16 April 2010

Kejayaan Kempen Budi Bahasa Tanggungjawab Bersama


Oleh Nassury Ibrahim
(JPM, IPG Kampus Kota Bharu)

Pengenalan
Saya mulakan perbincangan ini dengan serangkap pantun.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Maju bangsa kerana bahasa.

Ada dua aspek yang ditekankan dalam pantun di atas. Pertama budi, dan kedua bahasa. Dikatakan bahawa seseorang itu dipandang indah dan tampan kerana budi, manakala kemajuan sesuatu bangsa pula dikatakan kerana bahasa. Tentunya bahasa yang dimaksudkan dalam pantun ini ialah bahasa kepada bangsa berkenaan. Demikian, betapa tinggi nilai budi dan nilai bahasa kepada manusia. Hal ini diperkuatkan lagi oleh Mangantar Simanjuntak dengan kata-kata “Pupus bahasa pupuslah bangsa” (Asraf, 1996: 290). Justeru, apakah maksud budi dan bahasa dalam pantun di atas?


Maksud Budi, Bahasa dan Budi Bahasa
Kamus Dewan (2002: 488) mencatatkan bahawa yang dimaksudkan indah ialah cantik, bagus benar, elok dan molek. Lazimnya, perkataan indah merujuk pada benda, sama ada benda konkrit mahupun benda abstrak. Berlainan pula pantun di atas. Yang dimaksudkan indah ialah manusia. Maksud tampan pula, menurut Kamus Dewan (2002:1359), ialah elok (berkaitan rupa, sikap), cantik, kacak, dan segak. Walaupun kedua-dua perkataan berkenaan sama maksud, namun jika diperhalusi terdapat perbezaan rujukan. Dalam maksud tampan terdapat maksud segak dan kacak. Kedua-dua sifat ini merujuk kepada lelaki. Manakala sifat cantik, elok, dan molek merujuk kepada perempuan. Justeru, rujukan budi dalam pantun di atas ialah kepada orang lelaki dan orang perempuan. Kedua-duanya digalakkan berbudi. Justeru, apakah maksud budi?

Menurut Kamus Dewan (2002: 180), budi ialah (1) akal dan kebijaksanaan, (2) perangai, akhlak, tingkah laku, kelakuan, watak, dan (3) sifat baik, perbuatan baik, kebajikan, bicara dan daya upaya. Mustafa Haji Daud (1995: 1) merumuskan definisi budi yang dikemukakan oleh Yunus Maris, Kamus Dewan dan Kamus Umum Bahasa Indonesia sebagai lambang pekerti yang baik atau akhlak yang terpuji.

Daripada pendapat di atas didapati bahawa semua sifat budi dipadankan dengan manusia. Justeru, maksud pertama pantun di atas ialah orang perempuan yang dianggap indah dan orang lelaki yang dianggap tampan kerana sikap, perangai, tingkah-laku dan perbuatan terpujinya selaras dengan nilai dan normal masyarakat.

Manakala, maksud kedua pula ialah kemajuan sesuatu bangsa itu kerana bahasanya. Kamus Dewan (2002: 87) mencatatkan maksud bahasa ialah (1) sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia, dan (2) percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, dan sopan-santun. Daripada maksud bahasa nombor (2) didapati bersamaan dengan maksud budi nombor (2) dan nombor (3). Kedua-dua maksudnya merujuk kepada watak dan perwatakan manusia. Daripada analisis terminalogi budi dan bahasa itu kita dapat memahami peranan budi dan bahasa kepada manusia sebagaimana yang dimaksudkan dalam pantun di atas.

Peranan budi sebagai salah satu jentera metafizik pembentukan jiwa manusia telah diketahui umum. Sebaliknya, peranan bahasa sebagai agen pembangunan bangsa masih belum tersebar luas. Menurut Abdullah Hassan (Berita Harian, 10 Februari 2004) bahasa juga memainkan peranan dalam pembangunan negara. Beliau memberikan contoh pengalaman negara Jerman, England dan Jepun dalam usaha membangunkan bangsa mereka.


  1. Gottfried Wilheim Leibnitz, seorang sarjana Matematik dan falsafah bangsa Jerman, sedar bahawa amalan negaranya menggunakan bahasa Perancis dan Latin dalam pengajaran dan penyebaran ilmu telah merugikan bangsa dan negara. Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan Jerman membakukan bahasa Jerman dan menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa penghantar di sekolah dan universiti. Cadangan Leibnitz itu dilaksanakan setelah 34 tahun beliau meninggal dunia. Sejak itu, Jerman terus membangun sehingga kini. (Lihat juga catatan Mangantar Simanjuntak dlm. Asraf, 1996: 316 – 324).


  1. John Isaac Newton menulis perihal kejuruteraan dalam buku berjudul Philosophie Naturals Principia Mathematica dalam bahasa Latin pada tahun 1686. Malangnya, kandungan buku ini tidak diendahkan oleh orang-orang Inggeris kerana masalah bahasa. Setelah 200 tahun John Isaac Newton meninggal dunia, barulah buku itu diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Sejak itu kandungan ilmunya mula tersebar dan menjadi asas kejuruteraan moden di England.


  1. Pada mulanya sistem pendidikan Jepun menggunakan bahasa asing. Bahasa Jerman digunakan untuk mengajar kejuruteraan, bahasa Inggeris digunakan mengajar bidang Sastera dan undang-undang, manakala bidang diplomatik menggunakan bahasa Perancis. Menyedari amalan yang merugikan itu, seorang bangsawan Jepun bernama Omare mencadangkan agar masyarakat Jepun menimba ilmu dari Eropah dengan menggunakan bahasa Jepun. Cadangan itu diterima oleh Dinasti Meiji dan kini Jepun menjadi salah sebuah negara maju.

    Orang Melayu menjunjung tinggi nilai budi dan bahasa. Mereka menganggap budi dan bahasa sebagai satu entiti yang bertaut dan saling melengkapi. Tautannya menjadi pegangan nilai yang daripadanya terpancar unsur fizik dan unsur metafizik seseorang. Orang yang dianggap sempurna ialah orang yang kaya budi bahasa, sebagaimana gambaran pantun di bawah.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia kerana tidak berbudi.

Di sana padi di sini padi,
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
Baru sempurna menjadi orang.

Orang yang kaya budi bahasa sentiasa disanjungi masyarakat. Walau ke mana pun pergi mereka akan dihormati. Ibarat kata, datangnya bersambut, perginya ditangisi. Mereka disanjungi masyarakat bukan kerana kekayaan harta. Mereka disanjungi masyarakat kerana kekayaan budi bahasa. Hal ini terpancar jelas dalam pantun di bawah.

Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit dipandang orang,
Budi bahasa rangkaian hati.

Puyu-puyu konon namanya,
Di dalam kolam konon tempatnya;
Cantik manis barang lakunya,
Serta dengan budi bahasanya.

Kedua-dua pantun di atas jelas pertautan budi dengan bahasa. Menurut Mustafa Haji Daud (1995: 1) seringkali perkataan budi ditambah dengan awalan “ber” atau akhiran “man” menjadikannya berbudi atau budiman. Penambahan itu selain menyedapkan bunyi, adalah juga sebagai petanda orang Melayu menjunjung tinggi peranan budi dan bahasa. Orang berbudi atau orang budiman pada persepsi orang Melayu ialah orang yang mengamalkan percakapan baik, elok atau halus dalam bertutur kata, beradab, bersopan-santun dan sentiasa mengerjakan kebajikan. Orang berkenaan dianggap memiliki sifat peribadi yang sempurna.

Daripada perbincangan ringkas di atas dapat difahami bahawa maksud budi bahasa ialah perlakuan atau tutur kata yang beradab dan bersopan-santun. Mereka yang beradab dan bersopan-santun dianggap sebagai orang budiman.

Kepentingan Budi Bahasa
Nilai budi bahasa sangat penting kepada diri seseorang, bangsa, negara dan terutama agama. Walaupun manusia berlainan bangsa, etnik, negara dan agama, namun nilai budi bahasa tetap diharapkan menjadi amalan. Dikatakan bahawa orang yang diingati, dikenangi dan disayangi oleh seseorang ialah orang yang berbudi bahasa, sebagaimana gambaran pantun di bawah.

Anak merpati disambar helang,
Terbang ketitir di dalam huma;
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama.
Nama seseorang disebut-sebut bukan kerana kekayaannya. Nama seseorang disebut-sebut kerana budi bahasanya. Sebagai tanda penghargaan terhadap budi bahasa seseorang, maka namanya diabadikan pada bangunan, institusi, jalan dan sebagainya. Pengabadian nama-nama itu pula berdasarkan kategori budi bahasa orang berkenaan. Nama Za’ba atau Aminuddin Baki misalnya, diabadikan pada bangunan perpustakaan atau sekolah, sesuai dengan sumbangannya dalam bidang pendidikan. Nama Tunku Abdul Rahman diabadikan pada bangunan pentadbiran seperti Putra Jaya atau Pusat Dagangan Dunia Putra, sesuai dengan sumbangannya dalam bidang pentadbiran. Nama-nama masjid pula diambil daripada nama-nama tokoh ulama atau khalifah.

Salah satu motto yang digunakan dalam urusan surat-menyurat kerajaan ialah “Bahasa Jiwa Bangsa.” Motto ini menggambarkan secara halus struktur fizik dan struktur metafizik bahasa dan bangsa berkenaan. Melalui struktur fizik dan struktur metafizik bahasa yang dipertuturkan oleh seseorang dapat diketahui bangsanya. Memang mudah membezakan fizik bahasa antara dua bangsa, misalnya bangsa Melayu dengan bangsa Inggeris, kerana perbezaannya yang ketara. Motto ini bukan dapat membezakan struktur fizik dua atau lebih bahasa sesuatu bangsa sahaja, malahan dapat membezakan struktur metafizik dua atau lebih bahasa sukuan kaum dalam rumpun yang sama. Misalnya, melalui pertuturan bahasa kita dapat mengenali dan membezakan orang Melayu Kelantan, orang Melayu Kedah, orang Melayu Terengganu, orang Melayu Negeri Sembilan dan orang Melayu Johor. Dalam satu negeri sekalipun, bahasa dapat membezakan lokasi petempatan. Misalnya, pertuturan orang Melayu Terengganu dari Besut berbeza dengan pertuturan orang Melayu Terengganu dari Kuala Berang atau orang Melayu Terengganu dari Dungun. Dalam kelompok orang Melayu Dungun pula misalnya, bahasa masih berperanan sebagai penunjuk petempatan kerana bahasa orang Melayu Dungun dari Kampung Pasir Raja berbeza dengan bahasa orang Melayu Dungun dari Kampung Tokkah dan bahasa kedua-duanya juga berbeza dengan bahasa orang Melayu Dungun dari Kampung Paka. Perbezaan itu dapat dikenali melalui nada, kelancaran, cara ujaran, dialek, struktur ayat, sebutan, nahu dan sebagainya.

Melalui motto “bahasa jiwa bangsa” juga dapat diketahui budi bahasa seseorang, walaupun mereka berasal dari petempatan atau kampung atau taman perumahan yang sama. Laras bahasa alim ulama atau mereka yang berpendidikan tinggi berbeza dengan laras bahasa petani-nelayan, ahli perniagaan atau mereka yang berpendidikan rendah. Manakala, dalam pantun di bawah pula menunjukan amalan budi bahasa dapat mengelakkan persengketaan.

Pucuk pauh sedang terjela,
Penjuluk bunga gelundi;
Agar jauh silang sengketa,
Perhalus bahasa dan budi.

Tanggungjawab menjayakan kempen budi bahasa
Di atas telah dijelaskan maksud budi, bahasa dan budi bahasa serta kepentingan budi bahasa dalam hidup manusia. Daripada perbincangan itu dapat difahami bahawa budi bahasa bukan terhad pada sumbangan atau kelakuan individu sahaja, malahan nilai budi bahasa mencerminkan seluruh sistem kehidupan dan amalan orang berkenaan. Pencerminan itu menandakan bahawa amalan budi bahasa bukan menjadi tanggungjawab pemerintah sahaja. Sebaliknya, tanggungjawab menjayakan amalan budi bahasa adalah bersifat individual dan kolektif, sebagaimana amalan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Antara media yang digunakan oleh masyarakat Melayu tradisional bagi mensosialisasikan anggota masyarakatnya ialah melalui budaya ekspresif. Genre-genre seperti pantun, syair, gurindam, seloka, bangsawan, wayang kulit, makyong, pelbagai jenis dikir, cerita lipur lara dan sebagainya merupakan saluran-saluran komunikasi yang ada pada ketika itu. Dalam pantun misalnya, terdapat begitu banyak ekspresi tentang budi. Masyarakat diajak membina budi dalam diri, berbudi kepada masyarakat dan menghargai budi seseorang. Malahan cara berpakaian pun diajar dan dirakam dalam puisi, sebagaimana petikan di bawah.

Cara Berpakaian

Kalau berbaju Teluk Belanga
Kain diikat dagang luar
Kepala berkopiah saja
Kain labuh sampai ke keting
Kaki seluar bayang-bayangan
Keris di pinggang tidak nampak
Itu pakaian ke masjid
Atau bertandang ke sanak saudara

(Tenas Effendy, 1989: 35)

Begitu juga dalam seni persembahan seperti dikir, wayang kulit, makyong dan sebagainya, yang menekankan usaha pembentukan manusia berkualiti. Dalam cerita lipur lara misalnya, diterapkan kepada audien kata-kata muafakat dan tanggungjawab yang sesuai dengan kemampuan masing-masing, sebagaimana petikan di bawah.

Yang pekak pembakar meriam
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh

(Pawang Ana dan Raja Raja Haji Yahya, 1985: 11)

Jika masyarakat tradisional menggunakan budaya ekspresif sebagai saluran kempen budi bahasanya, saluran yang sama juga boleh digunakan dalam masyarakat moden, di samping alat-alat komunikasi media elektronik dan media cetak. Rancangan-rancangan televisyen atau radio misalnya, perlu memperbanyakkan dan mempelbagaikan penerapan nilai budi bahasa. Nilai-nilai budi bahasa boleh disampaikan melalui ungkapan juruhebah (di radio), pengacara (di televisyen), iklan dan drama yang disiarkan. Setiap saluran televisyen dan radio (milik kerajaan mahupun swasta) wajib menerapkan amalan budi bahasa sepanjang masa. Televisyen boleh menayangkan perlakuan-perlakuan negatif yang patut dihindari dan perlakuan-perlakuan positif yang patut diteladani. Kerajaan juga boleh merangka Garis Panduan Pengiklanan Barangan atau mengemaskinikan garis panduan yang sedia ada. Salah satu syarat yang patut ada dalam garis panduan tersebut ialah nilai-nilai budi bahasa, sama ada dalam bentuk ekspresi kata-kata mahupun ekspresi visual. Iklan bersifat negatif, umpamanya iklan kereta Toyota Vios (dalam radio) yang mempunyai unsur-unsur perlakuan mencuri, patut diharamkan. Demikian juga penampilan pakaian atau ekspresi lucah dalam iklan patut dihapuskan. Tapisan terhadap drama-drama yang disiarkan juga mesti berasaskan ajaran agama dan nilai budi bahasa tempatan yang ketat.

Para pemimpin juga berperanan besar menjayakan kempen budi bahasa, sama ada pemimpin peringkat nasional, negeri, organisasi atau keluarga. Mereka terlebih dahulu perlu membudibahasakan diri, baik dalam percakapan mahupun amalan harian. Manakala, dalam ucapan yang disampaikan perlu diselitkan pembinaan nilai budi bahasa sebagai amalan yang digalakkan. Pemimpin boleh menyatakan kesan terhadap diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan agama, jika perlakuan budi bahasa tidak menjadi amalan masyarakat. Mereka hendaklah sentiasa menyeru agar audien bersama-sama mengamalkan nilai budi bahasa demi kebaikan bersama. Ada baiknya dinyatakan contoh-contoh semasa atau setempat tentang amalan budi bahasa yang patut diteruskan atau perlakuan yang patut ditinggalkan.

Kriteria pemilihan pemimpin dan kenaikan pangkat sebagai ketua jabatan perlu diperkemaskan dengan memasukkan amalan budi bahasa seseorang sebagai salah satu syarat pelantikannya. Hal ini kerana amalan pemimpin menjadi ikutan orang bawahan. Hanya pemimpin yang berbudi bahasa sahaja dihormati dan mampu menjadi teladan. Ibarat kata pepatah Cina, ikan busuk bermula dari kepala. Pentingnya nilai budi bahasa kalangan pemimpin dapat diperhatikan sepanjang krisis politik pada akhir dekad 1990-an. Didapati ramai politikus dan pemimpin organisasi hilang budi bahasa dan kewarasan akal menyebabkan moral organisasi pimpinannya rosak teruk. Jika perlakuan tidak berbudi bahasa pemimpin dibiarkan dan pemimpin berkenaan dilantik atau dinaikkan pangkat memegang jawatan penting organisasi, adalah dikhuatiri akan terbina persepsi kalangan generasi muda bahawa “matlamat menghalalkan cara” dan amalan nonmoral adalah tidak salah.

Tidak kurang penting ialah peranan ibu bapa, guru dan masyarakat. Dalam Islam ditegaskan bahawa jiwa setiap manusia pada asalnya adalah putih dan bersih. Ibu bapalah pencorak pertama, diikuti guru dan masyarakat. Ibu bapa hendaklah menerapkan nilai budi bahasa kepada anak-anak melalui amalan mereka di rumah. Amalan baik ibu bapa akan diperteguhkan oleh guru dengan berpandukan model-model dalam masyarakat. Tiga jentera penggerak jiwa ini perlu berjalan serentak. Jika salah satu jenteranya rosak akan rosaklah produk yang dikeluarkan. Betapa baik sekalipun didikan ibu bapa, jika disiplin di sekolah teruk, akan rosak juga jiwa anak-anak. Demikian juga, betapa baik sekalipun didikan di rumah dan di sekolah, jika disiplin masyarakat pincang, akan pincang juga jiwa anak-anak. Justeru, peranan mereka adalah penting sebagai penerap dan pengamal budi bahasa sekali gus.

Para seniman pula boleh menerapkan amalan budi bahasa dalam karya masing-masing. Lirik lagu yang ditulis oleh seniman seperti P. Ramlee, M. Nasir atau Ramli Sarip misalnya, kaya dengan nilai budi bahasa. Tidak hairanlah lagu-lagu mereka diminati dan berkumandang sepanjang zaman. Kebanyakan lagu-lagu yang beredar dalam masyarakat sekarang bertemakan cinta muda-mudi. Walaupun tema cinta muda-mudi dianggap popular dan mendapat sambutan, namun kepopularannya bersifat semasa. Demikian juga lagu-lagu daripada artis luar negara yang dibenarkan beredar dalam negara hendaklah ditapis. Betapa liriknya tiada kata-kata lucah, secara tersurat mahupun tersirat, pihak penapis hendaklah juga menilainya dari sudut ajaran agama Islam dan nilai budi bahasa tempatan. Adalah sangat memalukan jika karya-karya berunsur negatif beredar bebas dalam masyarakat kerana pengedarannya mencerminkan amalan dan pegangan masyarakat dan bangsa berkenaan.

Penutup
Tanggungjawab menjayakan kempen budi bahasa sebenarnya bersifat individual dan sekali gus kolektif. Kalangan orang dewasa menjadi tanggungjawab masing-masing mengamalkan nilai budi bahasa kerana mereka sudah matang dan sudah disosialisasikan oleh masyarakat terdahulu. Justeru, sasaran kempen budi bahasa kepada mereka sepatutnya tidak perlu lagi. Sebaliknya, mereka patut menjadi model dan penggerak tanggungjawab kolektif yang disasarkan kepada generasi muda yang belum matang dan belum terasuh dengan amalan budi bahasa sepenuhnya. Justeru, peranan ibu bapa, guru, pemimpin dan masyarakat adalah penting, iaitu melalui amalan, nasihat dan tunjuk ajar. Walau bagaimanapun, gerakan kempen budi bahasa perlu kekal sentiasa dan dijalankan secara kolektif dan menyeluruh.
Rujukan
Ab. Kadir Wan Yusoff, Wan (Peny.), 1996. Pantun Manifestasi Minda Masyarakat. Kuala Lumpur: Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Asraf (Penyusun), 1996. Manifesto Budaya Pupu Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Ismail Hamid, 1988. Masyarakat dan Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mustafa Haji Daud, 1995. Budi Bahasa dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pawang Ana dan Raja Haji Yahya, 1985. Hikayat Malim Deman. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Rahmah Bujang dan Nor Azlin Hamidon, 2002, Kesenian Melayu. Kuala Lumpur: Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Tenas Effendy, 1989. Ungkapan Tradisional Melayu Riau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan