Warna Kehidupan: Kesantunan, kebolehan berbahasa
Oleh Nurul Farina Nazlan
ORANG Melayu sangat memandang tinggi budaya masyarakat yang bersopan santun sehingga nama panggilan terhadap seseorang dapat menentukan sikap, kelas sosial, pendidikan dan hubungan antara pemanggil dan individu yang dipanggil, sekali gus memperlihatkan keperibadian mereka.
Bagaimanapun, arus kemodenan yang mengasak masyarakat Melayu semakin menyingkirkan kepekaan sebahagian anggota masyarakat terhadap perkara ini sehingga sistem panggilan dan gelaran tidak lagi membawa ciri istimewa yang pernah diguna pakai bangsa terbabit.
Sikap ambil mudah dengan sistem panggilan rasmi terutama golongan berpangkat dan berusia, ada kalanya menjejaskan kredibiliti pemanggil sehingga yang terpancar ialah sikap tidak prihatin individu berkenaan terhadap penggunaan bahasa panggilan yang tepat.
Pernah terjadi budayawan Melayu, Azah Aziz, dirujuk sebagai Kak Azah oleh pemanggil yang berpangkat anak jika usia dijadikan sebagai landasan ukuran pada satu acara rasmi disebabkan kesantunan dan kebolehan berbahasa yang terbatas.
Azah yang sering merujuk dirinya dan dipanggil Kak Azah, lalu memberi laluan kepada pemanggil dengan menyatakan dirinya sepatutnya dirujuk sebagai Ibu Azah atau Bonda Azah dan faham kesilapan itu kerang semakin bangsa apalagi generasi kurang kesantunan dan kebolehan berbahasa.
Pensyarah Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Norizah Ardi, berkata individu atau kelompok yang gagal memanggil orang lain mengikut gelaran sedia ada berkemungkinan kurang ilmu dan tiada pendidikan menyeluruh berkenaan perkara itu.
“Kegagalan berbahasa mengikut kesesuaian tempat dan masa yang banyak berlaku di kalangan generasi muda ekoran kesukaran membezakan antara urusan rasmi dengan tidak, akibat kurangnya pendedahan berkenaan ilmu sosial dalam pergaulan.
“Mereka patut dididik dengan ilmu dalam pergaulan termasuk cara berbahasa, selain diberi penekanan agar menyelidik latar belakang orang yang ingin dihubungi bagi mengelakkan daripada berlakunya kesalahan akibat kejahilan terhadap status atau gelaran orang terbabit.
“Masyarakat juga perlu sedar dan prihatin dengan sistem dalam kelompok atau kaum tertentu, sebelum mendekati serta berinteraksi dengan mereka, khususnya dalam negara majmuk yang mempunyai pelbagai bahasa mahupun budaya,” katanya kepada Sastera ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam.
Pada masa sama, Dr Norizah menegaskan, individu yang bergelar, berpangkat dan berjawatan tertentu juga perlu menyesuaikan diri serta tahu menggunakan gelaran mereka di tempat yang sesuai agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat setempat.
“Kebelakangan ini, saya sering memerhatikan segelintir individu yang gagal menggunakan gelaran mereka dalam ruang lingkup yang betul seperti gelaran Profesor atau Prof Madya yang sepatutnya tidak wajar digunakan di luar urusan akademik.
“Sekiranya panggilan itu dibuat oleh pelajar atau rakan sekerja selepas waktu pejabat, ia tidak menjadi masalah kerana sudah menjadi kebiasaan, tetapi tidaklah sampai jawatan berkenaan disebut pada acara kejiranan di kawasan kediaman,” jelasnya.
Ketua Bahagian Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Othman Yatim, berkata bahasa menjadi lambang perilaku dan budi masyarakat Melayu sehingga orang Melayu menganggap biadap terhadap kegagalan berbahasa dengan betul dan tepat.
“Kesantunan berbahasa dalam diri seseorang dapat dilihat melalui perspektif cara pergaulan, pengucapan dan penggunaan perkataan yang digunakan kerana kita tidak boleh memanggil orang lain dengan gelaran dan panggilan secara sewenang-wenangnya.
“Dalam sistem kekeluargaan juga, ada sistem hiraki tertentu yang memperlihatkan individu lebih muda perlu menghormati mereka yang lebih tua sehingga ada gelaran tertentu ditetapkan seperti Pak Long, Pak Ngah dan Mak Uda,” katanya.
Prof Othman berkata, ada kalanya niat seseorang itu mungkin baik ketika memanggil orang lain mengikut keselesaannya terutama dalam menjalin hubungan lebih akrab, tetapi dalam konteks budaya mereka tidak tahu istilah itu tidak betul terutama apabila membabitkan individu berpangkat.
“Masalah utama dalam sistem berbahasa adalah soal kesantunan bahasa. Contoh dan teladan bermula daripada ibu bapa yang perlu memberi pendedahan awal kepada anak mereka terhadap cara tepat memanggil dan berbahasa dengan orang lain”, katanya.
Berita Harian: 2010/07/29
Tiada ulasan:
Catat Ulasan