22 September 2010

Fungsi Pantun dalam Masyarakat Melayu Tradisional

Oleh Mohd Khairi bin Ariffin (PISMP-BM, IPG-KKB)
           
1.0       PENGENALAN       
Sejarah telah membuktikan betapa sesungguhnya corak hidup masyarakat dan bangsa Melayu pada zaman dahulu dicerminkan melalui puisi lama seperti pantun dan peribahasa. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu (1965: 219), mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Oleh itu, umum telah menerima bahawa pantun adalah ciptaan asli orang Melayu. Ianya bukanlah adaptasi daripada puisi-puisi Jawa, India atau Cina. Ini bermakna, pantun merupakan puisi asli yang dimiliki oleh masyarakat Melayu serta paling awal muncul berbanding puisi yang lain (Harun Mat Piah, 1989: 122).


             Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam semulajadi seperti alam tumbuhan, haiwan dan cakerawala. Ini adalah disebabkan masyarakat pada masa tersebut sering berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah (1989: 115) menjelaskan bahawa penggunaan lambang-lambang dan simbol-simbol daripada alam perlu diketahui untuk memahami maksud pantun. Lantaran itulah pantun dikaitkan dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat.

            Pantun dapat berfungsi dalam hampir setiap aktiviti kehidupan masyarakat Melayu (Jamilah Hj. Ahmad, 1993: 114). Terdapat pelbagai jenis pantun yang mempunyai tema tertentu berkait rapat dengan perasaan cinta, kasih sayang, puji-pujian, nasihat, agama, adat, telatah dan corak hidup masyarakat. Tema yang ingin diketengahkan, disisipkan dengan latar alam. Oleh sebab alam itu indah, maka unsur-unsur alam diaplikasikan di dalam setiap rangkap pantun yang disampaikan atau dicipta. Segala pengalaman hidup, pandangan hidup dan falsafah yang ingin dikemukakan di dalam pantun menggunakan latar alam sebagai pembayang. Unsur-unsur sedemikian secara tidak langsung memperlihatkan keakraban masyarakat Melayu lama dengan alam semulajadi.

2.0       DEFINISI PANTUN
Pantun merupakan puisi melayu yang paling popular jika berdasarkan daripada penggunaannya yang paling meluas. Puisi ini juga yang paling mendapat perhatian para pengkaji untuk diteliti, tidak kira pengkaji tempatan ataupun pengkaji luar. Pantun juga merupakan puisi melayu yang tidak diragui sifat keasliannya.                  Dalam bahasa Jawa, pantun dikenali sebagai parikan dan dalam bahasa Sunda dikenali sebagai paparikan. Lazimnya pantun terdiri atas empat larik (atau empat baris bila dituliskan), bersajak akhir dengan pola a-b-a-b (tidak boleh a-a-a-a, a-a-b-b, atau a-b-b-a). Pantun pada mulanya merupakan sastera lisan dan sekarang telah dapat dijumpai pantun yang bertulis hasil nukilan atau karya seseorang.

            Harun Mat Piah (1989) telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetika dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetika pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu, dan yang kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pembayang maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

            Berdasarkan pada aspek isi (tema dan persoalan) pantun biasanya menyentuh hampir seluruh kehidupan masyarakat melayu. Daripada penelitian terhadap isi juga telah membawa kepada pengelompokan pantun yang lebih sistemetik. (Harun Mat Piah, 1989:63), seperti pantun kanak- kanak, pantun cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup masyarakat, pantun teka- teki, pantun puji-pujian atau sambutan, pantun nasihat dan pendidikan, pantun agama dan kepercayaan, pantun adat, pantun peribahasa, pantun naratif atau cerita dan sebagainya.
 
3.0       FUNGSI PANTUN DALAM MASYARAKAT MELAYU
3.1       Menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih
Seseorang yang berbudi ialah seorang yang membuat jasa dan berjasa kepada orang yang menerima budi baktinya. Begitu juga budi yang baik begitu tinggi nilai estetikanya ibarat emas dan oleh sebab tidak ternilai inilah budi itu dikenang sehingga dibawa mati. Namun begitu, oleh sebab terlalu menerima budi, seseorang itu seharusnya  tidak termakan budi sehingga ia berjiwa hamba, terikat kepada orang yang telah banyak menabur budi, terlalu mudah tidak tahu berkata tidak dan tidak tahu batas dan sempadan. Berikut merupakan dua contoh pantun budi yang menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih :
1) Pisang emas di bawa belajar,
          Masak sebiji di atas peti;
 Hutang emas boleh dibayar,
          Hutang budi dibawa mati.

            Berdasarkan pada pantun di atas, dapat dilihat secara luas tentang nilai budi yang berlaku terhadap masyarakat kita pada zaman dahulu kala. Hutang emas walaupun banyak dan melimpah ruah dapat juga dijelaskan walaupun secara beransur-ansur sehinggalah jumlah hutang itu mengecil dan selesai dibayar. Keadaan ini berbeza dengan budi, hutang budi seseorang manusia tidak dapat dinilai dengan emas atau intan berlian hatta permata sekalipun. Kesudahannya, hutang budi tidak dapat dibayar sehingga kita meninggal dunia sekali pun.              
             Budi pula tidak terhad kepada pemberian sesuatu benda sahaja bahkan tenaga dan bahasa yang lemah lembut itu juga dianggap sebagai budi yang tidak ada nilai komersilnya.

Budi yang dizahirkan ini akan dikenang oleh orang yang menerimanya. Misalnya sekiranya kita menyelamatkan nyawa seseorang daripada menimpa kecelakaan atau kemalangan terutama yang melibatkan nyawa, maka budi kita akan diingati selamanya selagi hayat dikandung badan. Nilai keluhuran budi itu lebih memberi kesan kepada penerimanya sekiranya kita mengambil contoh pemberian sedekah, bantuan berbentuk wang tunai atau kerja buat, cederahati kenang-kenangan kepada orang-orang miskin atau mereka yang memerlukan dalam meringankan beban kerja atau kos sara hidup yang perlu ditanggung dalam meniti kehidupan di dunia ini disebabkan faktor kesempitan hidup, masalah kesihatan dan tidak berpendidikan.

2) Bunga melati bunga di darat,
               Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
                   Hina manusia tidak berbudi.

            Berdasarkan pantun di atas, dapat dilihat betapa perlunya seseorang itu berbudi kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat pada zaman dahulu kala amat mementingkan nilai budi dalam kehidupan seharian mereka. Masyarakat zaman dahulu kala amat menganggungkan budi kerana sekiranya seseorang pemuda ingin berkahwin dengan seorang pemudi, perkara pertama yang akan dilihat oleh ibu bapa pemudi itu ialah bakal menantunya berbudi atau tidak, begitu juga sebaliknya ibu bapa pemuda yang memasuk meminang untuk anak mereka akan menilai dahulu sama ada bakal menantunya berbudi atau tidak. Sekiranya didapati tidak berbudi secara langsung ikatan yang terjalin akan terbatal.

            Kesimpulanya, pantun budi sudah digunakan oleh masyarakat dahulu sejak turun-temurun dalam kehidupan seharian mereka. Masyarakat Melayu zaman dahulu memandang tinggi orang yang berbudi lebih daripada segalanya. Selain itu juga, kebanyakan perbuatan seharian dibuat dengan pantun dengan tujuan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih, memberi nasihat dalam adat berkahwin dan lain-lain lagi. Hal ini demikian kerana pantun menjadi wadah dan wahana yang digunakan untuk menyampaikan dan menjelaskan sesuatu yang penting kepada masyarakat dan mudah difahami oleh masyarakat tradisional Melayu.

3.2       Tujuan adat istiadat
Pantun adat yang diamalkan sejak dari dulu lagi masih diteruskan sehingga ke dewasa ini. Antaranya ialah adat perkahwinan, adat pusaka, adat manusia, dan sebagainya. Antara fungsi pantun adat ini ialah sebagai alat untuk mendidik dan mengajar masyarakat tentang kehidupan ke alam berumah tangga. Selain itu, pantun juga digunakan sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan nasihat. Berikut disertakan dua contoh pantun adat  dan huraiannya :

3) Ikan berenang di dalam lubuk,
                   Ikan belida dadanya panjang;
      Adat pinang pulang ke tampuk,
                  Adat sireh pulang ke gagang.

            Berdasarkan pantun di atas, ianya jelas menggambarkan tentang adat perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak dahulu lagi dan diamalkan sehingga ke hari ini. Pantun ini dipertahankan dan menjadi kebanggaan orang Melayu. Pantun ini menceritakan tentang sudah menjadi lumrah atau menjadi kebiasaannya pinang akan pulang ke gagang begitu juga dengan manusia akan memilih pasangan hidupnya apabila sudah sampai serunya. Setiap lelaki akan mencari seorang perempuan untuk menjadi pasangan hidupnya. Pada kebiasaannya, pihak lelaki akan menghantar rombongan untuk merisik perempuan yang ingin dikahwininya itu. Di dalam pantun adat ini, seorang lelaki akan bertindak sebagai ketua yakni selalunya bapa kepada anak lelaki dan rombongannya ke rumah pihak perempuan dan merisik tentang latar belakang gadis tersebut dan menyatakan tujuan mereka berkenaan hasrat pemuda yang ingin mengahwini gadis itu.

4) Buah berangan di rumpun pinang,
                Limau kasturi berdaun muda;
          Kalau berkenan masuklah meminang,
           Tanda diri beradat budaya.
            Pantun di atas pula menghuraikan tentang adat meminang. Dalam pantun tersebut menerangkan bahawa jika seseorang itu terpikat atau jatuh hati kepada seseorang, beliau haruslah mengikut adat, iaitu meminang supaya kita dikenali oleh masyarakat seoarang yang beradat. Dalam konteks ini, adat meminang sangat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu untuk membolehkan pasangan mengenali latar belakang diri masing-masing. Dalam masyarakat Melayu, adat meminang sangat penting kerana pada masa itulah ibu bapa kedua-dua belah pihak dapat berbincang mengenai tarikh perkahwinan yang akan dilangsungkan, belanja perkahwinan dan sebagainya. Adat meminang juga sangat penting untuk memberitahu bahawa gadis tersebut sudah ’berpunya’. Sebelum adat meminang dilangsungkan, pihak lelaki haruslah merisik terlebih dahulu perempuan tersebut untuk memastikan perempuan tersebut bukan milik orang lain.

            Kesimpulannya, pantun adat adalah bertujuan untuk memartabatkan adat sesebuah masyarakat terutamanya masyarakat Melayu. Ini kerana, masyarakat Melayu sangat berpegang pada adat. Dalam konteks ini juga, terdapat banyak pepatah serta ungkapan yang merujuk kepada perlaksanaan sesuatu adat itu, tetapi kebanyakan adat adalah merujuk kepada peraturan kehidupan masyarakat tersebut. Dalam hal ini, dapat dirumuskan bahawa pantun bukan sahaja berfungsi menyampaikan mesej semata-mata, tetapi ia menerangkan tentang kehidupan sesebuah masyarakat itu bagaimana ia berlaku dan berkesudahan.
 
3.3       Meluahkan rasa kasih sayang dan kerinduan.
Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa mengira batasan umur, sama ada rasa sayang teruna kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantun-pantun sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam.

            Berdasarkan pantun kasih sayang, nasihat yang cuba disampaikan oleh pengkarya ialah mengenai kasih sayang. Kasih sayang merupakan satu perasaan cinta, kasih dan sayang kepada seseorang. Erti kata kasih sayang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu cinta antara manusia dengan manusia, manusia dengan Tuhan dan manusia dengan alam. Perasaan sayang selalunya akan disampaikan melalui pantun oleh masyarakat tradisional dalam menyampaikan hasrat mereka. Hal ini telah memperlihatkan bahawa masyarakat tradisional sangat mementingkan kesopanan dan kesantunan terutamanya dalam berkasih sayang. Perasaan kasih sayang merupakan hukum alam yang tidak dapat dihalang oleh manusia daripada terus belaku kerana ianya sudah ditakdirkan oleh Ilahi. Berikut merupakan dua contoh pantun kasih sayang dan penerangannya :

5) Bunga melur di atas titi,
                              Mari dibungkus di dalam kertas;
    Dalam telur lagi dinanti,
                     Inikan pula sudah menetas.

Pada rangkap pertama pantun kasih sayang di atas memaparkan mengenai ajaran tentang kesetiaan iaitu kepatuhan dan ketaatan seseorang dalam melakukan sesebuah perhubungan seperti dalam persahabatan, percintaan, dan sebagainya. Kesetiaan dalam perhubungan perlulah berpegang teguh kepada janji bagi memastikan perhubungan dapat berjalan dengan penuh keikhlasan, kesetiaan dan kejujuran. Rangkap pertama cuba menceritakan mengenai kesetiaan seorang jejaka menunggu kekasihnya tanpa mengira waktu. Dalam perhubungan, kesetiaan perlu wujud bagi memupuk nilai kasih sayang antara insan. Secara tidak langsung dapat mendisiplinkan diri serta mematangkan seseorang dalam melakukan perhubungan. Seandainya ajaran ini tidak diamalkan nescaya sesebuah hubungan itu tidak akan dapat bertahan lama malah masyarakat juga akan turut berpecah belah kerana konsep kesetiaan dan ketaatan tidak dilaksanakan dalam perhubungan.

6)  Lama sudah tidak ke ladang,
                    Padi sudah dililit kangkung;
       Selama tuan tidak kupandang,
                       Putus hati pengarang jantung.

            Rangkap kedua pula mengutarakan ajaran mengenai keprihatinan iaitu masyarakat mestilah mempunyai sifat timbang rasa dalam perhubungan. Sifat ini hanya boleh dimiliki oleh mereka yang meletakkan dirinya di tempat orang yang hendak diambil perhatian. Ajaran ini sangat sesuai bagi mereka yang sedang bercinta. Di samping itu, dapat menguntungkan seseorang dan mengukuhkan lagi perhubungan agar aman dan harmoni. Sikap keprihatinan ini ama jelas pada rangkap terakhir ketika si gadis tidak memandang lelaki lain selain daripada kekasihnya. Keprihatinan ini wajar diikuti oleh masyarakat agar dapat mewujudkan satu perhubungan yang kukuh seterusnya dapat memupuk sikap keprihatinan terhadap keluaraga, kekasih mahupun masyarakat. Sekiranya sikap keprihatinan tidak diamalkan dalam perhubungan maka ianya tidak akan bertahan dengan lama kerana wujud sikap pentingkan diri sendiri. Oleh sebab itu, sikap ini sangat penting dalam perhubungan dan seharusnya dilaksanakan oleh masyarakat setempat dinihari.

Kesimpulannya, pantun kasih sayang menggambarkan identiti kehidupan masyarakat Melayu. Pantun ini juga amat memainkan peranan dalam mempengaruhi gaya hidup masyarakat baik dari peringkat kanak-kanak mahupun dewasa. Pengaruh pantun merangkumi aspek daya fikir, beradat, berbahasa dan juga menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu. Oleh itu, masyarakat kini perlu sedar itu mereka mesti mempertahankan pantun kasih sayang agar boleh bertahan hingga ke generasi akan datang dan tidak ditelan perubahan zaman.

3.4       Untuk sindiran dan tempelak
Mengapakah orang Melayu tidak suka berterus terang? Menurut Fatimah Busu, (1922:22) kesopanan yang terbit daripada rasa malu dan segan dalam kalangan masyarakat Melayu telah menimbulkan satu cara hidup yang tidak suka berterus terang. Selalu ada pengertian-pengertian yang lain di sebalik rangkai kata-rangkai kata yang dituturkan. Dalam membuat teguran ini, maka lahirlah pelbagai bentuk bahasa kiasan bagi menggambarkan sikap rendah diri dan sifat kesopanan. Sindir- menyindir juga memainkan peranan ketika menyampaikan sesuatu fikiran agar mesej yang cuba disampaikan itu berkesan dan indah. Berikut merupakan dua contoh pantun kias ibarat dan penerangannya :

7) Pondok robek makan api,
                    Anak Cina main teropong;
    Katak bertingkir besar hati,
                            Dapat dunia bawah tempurung.

            Dalam pantun tersebut, karikatur katak memberi satu kiasan terhadap sifat manusia yang tiada pegangan atau pendirian. Manusia sebegini tidak akan berusaha untuk memajukan diri sendiri tetapi hanya menerima takdir yang telah ditetapkan kepadanya dengan rasa gembira. Sudah pasti kehidupan bawah tempurungnya itu tidak akan membawanya ke mana-mana kerana sifat ingin mengetahui dan ingin maju tidak ada padanya. Dalam kiasan ini, ada pelajaran iaitu pendengar mengambil sesuatu episod yang diceritakan sebagai situasi yang dapat dipelajari dan cuba mengandaikan atau mengaplikasikan dirinya dengan situasi tersebut. Ibarat dan kias menjadi jambatan untuk makna atau maksud sosial dan moral sastera.

8) Ayam dikepuk dipanggil pulang,
               Kain tercarik tersangkut duri;
Usah ditepuk air di dulang,
                Kelak terpercik muka sendiri.

            Pantun tersebut membawa peringatan yang amat berguna kepada kita supaya tidak memburuk-burukkan saudara atau orang yang rapat dengan kita. Umpama menepuk air di dalam dulang, perbuatan mengumpat, mengata saudara mara atau sahabat handai akan mengundang keburukan kepada diri sendiri kelak. Segala kekurangan yang dimiliki oleh saudara mara atau sahabat handai hendaklah disembunyikan tanpa pengetahuan orang luar.

            Sebagai kesimpulan, penggunaan kias ibarat ini sudah pasti menjadi perhiasan bagi mencantikkan bahasa kerana bahasa kiasan banyak menggambarkan keindahan alam dan pemilihan lambang atau simbol itu pula begitu cantik. Apa yang lebih penting ialah penggunaan kias ibarat berperanan menjadi pelindung sesuatu perkara yang tidak ingin dinyatakan secara terang-terangan. Dengan adanya bahasa kiasan, perasaan malu atau takut kerana tidak manis didengar orang dapatlah disembunyikan.

 3.5       Menyampaikan mesej berunsur keagamaan
Pantun agama ialah pantun yang mengandungi aqidah, hukum, dan keimanan kepada Allah. Pantun agama menerangkan tentang ketuhanan, pahala, dosa, akhirat, hidup, mati, dan lain-lain lagi. Pantun ini juga menyeru umat Islam supaya taat dan sentiasa melakukan perkara yang disuruh oleh Allah dan meninggal segala larangan-Nya. Selain itu, pantun ini memberitahu umat Islam tentang setiap perbuatan yang dilakukan akan mendapat balasan sama ada baik atau buruk. Berikut merupakan dua contoh pantun agama dan penerangannya :

9) Redup bulan nampak nak hujan.
                        Pasang pelita sampai berjelaga;
Hidup mati di tangan tuhan,
                 Tiada siapa dapat menduga.

            Rangkap pantun di atas menjelaskan maksud redup bulan nampak nak hujan ialah sesuatu perkara yang hendak berlaku mesti ada petandanya. Contohnya, bulan yang redup menandakan hujan akan turun. Baris kedua pula, pasang pelita sampai berjelaga bermakna hidup manusia ada peraturannya hidup dan mati manusia tidak dapat diduga kerana segalanya hanya Allah yang menentukan. Setiap manusia tidak tahu ajalnya bila akan tiba dan Allah sahaja yang mengetahuinya serta Allah yang telah menentukan takdir untuk setiap manusia sejak azali lagi. Selain itu, Allah mengkehendaki apa yang Dia kehendaki iaitu akan terjadi sesuatu itu atas kemahuannya. Contohnya, bayi yang baru lahir dalam tempoh sehari boleh mati dengan kehendak-Nya tidak lebih atau kurang walaupun sesaat.
  
10) Sayang-sayang buah kepayang,
                         Buah kepayang hendak dimakan;
           Manusia hanya mampu merancang,
                    Kuasa Allah yang menentukan.

Rangkap kedua pantun agama menceritakan mengenai sayang-sayang buah kepayang iaitu maksudnya walaupun manusia cuba merancang atau menentukan sesuatu seperti manusia suka akan buah kepayang tetapi kuasa Allah yang menentukan segalanya. Selain itu, buah kepayang hendak dimakan seperti manusia yang mahu makan buah kepayang tetapi hanya Allah yang berhak atas manusia yang diciptanya. Manusia boleh merancang berbagai perkara dan berharap akan terlaksana seperti mana yang dirancang walaupun mengetahui yang menentukan takdir hanyalah Allah S.W.T. kuasa Allah tiada siapa hanyalah hambanya.

            Kesimpulannya, pantun agama merupakan sebuah pantun yang berunsurkan nilai keagamaan. Dalam pantun agama terselit unsur-unsur nasihat serta pengajaran yang berguna bagi dijadikan panduan kepada seluruh genap masyarakat. Pantun agama dapat membentuk serta membina nilai-nilai murni dalam diri seseorang kerana di dalamnya terkandung makna-makna tersirat dan dapat dijadikan pedoman. Tidak dapat dinafikan pantun agama memang terdapat pengajaran yang berguna kerana melalui pantun tersebut sekali gus dapat mendidik dan mengajar kita berkaitan ilmu agama sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi.

 4.0       KESIMPULAN
Sejak daripada zaman purba lagi pantun telah wujud dalam kehidupan masyarakat Melayu. Pantun ialah puisi tradisional Melayu turun-temurun yang tertua di dalam budaya Melayu. Pantun berbeza berbanding dengan syair. gurindam, seloka, rubai, ghazal dan sebagainya kerana mempunyai kedudukan tersendiri sebagai alat untuk menyatakan hajat, pembayang niat, bunga istiadat, pembuka kata, penamat bicara, pengucapan rindu dagang yang merantau. Karya klasik Melayu ini mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Di sebalik nilai tersebut terdapat pula maksud yang tersirat atau abstrak dan memerlukan kajian yang mendalam untuk memahami maksud di sebaliknya. Sebagai generasi baru, kita hendaklah sentiasa melakukan kajian tersebut agar nilai-nilai yang terdapat dalam karya klasik Melayu tidak pupus di telan zaman.

            Pengaruh pantun dalam masyarakat melayu sangat luas kerana telah dijadikan sebagai alat berkomunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat seperti sanjungan, pemujaan dan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seseorang dalam sesuatu keadaan, upacara atau majlis rasmi atau hal-hal yang tidak rasmi. Selain itu, pantun juga dianggap sebagai alat hiburan, alat pendidikan dan alat menguji ketajaman akal dan kehalusan perasaan serta sebagai alat untuk mendapatkan gambaran masyarakat. Pantun juga menjadi medium untuk menyampaikan mesej-mesej atau pesanan berbentuk keagamaan. Di samping itu juga, pantun berpontensi menjadi sindiran atau tempelak yang ditujukan kepada seseorang dengan niat untuk mendidik dan membetulkan jati diri atau sahsiah individu atau mereka yang berkenaan supaya mereka mampu memperbaiki diri dan berubah ke arah yang lebih baik.

            Justeru, marilah kita bersama-sama mengembang dan menyuburkan pusaka lama ini agar kesusasteraan Melayu bangsa kita akan bertambah maju dan kekal umpama tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan. Pantun merupakan puisi yang begitu diminati oleh orang-orang Melayu hinggalah ke dewasa ini. Dengan mempelajari pantun Melayu, kita dapat mengenali masyarakat Melayu yang melahirkan pantun. Kita dapat mengenali masyarakat Melayu melalui pantun dan kita akan mengenali pantun melalui kenalnya kita dengan masyarakat Melayu kerana kedua-dua ini mempunyai perkaitan yang sangat rapat dan akrab. Inilah peninggalan pusaka nenek moyang mewariskan kepada kita dari pujangga tak bernama, khazanah yang memperkayakan perbendaharaan sastera kita.

RUJUKAN
Ab. Rahman Ab. Rashid, Rosli Saludin, Zakaria Perngis. (2005). Mutiara Sastera            Melayu Tradisional. Selangor : Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Annas Haji Ahmad. (1998). Sastera Melayu Lama dan Baru. Selangor : Masa       Enterprise.

Awang Sariyan. (2007). Falsafah dan Logika Melayu. Selangor : Synergymate     Sdn. Bhd.

Hashim Hj. Musa. (2001). Falsafah, Logik, Teori Nilai Dan Etika Melayu. Kuala    Lumpur : Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Harun Mat Piah. (1989). Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan             Fungsi . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Harun Mat Piah, Ismail Hamid, Siti Hawa Salleh, Abu Hassan Sham, Abdul         Rahman Kaeh dan Jamilah Hj. Ahmad. (2000). Kesusasteraan Melayu     Tradisional. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tenas Effendy. (2007). Khazanah Pantun Melayu Riau. Kuala Lumpur : Dawama
            Sdn.Bhd.

Zainal Abidin Ahmad. (1965). Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur : Dewan   Bahasa dan Pustaka.

Media elektronik
Pantun Melayu. Diperoleh Ogos 21, 2010 dari
http://melasayang.4t.com/pantun.htm

Tiada ulasan: