28 Mac 2010

Titik


Walaupun titik merupakan entiti kecil dalam hidup kita, namun peranannya besar. Fungsi titik adalah pelbagai, bergantung pada posisi, gaya dan bilangan titik. Dalam ruangan ini dibincangkan fungsi titik berdasarkan bilangannya.

Fungsi titik berbeza antara bidang ilmu. Maksud titik dalam bahasa adalah berbeza dengan maksud titik dalam Matematik. Dalam ilmu Matematik terdapat hanya satu titik sahaja, sama ada di depan atau di tengah angka. Fungsinya  sebagai pecahan nilai. Misalnya, .2 atau 1.2. Disebabkan titik, maksud RM2000 berbeza dengan maksud RM20.00 meskipun bilangan angka 2 dan 0 sama. Titik dalam Matematik boleh hadir secara nyata (contoh, RM20.00) atau abstrak (contoh, RM2000), namun maksudnya berbeza.


Sebagaimana Matematik, ilmu agama juga mempunyai satu titik. Fungsinya menunjukan tanda riwayat tamat. Hidup dianggap satu perjalanan panjang yang tiada titik (hentian) di tengahnya. Jika perjalanan hidup seseorang menemui titik bererti orang berkenaan telah sampai ke akhir hayat (mati). Mati merupakan satu penyakit yang tiada ubat. Betapa besar cinta seseorang terhadap si mati, jika si mati hidup kembali, dia tetap tidak diterima oleh pencintanya. Ini menunjukan riwayat hidup manusia mempunyai satu titik sahaja.

Dalam bahasa, titik dikenali sebagai tanda baca. Terdapat empat jenis titik, iaitu titik satu (.), titik tiga (...), titik empat (....) dan titik banyak. Tidak diketahui adakah wujud titik dua (..) sebagai tanda baca.

Sebagaimana dalam ilmu agama, titik satu bermaksud tamat atau selesai. Posisi titik satu pada akhir ayat. Setiap akhir ayat ditandai satu titik dan ayat itu dianggap telah sempurna. Tataletak titik mesti berdampingan dengan huruf akhir selepas perkataan terakhir sesuatu ayat.  Peletakan tanda titik secara berasingan dengan huruf terakhir selepas perkataan terakhir sesuatu ayat dianggap salah.

Titik tiga dikenali sebagai elipsis. Maksud elipsis ialah sesuatu yang ada telah sengaja ditiadakan. Ketiadaannya difahami sebagai ada. Contoh ayat, “Aku cinta ... sejak pandangan pertama lagi.” Dalam ayat tersebut nama rujukan seseorang sengaja dihilangkan. Pendengar atau pembaca faham akan nama rujukan yang dihilangkan itu. Rujukan itu mungkin “dia”, “awak”, atau “kamu.”

Titik empat terdiri daripada gabungan titik tiga dengan titik satu. Maksud titik empat ialah sesuatu yang ditiadakan itu terletak di akhir ayat. Tidak ada sebarang ujaran atau maksud lagi selepas elipsis tersebut. Contoh ayat, “Aku tahu dia yang ....” Rujukan  maksud yang dihilangkan itu mungkin “beritahu,” “ambil,” “melakukannya” dan sebagainya. Tiada lagi perkataan selepas titik ke empat.

Titik melebihi empat atau banyak bermaksud ruangan kosong tempat mengisi jawapan atau catatan. Selaian daripada maksud itu, titik banyak tidak mempunyai makna.

Tiada ulasan: