11 April 2010

Sastera Membentuk Akal Budi

Oleh Dr Aminudin Mansor (amimasra@gmail.com.)

PANDANGAN sesetengah pihak terhadap bidang sastera dan budaya tidak mendatangkan keuntungan khususnya dalam bidang ekonomi seharusnya tidak dipinggir dan diketepikan. Begitu juga dengan kerancakan pelbagai universiti awam dan swasta menawarkan pelbagai kursus berkaitan sains dan teknologi. Bidang sastera dan budaya harus seiring dengan pembangunan negara bagi membangun akal budi generasi muda.

Sebenarnya, sudah lama bidang sastera dan budaya berjaya mengimbangi kerakusan manusia mengejar kemajuan dalam ekonomi dan sains teknologi agar manusia masih ada sedikit rasa cinta terhadap alam dan kemanusiaan sejagat. Manusia yang tiada nilai kemanusiaan dalam hati dan jiwanya akan menjadi manusia rakus dan gila perang.

Sejak zaman Plato dan Aristotle, lebih 3,000 tahun dahulu sastera dan budaya sebagai pembina moral, pengasuh etika yang mulia sudah berlarutan dibicarakan. Jelaslah, sastera sebagai 'dunia nilai' yang bersabit dengan keunggulan moral dan sifat-sifat kemanusiaan yang terpuji menjadi inti wacana sastera sejak epik Gilgamesh dicipta beribu tahun sebelum Plato dan Aristotle.


Menurut, Prof Teeuw, dalam masyarakat tradisional, sastera adalah alat yang sangat penting untuk 'mempertahan model dunia" yang sesuai dengan adat istiadat dan pandangan dunia konvensional dan untuk menanamkan kod nilai tingkah laku.

Lantaran itu, pihak Kementerian Pelajaran mewujudkan dan mengekalkan Komponen Sastera (Komsas) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah. 

Tanpa sastera dan budaya bangsa disemaikan dalam hati dan jiwa pelajar, mereka akan lupa akar tradisi, budaya dan nilai-nilai yang baik yang menumbuhkan pohon peradaban bangsa pada masa akan datang. Justeru, langkah Kementerian Pelajaran menilai semula bahan kesusasteraan iaitu teks Komsas yang diperkenalkan sejak tahun 2001 adalah langkah bijak. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada penulis-penulis baru mengetengahkan hasil karya mereka akan dibaca oleh generasi sekarang dan akan datang.

Ini bukan sahaja akan memberi keuntungan kepada para penulis, malah teks sastera yang baharu nanti akan dapat melahirkan insan yang beriman, berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan dan sejahtera bagi menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.

Apa yang diharapkan, pemilihan teks itu nanti tidaklah hanya di kalangan penulis yang sama. Perkara yang lebih penting ialah teks Komsas dapat membangun potensi diri pelajar, melalui sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia.

Apa yang lebih penting karya-karya Sasterawan Negara tidak diketepikan dalam pemilihan ini. Apalah gunanya jika kita mengangkat karya-karya Sasterawan Negara kita sedangkan hasil karya mereka tidak dibaca dan dihayati oleh generasi muda pada masa kini.

Teks Komsas juga sewajarnya mampu meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta meningkatkan penguasaan bahasa melalui pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah. Secara tidak langsung teks sastera yang diajar akan meningkatkan kemajuan ke arah membentuk peradaban bangsa.

Melalui agama, sastera dan juga budaya, manusia dapat dibangunkan akal budinya ke arah mempunyai jati diri dan daya ketahanan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab penting ke arah sebagai khalifah di bumi ini. 

Dalam rangka pembangunan mental bangsa dan negara dua perkara yang tidak dapat dicampurkan antara satu sama lain. Iaitu manusia yang berbudi luhur yang akan dapat melancarkan pembangunan moral, material dan spiritual; sebaliknya manusia yang berbudi rendah akan menghancurkan segala-galanya secara menyeluruh.

Mingguan Malaysia, 3.1.2010

Tiada ulasan: