orang-orang bukan Melayu (dan kadangkala oleh orang Melayu sendiri) yang tidak fasih bercakap bahasa ibundanya dan juga bahasa Melayu sendiri. Akibatnya, lahirlah gaya-gaya bahasa: Melayu-Cina, Melayu-Baba, Melayu-Keling, Melayu Benggali, Melayu-Inggeris, Melayu-Jawa dan sebagainya. Antara gaya bahasa pasar atau gaya bahasa kacukan ini ialah seperti: makan angin, boleh bikin, kasi tau, banyak mahal, saya punya adik, api kereta, nasi makan dan bermacam-macam lagi.
            Manakal gaya bahasa surat pula ialah satu rupa gaya bahasa atau percakapan yang lebih mementingkan kepada struktur ayat, frasa, perkataan dan makna. Gaya bahasa juga akan dapat memberi erti yang berbeza, walaupun menggunakan perkataan yang sama, jika ia ditulis atau dituturkan. Faktornya ialah tergantung kepada nada atau irama sebutannya. Misalnya jika dituturkan: “pinjam baju?”. (i) jika dituturkan secara bersahaja, nada dan iramanya mendatar, ia akan membawa maksud bahawa seseorang yang ingin meminjam baju dari orang lain. (ii) jika dituturkan dengan nada “menekan” di akhir kalimat, akan memberi makna sebagi satu sindiran atau perli. Boleh jadi baju yang dipakai itu, sama ada cantik atau hodoh ataupun seseroang itu tidak pernah pakai baju cantik atau lain-lain.
            Penggunaan peribahasa, bidalan, perumpamaan, pepatah, simpulan bahasa, bahasa kiasan, petikan hadis nabi dan ayat suci al-quran, madah pujanggan, seloka, jenis-jenis bentuk puisi dan seumpamanya, boleh juga dianggap sebagai salah satu gaya bahasa. Jika seseorang berkata, “tulisan dia macam cakar ayam”, ini bermakna tulisan yang ditulis tidak cantik, kucar-kacir dan tidak boleh dibaca. Ini merupakan satu gaya bahasa yang menggunakan simpulan bahasa “cakar ayam”. Begitu juga dengan kata-kata “orang rumah” (suami atau isteri), datang bulan (perempuan yang datang darah kotor atau haid), “bulan tua” (akhir bulan), “malam muda” (permulaan masam malam), “bulan kesiangan” (warna atau wajah yang pucat tidak berseri atau tidak bermaya) dan sebagainya.
3.JENIS-JENIS GAYA BAHASA
Secara umunya, gaya bahasa terbahagi kepada empat jenis, iaitu (a) Gaya bahasa perbandingan; (b) Gaya bahasa sindiran; (c) Gaya bahasa penegasan; dan (d) Gaya bahasa pertentangan. Bagi keempat-empat jenis gaya bahasa itu akan melibatkan, membentuk dan memilih kata-kata yang tepat untuk melukiskan sesuatu. Ia disebut sebagai plastika bahasa.

3.1    Gaya bahasa perbandingan
3.1.1   Metafora
Perbandingan secara langsung di antara satu benda dengan benda yang lain   yang ada sifat kesamaannya. Misalnya, matahari disifatkan sebagai raja siang. Bulan dikatakan sebagai dewi malam.

3.1.2   Personifikasi:
Memberi watak manusia kepada yang bukan manusia. Misalnya, daun kelapa yang disifatkan sebagai manusia yang boleh melambai, menggamit, bersiul dan sebagainya. Lalu ditulis sebagai “daun nyiur melambai-lambai”, “daun kelapa menggamit manja” dan sebagainya.

3.1.3  Asosiasi:
Merupakan penyamaan satu benda dengan benda yang lain. Asosiasi benda yang kedua, ada hubungan dengan benda yang pertama (yang disebut terlebih dahulu). Misalnya: badannya langsing seperti pohon pinang, mukanya pucat bagai bulan kesiangan, matanya merah seperti biji saga, badannya licin seperti belut, badannya makin kurus seperti ais-krim, badannya kurus seperti lidi dan lain-lain.

3.1.4  Allegori:
Satu gaya yang menggunakan perbandingan yang sempurna dan lengkap. Mislanya: laut di bandingkan dengan kehidupan, suami isteri diumpamakan sebagai nakhoda dan jurumudi, tujuan hidup diumpamakan sebagai tanah tepi, kumbang sebgai pemuda, bunga diibaratkan sebagai anak dara dan sebaginya.

3.1.5   Parabel:
Perkataan ini berasal dari perkataan Latin. Ia bermaksud sebagai “kiasan”, yang  terdapat di dalam sesebuah cerita atau hasil karya puisi. Ia dapat menyimpulkan rahsia atau falsafah hidup. Misalnya dalam sebuah ceitta mengisahkan “si tikus mengalahkan si singa”. Parabel dalam kalimat ini ialah adakalanya orang yang kecil, lemah atau miskin dapat mengalah atau mengatasi orang yang besar, kuat atau kaya.

3.1.6   Simbolik:
Simbolik ialah gaya bahasa yang memindahkan sifat seseorang atau sesuatu kepada yang lain atau melukiskan sesutau dengan menggunakan benda-benda atatu perkara lain seperti lambang atau simbolnya. Misalnya: lintah darat ( orang yang menindas, memeras, mementingkan diri sendiri dan menganiaya orang lain), kambing hitam (orang yang dijadikan sasaran atau dituju), alu pencungkil duri (orang yang tidak boleh mengeluarkan buah fikiran), kucing pekak (perangkap tikus)

3.1.7   Tropen
Gaya bahasa yang menggunakan kata-kata yang tepat dan sejajar dengan erti yang dimaksudkan. Misalnya: “Dia terbang ke Jepun” (orang yang diibaratkan boloeh terbang seperti burung atau seperti kapal terbang), “sehari-hari ia berkubur sahaja dalam bilik” (diibaratkan diam dan tak bergerak-gerak seperti orang mati dalam kubur), “sudah lebih dua bulan dia mengukur jalan” (orang yang tidak mempunyai apa-apa pekerjaan melainkan mundar-mandir sepanjang jalan) dan lain-lain lagi.

3.1.8   Mitonimia
Suatu nama baru yang pada mulanya  berupa nama lain bagi sesuatu benda atau perkara, ia digunakan sebagi atau seolah-olah nama khas yang lebih senang disebut atau lebih mudah dikenali, kerana ada kaitan dengan nama asalnya. Misalnya: “Ia meluncur dengan MAS” (MAS ini berasal dari kata Malaysian Airline System, tapi lebih dikenali dengan nama MAS,seakan-akan berharga seperti emas), “Ia berparti PAS” (PAS ialah singkatan dari perkataan awal bagi Pati Islam Se-Malaysia), “Ia belajar di IPKB” (IPKB bermaksud Maktab Perguruan Kota Bharu) dan sebagainya.

3.1.9   Litotes:
Merupakan satu gaya merendah, memperkecil atau penyederhanaan. Kata-kata yang digunaka sebenarnya adalah berlawanan dengan kenyataan yang  sebenar. Misalnya: “Gubukku di tepi sawah” (gubuk di dalam konteks ini bukan bererti bangsal, rumah kecil pondok atau lain-lain, tetapi sebenarnya merupakan sebuah rumah yang besar dan cantik), “nasi dengan garam sahaja” (ini bukanlah bererti dia makan nasi dengan garam sahaja kerana terlalu miskin,tetapi nasi yang penuh dengan lauk-pauk yang banyak). Gaya bahasa begini biasanya dituturkan oleh orang yang suka merendah diri, tidak suka bermuka-muka atau menunjuk-nunjuk sesuatu kelebihan atatu keistimewaan yang ada padanya.

3.1.10 Hiperbola / Bahasa melampau-lampau / Bahasa besar:
Perkataan ini juga berasal dari perkataan Latin “ballein” (yang bermaksud melemparkan), iaitu satu gaya bahasa yang cuba menunjukkan atau membesar-besarkan ataupun melebih-lebihkan sesuatu perkara  atau benda. Contohnya: “darah mengalir mengaanak sungai” (yang hendak diibaratkan ialah darah yang mengalir terlalu banyak sehingga penuh anak-anak sungai), “air yang melimpah-ruah", “kilat sambar-menyambar”, “hancur lebur” dan sebagainya.        

3.1.11 Sinekdoki
Sinedoki (synecdoche) terbahagi kepada dua jenis iaitu: (i) Pars pro toto: iaitu penyebutan sebahagian dari kata, tetapi boleh memberikan sepenuh erti kata tersebut, mislanya, “ sudah lama tak nampak batang hidung” dan seumpamanya. (ii) Totem pro parte: iaitu penyebutan seluruhnya untuk menyatakan hanya sebahagiannya sahaja. Contohnya, “pertandingan itu berakhir dengan kemenangan Pasukan Rumah Putih” (ini bererti tidak diterangkan bahawa ada satu lagi pasukan yang tela kalah oleh Pasukan Rumah Putih), “sekolah kami telah kalah dalam peraduan tersebut” (yang disebut ialah sekolahnya yang telah kalah, di mana sepatutnya ada sekolah lain yang telah menang, tapi tidak disebut), “menjawab satu soalan, dia mengatakan bahawa dia masih solo” dan seterusnya.

3.1.12 Euphimisma:
Satu gaya yang memperhalus kata-kata atau ucapan, kadangkala kata-kata itu lucah, tetapi oleh kerana ia digunakan dengan begitu halus dan “sopan”, sifat kelucahannya tidaklah begitu ketara. Mislanya: “minta diri sebentar” (bermaksud mahu pergi dari tempat itu sebentar), “dipersilakan duduk” (bermaksud disuruh duduk),  “hilang akal” (gila atau tak normal), “buang air kecil” (kencing), “kemaluan” (alat kelamin atatu jantina lelaki atatu perempuan), “hubungan jenis” (bersetubuh), “buang air besar” (berak) dan lain-lain lagi.

3.1.13 Allusio/ Unsur-unsur falsafah:
Iaitu satu gaya bahasa yang banyak menggunakan peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan dan yang seumpamanya. Misalnya: “hidupnya amat menyedihkan, seperti ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, “Nasihat yang diberi langsung tak berguna, seperti emncurahkan air di daun keladi sahaja”, “berhati batu”, “perangainya seperti lintah darat” dan lain-lain.

3.1.14 Antonomasia/ bahasa kiasan:
Penggunaan nama lain bagi seseorang dengan menggunakan sifat-sifat orang itu sendiri. Mislanya: “si Jangkung” (orang yang kurus dan tinggi), “Si Gendut” (orang yang rendah dan pendek), “Si Sengeh” (orang yang sentiasa tersengeh atau menampakkan gigi, tak kira bila, di mana dan dengan sesiapa sahaja).

3.1.15 Periprase:
Merupakan gaya bahasa penghuraian. Satu kata yang ditukar dengan kata-kata lain yang lebih panjang tapi masih dapat memberi makna atau erti yang sama dan sesuai dengan kata yang hendak digantikan itu. Mislanya: “pagi-pagi” (ketika Sang Suria telah keluar dari peraduannya”, “unta” (kapal padang pasir), “senjakala” (suria merangkak-rangkak ingin memaut pintu malam), “malam tua” (waktu larut malam atau betul-betul tengah malam) dan lain-lain lagi
.
3.2    Gaya Bahasa Sindiran
Gaya bahasa sindiran ini merupakan satu gaya perli kepada sesuatu yang tidak digemari atau yang tidak sesuai dan tidak berkenan dengan hatinya. Gaya bahasa ini terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:

3.2.1   Ironi:
Ia merupakan seolah-olah kata terbalik dari maksud asal atau kata-kata lain dari kata-kata yang sebenarnya yang patut digunakan dengan tujuan untuk menyindir. Mislanya: “capat betul kau datang” (diwujudkan kata-kata ini kepada orang yang lewat datang), “wah cantik beyul bajumu” (bermaksud baju yang tidak cantik), ‘sedap betul nyanyiamu semalam” (bermaksud nyanyian yang tidak sedap) dan sebagainya.

3.2.2   Sinisma/ bahan mengejek:
Berupa kata-kata ejekan yang kasar, melebih-lebihkan, melampau-lampau dengan tujuan menyatakan perasaan benci atau ejekan yang ketara. Misalnya: “Muntah aku melihatmu”  (bermaksud: oleh kerana terlalu benci dan meluat atau jejek, sehingga boleh muntah), “pengsan aku bila terbau minyak wangi kau” (bermaksud: bau minyak wangi itu amat tidak berbau sedap, sehingga boleh jadi pengsan bila terciumnya), “Rebah aku melihat mukanya” (bermaksud: dia akan jadi atau boleh rebah kalau melihat muka yang dimaksudkan, boleh jadi muka tersebut terlalu hodoh, terlalu dibenci atau sebagainya).

3.2.3   Sarkasma:
Iaitu gaya bahasa yang lebih kasar daripada sinisma. Ianya digunakan bagi menggambarkan sikap marah, benci, meluat yang amat sangat. Ia boleh jadi digunakan dalam waktu marah atau tidak disedarinya. Mislanya: “anjing” (orang yang dimarahinya disifatkan sebagai anjing) “babi”, “bangsat”, “mampus”, “haram jadah”, “ anak haram”, “”syaitan”, “kurang ajar”, dan lain-lain lagi.

3.3       Gaya Bahasa Penegasan
Gaya bahasa penegasan merupakan satu gay yang cuba memberi penegasan atau penekanan kepada sesuatu yang hendak disampaikan. Gaya bahasa ini terbahagi kepada beberapa jenis seperti berikut:

3.3.1   Pleonasma:
Merupakan satu gaya yang cuba memberi penegasan kepada kata-kata sebelumnya dengan berasaskan kepada sifat-sifat kata itu sendiri, meskipun kata-kata tersebut tidak perlu atatu tak mustahak diulang sebut lagi. Gaya ini juga disebut sebagai gaya bahasa berlebihan. Mislanya: “ Ia turun ke bawah” (dalam ayat ini, perkataan turun sudah menggambarkan ke bawah. Takkanlah turun ke atas. Di sinilah yang dapat dilihat bahawa perkataan turun itulah yang hendak ditegaskan, iaitu turun ke bawah), “naik ke atas”, “majulah ke muka”, “Undur ke belakang”, “Jatuh ke bawah”, “Sunyi sepi”, “melalak melaung”, “kucar kacir”, “cinta kasih sayang” dan sebagainya.

            3.3.2   Repitisi:
Iaitu mengulang sepatah perkataan beberapa kali dalam satu-satu ayat. Contohnya: “selama nafas masih ada, selama nadi masih berdenyut, selama darah masih mengalir, selama itulah aku terus berjuang”, “apa yang diharapkan, apa yang diimpikan, apa yang dicita-citakan oleh ayahnya ialah kebahagiaan anaknya di hari depan”, “saat  yang paling romantis, saat yang tak dapat dilupakan dan saat dikejar seribu ranjau-ranjau, ialah ketika atau saat dilamun cinta” dan yang seumpamanya.

3.3.3 Paralelisma:
Pengulangan sesetengah perkataan beberapa kali pada tempat yang sama. Sekiranya pengulangan dibuat di awal kalimat, disebut sebagai anapora, dan sekiranya di sebut di akhir kalimat dikenal sebagi epipora. Contohnya seperti berikut:



(i)            Anapora                                                        
apatah kekal                                                                        
apatah tetap                                                     
apatah tidak                                                 

(ii)          Epifora                                  
Ia datang
Selalu datang
Tidak datang


3.3.4   Tautologi:
Mengulang secara berturut-turut satu-satu perkataan dalam kalimat, sedangkan pengulannya tidak perlu, kerana sudah jelas maknanya dengan satu perkataan sahaja. Mislanya, “Ia datang, datang dari serata ceruk ceruk rantau, datang dari serata daerah dan datang dari pelbagai ragam latar belakang hidup”.

3.3.5   Klimaks/Bahasa Naik:
Satu gaya yang cuba menerangkan atau mengemukakan sesuatu benda atau perkara secara berturut-turut dengan cara kronologi. Mislanya: “sejak dari kecil, besar, dewasa, sampailah ke tuannya...”, “upacara yang membazir itu berlangsung dari pagi, petang hinggalah ke malam, masih tak habis-habis”.

3.3.6   Anti Klimaks/ Bahasa Turun:
Iaitu satu gaya bahasa yang berlawanan dengan gaya klimaks, kerana penerangannya  bermula dari yang tinggi kepada yang rendah, dari yang besar kepada yang kecil. Misalnya: “Dalam majlis persandingan Diraja tersebut, Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Timbalan Menteri, Exco-Exco, Wakil-Wakil Rakyat, Penghulu, Ketua-Ketua Kampung, dan rakyat jelata turut hadir sama”. “Kebiasaan itu telah diamalkan sejak dari turun temurun lagi, dari datuk, nenek, bapa, anak hinggalah ke cucu cicit ciatnya” dan seumpamanya.
3.3.7   Inversi:
Ia merupakan gaya bahasa pembalikan penyusunan kata dalam satu-satu kalimat. Bahagian yang penting (predikat) mendahului cerita. Dalam istilah lama (isyilah Zaaba), ia dikenali sebagai “ayat kena buat” atau ayat pasif. Misalnya: “Air itu diminum oleh saya”, “buku tadi dibeli oleh ibuku”, “Gambar yang cantik ini dilukis oleh adik saya” dan lain-lain lagi.

3.3.8   Ellipsi:
Satu gaya yang cuba menghilangkan sebahagian dari kalimat, sama ada kalimat pokok ataupun sebutannya. Contohnya: “pokok itu dibunuh” (ini bermaksud: pokok-pokok yang tak berguna itu telah dibunuh dengan racun), “Habis dimakan” (bermaksud: nasi yang terhidang di atas meja itu habis semua sekali dimakan olehnya) dan lain-lain lagi.

3.3.9   Retoris:
Ialah gaya bahasa berupa pertanyaan yang tidak memerlukan jawapan, kerana di dalam pertanyaan itu sendiri secara tidak langsung, sudah ada jawapannya. Misalnya: “Miskinkah dia dengan rumah besar dan harta benda yang banyak?”, “laparkah mereka dengan begitu banyak makanan yang telah dibekalkan?”, “penakutlah dia dengan mengalahkan begitu ramai musuh?” dan lain-lain lagi.

3.3.10 Koreksio:
Iaitu satu gaya bahasa yang pada mulanya tersalah sebut atau sengaja disebut kurang teapat dan tidak betul, lalu dalam masa juga ianya tidak betul, lalu dalam masa yang sama juga ianya diperbetulkan. Contohnya: “Nasi memasak ibu, oh maaf, sebenarnya ibu memasak nasi”, “dalam masa itu  ia terkena kemalangan,maksud saya, ia terkena jerangkap samar dan cedera parah”, “Anak-anak saya semuanya manja-manja belaka, maksud saya, anak-anak kucing yang saya pelihara di rumah” (boleh jadi penutur ini tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak lagi) dan sebagainya.


3.3.11 Asindenton
Merupakan kata-kata dalam ayat atau ayat-ayat yang sepatutnya menggunakan kata-kata penyambung, tetapi tidak atau sengaja tidak digunakan, sebagai satu cara dan menjimatkan penggunaan kata. Misalnya: “ Di dalam bilik itu terdapat meja, kerusi, almari dan bangku yang rosak”, “Kereta, bas, motosikal, lori, van dan ambulans telah memiruk-pikukkan lagi suasana di jalan yang sesak itu”, dan lain-lain lagi.

3.3.12 Polysindeton:
Merupakan gaya bahasa lama, iaitu penggunaan perkataan-perkataan yang kadangkala tidak memberi erti yang tepat, seperti perkataan maka, alkian, alkisah, adapun, sayhdan dan lain-lain lagi. Ayat-ayatnya pula, jika sepatutnya ada menggunakan kata-kata penyambung, akan digunakan sepenuhnya (Ini adalah berlawanan dengan asindenton). Contohnya: “Sungguhpun Terengganu itu daripada bahagian atau jumlah negeri yang terlebih muda sekali termasuh ke bawah anungan negeri yang terlebih muda sekali  termasuk ke bawah naungan Kerajaan Ingeris, tetapi adlah harapan kita pada masa kini jika kita tidak mengambil peneganalan dan pengetahuan daripada gerak-geri orang-orang besarnya yang bersungguh-sungguh menjaga dan memelihara pintu-pintu bahagia dan anak-anak jenisnya sendiri, dan berikhtiar bagi menutup lubang kecil dan besarnya, dan berdahulu-huluan tiap-tiap daripada mereka itu memasukkan dan menambahkan kepada negerinya cohtoh tauladan yang baik-baik dari luar”.

3.3.13 Interupsi:
Merupakan gaya bahasa yang menggunakan kata atau sebahagian kalimat yang disisip, ditambah sesudah kalimat asal (pokok) dengan tujuan untuk menjelaskan erti asal atau pokok tadi dengan lebih luas lagi. Penjelasan itu dibuat dengan menggunakan tanda-tanda “koma”, “sengkang” atau pun “kurungan”. Misalnya, “nama pkok itu (iaitu pokok Melaka) telah dijadikan sebagai nama negeri Melaka”, “Ayahnya (yang bernama Daud, iaitu adik kepada emak saudaranya) telah pergi ke seberang laut pada tahun lepas lagi) dan lain-lain lagi.
3.3.14  Eksklamasi:
Merupakan gaya bahasa yang memakai kata-kata seru, untuk menegaskan maksud ataupun untuk disesuaikan dengan nada erti yang dikatakan. Contohnya: “Aduh!pedihnya luka ini”. (tidak boleh dikata, aduh sedapnya makanan ini), “Wah!cantiknya baju awak” dan lain-lain lagi.

3.3.15   Enumerasia:
Iaitu satu corak gaya bahasa yang bersifat penghuraian sesuatu peristiwa yang sengaja dipisah-pisahkan. Ianya digambarkan satu persatu agar lebih hidup dan lebih nyata. Umpamanya: “Malam gelap. Langit tak berbintang. Lorong-lorong sudah sepi. Lampu jalan sudah dimatikan. Sayup-sayup kedengaran anjing menyalak”.

3.3.16 Praetorito:
Merupakan satu gaya yang seolah-olah atau seakan-akan pengarang mahu menyembunyikan sesuatu perkara yang dilukiskan, atau penulis membuat andaian bahawa apa yang hendak atau tak hendak diberitahu olehnya sudahpun diketahui oleh orang lain (orang ramai). Contohnya: “Siapakah orangnya, tak perlulah saya sebutkan, sebab saya rasa anda sendiri sudah pun mengetahuinya” dan lain-lain lagi.

3.4       Gaya Bahasa Pertentangan
Gaya bahasa pertentangan adalah merupakan satu gaya yang memperlihatkan kebertentangan erti atau makna dalam satu-satu ayat. Mahu bertentangan dengan tak mahu, ya bertentangan dengan tidak dan sebagainya. Gaya bahasa pertentangan ini terdiri dari beberapa jenis, iaitu:

3.4.1   Pradoks:
Ialah satu corak gaya yang mempertentangkan kata-kata atau erti dalam satu kalimat, misalnya, “Senyum dalam tangisan” (biasanya atatu sepatutnya orang yang senyum tak boleh menangis atau pun orang yang menangis tak boleh senyum), “Dia kaya, tetapi hidupnya melarat”, “Bangkai bernyawa”, “Marah dalam sayang”, “Benci tapi rindu”, “Tidur dalam jaga”, dan lain-lain lagi.

3.4.2   Antithese:
Merupakan gaya yang mempertentangkan paduan dua patah perkataan yang berlawanan ertinya, contohnya, “tua muda”, “kecil besar”, “kaya miskin”, “cantik hodoh”, “hitam putih”, “lelaki perempuan” dan lain-lain lagi.

3.4.3   Occupasi:
Ialah gaya bahasa yang mengandungi suatu bantahan, yang tak dipersetujui, tetapi dicuba membentangkannya juga sebagai untuk pengetahuan umum. Walaupun boleh jadi semua orang suda tahu. Ini ditimbulkan semata-mata untuk menimbulkan kepuasan. Contohnya: “Merokok membahayakan kesihatan. Amaran oleh Kerajaan Malaysia. Pun begitu ada orang yang tak boleh bekerja kalau tak merokok”, “Berjudi adalah haram tetapi ada orang yang terus berjudi sebagai salah satu dara untuk menjadi kaya dengan cepat” dan lain-lain lagi.

3.4.4   Kontradiksio:
Ialah satu gaya yang memperlihatkan pertentangan dengan apa yang sudah dikata atau ditegaskan terlebih dahulu. Misalnya, “Dia nampak alim tetapi sebenarnya jahil”, “Kamar itu sunyi sepi, hanya detikan jam yang berbunyi”, “Matanya pejam,tetapi masih kelihatan berkelip-kelip” dan lain-lain lagi.

4.      Perkataan asing dalam Bahasa Malaysia (Melayu)
Dalam Bahasa Melayu (seperti juga dalam bahasa-bahasa lain) banyak sekali perkataan asing yang telah terpinjam atau termasuk sehati menjadi sebahagian daripada perkataan Melayu jati. Perkataan-perkataan  demikian hampir kesemuanya telah diubahkan bunyinya yang sebanar mengikut tabii lidah Melayu. Kerap kali berlaku juga maknanya juga telah berubah atau bertambah daripada makna dalam bahasa asal. Kebanyakan perkataan “pinjaman” ini terasa seolah-olah sebagai bahasa Melayu sendiri kerana kerap sangat kita menggunakanya dalam percakapan dan penulisan kita sehari-harian. Hal ini berlaku disebabkan oleh eratnya hubungan bangsa Melayu dengan bangsa-bangsa lain sejak zaman awal lagi. Ianya akan ketara sebagai bahasa “cedukan” bila orang mengetahui bahasa asalnya. Misalnya sedikit contoh:

4.2.1   Dari bahasa Sanskrit:
Lidah, nadi, bahu, kapur, neraca, geliga, genta, jala, sila, angkasa, kuda, cinta, bahaya, duli, dan lain-lain lagi.

4.2.2   Dari bahasa Tamil:
Kapal, modal, mahligai, kari, jodoh, keldai, lebai, kawal, bedil, loga, pili, tirai dan lain-lain lagi.

4.2.3   Dari bahasa Hindustan:
Boria, basi, baldi, capal, lucah, guni, gusar, roti, coli, cuti, acar, kapas, gudang, topi, jenak dan lain-lain lagi.

4.2.4   Dari bahasa Parsi (Iran):
Pesona, lawak, saudagar, bius, sudah, serban , istana, johan, gusti, garam, teraju, laksa, taman, dewan dan dan lain-lain lagi.

4.2.5   Dari bahasa Arab:
Islam, hakim, hukum, misal, maktab, fikir, akal, makam, berkat, musafir, roh, kawat, lazat, dakwat, dan lain-lain lagi.

4.2.6   Dari bahasa Cina:
Kuih, bapang, taugeh, kekwa, gincu, sampan bangsal, ponting, cuak, pakau, teko, tangsi, tahil koyan, dan lain-lain lagi.

4.2.7   Dari bahasa Jawa dan Sunda:
Luntur, lahar, lakon, ayu, bagus beres, jaguh, saban, sore, tulis, urus, ketara, enak, nyaman, dan lain-lain lagi.


4.2.8   Dari bahasa Sumatera:
Gadis, tiuku(tengku), landai, teromba, kemanakan, cegah, teliti, rapi, malahan, ragu, semenda, dan lain-lain lagi.

4.2.9   Dari bahasa Portugis:
Baldi, bangku, meja, bola, bomba, garfu, kebaya, kemeja, peluru, sepatu, tuala, palsu, tinta, dan lain-lain lagi.

4.2.10 Dari bahasa Belanda:
Duit, engsil, pelekat, senapang, kamar, sekoci, geladak, dam, alci, ongkos, kantor, rokok, dan lain-lain lagi.

4.2.11 Dari bahasa Inggeris:
Saman, notis, selipar, gelas, botol, pensel, koleh, bil,buku, kopi, pas, motor, muzik, pistol, dan lain-lain lagi.                                    

11 ulasan:

  1. Tanpa Nama22 Mei, 2015

    awesome information

    BalasPadam
  2. Thanks for the awesome info...

    BalasPadam
  3. Thanks for the awesome info...

    BalasPadam
  4. Thanks for the awesome info...

    BalasPadam
  5. thanks for the brilliant info...

    BalasPadam
  6. Terima kasih..info yang sangat bermakna.

    BalasPadam
  7. wauuu...interesting and informative post

    BalasPadam
  8. Saya dapat memahami dan ia menolong saya membantu dalam Hal kerja sekolah

    BalasPadam