04 Ogos 2010

Pemimpin dan Kepimpinan


PENDAHULUAN
Apakah faktor-faktor yang menyebabkan segelintir sahaja individu ataupun ketua yang berjaya menjadi pemimpin berkesanPersoalan ini sudah lama cuba dijawab oleh pakar-pakar yang mengkaji bidang kepemimpinan. Untuk menjawab teka-teki itu mereka mengemukakan dua penjelasan, iaitu kepemimpinan yang berkesan datang daripada dua sumber, iaitu ciri-ciri peribadi seseorang pemimpin dan pola tingkah laku pemimpin.


Dua ciri utama ciri-ciri individu yang akan menjadi pemimpin ialah pertama, sejak kecil lagi mereka sudah mempunyai cita-cita yang tinggi, dan kedua mereka tahu apa yang mereka mahu. Mereka tahu bahawa mereka hendak menjadi seorang  pemimpin. Dalam lain perkataan, teori ini mengatakan para pemimpin sejak kecil-kecil lagi sudah ‘berjiwa besar’.

Lazimnya orang mengatakan para pemimpin ialah mereka yang bergiat dalam aktiviti politik. Memang ramai ahli politik yang mempunyai ciri-ciri pemimpin, tetapi ramai juga individu-individu yang tidak bergiat di dalam bidang politik juga mempunyai bakat pemimpin. Sebagai contoh, ramai tokoh usahawan dan tokoh korporat mempunyai bakat kepemimpinan yang amat tinggi. Malah bakat kepemimpinan juga terserlah di kalangan ahli-ahli sukan dan pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan sukarela.

TAKRIFAN PEMIMPIN
Pemimpin akan menentukan hala tuju dan jatuh bangun masyarakat itu. Dia bukan sahaja bertanggungjawab untuk memastikan setiap anggota masyarakat mendapat gambaran yang jelas terhadap setiap polisi, arahan dan tugas tetapi juga memastikan setiap arahan dan tugas berkenaan dipatuhi dan dituruti oleh anak buahnya.

Pemimpin juga memegang satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab dan ditegah supaya dapat mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu, adil dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap kebajikan kelompok di bawah kepemimpinan mereka. Ilmu dan kefahaman perlu ada pada seorang pemimpin. Ilmu dan kefahaman ini akan memeliharanya dari pada membuat keputusan yang bercanggah dengan syariah.

TAKRIFAN KEPEMIMPINAN
Kepemimpinan telah menjadi objek kajian sejak permulaan abad ini. Pada hari ini, terdapat berbagai definisi untuk kepemimpinan efektif hasil daripada penyelidikan empirikal. Berikut adalah beberapa definisi kepemimpinan:

a)        Kepemimpinan ialah mempengaruh, membimbing pengikut ke satu arah, haluan, tindakan dan pendapat.
b)        Kepemimpinan ialah proses untuk mempengaruhi aktiviti satu kumpulan ke arah mencapai satu matlamat.
c)        Kepemimpinan ialah interaksi dua hala antara seorang pemimpin dengan setiap subordinatnya.
d)       Kepemimpinan ialah menambah pengaruh ke atas suibordinat supaya mereka mematuhi peraturan dan arahan organisasi.
e)        Kepemimpinan ialah pengaruh yang efektif.
f)         Kepemimpinan ialah mengguna kuasa yang tidak dapat dielakkan untuk mempengaruhi fikiran dan tindakan orang lain.

Walaupun terdapat perbezaan dari segi definisi kepemimpinan, namun terdapat persamaan . dua konsep penting. Pertama, kepemimpinan ialah hubungan antara atau lebih orang di mana pengaruh dan kuasa ditabuh dengan tidak saksama. Konsep kedua ialah pemimpin tidak boleh wujud berseorangan.

CIRI-CIRI PEMIMPIN
(a)        Semangat
Seorang pemimpin perlu mempunyai cita-cita, ketabahan, ketekunan tekad, daya usaha, tenaga dan hasrat untuk berjaya.
(b)       Kebijaksanaan dan kepintaran
Seorang pemimpin yang bijaksana adalah pemimpin yang memilih kecerdasan yang baik. Dengan kecerdasan yang baik atau akal yang panjang, dia dapat menggunakan pertimbangan akalnya, atau budi bicaranya dengan adil dan saksama bagi kepentingan orang ramai dan bukan untuk kepentingan dirinya sendiri. Tambahan pula, mereka juga berupaya menggabungkan dan mentafsirkan maklumat-maklumat yang banyak.

(c)        Keyakinan diri
Seseorang pemimpin percaya pada keupayaan diri sendiri. Justeru, pemimpin harus mempunyai disiplin peribadi , boleh diteladani dan sentiasa menjadi contoh.

(d)   Dorongan Kepemimpinan
Pemimpin harus mempunyai hasrat yang tinggi mahu mempengaruhi individu-individu lain supaya menyokong usaha bagi mencapai tujuan dan matlamat yang sudah ditetapkan.

(e)        Berpengetahuan dan berpengalaman
Pemimpin bukan sahaja memiliki keahlian atau ketrampilan dalam bidangnya, tetapi juga mempunyai minat yang mendalam dalam bidang itu supaya dia berupaya memberi tunjuk ajar dan pimpinan yang lebih berkesan.

(f)        Kreativiti
Pemimpin berupaya mencipta idea-idea yang baru dan berguna supaya dapat menghasilkan kerja yang lebih berkualiti dan berkesan.

(g)        Fleksibiliti
Pemimpin harus pandai menyesuaikan diri dengan keperluan individu-individu yang mereka pimpin dengan keperluan situasi dan masa. Ciri ini membolehkan para pemimpin mengenal pasti tindakan-tindakan yang sewajarnya mereka ambil dalam keadaan-keadaaan tertentu dan melaksanakan tindakan itu.
(h)       Sihat dari segi jasmani dan rohani
Pemimpin memiliki kestabilan emosi, tabah dan sabar, tidak mudah naik darah tetapi tenang dalam menghadapi sebarang masalah dan cabaran, tahu memilih dengan tepat dan tahu perkara yang harus didahulukan.

(i)         Kejujuran, amanah dan integriti
Tanpa sifat amanah, pemimpin itu tidak akan mendapat kepercayaan daripada ahli-ahli. Keutuhan dan kestabilan sesebuah pertubuhan itu banyak bergantung kepada sifat jujur serta amanah para pemimpinnya.

(j)        Sifat terbuka
Pemimpin yang baik suka berterus-terang, tidak menyembunyikan sesuatu sehingga menjadikan para anggota persatuan menaruh perasaan syak wasangka. Selain itu, dia juga mudah dihubungi dan ditemui pada bila-bila masa.

PERANAN PEMIMPIN
(a)     Perancangan dan penganjuran
Menentukan objektif dan strategi jangka panjang, memperuntukkan sumber berdasarkan keutamaan, menentukan cara menggunakan kakitangan dan sumber untuk menyempurnakan tugas dengan cekap dan memastikan cara untuk mempertingkatkan koordinasi, produktiviti dan kecekapan untuk organisasi tersebut.

(b)     Penyelesaian masalah
Menentukan masalah berkaitan tugasan, analisis masalah tepat pada masanya tetapi secara sistematik untuk memastikan sebab dan cari penyelesaian dan bertindak secara tegas supaya dapat menyelesaikan masalah penting atau krisis.


(c)      Menjelaskan peranan dan objektif
Memberikan tugasan, memberikan arahan cara melakukan kerja dan menerangkan dengan yang jelas berkaitan tanggungjawab, objektif tugas, tarikh akhir dan jangkaan pencapaian.

(d) Menjalin perhubungan
Apabila seseorang itu dipilih ataupun dilantik menjadi pemimpin dia semestinya menjalin perhubungan yang baik dengan pelbagai pihak yang mempunyai kaitan dengan organisasi yang dipimpinnya. Pemimpin juga semestinya menjalin perhubungan baik dengan individu-individu yang berada di bawah pimpinannya, dengan ketua-ketuanya sendiri, dengan pemimpin-pemimpin lain yang menjadi rakan sejawatnya, dengan individu-individu lain di luar organisasi yang dipimpinnya dan dengan mereka yang akan terjejas oleh keputusan-keputusan yang diambilnya selaku pemimpin. Dia semestinya menjalin perhubungan baik dengan semua pihak kerana kejayaan seseorang pemimpin bergantung kepada sokongan dan kerjasama pihak-pihak lain. Sebagai pemimpin, tugas utamanya ialah mendorong individu-individu yang dipimpinnya supaya berjaya melakukan apa yang mereka lakukan pada tahap cemerlang. Ini hanya dapat dilakukan apabila pemimpin itu mempunyai perhubungan yang baik dengan mereka yang berada di bawah kepemimpinannya.

(e)        Menerima dan memberi maklumat
Sebagai pemimpin seseorang itu perlu menjalin perhubungan yang baik dengan semua pihak kerana dia memerlukan maklumat, baik maklumat berkenaan perkara-perkara di dalam mahupun di luar organisasi yang dipimpinnya. Sebagai contoh, dia perlu mengetahui siapa yang menjadi punca masalah-masalah yang berlaku di dalam organisasinya, siapa yang paling kuat bekerja, apa masalah yang ada, apa yang sedang dilakukan oleh para pesaingnya, apa peluang-peluang baru yang ada, dan banyak lagi. Individu-individu yang dipimpinnya dan rakan-rakan sejawatnya pula memerlukan banyak maklumat daripadanya untuk membantu mereka menjalankan tugas-tugas mereka dengan lebih berkesan. Setiap maklumat yang diterima perlu dinilai dan ditafsir dengan teliti kerana maklumat-maklumat itu berguna untuk membuat pelbagai keputusan.

(f)        Membuat keputusan
Sebagai pemimpin, seseorang itu membuat bermacam-macam keputusan seperti keputusan yang melibatkan wang, individu-individu lain, masa dan banyak lagi. Untuk membuat keputusan yang tepat seseorang memerlukan banyak maklumat yang relevan dan betul. Selain daripada membuat keputusan berkenaan projek-projek baru, idea-idea baru, strategi-strategi baru dan lain-lain seperti itu, seseorang pemimpin semestinya membawa perubahan dan pembaharuan kepada organisasinya dan individu-individu yang dipimpinnya. Untuk itu, pemimpin terpaksa membuat pelbagai keputusan yang penting dan berisiko. Satu lagi tugas pemimpin yang melibatkan fungsi membuat keputusan ialah tugas perundingan. Seringkali sebagai pemimpin seseorang itu semestinya berunding dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan persetujuan, sokongan, dan kerjasama mereka. Dia perlu membuat keputusan-keputusan pada akhir proses perundingan itu. Keputusan-keputusan yang dibuatnya itu pula tidak terhad pada keputusan-keputusan yang penting pada hari itu sahaja, tetapi keputusan-keputusan yang penting pada masa depan.

(g) Pengawasan
Pengumpulan maklumat berkaitan aktiviti kerja dan keadaan luaran yang mempengaruhi kerja, memeriksa perkembangan dan kualiti kerja, menilai persembahan individu dan unit organisasi, analisis arah aliran dan meramal peristiwa luaran.

(h)   Motivasi dan mengilhamkan
Menggunakan teknik pengaruhan yang wujud pada emosi atau logik untuk menjana semangat bekerja, iltizam kepada objektif tugas, dan pematuhan terhadap permintaan untuk kooperasi, bantuan sokongan atau sumber, dan membentuk suatu contoh sikap yang sesuai.

(i)     Sebagai eksekutif
Menyelaraskan aktiviti-aktiviti kelompok supaya tidak terdapat percanggahan. Kalau semua orang bercakap pada masa yang sama, merancang pada masa yang serentak tanpa penyelarasan, kelompok akan jadi kacau.

(j)        Sebagai orang tengah
Kelompok yang dinamik tidak dapat mengelak diri daripada menghadapi konflik dalaman antara anggota-anggotanya. Dalam keadaan begini pemimpin perlu menjadi orang tengah; menjadi hakim atau pendamai kepada pihak yang berkonflik itu.

(k)       Sebagai Teladan
Pemimpin boleh menjadi teladan atau model kepada anggota-anggotanya. Dia menunjukkan kepada mereka tingkah laku, sifat atau kemahiran yang perlu kepada anggota-anggotanya. Dengan menjadi teladan, dia menyediakan petunjuk yang konkrit tentang apakah yang mereka harus lakukan atau buat.

GAYA  KEPEMIMPINAN
Setiap orang pemimpin mempunyai gaya kepemimpinannya masing-masing. Perbezaan gaya kepemimpinan mempunyai kesan yang penting kepada produktiviti individu-individu yang mereka pimpin. Terdapat tiga gaya kepemimpinan bagi seseorang pemimpin.

1  Gaya Autokratik
Seorang pemimpin harus berupaya menggerakkan orang-orang bawahannya melakukan tindakan-tindakan agar tujuan organisasi tercapai. Dalam usaha menggerakkan orang-orang bawahan melakukan apa jua aktiviti atau pekerjaan untuk mencapai tujuan persatuan, pemimpin yang autokratik meletakkan kekuasaannya di tangannya sendiri. Kata-katanya atau segala kehendaknya tidak boleh dibantah. Orang lain harus tunduk dan menurut sahaja pada kemahuannya. Pemimpin yang autokratik tidak bersikap membimbing, segala perintahnya harus dilaksanakan dengan baik. Keputusannya adalah sesuatu yang terbaik dan harus dilaksanakan tanpa boleh ditegur.
           
Pemimpin yang autokratik memberi banyak arahan dan semua keputusan hanya dia seorang sahaja yang boleh membuatnya. Dia menganggap yang dia seorang sahaja boleh berfikir untuk menentukan bentuk kegiatan yang boleh dilakukan oleh persatuan. Ahli-ahli tidak diberi kesempatan atau peluang untuk mengeluarkan pendapat atau pandangan, apa lagi untuk bersama-sama membuat keputusan. Mereka hanya menerima tanggungjawab melaksanakan keputusan ketua. Dalam tindak tanduk mengendalikan persatuan, dia lebih suka menggunakan paksaan dan ancaman supaya ahli-ahli berasa takut. Hubungan di antara pemimpin jenis ini dengan ahli-ahli persatuan tidak selalu baik atau dengan lain perkataan ialah terlalu formal dan penuh ketegangan.

2  Gaya Laissez-faire
Pemimpin yang bebas membiarkan sahaja kumpulannya menentukan sendiri semua aktiviti mereka. Pemimpin ini tidak mengambil sikap tertentu terhadap kumpulannya. Dia tidak membimbing atau mendorong ahli-ahlinya, dia tidak mengawal aktiviti persatuannya, malah dia tidak suka mengambil keputusan. Dia cuma memerhatikan sahaja apa yang dibuat oleh kumpulannya. Dengan kata lain, dia sebagai ketua memberi kebebasan sepenuhnya kepada orang-orang yang dipimpin untuk membuat apa sahaja yang difikirkan patut.
           
Pemimpin jenis ini dinamakan pemimpin laissez-faire, iaitu pemimpin yang tidak menentukan arah kepada orang-orang di bawahnya. Kebebasan diberikan menurut kemahuan orang-orang yang dipimpin. Kedudukannya sebagai ketua hanya sebagai simbol atau “penasihat” yang hanya mempersetujui apa juga cadangan yang dikemukakan oleh orang bawahan kerana dia sendiri tidak suka membuat keputusan.
                       
Oleh sebab kuasa yang ada pada ketua itu tidak jelas, pengurusan dan pentadbiran persatuan biasanya menjadi kacau. Setiap anggota kelompok bergerak sendiri-sendiri bagi mencapai matlamat peribadi dan bukannya matlamat persatuan atau organisasi.

3  Gaya Demokratik
Dalam gaya demokratik, hubungan antara pemimpin dengan orang-orang yang dipimpin diwujudkan dalam bentuk hubungan kemanusiaan. Hubungan antara ketua dengan orang-orang bawahan didasari prinsip saling hormat-menghormati, saling bekerjasama dan bertanggungjawab. Setiap orang dihargai dan dihormati sebagai manusia, bukan sebagai robot yang diwujudkan hanya untuk melaksanakan perintah.
                       
Pemimpin yang demokratik selalu memberikan kesempatan kepada para ahlinya untuk memberikan pandangan, pendapat dan sasaran untuk kebaikan persatuan. Dengan demikian, ahli-ahli akan berasa diberikan perhatian sehingga timbul rasa kasih dan kesetiaan yang mendalam terhadap persatuan dan akan sentiasa berusaha mencari jalan untuk memajukan persatuan.

Kepemimpinan demokratik adalah kepemimpinan yang aktif serta pemimpinnya bersedia menerima kritik atau teguran yang membina daripada para anggota pasukan. Oleh itu, segala usaha dijalankan untuk kepentingan bersama, iaitu untuk kepentingan persatuan, bukan untuk kepentingan individu atau segelintir individu.

Segala keputusan yang diambil untuk sesuatu aktiviti adalah hasil yang diperoleh daripada perundingan dan persetujuan bersama, bukannya keputusan ketua secara individu, tetapi majoriti. Setiap orang akan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab tanpa berasa adanya tekanan atau paksaan sebab pembahagian tugas dalam kepimpinan demokratik adalah jelas.
           
Pemimpin yang demokratik tidak memerintah, tetapi mengajak orang-orang bawahnya membuat sesuatu demi kepentingan bersama. Dia selalu berusaha mengutamakan kerjasama dalam usaha mencapai tujuan persatuan.

 KEPEMIMPINAN PELAJAR
Di sekolah, pengawas, ketua tingkatan, ketua rumah sukan, pustakawan, pengerusi persatuan, kelab atau badan beruniform adalah pemimpin-pemimpin muda yang berpotensi. Mereka bertanggungjawab untuk memandu dan membimbing pelajar-pelajar lain untuk mencapai kecermerlangan akademik, kemantapan disiplin dan menerapkan nilai-nilai murni yang bersesuaian dengan budaya sekolah.


Kedudukan Pemimpin Pelajar Dalam Struktur Organisasi Pentadbiran Sekolah
Dalam Struktur organisasi pentadbiran sekolah menengah, gerak kerja kokurikulum iaitu persatuan dan kelab, pasukan beruniform, sukan dan olahraga adalah di bawah pengawasan Guru Penolong Kanan Hal-ehwal Murid (HEM).

Guru penasihat lembaga pengawas, persatuan dan kelab, pasukan beruniform, permainan serta guru-guru rumah sukan adalah dipertanggungjawabkan untuk membantu Guru Penolong Kanan HEM dalam melaksanakan tugasnya. Mereka sebagai pembimbing kepada pelajar juga bertanggungjawab memajukan dan meningkatkan minat, bakat serta kemahiran pelajar bagi melahirkan pemimpin yang benar-benar berketrampilan.

Perlantikan Atau Pemilihan Pemimpin Pelajar
Kebanyakan sekolah menengah di negara kita, mengamalkan sistem pengawas sebagai satu cara untuk menyemai bakat kepemimpinan di kalangan pelajar. Pengawas-pengawas adalah dilantik oleh pihak sekolah daripada kalangan pelajar senior berdasarkan kriteria-kriteria seperti penampilan pelajar dari segi kelakuan dan kecerdasan mereka. Selain itu, mereka juga harus merupakan seorang yang aktif dalam kegiatan olahraga atau gerak kerja kokurikulum. Para pengawas sebagai pemimpin haruslah mempunyai sahsiah yang baik dengan kualiti peribadi yang dapat dijadikan contoh kepada pelajar yang lain.

Walaupun terdapat pemimpin-pemimpin yang dilantik oleh sekolah tetapi ada juga sekolah yang memberi kebebasan kepada para pelajar untuk memilih pemimpin masing-masing. Sebagai contoh, di beberapa buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terdapat Badan Wakil Pelajar (BWP) di mana pucuk pimpinannya dipilih oleh para pelajar sendiri bagi mewakili mereka dan memperjuangkan hal-hal kebajikan pelajar.

Di samping pengawas sekolah, ketua-ketua tingkatan dan ketua-ketua dorm (bagi sekolah berasrama) adalah dilantik oleh sekolah. Sementara itu, ketua-ketua rumah sukan, pengerusi-pengerusi persatuan akademik, kelab-kelab rekreasi, pasukan beruniform biasanya dipilih oleh ahli-ahli berdasarkan kebolehan dan kewibawaan pelajar-pelajar tersebut.

Pemimpin Pelajar Yang Berketrampilan Dan Berwibawa
Pelajar yang dilantik mahupun dipilih untuk menjadi pemimpin seharusnya berupaya mengerakkan anggota-anggota di dalam sesuatu kumpulan, membimbing dan mengarahkan mereka menuju ke suatu matlamat. Dia harus sedar bahawa dia adalah bertanggungjawab terhadap orang-orang yang dipimpinnya dan berkeyakinan serta bermotivasi untuk memberi khidmat bakti, tenaga dan fikiran untuk kesejahteraan dan kepentingan ahli-ahlinya. Seseorang calon pemimpin bukan sahaja harus mempunyai bakat memimpin, tetapi jug bersedia untuk dipimpin

Semangat pengabdian dan kesetiaan tinggi terhadap organisasi dan ahli turut harus ditanam dalam hatinya. Berikutan itu, dia haruslah sanggup berkorban untuk memastikan persatuan yang dipimpinnya terus maju. Dia harus mengakui bahawa adanya perbezaan individu dan pengharapan meraka juga adalah tidak sama. Oleh itu, komitmen kepada pemimpin mahupun bidang tugas mereka haruslah diwujudkan di kalangan ahli jawatankuasa dan juga ahli-ahli bagi kebaikan organisasi.
           
Dalam usahanya untuk memajukan organisasi yang dipimpinnya, dia haruslah mempunyai daya inisiatif dan kreatif yang tinggi. Sebelum itu, dia haruslah mempunyai kefahaman yang mendalam tentang prinsip, keperluan dan bidang tugasnya. Berpandukan itu, dia bolehlah merancang dan melaksanakan progam-progam yang memberi manfaat kepada ahli-ahli. Dengan itu, organisasi akan menjadi lebih terkenal dan dapat menarik lebih ramai ahli.
           
Seorang pemimpin harus memiliki keinginan yang kuat untuk memajukan diri sendiri supaya menjadi manusia yang berilmu, berpengalaman luas dan mampu berkomunikasi sama ada secara lisan mahupun secara bertulis dengan cara yang paling efektif. Kemampuan berkomunikasi ini penting agar maklumat yang hendak disampaikan kepada orang-orang yang dipimpinnya dapat difahami dengan jelas. Bagi meningkatkan daya kepemimpinannya, seseorang pemimpin seharusnya memperbanyakkan bacaannya, menghadiri kursus, bergaul dengan orang yang lebih berilmu mahupun berpengalaman dan meminta tunjuk ajar atau nasihat daripada guru penasihat.

Selain itu, dia juga harus memastikan dirinya sentiasa berada dalam tahap kesihatan yang tinggi, emosi dan mental yang stabil. Mereka juga haruslah merupakan individu-individu yang dinamik, sanggup menerima tugas dan tanggungjawab yang berat, berani mengambil risiko , semangat juang yang tinggi, berakhlak mulia, tegas tetapi adil dalam membuat pertimbangan, ketajaman fikiran, pandai menyesuaikan diri, tekun dan gigih. Dengan kelebihan-kelebihan ini, seorang pemimpin yang berwibawa dilahirkan dan seterusnya dihormati dan dipatuhi oleh ahli-ahlinya.

Pemimpin Pelajar: Ketua Tingkatan Dan Ketua Persatuan Atau Pasukan Beruniform.

Sebagai seorang ketua tingkatan, dia sendiri haruslah berdisiplin sekiranya dia mengharapkan pelajar-pelajar lain turut berdisiplin. Bagi menjadi model kepada pelajar, dia perlu sentiasa berpakaian kemas, menepati waktu, mematuhi peraturan sekolah dan arahan guru. Selain itu, dia juga harus pandai bergaul, dapat menyesuaikan diri dan sedia membantu pelajar lain. Dia tidak boleh berlagak, mengasingkan diri dan ditakuti oleh pelajar-pelajar lain. Dia seharusnya menunjukkan keunggulan peribadinya agar disegani oleh semua pelajar.
           
Sementara untuk menjadi seorang ketua atau pemimpin sesebuah persatuan akademik atau pasukan beruniform, seseorang itu haruslah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang lebih luas serta minat yang lebih mendalam terhadap bidang itu berbanding dengan orang lain. Ini adalah kerana dia akan menjadi rujukan ahli sebelum guru penasihat dan dapat mewujudkan kepemimpinan yang lebih berkesan. Dia bukan sahaja harus mendorong, memberi perangsang kepada ahli malah berupaya dan berani menasihat, memberi petunjuk serta membantu ahli-ahli untuk terus maju demi kebaikan organisasi amnya dan ahli-ahli khususnya.

PENUTUP
Akhir kata, selaku pemimpin pelajar seseorang itu haruslah mengimbangi di antara tugas akademik dan tugas kepemimpinan. Walaupun mereka digalakkan untuk meraih sebanyak mungkin pengalaman daripada kokurikulum tetapi ilmu pengetahuan daripada buku turut tidak boleh diabaikan. Mereka haruslah peka kepada perkembangan persekitaran dan sedia menerima segala tugas dan tanggungjawab yang diberi lalu menyempurnakannya dengan bersungguh-sungguh dengan bermatlamatkan kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburinya.

Bibliografi
Abdullah Hassan & Ainon Mohd, Komunikasi Untuk Pemimpin (ed. Pertama), Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. KL, 1999.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd, Bakat Dan Kemahiran Memimpin, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. KL, 2001.

Andrias Harefa, Telinga Pemimpin, Jansen Sinamo Work Ethos Training, 2002.

Al. Ramaiah, Kepemimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini, IBS Buku Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1992.

Azis Yasin, Kepemimpinan Dalam Pengembangan Organisasi, Fakulti Ekonomi Universiti Brawijaya, 2001.

Tiada ulasan: