MENINGKATKAN PENGUASAAN PENGGUNAAN HURUF BESAR DALAM KALANGAN MURID TAHUN TIGA BESTARI
SITI SAADIAH BINTI OSMAN
(Bekas pelajar PISMP (BM) IPG Kampus Kota Bharu. Ini ringkasan kajian di bawah penyeliaan Encik Azaha Ibrahim dan Encik Maniyamin Ibrahim)
1.0 PENGENALAN
Kemahiran menulis amat penting dan perlu dikuasai oleh murid – murid. Penguasaan yang baik dalam kemahiran menulis ini membolehkan murid – murid melahirkan idea dan pendapat serta pandangan mereka melalui penulisan. Kemahiran menulis yang baik juga dipengaruhi oleh penguasaan aspek tatabahasa yang baik oleh seseorang murid. Aspek tatabahasa yang terangkum dalam bidang morfologi ini mempunyai cakupan ilmu yang luas. Salah satu daripadanya ialah aspek tanda baca. Murid – murid memandang remeh terhadap aspek tanda baca. Walhal, tanpa mereka sedari, aspek tanda baca mempengaruhi markah bagi peperiksaan mereka terutama pada bahagian penulisan karangan. Saya telah mengenal pasti kesalahan yang sering dilakukan oleh murid ialah dalam segi penggunaan huruf besar dalam penulisan ayat. . Oleh yang demikian, saya akan menjalankan satu penyelidikan dalam salah satu aspek masalah yang sering dilakukan oleh murid – murid iaitu dalam aspek tatabahasa. Kesalahan yang dimaksudkan ialah dari segi penggunaan huruf besar dalam penulisan ayat. Murid – murid mengambil sikap sambil lewa terhadap kesalahan ini. Mereka tidak menggunakan huruf besar pada tempat yang betul. Sebagai contohnya, pada permulaan ayat, pada awal kata nama khas dan sebagainya. Penyelidikan ini dijalankan terhadap murid – murid kelas 3 Bestari yang dikenal pasti berdasarkan ujian yang dirancangkan. Saya ingin meningkatkan kemahiran murid dalam penggunaan huruf besar ini supaya kesalahan ini tidak menjejaskan markah peperiksaan murid.
2.0 FOKUS KAJIAN
Saya mengajar di kelas 3 Bestari yang terdiri daripada 44 orang murid yang tidak banyak masalah pembelajaran disebabkan mereka merupakan murid – murid yang pandai dan berada di kelas yang pertama bagi tahap itu. Semasa menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, saya mendapati kebanyakan murid melakukan kesilapan dalam penulisan huruf besar, sama ada dalam menulis perkataan, ayat mahupun karangan pada tempat yang sepatutnya. Oleh yang demikian, kajian ini difokuskan kepada meningkatkan penguasaan penggunaan huruf besar dalam kalangan murid ini .
Hasil daripada pemerhatian, saya mendapati masalah yang dihadapi oleh murid disebabkan murid keliru dalam aspek penggunaan huruf besar serta keliru dengan konsep penggunaan kata nama am dan kata nama khas . Oleh itu saya telah melaksanakan teknik pengajaran berkumpulan, teknik warna dan latih tubi bagi mengatasi masalah murid.
Saya merasakan bahawa masalah ini dapat diselesaikan dengan menggunakan teknik dan strategi yang sesuai. Ini berdasarkan tinjauan yang telah dilakukan oleh saya terhadap masalah penggunaan huruf besar yang pernah dilakukan oleh pengkaji terdahulu antaranya Zailan (2005), Meimon (2009), Noraini (2009), Madihah (2005), Zaridah (2006), Abdul Karim@ Husaini (2003), Senua@Senia Chundi (2003) dan Mahmud (2003).
Perkara yang sama juga berlaku di sekolah tempat saya mengajar iaitu di Sekolah Kebangsaan Islah. Walaupun banyak kajian telah dilakukan di tempat lain, namun masih belum ada kajian tentang masalah penggunaan huruf besar dilakukan di sekolah ini. Maka wajarlah kajian ini dilakukan bagi meningkatkan Kemahiran Penguasaan Penggunaan Huruf Besar Dalam Kalangan murid Tahun Tiga Bestari ini.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk (a) meningkatkan penguasaan penggunaan huruf besar dalam kalangan murid dalam kalangan murid Tahun Tiga Bestari; (b) menilai keberkesanan teknik warna dan latih tubi bagi mengatasi masalah penggunaan huruf besar yang betul dalam penulisan ayat murid Tahun Tiga Bestari; dan (c) Mengukur perubahan pencapaian murid dalam penggunaan huruf besar.
4.0 KUMPULAN SASARAN
Kajian ini telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Islah yang terletak di kawasan bandar Kota Bharu. Kajian yang dijalankan oleh saya ini adalah terhadap murid Tahun Tiga Bestari. Kelas ini merupakan kelas yang pertama bagi tahun tiga di sekolah ini. Murid – murid dalam kelas ini terdiri daripada 44 orang iaitu 14 lelaki dan 30 perempuan. Saya telah menjalankan ujian diagnostik ke atas 44 orang murid ini bagi mengenal pasti responden yang bermasalah. Hasil ujian diagnostik ini dianalisis dan seramai tujuh orang murid telah dijadikan responden kajian.
5.0 TINDAKAN
5.1 Tinjauan Masalah
Dalam peringkat tinjauan masalah ini saya telah membuat pemerhatian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di dalam kelas. saya mendapati murid – murid mengalami masalah dalam penulisan ayat. Kesalahan yang dilakukan adalah dalam aspek penulisan huruf besar. Saya turut melihat rekod murid, buku latihan dan markah ujian bulanan bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan permasalahan yang dikenal pasti. Selain itu, saya turut berbual bersama guru kelas dan guru yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu di kelas tersebut.
5.2 Pelaksanaan Tindakan
5.2.1 Sesi pengajaran berkumpulan
Saya menerangkan konsep kata nama khas dan kata nama am kepada responden. Saya telah meminta responden mengkategorikan kata nama khas dan kata nama am berdasarkan petikan yang telah diberikan. Selain itu, dalam strategi ini juga saya telah menerangkan konsep kata nama khas mengikut kategori masing – masing dan meminta responden mengklasifikasikan kata nama khas mengikut kumpulannya.
5.2.2 Menulis setiap huruf besar dengan menggunakan pensel warna
Saya telah menggunakan teknik warna ini dalam latih tubi yang diberikan kepada responden. Disebabkan setiap responden mempunyai masalah yang berbeza dalam aspek penggunaan huruf besar ini, saya telah menyediakan latihan yang berbeza bagi setiap responden mengikut permasalahan yang dihadapi. Responden perlu menggunakan pensel warna dalam setiap huruf besar yang terdapat dalam ayat. Item latihan adalah seperti berikut :
1. Membaca ayat yang diberi tanpa penggunaan huruf besar.
2. Menyalin semula ayat tersebut dengan menggunakan huruf besar pada tempat yang betul menggunakan pensel warna.
Dalam situasi ini,responden menulis setiap huruf besar dengan menggunakan pensel warna melalui latih tubi. Setiap permulaan huruf sama ada dalam perkataan atau ayat yang berhuruf besar perlu ditulis dengan menggunakan pensel berwarna. Ini bagi membantu daya ingatan responden terhadap penggunaan huruf besar melalui teknik warna.
5.2.3 Mengenal pasti kata nama khas dalam teks yang dibaca.
Saya telah menjalankan strategi yang ketiga iaitu mengenalpasti kata nama khas yang terdapat dalam petikan yang dibaca. Saya telah mengedarkan surat khabar kepada responden dan ketujuh – tujuh orang responden diminta mengenal pasti kata nama khas yang terdapat dalam petikan akhbar yang dipilih oleh mereka. Saya juga telah menggunakan teknik bacaan buku cerita binatang bagi responden yang mengalami masalah dalam penggunaan huruf besar dalam Kata Nama khas Haiwan. Saya meminta responden membaca buku cerita binatang yang terdapat dalam pusat sumber sekolah dan seterusnya mengenal pasti dan menyenaraikan Kata Nama Khas Haiwan yang terdapat dalan cerita binatang tersebut.
Saya juga menjalankan teknik bimbingan dalam membantu responden mengatasi masalah yang dihadapi oleh mereka. Aktiviti ini dijalankan sekali dalam tempoh kajian. Teknik bimbingan ini dapat mendekatkan diri saya dengan responden dan memudahkan proses peneguhan dan penambahbaikan dilakukan. Aktiviti yang dijalankan adalah :
1. Membaca ayat mudah yang lengkap dengan penggunaan huruf besar.
2. Mengecam penggunaan huruf besar pada ayat tersebut.
3. Menyalin semula ayat tersebut dengan menggunakan huruf besar di tempat yang sesuai menggunakan warna.
6.0 DAPATAN KAJIAN
Saya telah menjalankan ujian pra dan ujian pos ke atas responden yang terlibat. Perbandingan markah bagi ujian pra dan pos mengikut kategori permasalahan adalah seperti di bawah :
BIL | NAMA | UJIAN PRA | UJIAN POS | ||||||
KT ( % ) | KB ( % ) | KH ( % ) | KHR ( % ) | KT ( % ) | KB ( % ) | KH ( % ) | KHR ( % ) | ||
1 2 3 4 5 6 7 | Muhamad Syazwan bin Mustapha Wan Muhammad Afif bin Wan Maizudin Iryani Akmal binti Ahmad Bakri Nur Afrina Shazleen binti Muhamad Shahidi Nur Damia Batrisyia binti Zulkalnain Nur Shahnaz binti Muhd Affendy Sharifah Musyaibah binti Syed Kamal | - 65 - 60 65 - - | 45 - - 65 - 30 25 | 65 50 60 - 65 - - | 40 - 50 - - - - | - 90 - 95 95 - - | 100 - - 85 - 90 85 | 90 90 85 - 95 - - | 95 - 95 - - - - |
PETUNJUK
KT – Kata Nama Khas Tempat
KB – Kata Nama Khas Benda
KH – Kata Nama Khas Haiwan
KHR – Kata Nama Khas Hari
Setiap responden kajian mengalami masalah yang berbeza dalam aspek penggunaan huruf besar ini. Tiga orang responden mengalami masalah dalam penulisan kata nama khas tempat. Keputusan ujian pos menunjukkan peningkatan pencapaian mereka dengan perbezaan min sebanyak 30 markah. Manakala terdapat empat orang responden mengalami masalah dalam menulis kata nama khas benda. Peningkatan markah yang diperoleh mereka pada ujian pos menunjukkan bahawa objektif kajian adalah tercapai. Ini dibuktikan dengan perbezaan min markah bagi ujian pra dan pos kata nama khas benda ini iaitu sebanyak 48.75 markah. Seterusnya, empat orang responden juga mengalami masalah dalam menulis kata nama khas haiwan. Namun, selepas analisis ujian pos dibuat, saya mendapati berlaku peningkatan pencapaian pada keempat – empat responden ini. Perbezaan min markah ujian pra dan ujian pos kata nama khas haiwan ini adalah sebanyak 30 markah. Analisis yang dibuat terhadap dua responden yang mengalami masalah dalam menulis kata nama khas hari juga telah menunjukkan peningkatan dan dibuktikan dengan perbezaan min markah sebanyak 50 markah.
7.0 PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN
Kesemua aktiviti yang dijalankan banyak membantu menjayakan kajian tindakan yang saya jalankan ke atas semua responden. Saya mendapati bahawa ketujuh – tujuh responden menunjukkan peningkatan pencapaian mereka dalam pasca ujian berbanding pra ujian. Perkara ini membuktikan bahawa kajian untuk meningkatkan penguasaan penggunaan dalam kalangan murid ini telah berjaya dilaksanakan.
8.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA
Memandangkan aktiviti yang dijalankan telah dapat meningkatkan penguasaan murid dalam penggunaan huruf besar ini maka saya bercadang untuk memperluaskan kajian terhadap aspek tanda baca dan ejaan. Saya turut bercadang untuk melakukan kajian ini terhadap semua murid tahun tiga di sekolah ini.
9.0 RUJUKAN
Abdul Kadir Bin Hj Amin. ( 1996 ). Analisis Kesilapan Bahasa dalam Pendidikan Bahasa. Jurnal Kajian Pendidikan Guru Bilangan 2 1996 ( Februari ). Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Abdul Karim Bin Haji Jawi. ( 2003 ). Meningkatkan Penguasaan Murid Tahun 5 Hudiya dalam Aspek Tanda Baca dengan Kaedah Pembelajaran Khususserta Bimbingan Rakan Sebaya. Prosiding Seminar Kajian Tindakan 2003 Anjuran Bersama MPTAR dan JPB Sri Aman-Betong.
Esa Bin Awang dan Md. Hatta Md.Nor. ( 2003 ). Tahap Penguasaan Tatabahasa Bahasa Melayu di Kalangan Guru Pelatih KDPM di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim Johor Bharu. Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim.
Hasnalee Bin Tubah. ( 2008 ). Tahap Penguasaan dan Kesukaran Membaca dan Menulis dalam Kalangan Murid KIA2M. Jurnal Penyelidikan Pendidikan 2008 Institit Pendidikan Tun Abdul Razak, Kota Samarahan Sarawak.
Semya Chundi. ( 2003 ). Menangani Masalah Mengenal dan Menyebut Huruf Besar Seorang Murid Tahun 4 dengan Pendekatan Latih Tubi. Prosiding Seminar Kajian Tindakan 2003. Anjuran Bersama MPTAR dan JPB Sri Aman-Betong.
Siti Zainab bt Haji Md Saman. ( 2003 ). “Jadual Formula Warna” Kaedah untuk Menerangkan Fakta. Penyelidikan Meningkatkan Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan