Retibasa merupakan akronim kepada mengerti / faham /reti bahasa. Setiap bangsa mesti reti dan sayang pada bahasanya. Bukti retibasa ialah melalui penggunaannya dalam segala bidang ilmu dan pengurusan pentadbiran.
Oleh Hidayatul Akmal Hashim, Norfasihah Mohamad dan Norsuriaty Ahmad Sarkawi
PENDAHULUAN
Lazimnya kita mengetahui bahawa penguasaan bahasa pertama berlaku secara semula jadi semenjak kecil lagi. Pada tahap ini, pengetahuan bahasa diperolehi secara tidak langsung atau tidak formal. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) :
“Mereka dapat menguasai bahasa itu dengan cara ‘memperoleh’ bukan melalui proses pembelajaran. Mereka hanya perlu didedahkan kepada bahasa ibunda mereka dan secara tidak disedari mereka akan pandai dengan sendirinya menggunakan bahasa itu.”
Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Bahasa mesti dipelajari secara formal dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Oleh itu, dorongan (rangsangan) dan sikap positif adalah perlu.
Menurut Wilhelm Von Humbolt,seorang sarjana Jerman,bahasa bermaksud satu sintesis daripada bunyi yang dibentuk oleh bentuk luaran dan fikiran yang dibentuk oleh bentuk dalaman. Bahasa pertama ialah bahasa yang mula-mula sekali diperoleh dan dikuasai oleh seseorang sejak dia masih kanak-kanak, iaitu sebelum dia mempelajari sesuatu bahasa asing atau bahasa kedua. Bahasa pertama ini sering juga disebut sebagai bahasa kandung atau bahasa ibunda.
Oleh; Mohd Imran Sofwani, Khairudin Ruslee dan Mohd Khairi Ariffin
Pengenalan
Sastera merupakan satu bidang yang amat unik. Keunikan bidang sastera akan dirasai apabila kita menyelami dunia sastera bersama-sama dengan tokoh-tokoh sastera ataupun dengan tokoh kritikan. Akan tetapi, anak muda masa kini terutama yang melibat pelajar ipt sekarang kurang meminati bidang sastera. Namun, semua ini bukanlah satu penghalang kepada kumpulan kami untuk menyelami bidang sastera seterusnya menyiapkan tugasan ringkas yang telah diberikan kepada kami. Setelah diundi, kami telah bernasib baik kerana dihadiahkan tajuk pendekatan memahami teks melalui kaedah global. Jadi, pada bahagian seterusnya kami akan menghuraikan serba sedikit perihal kaedah global beserta contoh-contoh yang bersesuai.
Oleh Nik Arrafi, Muhammad Adam Rosali dan Mohd Nurun Syuhada
Lagu – lagu tradisi rakyat adalah lagu-lagu yang telah terlalu tua usianya dan tidaklah dapat dikesan dengan setepatnya bilakah ianya telah bermula. Namun satu andaian yang mungkin boleh dipakai ialah ianya wujud semasa masyarakat Melayu menganuti fahaman animism lagi. Lalu dalam hal ini; lagu-lagu tradisi begini boleh kita klasifikasikan sebagai juga satu bentuk sastera lama dalam genre puisi.
Laras bahasa sastera boleh dilihat dari dua aspek, iaitu laras bahasa kreatif dan laras bahasa ilmiah yang memperkatakan bidang sastera.
Laras bahasa kreatif merupakan bentuk yang terhasil daripada gaya cipta atau gabungan di antara cetusan imaginasi dengan pengalaman pengarang. Laras ini berfungsi sebagai media untuk menyampaikan mesej, pengalaman dan bentuk perasaan kepada pembaca.Ia merupakan saluran untuk mengungkapkan ekspresi dan pemikiran, memperlihatkan nilai seni dan estetika yang tergabung dalam satu bentuk pemakaian yang segar lagi bertenaga. Karya kreatif ini biasanya wujud dalam bentuk-bentuk prosa (cerita, cerpen dan novel), puisi (syair, pantun, sajak) dan drama (filem, teater, dan pementasan).
Laras bahasa ilmiah yang memperkatakan bidang sastera lazimnya wujud dalam bentuk kritikan sastera dan ulasan buku. Bidang yang sering diperkatakan termasuklah plot, tema, teknik, latar, sudut pandangan, watak dan perwatakan. Laras bahasa sastera ini memperlihatkan ciri-cirinya yang tersendiri.
Laras bahasa sastera yang bermutu tinggi memerlukan kejelasan, perpautan, kesatuan serta bentuk gaya yang dipelbagaikan. Penggunaan bahasanya bermula daripada fonem, iaitu satu unit linguistik yang terkecil (melibatkan unsur aliterasi, dan asonansi), kemudian pemilihan kata sehinggalah kepada unsur wacana yang lebih luas. Unsur-unsur inilah yang berperanan bagi mengungkapkan penulisan yang bermutu, berkesan serta indah.
ORANG Melayu sangat memandang tinggi budaya masyarakat yang bersopan santun sehingga nama panggilan terhadap seseorang dapat menentukan sikap, kelas sosial, pendidikan dan hubungan antara pemanggil dan individu yang dipanggil, sekali gus memperlihatkan keperibadian mereka.
Bagaimanapun, arus kemodenan yang mengasak masyarakat Melayu semakin menyingkirkan kepekaan sebahagian anggota masyarakat terhadap perkara ini sehingga sistem panggilan dan gelaran tidak lagi membawa ciri istimewa yang pernah diguna pakai bangsa terbabit.
Sikap ambil mudah dengan sistem panggilan rasmi terutama golongan berpangkat dan berusia, ada kalanya menjejaskan kredibiliti pemanggil sehingga yang terpancar ialah sikap tidak prihatin individu berkenaan terhadap penggunaan bahasa panggilan yang tepat.
Pernah terjadi budayawan Melayu, Azah Aziz, dirujuk sebagai Kak Azah oleh pemanggil yang berpangkat anak jika usia dijadikan sebagai landasan ukuran pada satu acara rasmi disebabkan kesantunan dan kebolehan berbahasa yang terbatas.
Azah yang sering merujuk dirinya dan dipanggil Kak Azah, lalu memberi laluan kepada pemanggil dengan menyatakan dirinya sepatutnya dirujuk sebagai Ibu Azah atau Bonda Azah dan faham kesilapan itu kerang semakin bangsa apalagi generasi kurang kesantunan dan kebolehan berbahasa.
Pensyarah Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Norizah Ardi, berkata individu atau kelompok yang gagal memanggil orang lain mengikut gelaran sedia ada berkemungkinan kurang ilmu dan tiada pendidikan menyeluruh berkenaan perkara itu.
“Kegagalan berbahasa mengikut kesesuaian tempat dan masa yang banyak berlaku di kalangan generasi muda ekoran kesukaran membezakan antara urusan rasmi dengan tidak, akibat kurangnya pendedahan berkenaan ilmu sosial dalam pergaulan.
“Mereka patut dididik dengan ilmu dalam pergaulan termasuk cara berbahasa, selain diberi penekanan agar menyelidik latar belakang orang yang ingin dihubungi bagi mengelakkan daripada berlakunya kesalahan akibat kejahilan terhadap status atau gelaran orang terbabit.
“Masyarakat juga perlu sedar dan prihatin dengan sistem dalam kelompok atau kaum tertentu, sebelum mendekati serta berinteraksi dengan mereka, khususnya dalam negara majmuk yang mempunyai pelbagai bahasa mahupun budaya,” katanya kepada Sastera ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam.
Pada masa sama, Dr Norizah menegaskan, individu yang bergelar, berpangkat dan berjawatan tertentu juga perlu menyesuaikan diri serta tahu menggunakan gelaran mereka di tempat yang sesuai agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat setempat.
“Kebelakangan ini, saya sering memerhatikan segelintir individu yang gagal menggunakan gelaran mereka dalam ruang lingkup yang betul seperti gelaran Profesor atau Prof Madya yang sepatutnya tidak wajar digunakan di luar urusan akademik.
“Sekiranya panggilan itu dibuat oleh pelajar atau rakan sekerja selepas waktu pejabat, ia tidak menjadi masalah kerana sudah menjadi kebiasaan, tetapi tidaklah sampai jawatan berkenaan disebut pada acara kejiranan di kawasan kediaman,” jelasnya.
Ketua Bahagian Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Othman Yatim, berkata bahasa menjadi lambang perilaku dan budi masyarakat Melayu sehingga orang Melayu menganggap biadap terhadap kegagalan berbahasa dengan betul dan tepat.
“Kesantunan berbahasa dalam diri seseorang dapat dilihat melalui perspektif cara pergaulan, pengucapan dan penggunaan perkataan yang digunakan kerana kita tidak boleh memanggil orang lain dengan gelaran dan panggilan secara sewenang-wenangnya.
“Dalam sistem kekeluargaan juga, ada sistem hiraki tertentu yang memperlihatkan individu lebih muda perlu menghormati mereka yang lebih tua sehingga ada gelaran tertentu ditetapkan seperti Pak Long, Pak Ngah dan Mak Uda,” katanya.
Prof Othman berkata, ada kalanya niat seseorang itu mungkin baik ketika memanggil orang lain mengikut keselesaannya terutama dalam menjalin hubungan lebih akrab, tetapi dalam konteks budaya mereka tidak tahu istilah itu tidak betul terutama apabila membabitkan individu berpangkat.
“Masalah utama dalam sistem berbahasa adalah soal kesantunan bahasa. Contoh dan teladan bermula daripada ibu bapa yang perlu memberi pendedahan awal kepada anak mereka terhadap cara tepat memanggil dan berbahasa dengan orang lain”, katanya.