08 Disember 2010

Perkaitan Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Noorziha binti Ismail
Universiti Terbuka Malaysia Cawangan Kelantan (OUM)


PENGENALAN


Kurikulum Bahasa Melayu digubal untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu melatih murid menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan tatabahasa secara gramatis. Selain itu, murid dapat mengungkapkan ilmu pengetahuan daripada mata pelajaran yang lain, di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.


Bagi membantu guru melaksanakan pengajaran yang berkesan, Huraian Sukatan Pelajaran disediakan bagi setiap tahun pembelajaran. Huraian Sukatan Pelajaran mengandungi objektif khusus pembelajaran sebagai rujukan guru bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajarannya. Di samping itu, ia juga mengandungi organisasi kandungan yang merangkumi kemahiran bahasa, hasil pembelajaran, sistem bahasa, dan pengisian kurikulum.