Oleh Surani binti Abdullah
(Universiti Terbuka Malaysia Cawangan Kelantan)
Dalam merancang dan membentuk model pengajaran, terdapat kaedah dan teknik-teknik yang boleh digunakan untuk memastikan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang. Kaedah pengajaran penulisan adalah cara atau langkah tentang kaedah bagi seseorang guru menyampaikan isi pengajarannya berasaskan kemampuan dan pencapaian murid-muridnya, dengan ini objektif pengajaran dapat dicapai.
Terdapat pelbagai kaedah dan teknik yang dapat digunakan untuk mengajar penulisan.Teknik ialah cara yang khusus yang dilakukan untuk mencapai objektif pengajaran dan menjayakan kaedah pengajaran. Antara teknik yang biasa digunakan dalam pengajaran ialah penggabungjalinan teknik-teknik. Contohnya ialahteknik bercerita, perbincangan,soal jawab, sumbang saran dan teknik menggunakan gambar.
Model Pengajaran Penulisan Kaedah Bergambar
Penggunaan kaedah ini bermaksud penulisan yang dihasilkan adalah berasaskan gambar iaitu gambar bersiri atau gambar tunggal yang dilihat dan ditunjukkan. Kebiasaannya, gambar bersiri akan digunakan sebagai bahan bantu mengajar dan peristiwa yang terdapat dalam gambar-gambar itu akan dijadikan bahan penulisan. Murid dapat menggunakan gambar-gambar tersebut untuk mendapatkan isi-isi tentang sesuatu tajuk karangan. Namun begitu, kaedah ini juga dapat dilaksanakan menerusi teknik penyampaian dengan menggunakan slaid.
Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dapat dijalankan dimana teknik slaid lebih menarik dan dapat menimbulkan minat pelajar. Ini kerana penggunaan slaid dapat merangsang minat murid. Kelainan yang ditunjukkan oleh guru akan menceriakan dan menyeronokkan murid ,apatah lagi jika ditambah lagi dengan iringan irama muzik yang bersesuaian, umpamanya pertunjukan slaid tentang kemeriahan sambutan majlis Hari Raya yang dihadiri oleh semua kaum yang terdapat di Malaysia.. Namun, teknik slaid memerlukan peralatan yang tertentu. Jika menggunakan teknik ini, pelajar mesti mempunyai daya ingatan yang kuat untuk mengingati gambar-gambar slaid yang telah ditonton.
Dalam menggunakan kaedah bergambar, terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti dalam menyampaikan pengajaran, iaitu:
- Gambar yang digunakan mestilah sesuai sebagai bahan bantu mengajar dan tahap peringkat pelajar, disamping tidak mengenepikan aspek kualiti gambar;
- Guru mengarahkan pelajar meneliti gambar yang disediakan dan memikirkan perkara-perkara yang dapat diperkatakan mengenainya;
- Pelajar disuruh mencatat idea atau isi penting yang hendak diperkatakan berdasarkan gambar yang dilihat;
- Aktiviti sumbang saran dapat dijalankan, iaitu pelajar diberikan peluang menyuarakan pendapat dan idea mereka secara lisan dan kemudian guru menulisnya pada papan tulis, sambil menyemak kegramatisan ayat-ayat yang diutarakan.
- Guru mengadakan sesi perbincangan dengan pelajar tentang isi-isi yang diberikan dan membuat rumusan tentang penyusunan isi-isi penting; dan
- Pelajar menulis dengan berlandaskan perbincangan yang telah dilakukan.
Teknik carta aliran agak bersistematik mengikut kronologi peristiwa. Teknik ini ada persamaan dengan teknik gambar bersiri, bahawasanya setiap proses itu digantikan dengan frasa-frasa yang menceritakan secara ringkas apa-apa yang berlaku pada setiap peringkat yang dipaparkan.
Prosedur-prosedur atau peringkat-peringkat itu boleh ditunjukkan dengan menggunakan penanda ‘anak panah’ atau berbentuk paparan carta. Contohnya, carta aliran yang memperlihatkan proses membuat produk makanan.
Cara Melaksanakan Model Pengajaran Penulisan Kaedah Bergambar
Berdasarkan tajuk tugasan yang telah diberikan, saya telah memilih dan membuat satu model pengajaran penulisan yang menggunakan kaedah bergambar dan carta. Pendekatan yang saya gunakan ialah pendekatan bebas. Perincian model pengajaran tersebut adalah seperti berikut :
Tajuk: Pencemaran Alam Sekitar
Bahan Bantu Mengajar : Gambar Tunggal
Langkah-langkah Pengajaran
1. Langkah 1 ( Penentuan Tajuk)
Guru menampalkan gambar-gambar pencemaran di papan hitam. Gambar-gambar tersebut ialah terdiri daripada gambar pencemaran udara, pencemaran air dan pencemaran bunyi. Murid diminta meneliti gambar dan menyatakan pendapat tentang gambar-gambar tersebut. Aktiviti perbincangan dapat dijalankan untuk merangsang murid supaya menyuarakan pandangan masing-masing. Guru mencatatkan jenis-jenis pencemaran yang diberikan oleh murid. Guru mengaitkan hasil perbincangan dengan tajuk yang akan diajar pada hari tersebut.
Langkah 2
Aktiviti dijalankan secara berkumpulan dimana murid-murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Setiap kumpulan telah diberikan tajuk yang khusus untuk dibincangkan. Contohnya Kumpulan A dan B akan membincangkan tentang pencemaran udara, Kumpulan C dan D membincangkan tentang pencemaran air dan kumpulan E dan F pula membincangkan tentang pencemaran bunyi. Setiap kumpulan diminta melantik seorang ketua dan seorang pencatat. Semua ahli dalam kumpulan diminta memainkan peranan yang aktif semasa sesi perbincangan dijalankan. Setiap kumpulan dibekalkan dengan peralatan menulis contohnya kertas mahjung dan pen marker. Mereka diminta memberikan pendapat masing-masing. Murid perlu menyenaraikan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya pencemaran-pencemaran dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah tersebut. Guru bertindak sebagai fasilitator semasa proses perbincangan dijalankan dimana guru akan membantu kumpulan-kumpulan yang menghadapi masalah. Guru akan mengingatkan tentang peruntukan masa supaya murid menumpukan perhatian dan tidak membazirkan masa.
Langkah 3.
Sesi pembentangan dijalankan. Setiap ketua kumpulan akan membentangkan hasil perbincangan kumpulan mereka di hadapan kelas. Murid-murid yang lain diminta supaya memberikan tumpuan dan mencatat isi-isi penting tersebut di dalam lembaran yang diberikan.Setiap kumpulan diminta mencatat isi-isi yang diberikan oleh kumpulan yang lain supaya tidak berlaku pertindihan idea dengan kumpulan mereka. Idea-idea yang diberikan oleh kumpulan lain boleh digunakan untuk menambahkan isi-isi penting bagi kumpulan mereka. Guru bertindak sebagai fasilitator dan memantau sesi pembentangan yang dijalankan.
Langkah 4.
Berdasarkan aktiviti yang telah dijalankan, pemilihan fakta iaitu isi-isi penting yang berkaitan dengan setiap pencemaran dilakarkan dalam satu peta minda yang menarik. Peta minda ini untuk dijadikan garis panduan semasa aktiviti menulis yang akan dijalankan.Contoh
Langkah 5
Guru menerangkan tentang format penulisan yang baik. Di dalam penulisan yang baik, penyusunan atau turutan pengolahan isi akan memastikan kesinambungan dan perkaitan antara isi-isi dan idea-idea.Guru mengedarkan borang pengurusan grafik tentang format penulisan yang baik. Contoh borang pengurusan grafik adalah seperti yang berikut :-
Langkah 6
Guru membimbing murid menulis rangka mengikut format penulisan rencana yang betul. Guru menerangkan tentang aspek penulisan dan pembahagian markah dimana setiap isi atau hujah perlu dihuraikan dan disertakan dengan contoh untuk mendapatkan markah yang baik. Murid dibimbing untuk membuat rumusan tentang penyusunan isi-isi penting semasa menulis karangan. Secara tidak langsung, guru boleh menerangkan tentang sistem bahasa contohnya, penggunaan penanda wacana, penggunaan imbuhan, kata tugas dan lain-lain untuk menghasilkan sesuatu penulisan yang baik.
Langkah 7.
Murid diminta supaya menulis satu karangan yang bertajuk “Pencemaran Alam Sekitar”. Isi-isi penting yang diperolehi hasil daripada aktiviti perbincangan dikembangkan menjadi satu penulisan rencana. Murid diminta mengembangkan isi-isi tersebut mengikut susunan. Guru mengingatkan murid supaya tidak melakukan kesalahan-kesalahan semasa menulis contohnya penggunaan wacana yang tidak bersesuaian dengan konteks, penggunaan tanda bacaan dan sebagainya.
Setelah siap, murid diminta melakukan penyemakan untuk memastikan semua isi-isi penting yang terdapat dalam peta minda telah ditulis, menyemak kesalahan-kesalahan yang biasa dilakukan, contohnya penggunaan huruf besar, penggunaan tanda bacaan dan sebagainya.
Langkah 8
Beberapa orang murid diminta membacakan karangan masing-masing. Murid-murid yang lain diminta untuk mendengar dengan teliti dan mengenalpasti kesalah-kesalahan yang terdapat dalam karangan rakan-rakan mereka. Contohnya penggunaan penanda wacana, imbuhan dan sebagainya. Guru akan membetulkan kesilapan tersebut dan menerangkan penggunaan yang sepatutnya digunakan. Penulisan yang telah siap dan telah disemak secara lisan akan dihantar kepada guru.
Langkah 9.
Penulisan yang dihasilkan oleh murid akan disemak oleh guru dan akan diberikan semula kepada murid. Murid dapat melihat kesalahan-keslahan yang dilakukan dalam penulisan mereka dan membuat pembetulan semula.
Penutup
Dalam merealisasikan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu peka untuk memilih, pendekatan dan teknik yang sesuai berdasarkan tahap kemampuan dan pencapaian anak-anak murid mrereka. Pemilihan kaedah msetilah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman murid yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan murid. Dengan cara ini murid akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Rujukan
Dr.Adenan Ayob (2009), HBML3203 Tatabahasa dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Kuala Kumpur: Open University Malaysia.
Juriah Long, Raminah Hj. Sabran dan Sofiah Hamid. (1990). Pendekatan mengajar Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.
Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM]. (2001). Sukatan Pelajaran Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Raminah Hj. Sabran. (1993). Kecekapan Berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia.
Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Raminah Sabran & Rahim Syam. (1985). Kaedah pengajaran bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
7. http://www.doe.gov.my/wiraalam/bab6/ms5.htm
ada tak cara lain yang lebih mudah,contoh tengok gambar kemudian soal jawab menggunakan kata tanya seperti apa,bila,di mana, mengapa,bagaimana dan sebagainya. kemudian susun jawapan mengikut urutan yang betul menjadi ayat yang mudah difahami untuk mengelak berlakunya kesilapan struktur ayat dan kesilapan ejaan dan tanda baca.
BalasPadam