04 April 2010

MENCUNGKIL FEMINISME DALAM CERPEN SUARA HANTU HASIL KARYA NASSURY IBRAHIM

Oleh
Fathanah bt. Che Ismail
Shasha bt. Mazlan
Noor Afifah bt. Abd. Wahab
(Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu)


Kami dikehendaki mengkritik sebuah cerpen menggunakan pendekatan Feminisme. Untuk itu, kumpulan kami memilih cerpen “ Suara Hantu “ hasil karya Nassury Ibrahim. Pendekatan Feminisme merupakan pendekatan yang berkenaan dunia dan imej wanita. Pendekatan ini lahir di Barat akibat rasa tidak puas hati golongan wanita terhadap sikap diskriminasi golongan lelaki. Ia dipelopori oleh Virginia Woolf.

Cerpen ‘Suara Hantu’ menceritakan kehidupan masyarakat di sebuah perkampungan yang diberi nama kampung Che Lijah. Kampung ini telah digemparkan dengan peristiwa yang berlaku ke atas Kak Kiah yang mendengar suara mengerang yang menakutkan dari bukit di belakang rumahnya. Peristiwa yang menimpa Kak Kiah itu dikaitkan dengan makhluk halus, iaitu hantu, yang mendiami kawasan tersebut. Oleh itu, perkhidmatan pawang digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut.


Dalam cerpen ini, terdapat aspek-aspek yang membicarakan tentang imej wanita. Antara imej feminisme yang terdapat dalam cerpen ini ialah ketajaman pendengaran dalam kalangan kaum wanita melebihi kaum lelaki. Hal ini sesuai dengan pendapat Sainstis yang mengatakan bahawa kaum wanita mempunyai enam deria, berbanding lima deria dimiliki kaum lelaki. Deria ke enam itu ialah intuisi atau dalam penulisan ini dinamakan ketajaman pendengaran. Berikut merupakan bukti ketajaman pendengaran deria kaum wanita yang diwakili oleh watak Kak Kiah.


Kak Kiah yang mula-mula mendengarnya. Waktu itu Kak Kiah di telaga mandi.


Bukti ketajaman deria Kak Kiah ialah pada perkataan “mula-mula” yang terdapat di dalam ayat di atas. Ayat di atas menyatakan Kak Kiah adalah orang pertama yang mendengar suara ngeri dari arah bukit di belakang rumahnya, berbanding Abang Sudin. Suara yang ”mula-mula” didengari ialah suara makhluk halus halus yang bermula dengan suara mengeram. Memang, pada kelaziman cerita seram, suara makhluk halus bermula dengan suara mengeram, sebelum diikuti dengan suara mengilai.

Lemah semangat juga merupakan salah satu imej wanita yang dibicarakan, yang terdapat dalam cerpen ini. Kaum wanita harus menerima kenyataan bahawa mereka mempunyai satu kelemahan iaitu lemah semangat. Rasa lemah semangat, lebih-lebih lagi, ketika menghadapi peristiwa yang melibatkan makhluk ghaib dan perkara aneh. Berkenaan hal ini, melalui cerpen Suara hantu, Nassury Ibrahim mencatatkan;

Tiba-tiba pula suara mengerang itu mengilai kuat. Kuat sungguh. Terkejut Kak Kiah. Terpelanting timba di tangan. Kak Kiah lari sampai ke tangga, terus dia melompat ke beranda, dan lompat lagi. Berdebuk jatuh dia di atas betis Abang Sudin yang sedang berlunjur rehat menonton berita.

Unsur ini juga dapat dilihat pada peristiwa apabila Kak Kiah yang dirasuk hantu. Dia tidak mengenali suaminya sendiri dan suaranya berubah menjadi parau. Hal demikian menunjukkan kaum wanita lebih mudah diganggu oleh syaitan terutamanya mereka yang lemah semangat.

Dimanakah bukti yang menunjukkan wanita memerlukan perlindungan lelaki apabila berhadapan dengan sesuatu perkara yang berbahaya dan boleh menggugat keselamatan mereka? Nassury Ibrahim membuktikan dalam ayat di bawah.

Tubuh Kak Kiah menggeletar. Mukanya pucat. Tangannya memeluk Abang Sudin. Kak Kiah menonjol-nonjolkan kepalanya tidak ketentuan ke dada Abang Sudin.

Ayat di atas menjelaskan Kak Kiah berlari mendapatkan perlindungan daripada suaminya setelah mendengar suara mengerang dari bukit di belakang rumahnya mengilai tiba-tiba. Hal ini menunjukkan setiap wanita yang merasa dirinya terancam dan tidak selamat akan mencari orang yang lebih kuat sebagai tempat perlindungannya, seperti Kak Kiah bergantung harap dan berlindung di sebalik suaminya, Abang Sudin. Imej feminisme ini dikuatkan lagi dengan peristiwa Kak Sal, isteri Salleh Ayam yang tidak mahu ke dapur atau ke bilik air jika Salleh Ayam tidak ada bersamanya.

Kaum wanita dalam cerpen ini juga menunjukkan mereka cepat terpengaruh dengan perkara-perkara tahyul dan kurafat. Malah, terpengaruh dengan kepercayaan terhadap kurafat telah menganggu perjalanan hidup masyarakat, khususnya kaum wanita. Hal ini digambarkan melalui ayat di bawah.

Esokannya riuh jiran-jiran bercerita tentang berita Kak Kiah mendengar suara hantu. Mak Cik Munah, jiran Kak Kiah turut mengiyakannya.
...
Asal petang sahaja berduyun-duyun orang berkempung di hadapan rumah Kak Kiah.

Pada situasi itu, Mak Cik Munah turut mendengar apa yang didengar oleh Kak Kiah. Mak Cik Munah berasa tidak selesa dan takut dengan keadaan tersebut.

Imej feminisme lain yang terdapat dalam cerpen ini ialah kaum wanita akan berasa gembira dan selamat apabila mendapati diri mereka bebas daripada bahaya dan ancaman yang boleh menggugat keselamatan mereka. Imej wanita ini dapat dibuktikan dalam ayat di bawah.

“Kiah”, kata Sudin sambil mengukirkan senyuman kepada isterinya yang nampak gembira; kemudian beralih memandang Tuk Penggawa.

Kesimpulannya, berdasarkan imej-imej wanita yang dinyatakan di atas didapati bahawa imej wanita yang ditonjolkan lebih bersifat negatif. Hal ini terjadi mungkin disebabkan cerpen Suara Hantu dihasilkan oleh penulis lelaki. Hal inilah yang ditentang oleh Virginia Woolf kerana ketidakadilan penampilan watak antara watak wanita dengan watak lelaki. Digambarkan wanita mempunyai beberapa kelemahan dan memerlukan perlindungan daripada kaum yang lebih kuat seperti suami, Tok Pawang dan Tok Penghulu, yang semuanya adalah lelaki. Kaum wanita akan asa gembira apabila mendapati diri mereka selamat dan jauh daripada bahaya. Imej ini tentunya akan berubah jika cerpen Suara Hantu dihasilkan oleh penulis wanita.

Rujukan

http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=122

http://ccm.um.edu.my/umweb/fsss/images/persidangan/Kertas%20Kerja/Nor%20Hayati%20Abd%20Rahman.pdf

http://www.penerbit.usm.my/pen2006/Buku_Detail.php?IDBuku=574

http://cetasasbuya.blogspot.com/2008/09/kritikan-feminisme-berkembang-sejak.html.

Tiada ulasan: