21 Oktober 2010

Kemahiran Membaca

Oleh Joelabu

Pendahuluan

Membaca merupakan kemahiran yang sangat berguna dalam kehidupan kita sehari-hari. Melalui pembacaan, seseorang itu dapat memperoleh berbagai-bagai maklumat yang diperlukannya. Kita membaca akhbar kerana hendak mengetahui berita yang disiarkan di dalamnya. Kita membaca pelbagai arahan bertulis dan mematuhinya kerana ingin menjalankan tugas seharian dengan betul dan sempurna . Murid perlu membaca untuk mendapatkan ilmu pengetahuan daripada buku-buku yang dirujuknya.

Takrif Membaca

Membaca boleh diertikan sebagai satu perlakuan mendapatkan maklumat melalui lambang-lambang bertulis atau bercetak. Aktiviti membaca melibatkan dua proses , iaitu :

a. Menterjemahkan lambang bertulis (atau bercetak) kepada bunyi bahasa

b. Mendapatkan maklumat atau makna daripada bunyi-bunyi bahasa yang disuarakan
Tegasnya membaca melibatkan proses mekanis dan proses mental. Untuk menjadi pembaca yang efektif , seseorang itu perlu dapat menyebut perkataan dengan betul dan lancar serta mengetahui makna perkataan yang dibaca.Walau bagaimanapun, dalam proses membaca ,aspek penyebutan kurang penting berbanding dengan keupayaan berfikir, merasai dan membayangkan serta memahami apa yang dibaca. Melalui proses tersebut pembaca dapat memahami isi, maklumat, penerangan atau mesej yang hendak disampaikan oleh penulis.

Pembacaan tidak berlaku dengan pemikiran yang kosong tetapi diiringi dengan tujuan , jangkaan dan pengetahuan serta pengalaman lalu. Kebolehan mengaitkan dan mengintegrasikan segala aspek tersebut sangat penting bagi menghasilkan pembacaan dengan kefahaman.

Tahap Kemahiran Membaca :

a. Tahap Prabacaan
Tahap ini merupakan satu tempoh masa menyediakan murid untuk membaca.Penyediaan dilakukan dengan memberi mereka pengalaman, iaitu mengenal dan mengecam sebelum membaca huruf.Pada tahap ini aktiviti-aktiviti ketajaman penglihatan dan pendengaran ditingkatkan.

b. Tahap Bacaan Mekanis
Pada tahap ini murid sudah boleh menyebut huruf,suku kata, perkataan , frasa dan ayat-ayat mudah.Mereka juga boleh membatangkan perkataan yang mengandungi suku kata terbuka dan tertutup yang bermula dengan konsonan.

Kaedah-kaedah membaca yang sistematik yang boleh digunakan ialah (1) Kaedah Pandang dan sebut; (2) Kaedah Terus; (3) Kaedah Bunyi Kata; dan (4) Kaedah Abjad atau mengeja.

c. Bacaan dan Kefahaman
Kefahaman merupakan pelengkap kepada keperluan bacaan . Tanpa kefahaman terhadap apa yang dibaca perlakuan bacaan itu tidak bermakna. Pada tahap bacaan dan kefahaman ini murid sepatutnya mempunyai keupayaan untuk:

1. Mengumpul maklumat dan makna daripada apa yang dibaca

2. Mentafsir dan menilai sesuatu dengan sepenuhnya tentang apa yang dibaca

KONSEP

Skiming adalah satu kaedah membaca cepat dengan cara mengutip maklumat secara sepintas lalu bagi mendapatkan idea penting. Strategi skiming ini penting kepada pembca yang hendak membaca banyak bahan dalam jangka masa yang singkat dan hanya memerlukan maklumat penting sahaja.

Skiming merupakan proses melihat sepintas lalu ke atas sesuatu perenggan untuk mendapatkan idea utama.

PROSEDUR

Langkah-langkah skiming:

1. Mulakan dengan menyelidiki secara keseluruhan tentang petikan. Carilah maklumat tentang pengarang, tajuk dan maksud keseluruhan tajuk.

2. Tentukan sumber pilihan supaya anda bersedia dengan sesuatu jenis penulisan seperti hujah, teknikal dan sebagainya.

3. Bacalah perenggan pertama, walaupun tidak penting tetapi perenggan ini menjadi asas untuk ‘skim’.

4. Semasa membaca perengan pertama, cuba cakupkan isu utama dan konteks petikan tersebut. ‘Konteks’ ini bermakna bukan sahaja idea dan perkataan tetapi latar kepada petikan tersebut, seperti bila dan mengapa teks itu ditulis; apakah sikap pengarang dan perkara-perkara yang boleh membantu anda untuk memahami tajuk secara umum dan signifikannya.

5. Baca ayat pertama dan ayat akhir bagi setiap perenggan – anda akan dapati idea yang penting dan fakta.

6. Baca perenggan akhir dn teliti – di sini biasanya terdapat unsur-unsur penyimpulan dan rumusan.

Dalam proses membuat skimming anda tidak perlu risau dengan beberapa fakta yang dirasakan tercicir, yang penting ialah idea. Jika anda perlukan maklumat terperinci, bolehlah diulang bacaan pada bahagian-bahagian tertentu. Perkara penting ialah memahami perhubungan antara idea yang dikemukakan dan selepas itu cuba mengecam maklumat sokongan. Kecepatan membuat skiming ini, berbeza-beza di antara seorang dengan seorang yang lain.

CONTOH CARA SKIMING

Skiming daripada surat khabar

Cara 1:

1. Baca ayat pertama daripada bahagian yang hendak diskim kerana ayat pertama memberi ringkasan tentang artikel

2. Beri perhatian kepada berbagai-bagai maklumat boleh didapati dalam sesuatu ayat

3. Buat jangkaan dengan persoalan-persoalan seperti :

• apa

• bila

• di mana

• mengapa
Cara 2:

Gunakan jari petunjuk atau pensel dan gerakkan ke arah bawah dalam corak ‘S’ atau ‘Z’

Mata anda mesti perhatikan jari yang bergerak dan baca beberapa perkataan yang terlibat.

Cara 3:

Gerakkan jari anda lurus ke arah bawah kolum sambil mata anda memerhati blok-blok perkataan dan baca.

Skiming artikel daripada majalah

1. Baca tajuk artikel dan para 1 atau 2

2. Tajuk memberi 'klu' kepada isi yang henak disampaikan oleh pengarang

3. Lepas itu, baca ayat pertama daripada setiap perenggan. Biasanya tiap-tiap perenggan memberi contoah atau sokongan terhadap poin pengarang.

4. Akhir sekali, baca perenggan akhir - selalunya mengandungi kesimpulan penulis.

Soalan-soalan yang boleh dikemukakan untuk menyemak kebolehan membuat skiming.

1. Apakah tajuk artikel ?

2. Apakah idea utama artikel ?

3. Soalan-soalan yang berbentuk salah/betul

4. Apakah cadangan penulis ?

5. Adakah anda bersetuju dengan pengarang ? Mengapa ?



JANGAN BIARKAN MINDA ANDA TERLENA SEWAKTU MEMBACA SKANING

KONSEP

Skaning adalah kemahiran atau keupayaan untuk mendapatkan maklumat secara cepat dan untuk mencari jawapan kepada sesuatu soalan atau maklumat secara khusus.

Skaning bukanlah sesuatu kemahiran yang baru, tetapi tanpa disedari kita telah mengamalkannya setiap hari. Umpamanya, apabila kita hendak mencari nombor telefon daripada buku panduan telefon, atau mencari perkataan daripada kamus, atau mencari tempat daripada peta, atau mencari sesuatu maklumat daripada senarai semak, kita tidak membaca buku atau bahan tersebut. Sebaliknya kita melihat secara sepintas lalu ke atas senarai dan terus mencari maklumat yang diperlukan.

Tujuan skaning untuk menentukan sejauhmana kecekapan kita mencari sesuatu maklumat tertentu (bukan menghabiskan bacaan dengan cepat).

Kecekapan skaning bergantung kepada penumpuan mental.


PROSEDUR

Langkah-langkah untuk skaning:

1. Perkara paling penting ialah menentukan maklumat 'apa' yang hendak dicari.

2. Perhatikan sepintas lalu ke atas bahan dan tumpukan perhatian kepada maklumat yang dicari tanpa mempedulikan perkataan atau angka yang lain.

3. Untuk mempercepatkan proses skaning, boleh juga digunakan kad putih, atau jari anda dan gerakkan secara cepat ke atas barisan perkataan ketika membaca.

4. Anda boleh gunakan panduan-panduan yang ada seperti tajuk kecil, perkataan yang dihitamkan atau 'italic' yang mudah dilihat.

5. Jika anda skan daripada bahan seperti surat khabar, fokus perhatian anda di tengah-tengah kolum dan gerakkan mata anda terus ke bawah.


TINGKATKAN KEGIGIHAN ANDA UNTUK MEMBAIKI KEMAHIRAN MEMBACA

BACAAN PANTAS


KONSEP

Mengikut Dr. Simon Ronald ( Australia ) bacaan pantas merupakan latihan minda yang aktif. Tujuan bacaan pantas melatih mata dan otak membaca dengan tepat setiap ayat atau maklumat dalam satu pergerakan mata. Bacaan pantas memerlukan kecekapan dalam pengecaman perkataan sekali gus menangkap maknanya.

PROSEDUR

Setiap bacaan memerlukan kerjasama erat antara otak dan mata. Mata akan skan ayat sebagai satu unit, manakala otak membaca makna perkataan daripada minda.

Bacaan Intensif

Membaca intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama. Ia melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Biasanya ia dilakukan berdasarkan petikan yang pendek-pendek untuk mengkaji pola-pola kalimat, latihan kosa kata, diskusi umum dan sebagainya. Teks bacaan yang benar-benar sesuai sahaja yang digunakan iaitu bacaan yang dipilih secara berhati-hati dengan mengambil kira bentuk dan isinya. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan intensif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam membaca telaah isi, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan. Sementara membaca telaah bahasa, aspek-aspek yang berkaitan dengan bahasa, ditegaskan.

Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memaham dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Ia juga memberi penekanan kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Latihan-latihan bacaan intensif biasanya memerlukan bimbingan dan bantuan penuh daripada guru-guru.

Konsep-konsep bacaan intensif

1. Ia merupakan satu kegiatan membaca yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi perkembangan pembelajaran bahasa pelajar bawah pimpinan guru.

2. Ia memberi asas untuk pengajar memberi penjelasan atau keterangan tentang struktur yang sukar dan memperkembang perbendaharaan kata.

3. Ia dikaitkan dengan aktiviti mengkaji ciri-ciri tatabahasa, iaitu susunan kata dalam ayat dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh pelajar dalam bacaannya.

4. Ia mengembangkan lagi usaha mengawal penggunaan bahasa dalam pertuturan dan tulisan.

5. Gerak laju dan kelainan latihan adalah dianggap penting.

Tujuan

• Untuk membolehkan kanak-kanak membaca dengan baik, betul dari segi sebutan, intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan baik.

• Untuk mengembangkan kebolehan mentafsir apa yang tertulis dalam bacaan dengan mengkaji susunan kata dalam ayat dan pengertian dalam kamus.

• Membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya.

• Menilai atau mengulas isi yang diperolehi daripada bahan-bahan yang dibaca.

• Mengesan, memaham dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa.

• Mengenal pasti laras-laras bahasa yang pelbagai.

• Membuat rumusan atau kesimpulan daripada bahan bacaan

Bacaan Ekstensif

Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuannya adalah untuk memahami isi-isi penting dengan cepat dan menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara berikut:

1. membaca tinjauan

2. membaca sekilas

3. membaca dangkal

Membaca tinjauan dilakukan sebelum memulakan sesuatu bacaan. Pembaca akan meneliti apa yang akan dibaca terlebih dahulu dengan cara memeriksa, meneliti indeks, daftar kata yang terdapat dalam buku, atau melihat judul, bab, rangka kasar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan.

Membaca sekilas adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan pergerakan mata yang cepat untuk melihat, memperhati bahan-bahan bertulis bagi mencari dan mendapatkan maklumat dan penerangan. Ada tiga tujuan utama dalam membaca sekilas. Pertama, untuk memperoleh suatu kesan umum daripada sesuatu isi bacaan. Kedua, untuk mendapat hal-hal tertentu daripada sesuatu bacaan. Ketiga, untuk mendapat bahan-bahan bacaan daripada perpustakaan.

Membaca dangkal adalah untuk mendapat pemahaman yang dangkal yang bersifat luaran atau tidak mendalam daripada sesuatu bahan yang dibaca. Membaca begini tidak memerlukan pemikiran yang mendalam seperti keadaan membaca karya-karya ilmiah.

Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti-aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan bentuk ini menekankan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memaham, dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca, membina dan mengukuh minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting. Melalui bacaan ini, pelajar-pelajar akan mendapat kepuasan dan keseronokan di samping berpeluang menimba ilmu pengetahuan.

Konsep Bacaan Ekstensif

1. Dilakukan di luar kelas secara sendiri tanpa bimbingan guru

2. Pelajar membaca tanpa menghadapi kesukaran dan seronok

3. Bahan bacaan adalah luas dari segi perbendaharaan kata, sesuai dengan minat, umur, jantina, pengalaman, sikap dan cita-cita pelajar

4. Bahan-bahan yang berbeza

Tujuan

Bacaan ekstensif membolehkan pelajar-pelajar :

1. Membaca dengan cara tersendiri tanpa bimbingan secara langsung daripada orang lain.

2. Membaca dengan fasih dalam bahasa yang dipelajari

3. Mendapat pengetahuan sambil berhibur

4. Memperkaya bahasa - perbendaharaan kata, ungkapan, struktur ayat dan sebagainya

5. Memberi peluang murid-murid terutama yang cerdas untuk meluaskan bacaan dan membina daya kreatif

6. Menambah minat membaca

7. Membina daya berfikir dan membentuk sikap yang baik

8. Mempertingkat mutu dan kepantasan membaca

9. Memperluas dan mempertingkat tahap penguasaan bahasa

10. Membentuk tabiat gemar membaca, membuat rujukan dan menggunakan perpustakaan

11. Mendedahkan murid kepada pelbagai laras bahasa

Dicatat oleh joelabu72 di 2:12 PM

Label: Nota PGSR


STRATEGI-STRATEGI MEMBACA DENGAN BERKESAN SKIMING

Tiada ulasan: