10 Januari 2021

Menjenguk Sajak-Sajak dalam Kumpulan Sajak Waktu Dari Jendela Strukturalisme

 

Menjenguk Sajak-Sajak dalam Kumpulan Sajak Waktu

Dari Jendela Strukturalisme

Oleh

Nassury Ibrahim (nassuryibrahim@gmail.com)

 

Awal Bicara

Saya berpendapat bidang bahasa dan kesusasteraan adalah sama dengan bidang Sains. Walaupun kerajaan Malaysia tidak menyamakan malah ‘menghina’ bidang berkenaan. Pada hakikatnya, cara bekerja kedua-dua  golongan ini adalah sama. Jika ahli Sains melakukan penyelidikan untuk mendapatkan hasil, para sasaterawan juga melakukan penyelidikan untuk menghasilkan karya. Kalau ahli sains mencipta sesuatu yang baharu, para sasterawan juga mencipta sesuatu yang baharu. Kalau sasterawan dikatakan berfikir dan bercakap perihal sesuatu yang tidak logik, ahli sains juga berfikir dan bercakap tentang sesuatu yang tidak logik. Ahli sains terpaksa memilih, menilai dan menguji sampel sebelum menentukannya sebagai sampel. Demikian sasterawan terpaksa memilih, menilai dan menguji diksi sebelum memutuskannya sebagai diksi pilihan.

 

Saya memilih judul makalah ini, “Menjenguk Sajak-Sajak dalam Kumpulan Sajak Waktu dari Jendela Strukturalisme” adalah dengan sengaja setelah berfikir dan menilai kesesuaian diksi dengan kandungan isinya. Mengapakah saya memilih ‘menjenguk’ sedangkan seerti dengan ‘menjenguk’ ialah ‘melawat,’ ‘melihat,’ ‘meninjau’ atau ‘memerhati?’ Dan, mengapakah  saya memilih istilah ‘jendela’ bukan istilah ‘dari sudut,’ ‘persepsi,’ ‘kriteria’ dan sebagainya? Tentunya saya berfikir dari pelbagai aspek: Fonologi, simbolik, estetik, susastera dan sebagainya. Saya berharapkan pemilihan diksi itu akan memberi hasil yang memuaskan, sebagaimana harapan para saintis.

 

Pada aspek tertentu, para sasterawan mendahului para saintis. Kalau arkitek boleh dianggap sebagai ahli sains, sebenarnya sasterawan jauh lebih hebat daripada arkitek. Arkitek Jabatan Kerja Raya misalnya, mencipta pelan sekolah pada tahun 1960-an masih diguna pakai  sehingga tahun 2000-an.  Abdullah Ngah yang pertama kali mencipta sajak pada tahun 1970-an hingga tahun 2000-an, tidak ada satupun sajak beliau yang berlainan judul sama isi, sebagaimana bangunan sekolah yang berlainan nama tetapi sama bentuk. Dalam Hikayat Malim Deman diceritakan bahawa Malim Deman telah mengembara ke pelbagai jenis alam, termasuk juga perihal baju terbang milik tujuh orang puteri. Mungkinkah baju terbang tujuh orang puteri telah memberi ilham kepada ahli sains untuk mencipta kapal terbang. Dengan kapal terbang itu kita dapat mengembara ke alam-alam atas angin. Dalam buku Sejarah Melayu dikatakan Raja Suran telah bosan hidup atas bumi, lantas minta diperbuatkan alat kaca yang membolehkan beliau turun dan menetap dalam laut. Mungkinkah kini alat kaca itu dikenali sebagai kapal selam atau terowong kaca dan sebagainya. Terbukti bahawa dunia hayalan sasterawan mendahului dunia hayalan ahli saintis. Maka, mengapakah kita harus menolak atau ‘menghina’ bidang bahasa dan kesusasteraan?  Bidang kesusasteraan, sebagaimana bidang Sains dan bidang-bidang ilmu lain, merupakan salah satu bidang yang dapat membina tamadun manusia. Kita pernah dengar cerita “Batu Belah Batu Bertangkup” dan berasa tidak logik bahawa ada batu boleh menelan manusia. Kita juga berasa tidak logik dengan Teori Gelombang Besar (Big Bang Theory) yang memisah alam bercantum kepada pulau-pulau yang dikelilingi lautan. Kalau ahli sains mencipta kereta, mencipta ubat, mencipta pelbagai peralatan sebagai hasil karya, para sasterawan pula mencipta sajak, mencipta cerpen, novel, dan drama. Kalau ahli sains mencipta Teori Gelombang Besar, Teori Darwins, Teori Atom sebagai hasil ciptaan, para sasterawan juga mencipta pelbagai jenis teori kesusasteraan. Salah satu ialah Teori Struktural yang akan digunakan untuk menjenguk sajak-sajak Abdullah Ngah dalam kumpulan sajak berjudul Waktu.

 

Sedikit Bicara Tentang Teori Struktural

Asal Teori Struktural dicipta oleh Claudio Levi Strauss, dan dikembangkan oleh Ferdinand de Saussure.  Maksud struktur ialah susunan, sistem dan pengaturan sesuatu organisasi atau dinamakan bentuk. Perihal struktural mula digunakan dalam Teori Formalistik, manakala strukturalisme merupakan pembaharuan daripada Teori Formalistik. Pengasingan itu wujud disebabkan rasa tidak puas para sarjana apabila menganalaisis karya menggunakan Teori Formalistik. Mereka telah mengubah suai teori berkenaan dan dinamakan Teori Struktural. Antara tokoh-tokohnya ialah Roman Jacbson, Jan Mukarovsky, Felix Fodicka, Roland Bathes, Tvetzan Todorov, David Daiches, I.A. Richards, Rene Wellek, Austin Warren, Alan Tate, Cleant Brook dan lain-lain.

 

Teori Struktural menganggap teks terhasil daripada gabungan komponen yang membentuk karya. Setiap komponen itu saling berkaitan dan membantu membina mutu karya. Ia tidak berdiri sendiri. Sebaliknya, setiap komponen itu berperanan bagi melengkapkan teks dan kesatuan teks (karya). Karya dibangunkan melalui jalinan harmonis (pertautan) antara komponen hingga menjadi utuh. Setiap komponen karya mempunyai perkaitan rapat, bertali-temali dan bersambung-menyambung membina  karya. Komponen karya yang bertali-temali dan bersambung-menyambung (berwacana) dianggap menghasilkan karya yang utuh dan unggul (bermutu). Jika salah satu daripada komponen tidak mantap atau tali-temali tidak bersambung mengikat komponen-komponen lain, maka struktur karya itu dianggap rapuh, pincang, longgar dan karya itu dianggap tidak bermutu. Ibarat  binaan sebuah rumah. Keteguhan sesebuah rumah kerana keteguhan binaan setiap komponen. Komponen rumah terdiri daripada dinding, tiang, lantai, bumbung dan sebagainya. Jika salah satu daripada komponen, misalnya tiang patah, maka binaan rumah dianggap tidak teguh dan tidak selamat, dan bukan rumah yang sempurna. Betapa  rumah itu diperbuat daripada emas sekalipun dan lengkap dengan lantai, dinding, tangga dan perabut, namun sebahagian atap tiada, maka rumah itu tetap dianggap tidak sempurna, tidak siap dan belum sesuai menduduki. Kecuali, nilai dan norma masyarakat menganggap bahawa rumah yang tidak berbumbung sebagai rumah yang sempurna.

 

Demikian Teori Struktural menggarisi panduan kekuatan dan kelemahan sesebuah karya bergantung pada binaan dan pertalian komponen.  Apabila membicarakan sesebuah karya menggunakan Teori Struktural, pengkritik harus menghubungkaitkan binaan setiap komponen dan menilai kesesuaian, sebelum menganggap karya berkenaan bermutu atau tidak bermutu. Berkenaan hal ini, Rahman Shaari (1998: 141) menjelaskan;

 

Pendekatan struktural sastera pada hakikinya menitikberatkan hubungan-hubungan yang menjadikan sesebuah karya itu satu sistem. Pemerhatian terhadap aspek gaya mungkin meninggikan kesedaran seseorang terhadap aspek isi. Jalinan yang menyatukan gaya dengan isi diberikan perhatian. Tidak syak lagi Pendekatan Struktural akan mengarah ke Pendekatan Semiotik, kerana pemerhatian terhadap sesuatu aspek akan menyebabkan pembaca memperoleh makna yang lebih jauh daripada makna kamus kata-kata yang digunakan oleh sasterawan.

 

Pendapat Rahman Shaari di atas dapat difahami bahawa menilai karya menggunakan Teori Struktural tidak boleh menganalisis komponen secara terpisah. Dalam Teori Struktural, menganalisis aspek tema sahaja atau aspek gaya bahasa sahaja adalah tidak cukup untuk merumuskan bahawa novel A sebagai bermutu. Sebagai contoh, ramai pengkritik menganggap sajak “Padamu Jua” karya Amir Hamzah sebagai sajak berimej Islam dan bermutu, namun apabila ditinjau dari jendela Teori Takmilah, saya berpendapat sajak berkenaan bukan sajak bercirikan Islam dan tidak bermutu. Masyarakat Malaysia pada suatu ketika dahulu menganggap novel Shit karya Shahnon Ahmad sebagai menjijikan dan lucah, namun, setelah membaca berkali-kali, saya menganggap novel Shit sebagai novel satira yang bermutu, tidak menjijikan dan tidak lucah, berbanding novel Kuala Lumpur Kita Punya karya Abdullah Hussein atau  novel Babi karya Ibrahim Ali. Menilai karya menggunakan Teori Struktural adalah menilai kesempurnaan dan keharmonian hubungan antara komponen dalam karya berkenaan.

 

Mengkritik karya menggunakan Teori Struktural boleh dilaksanakan dari aspek struktur fizik (ekstrinsik) atau struktur batin (intrinsik). Atau, membandingkan binaan dua komponen karya berkenaan sahaja, sebagaimana pendapat Rahman Shaari di atas. Struktur fizik terdiri daripada  bahasa, kiasan, pencitraan, versifikasi, tipografi, peristiwa, watak dan sebagainya. Manakala struktur batin meliputi tema, perasaan, amanat, nada / suasana, pemikiran, perwatakan, plot dan sebagainya.

 

Berkaitan rapat dengan Teori Struktural ialah Teori Struktural Genetik dan Teori Struktural Dinamik. Kalau Teori Struktural membicarakan komponen dan menghubungkaitkan kesesuaian dengan komponen lain dalam karya berkenaan, Teori Struktural Genetik menilai hubungan antara komponen dan idealisme pengarang serta latar belakang masyarakat yang mengilhamkan karya tersebut. Mereka anggap struktur karya tidak dapat difahami tanpa memahami masyarakat yang mengilhamkan karya dan idealisme pengarang. Contohnya, kelahiran novel Shit oleh Shahnon Ahmad adalah bersangkutan dengan krisis moral pemimpin politik, masyarakat Malaysia, dan ideologi Shahnon Ahmad. Manakala Teori Struktural Dinamik pula mengkaji karya dalam rangka semiotik, dan membincangkan sistem tanda yang digunakan oleh pengarang. Ada dua fungsi yang merujuk pada tanda, iaitu pertama, bersifat otonom – tidak menunjuk di luar dirinya, dan kedua, bersifat informasi – menyampaikan fikiran, perasaan dan gagasan. Kedua-duanya saling berkaitan dan dianggap dinamis. Kedinamisan itu kerana  sifat kreatif pembaca yang mempunyai konvensi yang selalu berubah, gemar membaca sistem tanda dan mencipta sistem tanda, menyebabkan tafsiran terhadap karya terus berkembang selaras dengan perubahan dan perkembangan sistem tanda dan sistem nilai dalam masyarakat.  Dalam hal ini, di samping menjelaskan elemen yang membentuk karya, pengkritik juga bertanggungjawab menjelaskan perkaitan sistem tanda antara pengarang, realiti peristiwa, karya dan pembaca dengan bersumberkan kod sastera, kod bahasa dan kod budaya masyarakat. Didapati Teori Struktural Dinamik tidak terlepas daripada elemen interteks.

 

Antara kebaikan Teori Struktural ialah analisis karya bersifat adil kerana dapat mengelakkan pengkritik daripada memihak kepada pengarang, terutama pengarang yang ada hubungan sosial dengannya. Manakala, antara keburukannya pula ialah penekanan hubungan antara komponen dalam karya secara tidak langsung menafikan kebebasan pengarang dan unsur-unsur estetika semasa dalam karya.

 

Imej Waktu dari Persepsi Strukturalisme

Perlu ditegaskan bahawa sesebuah karya yang disebarkan kepada pembaca adalah menjadi hak pembaca menanggapi atau mentafsirnya. Pengarang tidak lagi mempunyai hak, apalagi memaksa pembaca agar bersamaan pendapat dengan dirinya. Pengarang hanya mempunyai kuasa dari segi hak cipta, manakala pembaca / pengkritik pula mempunyai kuasa dari segi mentafsir.  Sudah menjadi adab pemikiran bahawa setiap ciptaan manusia itu ada yang baik dan ada yang buruk. Oleh sebab itu, saya berusaha mendedahkan aspek yang harmonis dan aspek yang tidak harmonis sajak-sajak dalam kumpulan sajak Waktu, cetakan 2008, berdasarkan Teori Struktural agar audien dapat memahami lebih jelas akan idealisme struktural.

 

(a)                 Imej Waktu yang Harmonis

Kumpulan sajak Waktu terbitan Pustaka M. Didik karya Abdullah Ngah mengandungi 50 buah sajak. Secara relatifnya sajak-sajak Abdullah Ngah adalah pendek dan mesra pembaca. Keharmonian hubungan sajak dengan pembaca dan keharmonian hubungan antara komponen jelas dapat dikesan dalam kebanyakan sajak.   Hal ini dapat dikesan, misalnya pada sajak Di Pertemuan yang Lewat ini (hlm. 7), Gadis Penjual Bunga Itu (hlm. 13), Ke Angka Zero Defect (hlm. 23), Hyde Park (hlm. 27), Muhammad (hlm. 35), Suara Azan (hlm. 37), Lambaian Kaabah (hlm. 39), Langkah Guru (hlm. 43), Baca Bacalah (hlm. 47) dan lain-lain.

 

Sajak bertemakan intropeksi diri, berjudul Di Pertemuan yang Lewat Ini,  merakamkan perasaan seseorang apabila orang yang ditunggu tidak kunjung tiba. Penyair berjaya memilih diksi untuk menggambarkan keresahan penunggu. Diksi-diksi itu pula disusun secara berurutan hingga jelas terasa urutan perasaan. Penyair memulakan diksi ‘lewat’ pada baris ‘di pertemuan yang lewat ini’ yang sekali gus menjadi judul sajak. Daripada diksi ‘lewat’ itu menyusur kesan perasaan melalui imej dan diksi ‘menanti,’ ‘berhenti,’ ‘kutunggu’ dan ‘rindu.’ Susunan diksi tersebut terasa disengajakan untuk melahirkan kesan emosi kepada pembaca. Secara realiti, si penunggu akan terasa bahana penantian apabila orang yang ditunggui lewat atau mungkir janji temu. Secara realiti juga, orang yang menanti akan mengalami gangguan perasaan sama ada terus menanti atau berhenti menanti. Adab menanti pula akan membangkitkan rasa rindu. Oleh sebab itu, kita dapat memahami bahawa diksi ‘berhenti,’ ‘tunggu’ dan ‘rindu’ merupakan pelengkap gambaran perasaan kesan daripada menanti. Kelewatan tiba orang yang ditunggu menyebabkan aku lirik mengalami tekanan perasaan: Apakah perlu ‘berhenti’ menanti atau tidak perlu ‘kutunggu’ lagi?  Pengarang berjaya memilih dan menyusun diksi, dan menjalinkan hubungan dengan gelora perasaan penunggu serta binaan sajak. 

 

Selain hubungan harmonis antara bahasa dengan binaan sajak, terasa juga keharmonian hubungan mesej sajak antara bait,  nada sajak dan pemikiran penyair kesan daripada pertemuan yang lewat  (sebenarnya tidak ketemu). Hal ini dapat diperhatikan melalui  baris di bawah.

 

...

bukan untuk menanti

...

bukan untuk menghiris kalbu

...

bukan untuk berhenti

...

bukan untuk kutunggu

 

 

Baris-baris di atas jelas gambaran perasaan, nada melankolik dan pemujukan hati. Penyair cuba mententeramkan gelora hati lewat diksi ‘bukan.’ Dalam lagu Penantian yang dinyanyikan oleh kumpulan Harmoni, terdapat lirik yang berbunyi, ‘penantian suatu siksa  yang tidak tertanggung.’ Demikian rasanya gelora perasaan yang ditanggung oleh aku lirik dalam sajak berkenaan. Namun, penyajak melalui aku lirik cuba menafikan rasa tidak tertanggung itu. Sudah menjadi sifat orang menanti, lebih-lebih lagi menanti buah hati, akan memujuk hati sendiri bahawa buah hatinya tetap datang dan tidak mungkiri janji.  Petanda pujukan dalam sajak ini ialah diksi ‘bukan.’ Oleh sebab adanya pemujukan itu, maka ada logik sikap positif penyair dalam bait di bawah.

 

Di pertemuan yang lewat ini

membuatku berhati-hati

meniti waktu

 

Di pertemuan yang lewat ini

ingin sekali kunyanyikan lagu-lagu puisi

dari kertas-kertas sajakku

buat penawar rindu.

 

Mungkin kelewatan hadir orang berkenaan kerana pemilihan waktu yang tidak tepat.  Justeru, untuk mententeramkan rindu dan resah hati, penyair bersikap menyanyikan lagu-lagu puisi dari lirik sajak sendiri.

 

Hubungan harmonis struktural sajak dapat dikesan juga pada sajak yang bertemakan keagamaan seperti sajak Muhammad (hlm. 36), Suara Azan (hlm. 37), Lautan Khemahmu (hlm. 38), atau sajak Lambaian Kaabah (hlm. 39). Dalam sajak Lautan Khemahmu, penyair memulakan bait sebagaimana di bawah.

 

Di sini tiada siapa pun menjadi raja

di sini tiada siapa pun menjadi perdana menteri

di sini tiada siapa pun menjadi menteri

di sini segala harta dan pangkat tiada bererti lagi

 

Walaupun penyair tidak menamakan tempat di sini itu, pembaca  faham bahawa yang dimaksudkan ‘di sini’ ialah padang Arafah. Hal ini dapat dikesan melalui gambaran imej kesamarataan / kesamatarafan dalam bait berkenaan dan judul sajak, lautan khemah. Malah, ia diperkuatkan lagi melalui imej dari baris ‘di sini semuanya sama-sama penumpang’ dalam bait kedua. Penyair bijak mengaturkan hubungan dan pertalian  imej antara bait: Bait pertama, gambaran status manusia yang sama taraf; bait kedua, gambaran sebab manusia dianggap sama taraf, dan bait ketiga berkenaan gambaran harapan aku lirik.

 

Dari segi mesej, penyair memberitahu bahawa semua manusia adalah sama di sisi Tuhan (bait pertama) kerana semuanya menumpang (bait kedua). Sebagai  penumpang mereka sangat mengharapkan sesuatu (bait ketiga). Tempat untuk  memenuhi harapan itu dinyatakan pada akhir baris sajak, iaitu di Mahsyar.  Mengapakah penyair bersajak dan berharap hanya setakat di mahsyar sahaja? Di sinilah kebaijaksanaan dan kedalaman ilmu agama penyair kerana Mahsyar merupakan tempat penentuan ke destinasi terakhir makhluk. Pembaca dapat memahami bahawa sajak ini bertemakan keagamaan melalui gambaran mesej, bukan melalui pemilihan diksi / bahasa.

 

Hal ini berbeza pula dengan sajak Lambaian Kaabah. Hubungan diksi dengan mesej bersatu membentuk tema. Diksi ‘Zulhijjah,’ ‘Kaabah,’ ‘Tuhan,’ ‘-Mu,’ ‘Safa,’ ‘Marwah,’ ‘menyahut,’ ‘tiada sekutu’ dan ‘sujud’ cepat memancarkan imej keislaman dan lebih khusus lagi ialah berkenaan rukun Islam yang kelima. Justeru, hubungan bahasa dengan tema adalah bersifat kohensi dan koherensi. Lebih jelas hubungan itu dapat diperhatikan dalam bait di bawah.

 

Dari jauh aku datang menyahut seruan-Mu

berkelilingan di kaki Kaabah

berkejaran ke Safa dan Marwah

...

 

Dalam sajak bertemakan keguruan, Langkahmu Guru (hlm. 43), pemilihan diksi ‘saban hari,’ ‘langkahmu,’ ‘membara,’ ‘menabur bakti,’ dan ‘mendidik’ berjaya menggambarkan imej guru. Pemilihan diksi tersebut sesuai dengan mesej sajak, iaitu berkenaan kecintaan, ketabahan, usaha dan peranan guru. Malahan susur atur diksi juga berurutan sesuai dengan kitaran pergerakan guru pada saban hari:

 

                Rajah 1: Wacana imej guru dalam sajak Langkahmu Guru






Langkahmu

 

Membara

 
 

               









 

SABAN HARI

                                    



 

 

 

 


Saya perturunkan sepenuhnya sajak Langkahmu Guru, sebagaimana di bawah.

 

Saban hari

sesegar embun pagi

 

nun jauh di pedalaman

di belantara

di hujung cemara

di mana saja

dengan dada terbuka

langkahmu guru, tetap membara

 

menabur bakti

mendidik anak-anak

demi nusa dan bangsa

 

Gaya anafora dalam bait kedua sajak di atas, selain dapat menguatkan mesej, sekali gus ia menggambarkan kesungguhan guru. Ia bertepatan apabila dihubungkan dengan diksi ‘membara’. Demikian juga dengan diksi ‘dada terbuka’ bertautan dengan diksi ‘menabur bakti,’ juga bertautan dengan baris ‘demi nusa dan bangsa.’ Semua itu bertautan pula dengan mesej sajak, iaitu kegigihan dan bakti guru.

 

(b)                  Imej Waktu yang  Tidak Harmonis

Setiap ciptaan manusia mempunyai baik dan buruknya, disukai dan tidak disukai, bertepatan dan tidak bertepatan dengan cita rasa manusia sendiri. Demikian juga apabila mengkaji karya menggunakan teori akan terlihat aspek menepati kehendak teori dan aspek yang tidak menepati kehendak teori. Perlu ditegaskan bahawa aspek yang tidak menepati teori tertentu bukan bermakna karya berkenaan tidak bermutu. Mungkin karya itu lebih bermutu jika dianalisis menggunakan teori lain. Sebenarnya, mutu karya bukan menjadi kriteria utama untuk menganalisis karya. Ahli sosiologi atau ahli sejarah misalnya, tidak mementingkan mutu karya untuk mengkaji tingkah laku manusia pada zaman karya itu dihasilkan.

 

Berbalik pada sajak-sajak dalam kumpulan Waktu, terdapat sebilangan sajak-sajak Abdullah Ngah yang tidak mesra Teori Struktural. Hal ini mungkin berlaku di luar sedar pengarang atau di luar sedar pembaca kedua. Antara sajak-sajak tersebut ialah sajak Lagu Rindu Anak Desa (hlm. 2), Jendela Waktu (hlm. 4),  Baktimu Guru (hlm. 40), Suara Hati Anak-Anak Perantau (hlm. 41)  dan sajak Tali Perpisahan (hlm. 51).  Saya tidak bercadang menyentuh semua sajak berkenaan. Cukuplah hanya satu sajak untuk mewakili sajak-sajak lain dan untuk keperluan audien memahami Teori Struktural.

 

Dalam sajak Lagu Rindu Anak Desa, penyair merakamkan alam kampung sebagaimana di bawah.

 

Lautan sawahmu yang menghijau

hamparan perakmu yang menguning

menjadi bukti bakti petani

kepada bumi pertiwi

 

hembusan bayu

nyanyian Serunai batang padimu

adalah lagu rindu

anak-anak desa.

 

Gambaran ini cepat membangkitkan ingatan kita terhadap salah satu keajaiban dalam Sejarah Melayu, iaitu apabila padi Wan Empuk dan Wan Malini menjadi emas, menjadi suasa dan menjadi tembaga.  Hal yang demikian juga dilontarkan oleh pengarang dalam sajak ini, iaitu berkenaan hasil usaha petani. Hanya satu tanaman sahaja yang jelas tergambar, iaitu padi yang dikatakan sedang menghijau. Luas sawah dianalogikan sebagai lautan. Tidak ketinggalan penyair merakam aktiviti bermusim kanak-kanak, iaitu bermain serunai yang diperbuat daripada batang padi. 

 

Analisis struktural mendapati berlaku pertentangan antara  aspek bahasa dengan gambaran mesej atau tema sajak.  Pertama, berkenaan baris kedua dalam bait pertama, ‘hamparan perakmu yang menguning.’  Pembaca sebenarnya tidak diberitahu lambang  atau metafora ‘perak.‘ Kita hanya boleh mengandaikan bahawa yang dimaksudkan ‘hamparan perak’ itu ialah kemungkinan padi. Metafora itu sesuai dengan diksi ‘menguning.’ Yang menjadi permasalahan ialah apabila imej ‘perak’ dipadankan dengan imej ‘menguning.’ Dalam ilmu pertukangan logam tidak ada perak berwarna kuning sebagaimana tidak ada emas berwarna perak. Jika emas dilebur berkali-kali akan menjadi suasa, jika suasa dilebur akan menjadi tembaga, dan tembaga yang dilebur tidak akan menjadi perak. Dalam budaya Melayu juga tidak merujuk warna perak (silver) sebagai membawa imej padi atau berwarna kuning sebagaimana imej padi dalam Sejarah Melayu. Justeru, apakah yang dimaksudkan ‘hamparan perakmu yang menguning’ tidak dapat diteka. Maka ia boleh dianggapkan sebagai kontras kerana tidak menggambarkan imej padi atau tumbuhan lain, dan tidak  juga menggambarkan barangan logam. Justeru, dapat dirumuskan bahawa aspek bahasa sajak ini tiada pertalian dengan aspek mesej dan tema sajak.  

 

Kedua, imej dan diksi ‘menghijau’ pada baris pertama dalam bait pertama sajak. Warna hijau adalah bertentangan dengan imej padi. Walau bagaimanapun, pembaca boleh mentafsirkan bahawa yang dimaksud ‘menghijau’ bukan padi kerana ia merujuk ‘lautan sawahmu.’ Mungkin yang dimaksudkan sawah  itu ialah tanah sawah yang dipenuhi tumbuhan lain atau padi yang belum masak. Maka, imej ‘menghijau’ itu adalah sesuai. Namun, pada baris kedua dalam bait kedua terdapat ungkapan, ‘nyanyian Serunai batang padimu.’  Lazimnya, serunai diperbuat daripada batang padi yang keras. Batang padi yang keras ialah batang padi yang telah tua (padi masak). Berdasarkan ungkapan pada baris kedua dalam bait kedua ini, yang dimaksudkan lautan sawah ialah padi yang sedang masak. Justeru, diksi ‘menghijau’ dalam baris berkenaan adalah kontras kerana tidak menggambarkan imej padi yang sedang masak. Oleh yang demikian, kita boleh merumuskan bahawa sajak itu tidak masak. Sajak itu boleh diselamatkan jika diksi ‘perak’ ditukar kepada ‘padi’ atau tukar diksi ‘menghijau’ kepada ‘menguning.’ Saya berpendapat, untuk mewujudkan hubungan antara komponen dan pertautan imej, penyair perlu bertindak tegas dengan cara menggugurkan, sama ada baris pertama atau baris kedua, atau menukarkan salah satu imej (gambaran tentang padi) agar berbeza.

 

Ketiga, berkenaan imej dari judul sajak, Lagu Rindu Anak Desa. Keseluruhan sajak menggambarkan tentang alam sawah dengan hasil tanaman padi dan aktiviti kanak-kanak bermain seruling batang padi. Yang bermain seruling itu ialah anak-anak desa, bukannya anak-anak pekan atau anak-anak taman atau anak-anak bandar. Justeru, timbul pertanyaan, apakah yang dirindui oleh anak-anak desa? Mengapakah anak-anak desa merindu? Maksud rindu ialah ingin benar akan sesuatu atau berjumpa dengan seseorang (Kamus Dewan, 2005: 1332). Dan, ‘sesuatu’  atau ‘seseorang’ itu tidak berada dalam genggaman atau di hadapan. Malangnya, sajak berkenaan tidak menggambarkan langsung akan kehilangan sesuatu atau seseorang. Oleh sebab itu, saya merumuskan bahawa tidak ada sesuatu atau seseorang yang dirindui. Maka, judul sajak tidak berhubungan langsung dengan mesej dan tema sajak.  Walau bagaimanapun, kewacanaan sajak ini akan bertaut jika diksi desa ditukar kepada diksi ‘perantau’ dan memang itulah yang dimaksudkan oleh Abdullah Ngah.

 

Keempat, dalam baris, ‘nyanyian Serunai batang padimu’ didapati  huruf “s” pada perkataan ‘serunai’ menggunakan huruf besar. Jika huruf “T” atau “M” pada perkataan ‘Tuhan’ dan ‘-Mu’ adalah merujuk kepada Allah, adakah dengan membesarkan huruf “S” itu penyair bermaksud ‘serunai kepunyaan Allah.’  Maksud itu mungkin benar, tetapi tidak untuk sajak ini. Walau bagaimanapun saya pasti bukan ‘serunai kepunyaan Allah’ yang dimaksudkan. Mungkin kesilapan menaip (sebenarnya sukar hendak dikatakan kesilapan menaip sebab perkataan ‘serunai’ berada di tengah baris) atau perubahan automatik huruf, sebagaimana perubahan huruf pertama dalam setiap awal baris.  Hal ini sangat mengganggu kerja pengkritik dan ia boleh menjurus kepada kesimpulan negatif.

 

Akhir Bicara

Berdasarkan penerangan di atas didapati bahawa Abdullah Ngah berjaya menjadi ahli Sains Sosial kerana berhasil mencipta 50 buah sajak yang berlainan pengolahan, tema, bentuk dan perasaan. Berdasarkan 50 buah sajak itu didapati juga bahawa ada sajak-sajak Abdullah Ngah yang mesra Teori Struktural dan ada sajak-sajak Abdullah Ngah yang tidak mesra Teori Struktural. Sajak-sajak beliau seperti sajak Tirai Kualiti (hlm. 36), Lautan Khemahmu (38), Lambaian Kaabah (hlm. 39), atau sajak Baca Bacalah (hlm. 47) adalah bertautan antara komponen dan menyakinkan. Dalam kumpulan sajak Waktu ini didapati Abdullah Ngah gemar mengangkat pengalaman peribadi, baik di kampung, mahupun di bandar, baik pengalaman dalam bidang pekerjaan mahupun pengalaman dalam beribadat, sebagai bahan persajakan. Walau bagaimanapun, tidak semestinya sajak berdasarkan pengalaman diri akan menjamin mutu karya.

 

Selain itu, pengolahan bahasa sajak-sajak Abdullah Ngah adalah mudah difahami dan tidak ‘berhindustani’ menyebabkan sajak-sajak beliau mesra pembaca. Saya yakin, usaha mengangkat pengalaman ke dalam karya dan mengolah dengan bahasa mudah telah mencirikan Abdullah Ngah sebagai orang Melayu tulen dan pendidik sejati, kerana aspek yang dipentingkan ialah mesej dan teladan.

 

Hanya sebilangan kecil sajak-sajak Abdullah Ngah yang tidak mesra Teori Struktural. Hal ini wajar. Tidak semua hasil ciptaan ahli Sains memberi manfaat kepada manusia, malah ada yang terang-terangan merosakan ketenteraman manusia. Misalnya, penyalahgunaan hasil penemuan Afred Nobel sehingga beliau menganjurkan Hadiah Nobel. Demikian juga karya. Walaupun teori lahir lebih kemudian daripada karya, dan penciptaan teori pula adalah berdasarkan karya, namun teori dan kritikan tetap berperanan dan bertujuan membantu pengarang menghasilkan karya yang lebih bermutu. Hal ini kerana pencipta teori  dan pengkritik karya juga merupakan salah seorang pembaca karya.

 

 

Rujukan

 

Abdullah Ngah, 2008. Waktu. Pustaka M. Didik : Selangor.

 

Hashim Awang, 1988. Kritikan Kesusasteraan Teori dan Penulisan. Kuala

Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Heddy Shri Ahimsa-Putra, 2006. Strukturalisme Levi-Strauss Mitos dan

Karya Sastera. Penerbit KEPEL PRESS : Yogyakarta.

 

Mana Sikana, 2005. Teori Sastera Kontemporari. Pustaka Karya: Bandar

Baru Bangi, Selangor.

 

Rahman Shaari, 1998. Kesusasteraan dalam Pendidikan Sastera. Shah Alam:

Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

 

 

 

10 – 26 November 2008

Pengkalan Chepa, Kelantan.

 

 

 

Tulisan ini telah dibentangkan dalam Majlis Bicara Karya Negeri Terengganu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus Sultan Mizan pada 1 Disember 2008.

Tiada ulasan: