23 Jun 2010

Laras Sastera

Pengenalan

Laras bahasa sastera boleh dilihat dari dua aspek, iaitu laras bahasa kreatif dan laras bahasa ilmiah yang memperkatakan bidang sastera.

Laras bahasa kreatif merupakan bentuk yang terhasil daripada gaya cipta atau gabungan di antara cetusan imaginasi dengan pengalaman pengarang. Laras ini berfungsi sebagai media untuk menyampaikan mesej, pengalaman dan bentuk perasaan kepada pembaca.Ia merupakan saluran untuk mengungkapkan ekspresi dan pemikiran, memperlihatkan nilai seni dan estetika yang tergabung dalam satu bentuk pemakaian yang segar lagi bertenaga. Karya kreatif ini biasanya wujud dalam bentuk-bentuk prosa (cerita, cerpen dan novel), puisi (syair, pantun, sajak) dan drama (filem, teater, dan pementasan).


Laras bahasa ilmiah yang memperkatakan bidang sastera lazimnya wujud dalam bentuk kritikan sastera dan ulasan buku. Bidang yang sering diperkatakan termasuklah plot, tema, teknik, latar, sudut pandangan, watak dan perwatakan. Laras bahasa sastera ini memperlihatkan ciri-cirinya yang tersendiri.

Laras bahasa sastera yang bermutu tinggi memerlukan kejelasan, perpautan, kesatuan serta bentuk gaya yang dipelbagaikan. Penggunaan bahasanya bermula daripada fonem, iaitu satu unit linguistik yang terkecil (melibatkan unsur aliterasi, dan asonansi), kemudian pemilihan kata sehinggalah kepada unsur wacana yang lebih luas. Unsur-unsur inilah yang berperanan bagi mengungkapkan penulisan yang bermutu, berkesan serta indah.


Ciri-ciri Laras Bahasa Sastera

a) Perbendaharaan Kata / Istilah

Penggunaan perbendaharaan kata dalam laras bahasa kreatif mudah difahami. Laras kreatif ini tidak mengandungi istilah teknikal. Perkataan pinjaman juga tidak banyak digunakan. Kadang-kadang terdapat penggunaan kata-kata yang berunsur ketaksaan dengan tujuan untuk menimbulkan kekaburan atau kesamaran yang memperlihatkan nilai seni dan estetika. Oleh itu, terdapat beberap perkataan untuk satu pengertian, sama ada perkataan itu yang membawa makna yang sama atau perkataan yang berbeza ertinya secara literal tetapi membawa konotasi yang sama dengan maksud yang hendak disampaikan.

Namun demikian, laras ilmiah yang memperkatakan bidang sastera mengandungi istilah-istilah teknikal yang mempunyai makna yang khusus. Istilah-istilah ini bersifat teknikal dan digunakan dalam memperkatakan aspek-aspek tertentu yang berkaitan dengan karya sastera. Penggunaan istilah-istilah ini menjadi penanda laras bahasa sastera yang nyata. Istilah tersebut tidak digunakan dalam bidang ilmu yang lain. Contohnya istilah Imbas kembali, Imbas muka, watak protoganis, dialog, sudut pandangan orang ketiga, hiperbola, personifikasi, klimaks, tema, analogi, rima dan sebagainya.

b) Tatabahasa

Dari segi tatabahasa, morfologi dan sintaksis merupakan aspek yang penting dalam laras bahasa sastera. Aspek morfologi merangkumi pengimbuhan, manakala aspek sintaksis meneliti penggunaan bentuk, struktur, dan binaan ayat.

Pengimbuhan dalam karya-karya sastera mencakupi bentuk imbuhan awalan, apitan, dan sisipan. Ayatnya pula terdiri daripada pelbagai ragam, ada ayat tergantung, dan ayat susunan songsang. 

Selain itu, unsur penggandaan dan klitik ‘ku’, ‘mu’, dan ‘kau’ juga lazim digunakan.

Contoh tatabahasa:

Contoh 1:

Betapa tidak rugi, bapa, kerana bagi berpindah daripadanya itu tiadalah menaruh beberapa keberatan dan kerugian lain daripada ditakuti khayal-khayal yang tidak berhakikat yang tidak bermakna, istimewa bahawa government kita telah berlelah paya dan telah berugi-rugi mengusahakan beberapa sebab-sebab yang boleh menjadi contoh perbandingan dan yang boleh menjadi iktibar seperti sekolah-sekolah dan lain-lain sebagainya.
(Petikan daripada novel lakah Salmah)


Contoh 2:

“Pak cik masih mengharapkan keadaan yang harmoni dalam rumah. Rumah itu diduduki dengan doa selamat. Jangan wujudkan sebarang gejala yang bertentangan dengan kesucian doa itu.” Pak cik menyudahkan pesannya.
(Petikan daripada novel Norhana, karya Rahman Shaari)


Contoh 3:

pulangkan kembali
pada saat ini
gerak yang sejak dulu kaukumpul
warna-warna yang kautusuk ke dada dinding
kata-kata yang kaubenam ke mulut almari
garis-garis yang lemas
titik-titik yang kering
ke tempat asalnya.

(Petikan daripada sajak Pulangkan Kembali karya Latiff Mohidin)
c) Gaya bahasa

Gaya bahasa laras bahasa sastera memperlihatkan manipulasi struktur sintaksis, pemilihan bahasa figurative, ungkapan, peribahasa, kiasan dan sindiran serta unsur-unsur stilistik yang lain. Bentuk dialog juga boleh digunakan.

Contoh gaya bahasa:

Contoh 1 (Ayat bersifat konotasi):

“Hari telah tua. Air sungai Usar menerima pantulan sepah matahari sore yang merah pekat, juga warna kelam pangkal malam.”
(Petikan daripada novel Arus, karya Anwar Ridhwan)


Contoh 2 (Ayat pendek, tegas dan pengulangan):

Gagasan tentang tamu:
Tamunya kali ini seorang yang agung
Tamu itu juga pelanggannya
Langganan yang diimpikannya selama ini.
Sekalipun cukuplah kunjungan tamu agung
itu kepadanya.
Tamu itu seorang menteri.
(Petikan daripada cerpen Tamunya Seorang Menteri, karya S.Othman Kelantan)

Contoh 3 (Penggunaan Personifikasi dan Metafora):

“…gema itu tending-menendang, berpuing-puing mencetuskan bahana-bahana yang lain. Bahana-bahana itu terus beranak dan bercucu…seribu garis bahana menyirat dinding-dinding tengkoraknya yang besar.”

(Petikan daripada novel Daerah Zeni, karya A.Samad Said)

Contoh 4 (Kiasan dan Sindiran):

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
(Pantun Melayu)

3.0 Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, sesuatu laras bahasa merupakan satu variasi bahasa yang dicicirkan oleh pemilihan kata, frasa dan ayat yang dituturkan atau ditulis bergantung kepada siapa kita berhubung, cara kita berhubung dan bidang pengkhususan yang diperkatakan.

Bagi laras bahasa sastera, laras ini mempunyai perbezaan yang amat jauh dengan laras bahasa saintifik. Oleh itu, ciri-ciri khusus bahasa teknikal seperti penggunaan gambar rajah, graf, jadual, carta dan lain-lain tidak terdapat dalam laras bahasa sastera. Sebaliknya, unsur-unsur ketaksaan, iaitu kekaburan dan ketidakjelasan sengaja dimasukkan bagi pembaca membuat tafsiran masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan