08 Disember 2010

Perkaitan Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Noorziha binti Ismail
Universiti Terbuka Malaysia Cawangan Kelantan (OUM)


PENGENALAN


Kurikulum Bahasa Melayu digubal untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu melatih murid menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan tatabahasa secara gramatis. Selain itu, murid dapat mengungkapkan ilmu pengetahuan daripada mata pelajaran yang lain, di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.


Bagi membantu guru melaksanakan pengajaran yang berkesan, Huraian Sukatan Pelajaran disediakan bagi setiap tahun pembelajaran. Huraian Sukatan Pelajaran mengandungi objektif khusus pembelajaran sebagai rujukan guru bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajarannya. Di samping itu, ia juga mengandungi organisasi kandungan yang merangkumi kemahiran bahasa, hasil pembelajaran, sistem bahasa, dan pengisian kurikulum.

Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996, Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran atau disiplin ilmu teras di semua sekolah rendah dan menengah. Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan rakyat Malaysia. Pendidikan Bahasa Melayu berhasrat membina rasa bangga terhadap bangsa yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat, juga berperanan sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi bersama oleh semua rakyat dalam satu wawasan. Pendidikan Bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah juga bertujuan mewujudkan asas semangat kewarganegaraan.


KONSEP DAN PENGERTIAN.


(a) Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran


Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (SPBM) merupakan satu dokumen yang menjadi panduan guru bagi melaksanakan pengajarannya. Dalamnya terdapat beberapa aspek yang berkaitan dengan isi kandungan bahasa Melayu dan hala tuju yang hendak dicapai. Aspek itu merangkumi matlamat dan objektif pengajaran bahasa Melayu, pengisian kurikulum, kandungan bahasa, sistem bahasa dan Kemahiran Bernilai Tambah. Aspek-aspek ini menjadi panduan kepada guru dalam pengajarannya. Tujuannya agar pengajaran bahasa Melayu antara sekolah adalah seragam, terkawal dan bersistem.


Manakala Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (HSPBM) pula memperincikan Sukatan Pelajaran yang bertujuan untuk memenuhi cita – cita murni semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. HSPBM memperjelaskan hasil pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Hasil pembelajaran dinyatakan secara eksplisit mengikut tahap kesukaran isi kandungan dan tahap keupayaan murid. Hasil pembelajaran dibahagikan kepada tiga aras, iaitu aras asas, aras sederhana, dan aras cemerlang.


HSPBM menyarankan strategi pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi pelbagai aktiviti dan penggunaan sumber. Guru digalakkan menggunakan kreativiti untuk memilih, menyusun, dan mengolah aktiviti mengikut kesesuaian murid. HSPBM diharapkan dapat membantu para guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.


Guru digesa melakukan aktiviti yang memberi penekanan kepada unsur bernilai tambah iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi , kemahiran belajar cara belajar, dan pelbagai lagi. Di samping nilai murni dan semangat patriotik dan kewarganegaraan tetap diutamakan. Semua elemen ini diharap dapat memberikan keyakinan kepada murid dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian dan dunia pekerjaan.


(b) Falsafah Pendidikan Kebangsaan


Menurut Kamus Dewan, maksud falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu tertinggi atau sebagai dasar kepada ilmu-ilmu lain. Falsafah juga didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau hikmah menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki.

Dalam Islam, falsafah ditafsirkan kepada hikmah, walaupun konteks hikmah adalah lebih luas daripada falsafah itu sendiri. Kedudukan hikmah dalam Al-Quran mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada falsafah (Abdul Fatah, 2003). Sayidina Ali Bin Abi Talib r.a pernah berkata “ Hikmah itu ialah sesuatu yang hilang dan dicari-cari oleh orang yang beriman”.

Dari aspek sejarah pula, perkataan falsafah berasal daripada perkataan Greek (Yunani) Philosophia yang bermaksud cinta kepada kebijaksanaan, kearifan atau kehikmahan.

Pengertian falsafah dikembangkan lagi oleh tokoh-tokoh falsafah barat dan Islam seperti Socrates, Plato, Aristotle, Al Kindi, Al Farabi dan sebagainya. Falsafah mempunyai cabang-cabang ilmu yang utama, iaitu metafizik, epistemologi, aksiologi yang mempunyai etika dan estetika serta logik. Cabang falsafah metafizik pada umumnya bermaksud pemikiran tentang kewujudan sesuatu. Epistemologi ialah cabang falsafah yang memberi focus kepada ilmu. Cabang falsafah yang seterusnya ialah aksiologi yang mana lebih tertumpu pada persoalan nilai dan sistem nilai. Aksiologi terdiri daripada dua aspek, iaitu etika dan estetika. Etika ditakrifkan sebagai persoalan tentang nilai moral dan peraturan tingkah laku manusia yang betul. Estetika member pengertian tentang pemahaman dan pengamatan intelektual. Manakala logik merupakan cabang falsafah yang berkaitan dengan pemikiran atau hujah yang betul atau sebaliknya.


Dasar yang digubal dalam suatu sistem pendidikan perlu merujuk kepada asasnya iaitu falsafah pendidikan. Falsafah menjadi teras kepadasistem pendidikan kerana terkandung pendidikan yang digunakan, ciri yang hendak dicapai, kaedah pelaksanaan pendidikan yang akan digunakan, cirri yang hendak dibentuk dalam diri individu yang menerima pendidikan dan liputan yang terangkum dalam sistem pendidikan. Menurut Abdul Fatah Hasan, falsafah pendidikan merupakan suatu sistem kepercayaan, pegangan atau prinsip am yang membincangkan pelbagai hal tentang pendidikan dan pengajaran yang patut dilaksanakan di sekolah atau di dalam bilik darjah.


Falsafah pendidikan adalah pecahan daripada falsafah umum pendidikan. Falsafah umum pula terdiri daripada beberapa falsafah seperti idealisme, realisme, pragmatisme dan eksistensialisme. Secara umumnya falsafah idealisme memberi fokus kepada kepentingan pemikiran, jiwa dan kerohanian. Realisme pula ialah falsafah yang memandang alam kebendaan adalah sebagai realiti hidup. Pragmatisme dibentuk oleh ahli falsafah Amerika Syarikat yang mempercayai bahawa manusia memperoleh pengetahuan hanya melalui pengalaman dan penyelesaian masalah. Falsafah eksistensialisme menjurus kepada falsafah yang bersifat individualistik kerana menekankan aspek manusia bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan kehidupannya. Dari sini lahir idealisme yang menghasilkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sebagaimana di bawah.


Kesimpulannya, falsafah dapat diertikan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas yang dihasilkan menerusi kajian secara saintifik, sistematik, dan diterima umum.


Asal usul leksikal pendidikan´ adalah daripada morfem bebas Latin, educare yang bermaksud memelihara atau mengasuh´. Definisi pemajmukan leksikal Falsafah Pendidikan´ diertikan oleh Yusuf al-Qardawi (1980) sebagai Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, dan rohani, jasmani, akhlak, dan tingkah laku.


Ia bertujuan untuk menyediakan manusia hidup dalam masyarakat yang sering menghadapi kebaikan dan kejahatan, kemanisan dan kepahitan´. Jelaslah bahawa falsafah pendidikan bertindak sebagai medium pembentukan insan yang mulia memandangkan falsafah melibatkan dua cakuman utama, iaitu teologi dan sains (Russel, 1946).


“Kebangsaan” secara generalnya diertikan sebagai sesuatu yang universal, dan ditimbalbalikkan dengan negara secara keseluruhannya. Falsafah Pendidikan Kebangsaan merujuk keempat-empat cabang falsafah, yakni metafizik atau ontologi (teori kejadian), aksiologi (teori nilai), epistomologi (teori ilmu) dan logik.


Kajian definisi dan kelompok rujukan cabang berkenaan menghasilkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi rujukan para guru dalam merealisasikan Misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada negara Malaysia yang rancak membangun. Falsafah ini turut memberi pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan sama ada di dalam atau di luar institusi pendidik.
(c) Nilai–Nilai Estetika



Insan seimbang seperti yang dihasratkan melalui Falsafah Pendidikan kebangsaan perlulah seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan inteleknya. Kesihatan jasmani murid menjamin pembangunan potensi murid dalam domain yang lain. Perkembangan jasmani dan kesihatan murid harus selari dengan keperluan fizikal dan peringkat umur dan tahap kematangan murid. Bidang pembelajaran yang berkaitan ilmu pendidikan jasmani dan kesihatan merupakan teras ilmu dalam menterjemahkan hasrat Tunjang Fizikal. Selain aspek fizikal, potensi estetika murid juga perlu diberi penekanan. Potensi estetika merujuk kepada pemupukan kreativiti, bakat dan apresiasi yang dapat digunakan dalam melahirkan ekspresi diri. Kreativiti, bakat dan apresiasi dapat dipupuk melalui amalan dan latihan dalam bidang ilmu kesenian terutamanya pendidikan seni visual dan muzik.


Estetika mengikut Kamus Dewan adalah merujuk perkara yang berkaitan dengan keindahan atau penghargaan terhadap keindahan ( terutamanya ) dalam bidang seni. Ini bermakna nilai – nilai estetika diajar dalam setiap disiplin ilmu atau mata pelajaran seperti Pendidikan Seni, Bahasa Melayu, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, dan lain – lain.


HUBUNGAN SUKATAN PELAJARAN BAHASA MELAYU DENGAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dulunya disebut Falsafah Pendidikan Negara (FPN) merupakan pegangan pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna semua aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan FPK. Justeru, setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran sentiasa berada pada landasan yang betul. Intipati utama dalam FPK ini ialah melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Sosial yang sering disebut oleh guru-guru sebagai JERIS. Perlu diingat bahawa tidak ada yang lebih utama antara keempat-empat unsur tersebut, yakni tidak boleh dikatakan jasmani lebih penting daripada intelek atau sebaliknya.


FPK merupakan dokumentasi rasmi yang mencerminkan sistem pendidikan negara Malaysia. Para guru perlulah berpegang kepada FPK tika menjelaskan tanggungjawab profesional mereka agar matlamat pendidikan negara menjadi suatu kenyataan. Ini memerlukan penghayatan, pemahaman dan keprihatinan para pendidik demi merealisasikan tujuan dan cita yang tersisip dalam kandungannya. FPK menyumbang implikasi terhadap sistem pendidikan negara ini, umpamanya kurikulum, pendidik dan institusi pendidikan yang merujuk perhubungan di antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam (ilmu sains) dan manusia dengan Tuhan (ilmu teologi). Falsafah ini menjadi tunjang kepada sistem pendidikan negara di Malaysia. Maka, semua perancangan dan aktiviti pendidikan memancarkan pancaran nilai dan barisan prinsip yang terkandung dalam FPK.


Pertama, FPK menyumbang implikasi terhadap kurikulum sekolah selaras dengan cita dan tujuan FPN. Implikasi ini meliputi perubahan silibus berorientasi program bersepadu, perubahan input pelajaran yang mengutamakan penyerapan nilai murni, perubahan program pendidikan berorientasi pelahiran yang seimbang dan harmonis, reformasi pendidikan berorientasi pendidikan umum dan perubahan silibus yang sesuai untuk melatih kemahiran pelajar dalam bidang vokasional dan teknologi.


Kedua, FPK menekankan perubahan sikap pendidik dan professional ketika menjalankan tugas sejajar tujuan dan dasar FPK. Item ini melibatkan perubahan sikap peribadi pendidik dengan pandangan dan visi yang positif serta perubahan profesional menerusi pengubahan strategi dan teknik Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang diterima audiens (para pelajar).


Ketiga, FPK menyumbang implikasi kepada institusi pendidikan. Perubahan struktur dan organisasi sekolah ke arah pewujudan situasi yang sesuai. Kenyataan ini meliputi perubahan infrastruktur supaya para pelajar berpeluang mengembangkan potensi secara menyeluruh dan bersepadu, perubahan aktiviti budaya sekolah yang lebih kondusif demi pemupukan nilai-nilai murni dalam jiwa pelajar dan perubahan iklim sekolah yang kondusif demi pelahiran pelajar yang cintakan ilmu, lantas membentuk budaya membaca dalam kalangan mereka.


Jelaslah terbukti bahawa FPK menggariskan norma-norma yang seharusnya diamalkan demi pelaksanaan sistem pendidikan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Falsafah ini penting dalam penghasilan individu yang menjadi hasrat negara. Ia sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan Huraian Sukatan Pelajaran khasnya dalam beberapa aspek. Antaranya :
 Rohani






  • Intelek


























  • Jasmani













  • Bakat













  • Akhlak













  • Sosial













  • Nilai–nilai estetik 










(a) Intelek
  

Intelek merujuk kamus dewan bermakna kemampuan (daya) berfikir dan memahami (menganalisa), akal budi, golongan – golongan cerdik pandai, golongan cendekiawan, golongan terpelajar. Di sini jelas Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu berperanan dalam melahirkan insan yang berintelek tinngi dan berketerampilan. Sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamatkan melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, jasamani, rohani.


Oleh sebab itu, Kurikulum Sukatan Pelajaran berperanan membantu para guru bagi merancang pengajaran secara tersusun, dan terancang bagi melahirkan insan atau pelajar yang mempunyai intelek yang tinggi dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif. Mampu memjadi seorang insan yang berdaya fikir yang tinggi dan mampu bersaing di antara satu sama lain bagi mencapai cita – cita dan Dasar Pendidikan negara kita. Seterusnya dapat melahirkan insan yang berinovatif tinggi.
  

(b) Rohani


 Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan begutu menekankan aspek rohani dan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu boleh menekankan aspek rohani ini ke dalam jiwa kanak–kanak atau murid–murid. Aspek nilai–nilai murni berkait rapat dengan rohani ini. Dalam pengajaran Bahasa Melayu, nilai–nilai murni boleh diterapkan ke dalam diri murid–murid seperti nilai–nilai kasih sayang, bekerjasama, disiplin, tolenransi, bertolak ansur, kesyukuran, dan pelbagai lagi. Jika nilai–nilai ini dapat disemat ke dalam diri murid–murid, murid–murid akan bersikap lebih keronahian dari segi tingkah laku dan akhlak mereka. Mereka bersikap lebih baik, menunjukkan kesopanan dan tidak melakukan perkara–perkara negatif. Dengan kata lain, sikap mereka akan lebih menjadi positif dan bertambah mulia.


 (c) Jasmani
  

Dalam pengajaran Bahasa Melayu juga boleh menekankan aspek jasmani. Di samping rohani murid yang sihat, aspek fizikal jasmani murid pula perlu sihat dan cergas. Guru boleh menggabungjalinkan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dalam bahasa Melayu dengan menyelitkan elemen–elemen kesihatan. Contohnya pengajaran tentang petikan kesihatan berkaitan penjagaan diri, kebersihan diri, makanan seimbang ataupun mengajar tentang pergerakan yang melibatkan pergerakan fizikal seperti melakukan lompatan, angkat tangan, memegang sesuatu, dan pelbagai lagi.


(d) Bakat
  

Dalam kalangan murid–murid kita mempunyai bakat–bakat tertentu seperti menyanyi, berlakon, bersyair, bersajak, menari, dan pelbagai lagi. Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga menekankan elemen bakat ini. Dalam pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu misalnya, pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan. Antaranya aktiviti lakonan, mendeklamasi sajak, main peranan, bersyair, dan pelbagai lagi. Dengan ini, bakat murid–murid akan dapat dicungkil. Tambahan pula, banyak pertandingan seperti bercerita, nyanyian, pidato, berbalas pantun dan pelbagai lagi dianjurkan, sama ada di peringkat zon, daerah, negeri, mahu pun kebangsaan, bagi mecungkil bakat.


(e) Akhlak


 Akhlak yang baik sangat dituntut dalam agama Islam. Begitu juga dengan agama lain yang inginkan umatnya mempunyai budi perkerti dan akhlak yang baik. Dalam pengajaran Bahasa Melayu juga dapat merealisasikan aspek ini. Guru perlu menerapkan nilai–nilai murni ke dalam diri murid–murid. Contohnya, membantu rakan, menghormati orang tua mahu pun orang yang lebih muda, memberi salam, dan pelbagai lagi.


(f) Sosial
  

Sosial juga penting dan harus diserap ke dalam diri murid–murid sekolah. Sosial ini boleh dilakukan dengan menjalankan aktiviti seperti lakonan, perbincangan, dan lain–lain lagi. Guru perlu menggalakkan para pelajar bergaul mesra dengan rakan–rakan, dengan guru–guru, dan dengan sesiapa sahaja supaya pergaulan atau aktiviti sosial mereka lebih baik. Apabila sosial mereka baik dengan persekitaran dan masyarakat mereka dapat bergaul mesra dan dapat berkomunikasi dengan baik. Sifat pemalu dapat dihindari dari dalam diri sesetengah murid.


(g) Nilai – nilai estetik.


 Nilai–nilai estetik adalah berkaitan dengan keindahan. Dalam pengajaran Bahasa Melayu, nilai–nilai estetik ini dapat dilihat dari segi keindahan bahasa itu sendiri. Contohnya, dalam pengajaran puisi seperti sajak, pantun, gurimdam, seloka, syair, dan pelbagai lagi. Keindahan bahasa yang terdapat dalam puisi ini memang wujud dan dapat dirasai kehadirannya. Contohnya penggunaan gaya bahasa dalam sajak, novel, cerpen, dan lain-lain seperti metafora, personafikasi, dan lain – lain.


PENUTUP


Berteraskan daripada Falsafah Pendidikan Barat dan juga Falsafah Pendidikan Islam, maka wujudlah Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk memastikan bahawa wujudnya suatu garis panduan kepada guru-guru untuk mengikutinya. Banyak fungsi-fungsi yang bakal dihadapi oleh guru serta tugas yang perlu digalas demi untuk memenuhi matlamat pendidikan di negara kita ini. FPK juga bertujuan menjadi rujukan kepada sesuatu dasar pendidikan supaya tidak hilang matlamat asal penubuhannya dan sekaligus menjadi identiti sistem pendidikan di Malaysia ini.


Implikasi daripada FPK ini adalah untuk menyatakan peranan juga dalam menjayakan FPK itu sendiri sekaligus akan menjunjung aspirasi pendidikan yang mahu meletakkan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Oleh kerana aspirasi ini aspirasi ini dijunjung oleh para guru, maka tidak hairanlah guru memainkan peranan yang penting untuk membentuk seseorang pelajar tersebut dengan berkesan sekali. Ini selaras dengan KBSR yang mahu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi rohani, jasmani, intelek, dan juga emosi yang sihat.


Peranan guru pula boleh dibahagikan mengikut cabang falsafah yang menjadi pegangan para guru di Malaysia ini. Antara cabang-cabang berkenan ialah metafizik, epistemologi, aksiologi, dan juga logik. Semua cabang ini mempunyai pengertian masing-masing dan haruslah difahami oleh setiap guru di Malaysia demi menjayakan FPK dan juga KBSR agar anak didik kita seimbang serta berjaya dalam semua bidang yang diceburinya nanti. Dengan penerapan unsur-unsur falsafah pendidikan yang lebih jelas dalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka segala aspirasi dan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut dapatdirealisasikan dengan jayanya. Maka, hasrat untuk melahirkan individu yangberilmu pengetahuan dan seimbang dari aspek rohani, intelek, emosi danjasmani seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan menjadi kenyataan.


RUJUKAN
  

Amir Hasan Dawi. 2006. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan. Tanjung Malim: Quantum Books.
  

Atan Long. 1976. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  

Bakar Nordin dan Ikhsan Othman. 2008. Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Tanjung Malim: Quantum Books.


 Edaris Abbu Bakri.2004. Pengurusan Strategik:Konsep dan Aplikasi untuk Pendidikan. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
  

Frazer, E. Home. 1989. Environment and The School. London: London University Press.
  

Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz. 2004. Pedagogi Asas Pendidikan. Kuala Lumpur: Kayazano Enterpris.
  

http://ms.wikipedia.org/wiki/Falsafah_Pendidikan_Kebangsaan
  

http://pendidikanmoral.um.edu.my/index.php?page=29
  

http://upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php
  

http://www.scribd.com/doc/38613489/Xciment-FPM-PBS-Nyer
  

http://www.scribd.com/doc/38613456/Xciment-FPM-PBS-Nyer
  

http://iptaa.edu.my/Portal/download/Bahasa%20Melayu%20Pend%20Rendah/ModulPGSRBMM3104/1.pdf
  

http://www.scribd.com/doc/13969039/Penerapan-Falsafah-Pendidikan-Dalam-Proses-PP
  

http://ariedrifke.blogspot.com/2010/04/implikasi-falsafah-pendidikan.html
  

http://www.fp.utm.my/ePusatSumber/pdffail/ptkghdfwP/BAB%201%20AP000277.pdf


   

http://www.lombalomba.com/? s=pelaksanaan+konsep+intelek,+rohani,+emosi+dan+jasmani+dalam+pendidikan
   

http://www.iab.edu.my/bpk.pdf
  

http://www.scribd.com/doc/37841551/Falsafah-Pendidikan-Kebangsaan-Semester-1

Falsafah Pendidikan Kebangsaan berasal daripada tiga leksikon asas, iaitu falsafah, pendidikan dan kebangsaan. Leksikal falsafah berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu philos dan Sophia. Philos bermakna mencintai, manakala Sophia diertikan sebagai kebijaksanaan. Definisi falsafah dilihat daripada tiga penjuru, iaitu; etimologi (bahasa), terminologi (istilah) dan praktikal. Para ahli falsafah mendefinisikan falsafah sebagai satu landasan yang sempurna bagi cetusan dan penjanaan deretan idea baharu dalam variasi bidang dan disiplin ke arah perkembangan manusia. E.D Miller dalam bukunya Questions That Matter (1984) mengujarkan falasafah sebagai usaha berfikir secara rasional dan kritis terhadap variasi item. Sharifah Alawiah Alsagoff dalam bukunya falsafah Pendidikan (1984 ) meletakkan falsafah sebagai pertimbangan asas dan andaian berkenaan pertimbangan terhadap perkara yang penting.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyatMalaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara


8 ulasan:

  1. Tanpa Nama16 Julai, 2011

    terima kasih atas usaha anda

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama21 Julai, 2011

    terima kasih atas usaha anda keranadapat membantu pelajar baru seprti saya

    BalasPadam
  3. Tanpa Nama31 Julai, 2011

    terima kasih di atas tulisan anda yang juga turut memberi ilmu kepada saya

    BalasPadam
  4. Tanpa Nama05 Ogos, 2011

    TQ ATAS INFORMASI. SALAM 1 MALAYSIA N SALAM RAMADHAN. ;)

    BalasPadam
  5. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  6. terima kasih, sumabangan anda telah membantu saya...Salam Ramadhan

    BalasPadam
  7. Tanpa Nama15 Ogos, 2011

    terima kasih kerana sam-sama membantu sesama islam

    BalasPadam
  8. Tanpa Nama30 Mac, 2013

    Terima kasih kerana usaha anda amat membantu saya

    BalasPadam