Oleh
Wan Mohd Nor Ariza bin Wan Bakar
Mohamad Hairulamri bin Nordin
Muhammad Lokman Hakim bin Nasir
(Institut Pendidikan Guru kampus Kota Bharu)
1.0 Pengenalan Pendekatan Formalistik
Pendekatan Formalistik merupakan pendekatan yang paling awal muncul di Malaysia. Menurut Rahman Shaari (DBP, 1988: 13) pendekatan ini tidak mencapai kemajuan dalam tahun 1950-an. Ia mula popular digunakan sekitar tahun 1960-an dan 1970-an. Antara penulis yang menggunakan pendekatan formalistik dalam kritikan mereka ialah Mana Sikana, Yahaya Ismail, Hashim Awang, Mohd Affandi Hassan, dan lain-lain. Misalnya tulisan Hashim Awang yang membicarakan novel keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer. Hashim Awang memberi tumpuan kepada aspek plot dalam novel ini.
Pendekatan Formalistik merupakan satu bidang kajian susastera yang menumpukan kajian terhadap unsur-unsur dalaman karya. Unsur dalaman karya atau bentuk karya itu sendiri meliputi tema dan persoalan, perwatakan, plot, gaya bahasa, nada dan latar. Pendekatan Formalistik ini mengambil karya sastera itu sebagai bahan mentah tanpa menilai unsur-unsur lain seperti cara ia dihasilkan. Pengkritik yang mengkaji karya menggunakan pendekatan ini hanya membicarakan karya itu sahaja tanpa melibatkan unsur-unsur lain di luar penghasilan karya tersebut.
Formalistik juga mengkaji kesatuan dan keutuhan karya dari segi isi dan bentuknya. Sebuah karya cereka seperti novel atau cerpen akan dianggap sebagai karya yang berjaya sekiranya ada keutuhan bahagian-bahagian yang membina struktur karya tersebut. Misalnya keutuhan binaan tema dengan plot, perwatakan atau gaya bahasa.
Pendekatan Formalistik melihat satu-satu aspek sahaja daripada bahagian-bahagian yang terdapat dalam sesebuah karya sastera. Misalnya dalam novel, aspek yang dikritik ialah dari aspek plot cerita sahaja atau dalam karya puisi seperti sajak, aspek yang diberi penekanan hanya dari segi gaya bahasa sahaja.
Contoh lain ialah tulisan Mohd. Affandi Hassan mengenai novel “Seroja Masih Di Kolam” karya Adibah Amin. Mohd. Affandi melihat dari aspek watak. Menurut Mohd. Affandi Hassan, novel Adibah amat lemah kerana watak-wataknya terdiri daripada golongan remaja. (Dewan Bahasa, Mei, 1969, halaman 227)
Contoh lain ialah tulisan Mohd. Affandi Hassan mengenai novel Pertentangan karya S. Osman Kelantan. Beliau menekankan aspek teknik dan struktrur novel ini dengan menyatakan bahawa S. Osman Kelantan telah gagal mencapainya dengan baik. Menurut Mohd. Affandi, peristiwa-peristiwa yang dikemukakan dalam novel ini adalah melompat-lompat, tidak ada perpaduan yang rapat di antara satu sama lain. (Dewan Bahasa, Mei, 1969, Halaman 244)
2.0 Analisis Cerpen Suara Hantu
Suara Hantu merupakan sebuah cerpen hasil karya Nassury Ibrahim. Cerpen ini tersiar dalam majalah Dewan Sastera bulan Januari 2009. secara ringkas, cerpen Suara Hantu mengisahkan tentang reaksi masyarakat terhadap makhluk halus yang diwakili oleh hantu. Dikatakan Kak Kiah telah terdengar suara hantu di belakang rumahnya. Sejak itu, hidup Kak Kiah dan masyarakat Kampung Che Lijah tidak tenteram. Kehidupan mereka terganggu, bukan sahaja oleh suara hantu, malahan kedatang masyarakat luar yang ingin mendengar sendiri suara hantu telah memusnahkan tanaman mereka. Berkat kepakaran Tok Pawang, hantu-hantu di Kampung Che Lijah telah dapat dihalau.
2.1 Tema
Cerpen Suara Hantu bertemakan kepercayaan, iaitu kepercayaan masyarakat terhadap perkara-perkara ghaib dan mistik. Nassury Ibrahim menggarap tema ini dengan baik melalui gabungan peristiwa dalam cerpennya itu. Beliau mengisahkan kepercayaan penduduk kampung Che Lijah dan masyarakat luar terhadap hantu yang digambarkan melalui suara jeritan, hilaian dan suara seperti orang mengerang yang yang dikatakan sebagai suara hantu sebagaimana tercatat dalam perenggan keenam, ayat pertama, “Waktu itulah Kak Kiah dengar suara “mmm ... mmm ... mmm ...” seperti suara orang mengerang.” Dan pada perenggan ketujuh, ayat pertama, “tiba-tiba pula suara mengerang itu mengilai.” Kampung Che Lijah yang aman, tenteram dan bersatu padu telah ditimpa kecelakaan akibat gangguan suara hantu. Setelah lama diganggu syaitan yang bernama Tsabar, Kampung Che Lijah kembali aman setelah syaitan tersebut setuju untuk berhijrah selepas diyakinkan oleh Tok Pawang.
2.2 Persoalan
Antara persoalan yang digarap penulis dalam cerpen suara hantu ini ialah ketakutan. Nassury Ibrahim menyatakan persoalan ketakutan terhadap hantu pada awal cerita lagi iaitu bermula pada perenggan ketujuh dan seterusnya apabila suara seperti orang mengerang yang didengar Kak Kiah bertukar kepada suara hilaian. Seperti yang terdapat pada perenggan ketujuh, “Tiba-tiba pula suara mengerang itu mengilai. Kuat. Kuat sungguh. Terkejut Kak Kiah. Terpelanting timba di tangan.” Persoalan ketakutan digarap penulis di dalam perenggan kesepuluh, “Dalam ketar yang amat sangat itu, Kak Kiah menjawab tergagap-gagap, “ Han.. han... hantu!” Sambil tangannya menunjuk lurus ke arah bukit di belakang rumahnya.” Contoh ayat di atas menunjukkan penulis telah menggarap idea, tentang persoalan ketakutan, dengan baik.
Persoalan lain yang ditunjukkan oleh Nassury Ibrahim ialah persoalan mengenai keimanan. Penulis menyatakan penduduk kampung yang menpunyai iman yang lemah apabila mempercayai pawang. Persoalan ini terserlah lagi apabila masyarakat kampung mempercayai pawang dapat berbicara dengan syaitan dan pawang juga berjaya memujuk syaitan agar berpindah ke tempat lain. Sedangkan kita tahu, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata kepada manusia. Ini membuktikan bahawa syaitan dan manusia tidak akan dapat mencapai persefahaman. Perkara ini telah membuktikan bahawa penulis berjaya membuktikan bahawa masyarakat Melayu masih lagi mempercayai perkara-perkara karut walaupun telah lama memeluk agama Islam.
Selain itu, persolan mementingkan diri sendiri turut ditonjolkan penulis dalam cerpen ini. Perkara ini dapat dilihat pada watak Tok Penggawa ketika masalah hantu yang menganggu ketenteraman kampungnya. Tok Penggawa berusaha untuk menghalau syaitan-syaitan yang menganggu kampungnya. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Tok Penggawa memanggil Tok Pawang untuk menghalau syaitan-syaitan tersebut. Tok Pawang telah berjaya memujuk syaitan agar berpindah ke tempat lain. Kita dapat lihat bahawa Tok Penggawa hanya mementingkan diri sendiri dengan menghalau syaitan yang mengganggu kampungnya itu ke kampung lain tanpa memikirkan masalah yang sama akan berlaku di kampung lain.
2.3 Watak dan perwatakan
Watak-watak dalam cerpen Suara Hantu karya Nassury Ibrahim mempunyai perwatakan yang berbeza-beza. Terdapat perwatakan antagonis dan pentagonis dalam cerpen ini. Penulis meletakkan perwatakan yang berbeza adalah bertujuan untuk menjayakan jalan cerita dan persoalan yang ditulis.
Watak utama dalam cerpen Suara Hantu ialah Tsabar yang memainkan watak antagonis dalam cerpen ini. Tsabar merupakan syaitan yang mengganggu ketenteraman Kampung Che Lijah. Pada awal cerita, watak Tsabar digambarkan dengan suara misteri yang didengar oleh Kak Kiah. Tsabar merupakan syaitan yang berasal dari Hutan Kubang. Tsabar berpindah ke Tasik Jaya apabila tempat tinggal asalnya dibangunkan. Sebelum Tsabar tiba, telah ada Dasim dan keluarganya berkerja di Tasik Jaya. Kerana perselisihan dan sengketa Tsabar dengan Dasim akibat dari hasutan syaitan lain bernama Maswath, Tsabar berpindah ke Kampung Che Lijah kerana pada sangkaannya penduduk di situ hidup aman tanpa sengketa.
Watak lain yang turut menjayakan cerpen ini ialah Kak Kiah. Kak Kiah ialah isteri kepada Abang Sudin dan merupakan orang yang pertama mendengar suara misteri itu. Watak Kak Kiah menguatkan lagi jalan cerita ini apabila dia dirasuk oleh suara misteri tersebut. Seperti yang terdapat dalam perenggan ke-19 hingga ke perenggan ke-22. Kak Kiah juga merupakan seorang yang lemah semangat. Kak Kiah cepat berasa takut walaupun sekadar mendengar suara seperti orang mengerang dan mengilai. Sifat lemah semangat Kak Kiah juga turut ditonjolkan Nassury Ibrahim apabila Kak Kiah dirasuk oleh suara misteri tersebut yang kononnya memanggil namanya. Seperti yang kita sedia tahu orang yang mudah dirasuk merupakan seorang yang lemah semangat.
Watak lain yang turut memainkan peranan dalam cerpen Suara Hantu ini ialah Tuk Pawang. Tuk Pawang merupakan seorang pawang yang kononnya mempunyai kebolehan menjampi serapah dan berkomunikasi dengan makhluk halus atau hantu. Tuk Pawang juga yang memberitahu Tuk Penggawa bahawa pemilik suara tersebut ialah syaitan bernama Tsabar yang berasal dari Hutan Kubang. Dia juga meyakinkan Tuk Penggawa bahawa dia telah berjaya memujuk syaitan Tsabar untuk berhijrah ke kampung lain.
Antara watak lain ialah Tuk Penggawa. Tuk Penggawa merupakan ketua di Kampung Che Lijah. Beliau menjadi tempat rujukan dan mengadu masalah penduduk Kampung Che Lijah. Tuk Penggawa yang memanggil Tuk pawang setelah menerima aduan mengenai keamanan mereka terganggu kerana kehadiran suara misteri. Tuk Penggawa merupakan seorang ketua yang bagus dan bertanggungjawab. Perkara ini dibuktikan oleh penulis apabila Tuk Penggawa terus mencari bomoh atau pawang untuk menyelesaikan masalah anak buahnya.
Terdapat juga watak-watak lain yang ditonjolkan penulis untuk menguatkan lagi jalan cerita cerpen Suara Hantu. Tetapi watak-watak ini tidak diterangkan secara menyeluruh di dalam cerpen ini. Walaupun watak-watak ini tidak memainkan peranan yang besar tapi tanpa mereka cerpen ini tidak akan berjaya. Antaranya ialah Abang Sudin. Abang Sudin merupakan suami kepada Kak Lijah. Seorang yang penyayang. Digambarkan penulis apabila dia sungguh risau akan isterinya yang dirasuk suara misteri. Watak lain ialah Pak Usop dan Mak Cik Munah. Pasangan suami isteri yang merupakan penduduk kampung Che Lijah yang diganggu suara misteri itu. Selain itu, watak Pak Mat, Salleh Ayam dan Kak Sal mewakili masyarakat Kampung Che Lijah. Dalam cerpen ini terdapat juga beberapa watak syaitan. Contohnya, Dasim dan keluarganya yang bekerja di Tasik Jaya. Terdapat Syaitan bernama Maswath. Dia berpindah ke Tasik Jaya kerana menganggur akibat tempat kerjanya dilanda tsunami hingga memusnahkan segala macam hidupan. Habis semua mati. Maswath juga yang menyebabkan persengketaan antara Tsabar dan Dasim.
2.4 Plot
Cerpen ini boleh dibahagikan kepada empat peringkat plot. Peringkat-peringkat itu ialah permulaan, perkembangan (perumitan, tegangan), puncak, dan peleraian. Keempat-empat peringkat itu akan kami huraikan satu persatu dalam penulisan ini.
Pada peringkat permulaan, penulis meletakkan keadaan Kampung Che Lijah yang terletak di kawasan jin bertendang atau terletak di ceruk yang tidak dikenali orang tiba-tiba jadi terkenal. Dikunjungi oleh pelbagai orang tidak kira jauh atau dekat dengan pelbagai cara. Ada yang berjalan kaki, naik basikal, menunggang motorsikal, berkereta dan sebagainya. Seperti yang ditulis oleh Nassury Ibrahim dalam perenggan pertama, “Kampung Che Lijah tiba-tiba jadi terkenal. Didatangi orang jauh dan dekat. Ada yang berjalan kaki, ada yang berbasikal, bermotorsikal, berkereta, malah ada yang menyewa bas.” Hal ini terjadi berikutan mereka semua ingin mendengar suara hantu. Pada peringkat ini, penulis memperkenalkan permasalahan dalam ceritanya.
Pada peringkat perkembangan, perumitan cerita bermula apabila penulis bercerita mengenai suara hantu. Siapakah yang mula-mula mendengar suara tersebut? Dan, dari arah manakah datang suara tersebut? Semua ini bermula ketika Kak Kiah berada di telaga kerana hendak mandi. Kak Kiah mula-mula mendengarnya. Pada mulanya, kedengaran seperti suara orang mengerang. Seperti yang terdapat pada perenggan keeenam, “Waktu itulah Kak Kiah dengar suara “mmm ... mmm ... mmm ...” seperti suara orang mengerang.” Pada mulanya Kak Kiah menyangka suaminya, Abang Sudin menyakatnya. Suara itu semakin kuat dan kemudian perlahan dan kemudian kuat pula. Suara misteri itu kemudian bertukar menjadi suara mengilai kuat. Hal ini diulis penulis dalam perenggan ketujuh, “Tiba-tiba pula suara mengerang itu mengilai. Kuat. Kuat sungguh. Terkejut Kak Kiah. Terpelanting timba di tangan. Berdesut Kak Kiah lari sampai ke tangga, terus dia melompat ke beranda, dan lompat lagi.”
Seterusnya, Nassury Ibrahim menggambarkan keadaan Kak Kiah yang dirasuk oleh suara misteri. Dia berkelakuan aneh. Berjalan seperti robot menuju ke arah datangnya suara tersebut. Apabila ditanya akan kelakuannya itu, Kak Kiah menjawab dengan suara parau bahawa dia hendak ke bukit. Katanya, ada orang memanggil. Apabila dipegang oleh suaminya, Abang Sudin, Kak Kiah meronta-ronta minta dilepaskan. Kemudian dia pengsan.
Dalam situasi tegang, penulis mengisahkan tentang kehidupan penduduk Kampung Che Lijah yang mula tidak tenteram akibat suara hantu itu. Ada yang kehilangan harta benda, ada juga yang memberitahu terdapat banyak kesan tapak kaki berselerakan di sebelah bilik anak dara mereka dan ada yang hilang hasil tanaman seperti pisang. Semua ini berlaku sejak kedatangan orang luar yang berduyun-duyun untuk mendengar sendiri suara hantu tersebut. Mereka membuat aduan kepada Tuk Penggawa. Meminta jasanya mencari seorang pawang atau bomoh untuk menghalau hantu dan sekali gus ‘menghalau’ perbuatan sumbang para tetamu suara hantu.
Puncak situasi tegang dalam cerita ini ialah ketika Tuk Pawang yang dipercayai berkomunikasi dengan pemilik suara hantu. Kemudian melalui Tuk penggawa penduduk dapat mengetahui asal-usul sebenar pemilik suara hantu tersebut. Suara itu milik syaitan laknatullah yang bernama Tsabar. Dia berasal dari Hutan Kubang yang kemudian bepindah ke Tasik Jaya. Tempat itu didiami syaitan bernama Dasim dan keluarganya. Pada mulanya mereka dapat bekerjasama dengan baik. Tetapi setelah kehadiran seekor lagi syaitan yang suka menabur fitnah dan pembohongan, Tsabar dan Dasim telah bertelagah. Oleh sebab tidak tahan dengan keadaan itu, akhirnya Tsabar berpindah ke Kampung Che Lijah kerana disangkanya bahawa penduduk di situ hidup tenteram tanpa sengketa.
Peringkat puncak dalam cerita ini digarap oleh penulis melalui adegan Tuk Pawang cuba meyakinkan Tuk Penggawa bahawa dengan ilmu kepawangan yang dimilikinya, dia telah berjaya memujuk Tsabar untuk berpindah dari kampung tersebut. Syaitan tersebut telah berjanji untuk berpindah dari Kampung Che Lijah dalam masa satu dua hari lagi. Pada mulanya Tuk Penggawa mempersoalkan ketepatan janji syaitan laknatullah. Tetapi Tuk Pawang meyakinkan bahawa dia akan mencari jalan lain jika janji itu dimungkiri.
Akhir sekali ialah peringkat peleraian. Pengarang cerpen Suara Hantu bijak menamatkan dan meleraikan semua konflik dan ketegangan dengan watak Abang Sudin yang datang termengah-mengah membawa senaskah akhbar. Menurut laporan akhbar tersebut telah muncul satu seludang berwajah ngeri dan menakutkan di Kepala Batas. Berita itu telah membuktikan yang Tsabar telah pindah dari Kampung Che Lijah
3.0 Kesimpulan
Nassury Ibrahim telah berjaya menggarap idea dengan baik. Beliau membuat perkaitan yang erat antara persoalan dengan watak-watak yang diciptanya. Watak-watak tersebut bersesuaian dengan tema dan permasalahan yang cuba ditonjolkan oleh beliau. Tetapi jika diletakkan watak yang berbilang kaum, dan pelbagai kepercayaan akan menjadikan cerpen ini lebih menarik. Hal ini kerana pembaca akan dapat melihat perspektif tentang suara hantu atau perkara-perkara mistik melalui pandangan, budaya dan kepercayaan pelbagai kaum. Ini akan memberikan lebih banyak ilmu juga pengetahuan kepada pembaca. Selain itu, penulis hanya menggunakan watak wanita sebagai individu yang kerasukan. Jika penulis menyelitkan sedikit watak kanak-kanak dan remaja sebagai penduduk yang diganggu atau dirasuk mungkin akan menambahkan lagi kualiti cerita. Kita sudah sedia maklum bahawa kanak-kanak dan remaja merupakan golongan yang sering diganggu makhluk halus atau kerasukan, selain daripada golongan hawa.
Jalan cerita yang ditulis amat menarik. Ini berikutan perkembangan plot yang tersusun. Nassury Ibrahim bijak menyusun strategi perkembangan plot dengan menarik. Beliau berjaya memikat hati pembaca dan menyebabkan pembaca tertanya-tanya tentang pemilik suara misteri apabila tidak menjelaskan asal-usul suara tersebut dari awal cerita tetapi menjadikan bahagian tersebut sebagai puncak cerita dengan mengaitkan beberapa watak dalam babak tersebut.
Akhir sekali, ucapan ribuan tahniah kepada Nasury Ibrahim kerana telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang bermutu dari kaca mata formalistik. Hanya terdapat sedikit sahaja kekurangan dalam cerpen karya Nassury Ibrahim ini yang tidak menarik dari segi kaca mata Formalistik. Semua kritikan yang kami lahirkan dalam penulisan ini adalah untuk membina penulis dan karya susastera yang lebih bermutu.
Rujukan
http://www.d.umn.edu/kmc/student/loon/acad/strat/ss_listening.html
http://dl.clackamas.cc.or.us/os11class/LearningSkills/listenskills.htm
Mana Sikana (ed), 1988. Kritikan Sastera: Masalah dan Peningkatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari, 1988. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari, 1989. Berkenalan dengan Kritikan Sastera. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Zainol S. Ahmad, 2008. Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM. Kuala Lumpur: Cresent News (KL) Sdn. Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan