08 April 2010

PENGAJARAN PEMBELAJARAN PENULISAN KARANGAN


Zamzuri Mohamed
Open University Malaysia (Kelantan)


1. Pengenalan 
Tugasan ini memberi tumpuan kepada pendekatan, kaedah dan teknik yang perlu dilaksanakan oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Untuk menjawab tugasan ini, para pelajar diminta memberi pandangan berdasarkan pendapat yang mengatakan bahawa tidak ada satu pun pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan dalam bilik darjah, kecuali setiap pendekatan, kaedah dan teknik tersebut disesuaikan dengan tajuk penulisan yang hendak diajar. Para pelajar juga dikehendaki mengaitkan pandangan mereka dengan dua pendekatan pengajaran penulisan yang dikemukakan oleh Raimes. Selain itu, para pelajar juga dikehendaki merangka satu model pengajaran berdasarkan kaedah bergambar dan carta. 

Dalam tugasan ini, saya akan membincangkan perkara-perkara yang dikehendaki berdasarkan soalan yang dikemukakan dengan mengikut panduan yang telah diberikan oleh tutor. Perkara yang akan saya bincangkan dalam tugasan ini ialah tentang definisi pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran secara umum. Kemudian, saya akan menjelaskan tentang pendekatan pengajaran penulisan yang dikemukakan oleh Raimes. Seterusnya, saya akan mengemukakan pendapat dan pandangan saya tentang kesesuaian pendekatan pengajaran penulisan yang dikemukakan oleh Raimes dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. 

Untuk menjawab soalan kedua dalam tugasan ini, saya akan memilih gambar dan carta yang sesuai untuk membina model pengajaran  sebagaimana kehendak soalan. Saya juga akan membuat rujukan untuk mendapatkan bahan-bahan yang berkaitan dan berbincang dengan rakan-rakan serta tutor untuk menghasilkan tugasan yang baik. Saya berharap agar tugasan yang akan saya jalankan akan menepati kehendak soalan.


2. Definisi Pendekatan, Kaedah dan Teknik
Kebanyakan orang sukar untuk membezakan antara konsep pendekatan, kaedah serta teknik pengajaran. Apa lagi terdapat orang yang menganggap bahawa semua istilah tersebut adalah sama dengan cara pengajaran sahaja. Ini adalah suatu perkara yang harus diberi perhatian yang serius kerana konsep-konsep tersebut adalah merupakan asas untuk membentuk sesuatu rancangan pelajaran harian yang sempurna oleh seseorang guru. Penjelasan tentang perhubungan di antara keempat-empat konsep adalah amat berguna bagi guru-guru  supaya ilmu pedagogi yang dipelajari itu dapat diamalkan di dalam bilik darjah.
     
Berdasarkan beberapa sumber rujukan, saya akan memberi sedikit sebanyak penjelasan tentang pendekatan, kaedah serta teknik pengajaran serta hubungan antara satu sama lain. Walau pun difikirkan bahawa konsep-konsep itu merupakan asas dalam perbincangan pedagogi tetapi kebanyakan pengarang buku pedagogi masih samar-samar tentang konsep-konsep tersebut.

Untuk menjelaskan konsep-konsep tersebut, perbincangan akan bermula dengan kaedah pengajaran dan diikuti oleh teknik pengajaran. Selepas kita telah jelas mengenai kedua-kedua konsep tersebut maka kita akan meneliti konsep pendekatan pengajaran. Akhir sekali kita akan mengulas perhubungan kesemua konsep tersebut dalam situasi pengajaran.

Sebelum kita membincangkan konsep kaedah pengajaran adalah eloknya kita memikirkan secara umum pengertian kaedah. Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. 

Lantaran itu, jika kita ingin memasak ikan maka kita perlu fikirkan apakah kaedah-kaedah memasak yang kita boleh gunakan. Sudah tentunya, kaedah-kaedah yang biasa kita gunakan ialah seperti menggoreng, merebus, memanggang atau mengukus. Begitu juga kalau kita diminta memberi kaedah-kaedah menyepak bola kita akan menyatakan kaedah-kaedahnya adalah seperti sepakan sering, sepakan tinggi, sepakan grounder, sepakan banana serta bermacam-macam lagi. Satu lagi contoh ialah jika kita ingin peri memburu harimau di dalam hutan, kaedah-kaedah yang kita boleh gunakan adalah seperti menembak dengan senapang, memanah, menjerat, menikam atau menombak.

Andaikan kita ingin memasak ikan dengan kaedah menggoreng. Maka sudah tentu kita perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang khusus dalam menjayakan kaedah tersebut. Kemahiran khusus tersebut adalah dimaksudkan sebagai teknik. Sebab itu, bolehlah kita menyatakan bahawa semua kaedah mempunyai teknik-teknik tertentu yang disusun dengan sistematik. Umpamanya untuk menggoreng ikan, kita mesti memanaskan kuali terlebih dahulu sebelum mencurahkan minyak ke dalamnya. Untuk mengelakkan ikan melekat pada kuali, suatu lagi teknik ialah memasukkan sedikit garam ke dalam minyak yang telah panas di kuali. Api juga harus dikawal supaya tidak terlalu panas. Kesemua tindakan yang spesifik ini adalah disebut sebagai teknik menggoreng. Teknik-teknik untuk kaedah memasak ikan secara memanggang pula adalah amat berbeza.

Untuk menjelaskan lagi hubungan kaedah dengan teknik, kita boleh ambil contoh memburu harimau. Kalau kita hendak memburu harimau dengan kaedah memanah maka teknik-tekniknya adalah seperti meneliti arah angin, kemahiran memegang ibu panah, gerakan tangan untuk membuat sasaran, kedudukan kaki serta tindakan menarik nafas.

Dalam zaman atom ini, sudah tentu kaedah memburu harimau dengan kaedah memanah tidak begitu berkesan. Jadi, walaupun seorang pemanah itu betul-betul mahir dan telah menguasai segala teknik memanah dengan seratus peratus, maka kemungkinan besar ia dimakan oleh harimau. Itu sebabnya kaedah memburu yang dipilih adalah kurang sesuai walaupun teknik-teknik kaedah itu adalah baik.

Oleh itu, untuk menjayakan sesuatu yang kita ingini kaedah yang dipilih mestilah disertai dengan teknik-teknik yang betul. Memilih kaedah yang tepat tanpa menguasai teknik-teknik yang baik menurut kaedah tersebut tidak akan menjaminkan tercapainya matlamat kaedah yang diingini.

Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain. Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran adalah seperti cercerita, perbincangan, bermain, latih tubi, main peranan, menyelesaikan masalah, brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan, projek, soalan atau Socratik dan lain-lain lagi.

Menurut Mangantar Simanjuntak (1982), kaedah ialah satu rencana (prosedur) yang menyeluruh untuk mengajar sesuatu bahan bahasa, yang secara keseluruhannya mestilah didasarkan kepada pendekatan yang digunakan.

Parera (1986), mendefinisikan kaedah sebagai satu rancangan menyeluruh untuk menyampaikan secara teratur bahan-bahan bahasa, tidak ada bahagian-bahagiannya yang saling bertentangan dan semuanya berdasarkan pendekatan.

Selain itu, kaedah juga boleh didefinisikan sebagai satu rancangan tentang apa yang akan dilaksanakan sesuai dengan situasi bagi mencapai sesuatu objektif pengajaran (Ishak Ramly, 2006).

Edward M. Anthony (1963), mengatakan bahawa kaedah ialah cara atau peraturan membuat sesuatu. Beliau juga mendefinisikan kaedah sebagai satu siri tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pengajaran spesifik dalam jangka masa pendek. Selain itu, beliau berpendapat bahawa kaedah ialah satu ikhtiar keseluruhan dikehendaki dalam satu prosedur yang tersusun berlandaskan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih. 

Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Teknik ialah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi ketiga).  Edward M. Anthony (1963), mendefinisikan teknik sebagai satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. Beliau juga mengatakan bahawa teknik ialah kemahiran guru yang digunakan untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktivitipengajaran dan pembelajaran.

Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1988), berpendapat bahawa teknik pengajaran ialah pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah dimana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.

Misalnya katakanlah seorang ingin menggunakan kaedah bercerita untuk mengajar sesuatu tajuk pelajaran. Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan nada suara, penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat murid, gerakan tangan "facial expression", serta kedudukan murid-murid semasa aktiviti bercerita itu berlangsung.

Kaedah mengajar seperti syarahan juga mempunyai teknik-teknik yang tersendiri. Teknik-teknik syarahan adalah seperti mempelbagaikan nada sera kadar percakapan, bahasa yang sesuai, penggunaan OHP, garis kasar kuliah yang disampaikan, menyoal soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajra dan lain-lain lagi.

Satu lagi contoh kaedah mengajar ialah kaedah soalan. Jika kita ingin mengajar dengan kaedah soalanmaka kita pelu menggunakan teknik-teknik menyoal yang baik seperti soalan-soalan yang ditanya haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar diberi masa untuk memikirkan jawapan soalan sebelum sesiapa dipanggil untuk menjawab, layanan yang munasabah bagi semua tindak balas daripada murid, suara haruslah jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang ditanya dan sebagainya.

Jadi jika kita hendak mengajar seseorang berenang kita haruslah memilih kaedah-kaedah yang sesuai. Kaedah seperti perbincangan serta syarahan sudah tertentu tidak berkesan. Kaedah pengajaran seperti demostrasi adalah lebih sesuai. Meskipun demikian, untuk memastikan bahawa demostrasi itu berjaya kita mesti menguasai teknik-teknik demostrasi.

Sebagai kesimpulan, apabila kita menyebut teknik pengajaran, kita mesti bertanya teknik pengajaran untuk kaedah apa. Setiap kaedah pengajaran mesti mempunyai teknik-teknik yang tertentu.

Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran. Dalam pengertian yang lebih luas pendekatan juga diertikan sebagi "to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu.

Sebagai contoh, pendekatan-pendekatan memasak ikan yang kita boleh gunakan ialah seperti pendekatan Timur atau pendekatan Barat. Bagi pendekatan Barat, kita dapati keutamaan ditegaskan pada nilai kalori, nilai makanan dari segi zat makanan dan ciri-ciri makanan seimbang. Bagi pendekatan Timur pula, keutamaan adalah diberi kepada rasa seperti rupa makanan tetapi tidak begitu mementingkan nilai kalori atau ciri-ciri makanan seimbangan. Pendekatan Barat ini adalah amat berkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi pemakanan yang mempunyai prinsip-prinsip makanan serta hubungannya dengan kesihatan.

Suatu lagi contoh tentang pendekatan melakukan sesuatu ialah pendekatan seseorang dalam belajar bermain tenis. Dia boleh menggunakan pendekatan profesional atau pendekatan konvensional (tradisional atau acquired) atau biasa. Bagi pendekatan profesional, semua kaedah bermain dipelajari berdasarkan prinsip-prinsip sains yang sangat bersistematik. Manakala bagi pendekatan konvensional, kaedah-kaedah bermain dipelajari berdasarkan pengalaman, perbincangan informal serta dengan pemerhatian.

Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Parera (1986), mengatakan bahawa pendekatan merupakan satu latar belakang falsafah atau pandangan mengenai idea utama yang hendak dibahaskan dan merupakan satu aksioma (pernyataan yang diterima umum dan menjadi asas kepada sesuatu huraian). 

Kamarudin Hj. Husin (1988), mendefinisikan pendekatan sebagai satu kumpulan andaian yang saling berkait tentang hakikat bahasa, hakikat pengajaran bahasa dan hakikat pembelajaran bahasa. Selain itu, pendekatan juga dikatakan sebagai cara atau langkah-langkah bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas seperti menyelesaikan masalah, Kamus Dewan (1988). Edward M. Anthony (1963), berpendapat bahawa pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik.

Pendekatan-pendekatan wujud berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi perhatian yang lebih utama. Sebab itu, ada kalanya pendekatan menyerupai klasifikasi pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan wujud berdasarkan kriteria-kriteria yang kita gunakan untuk meneliti proses pengajaran. Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan murid, cara-cara fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain.

Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak menyentuh tentang kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru adalah bebas memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut.

Berdasarkan kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi mudah ke isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.

Pendekatan yang memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan memusatkan guru manakala pengajaran yang mementingkan murid disebut sebagai pendekatan memusatkan murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan yang memusatkan guru adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi manakala kaedah-kaedah pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran yang memusatkan murid adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah bermain dan kaedah perbincangan kumpulan.

Terdapat juga pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk mengajar beberapa mata pelajaran mengikut tema-tema pelajaran. Contohnya pengajaran dalam Alam dan Manusia menggunakan pendekatan interdisiplin atau pendekatan bersepadu. Ini adalah kerana beberapa mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Kesihatan digabungkan menjadi suatu mata pelajaran yang baru. Pendekatan ini adalah sama dengan pengajaran Sains Panduan di mana Biologi, Fizik serta Kimia digabungkan dan diajar mengikut tema-tema tertentu.

Akhirnya, dalam pengajaran bahasa terdapat pendekatan-pendekatan seperti pendekatan komunikasi, pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul berasaskan teori-teori pembelajaran yang berbentuk mentalis atau behavioris. Contohnya jika kita mengikut teori mentalis atau kognitif maka pendekatan yang digunakan adalah seperti pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Bagi teori behavioris atau S-R maka pendekatan pengajaran yang digunakan adalah pendekatan komunikasi dan situasi.

Rumusan yang boleh dibuat ialah pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum dan ia seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana caranya untuk menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk menuju arah yang ditetapkan oleh sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedah-kaedah pengajaran. 

Secara keseluruhannya, pendekatan adalah bersifat aksiomatik dan menggambarkan hakikat bahasa dan proses belajar bahasa yang dijadikan landasan untuk menyusun kaedah mengajar. Kaedah pula adalah bersifat prosedur dan teknik merupakan perlaksanaan kaedah dalam kelas.

3. Pendekatan Pengajaran Penulisan
3.1 Pendekatan pengajaran Penulisan Raimes
Terdapat pelbagai pendekatan, kaedah, danteknik yang dapat diaplikasikan dalam pengajaran aspek-aspek bahasa termasuk pengajaran penulisan wacana. Tidak ada satu pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan di dalam bilik darjah, melainkan masing-masing perlu disesuaikan dengan topik penulisan yang hendak diajar. Ini bergantung kepada kebijaksanaan guru kerana yang penting ialah pelajar dapat turut serta dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Pengajaran dan pembelajaran mestilah berpusatkan pelajar. Guru hendaklah bertindak sebagai pemudah cara. 

Raimes mengemukakan empat pendekatan pengajaran penulisan wacana iaitu Pendekatan Terkawal, Pendekatan Bebas, Pendekatan Pola-Perenggan, dan Pendekatan Komunikatif ( dalam Juriah Long dan rakan-rakan, 1990:214) 

        i.            Pendekatan Terkawal
Melalui pendekatan ini, guru dapat memandu danmengawal pelajar daripada melakukan kesalahan. Pada peringkat awal, guru mengawal secara menyeluruh. Namun begitu, pelajar masih diberikan kebebasan untuk memilih perbendaharaan kata atau struktur ayat mereka sendiri. 

Sebagai contoh, bentuk-bentuk kawalan yang diberikan oleh guru adalah dengan menyediakan sebuah penulisan yang menghendaki pelajar mengisi tempat-tempat kosong dengan perkataan yang sesuai; guru memberikan senarai frasa yang berkaitan dengan sesuatu topik dan pelajar perlu membina ayat untuk melengkapkan frasa; guru mengambil satu petikan yang menggambarkan sesuatu kejadian atau peristiwa kemudian pelajar disuruh menggambarkan semula keseluruhan pengalaman berdasarkan kejadian itu. 

      ii.            Pendekatan Bebas
Pendekatan ini memberikebebasan kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat mereka tentang sesuatu topik penulisan. Walau bagaimanapun, pendekatan ini hanya sesuai digunakan bagi pelajar yang sudah dapat menguasai bahasa dengan baik. Misalnya dalam pengajaran penulisan wacana yang ada hubung kait dengan masalah penggunaan dadah dalam kalangan remaja, guru boleh keratan-keratan akhbar untuk ditunjukkan kepada pelajar dan menyuruh mereka memberikan pendapat melalui aktiviti sumbang saran. Melalui cara ini pelajar akan lebih berminat, aktif dan dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan. 

    iii.            Pendekatan Komunikatif
Dell Hymes yang merupakan pengasas pendekatan ini antara lain menyatakan bahawa kecekapan komunikatif merupakan penguasaan bahasa secara naluri yang dimiliki oleh seseorang pelajar, iaitu keupayaan pelajar mengguna dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial. 

Pendekatan ini menegaskan tentang seseorang yang sudah mempunyai pengetahuan tentang struktur bahasa dan kebolehan membina ayat-ayat yang gramatis. Ini tidak bermakna dia sudah dapat berkomunikasi dengan baik dan berkesan memandangkan kecekapan berbahasa dan berkomunikasi itu juga menitikberatkan unsur-unsur lain yang boleh mempengaruhinya, seperti aspek-aspek sosiolinguistik dan psikolinguistik. 

Sebagai contoh, penulisan tentang kemajuan teknologi perubatan mestilah memasukkan kata atau frasa yang ada hubung kait dengan teknologi tersebut, iaitu laras bahasa perubatan. Oleh itu, pendekatan ini membolehkan pelajar menggunakan bahasa yang sesuai untuk tujuan berkomunikasi termasuk dalam penulisan. 

Dengan menggunakan pendekatan ini, dapat dikatakan bahawa pelajar menulis adalah untuk dibaca oleh orang lain atau masyarakat. Justeru, guru perlu memastikan dan menggalakkan pelajar menulis sama seperti dalam situasi kehidupan seharian mereka. Dalam hal ini, guru harus menyatakan kepada pelajar bahawa penulisan yang dihasilkan adalah untuk dinikmati oleh pembaca termasuk penulisan pelajar lain di dalam bilik darjah. 

     iv.            Pendekatan Pola-Perenggan
Pendekatan ini mengutamakan ciri-ciri pembentukan perenggan yang baik. Ini dapat melatih pelajar supaya berkeupayaan untuk memberikan pendapat dalam perenggan dengan kemas dan teratur. Selain itu,pendekatan ini juga dapat membantu pelajar mengetahui cara-cara meringkaskan penulisan dengan baik. 

Antara latihan yang dapat diaplikasikan seperti latihan mengkaji contoh-contoh perenggan yang baik, menyusun ayat-ayat yang disediakan guru dalam satu perenggan yang kemas, pelajar mengenal pasti, memilih dan meninggalkan isi-isi untuk dimasukkan dalam satu perenggan dan pelajar mencari isi penting dan isi bantu dalam sesuatu perenggan. 

3.2 Kesesuaian Pendekatan Pengajaran Penulisan Raimes
Kaedah dan teknik pengajaran dalam bilik darjah amat penting untuk memastikan pelajar dapat memahami dan mengaplikasi hasil daripada pengajaran yang dilaksanakan. Penulisan wacana sekolah menengah juga mempunyai banyak kaedah pengajaran yang boleh digunakan bagi memastikan pelajar dapat menulis dengan baik. Namun, pendapat mengatakan bahawa tidak ada satu pun pendekatan, kaedah, atau teknik yang paling sesuai digunakan dalam bilik darjah kecuali setiap pendekatan, kaedah dan teknik tersebut disesuaikan dengan tajuk penulisan yang hendak diajar. 

Raimes telah mengemukakan empat pendekatan pengajaran penulisan wacana iaitu Pendekatan Terkawal, Pendekatan Bebas, Pendekatan Komunikatif dan Pendekatan Pola-Perenggan. Terdapat dua pendekatan yang menarik perhatian saya iaitu Pendekatan Terkawal dan Pendekatan Bebas. Saya juga bersetuju dengan pendapat di atas yang mengatakan bahawa tidak ada satu pun pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan dalam bilik darjah kerana setiap guru mempunyai pendekatan yang berbeza untuk menyampaikan sesuatu pelajaran. Selain itu, faktor pelajar juga mendorong guru untuk menggunakan pendekatan yang berlainan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain, murid yang berbeza memerlukan pendekatan yang berbeza. 

Berdasarkan Pendekatan Terkawal yang diperkenalkan oleh Raimes, para pelajar melakukan aktiviti mengikut panduan yang diberikan oleh guru. Pada pendapat saya, pendekatan ini sesuai untuk diaplikasikan kepada pelajar-pelajar yang lemah atau masih belum menguasai sesuatu kemahiran dengan baik. Ini kerana aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan pendekatan ini adalah lebih mudah dan akan dapat dilakukan oleh murid-murid yang lemah. Sebagai contoh, murid-murid hanya perlu mengisi tempat kosong dengan perkataan yang diberi untuk melengkapkan sebuah karangan.

Sekiranya murid-murid telah menguasai sesuatu kemahiran dengan lebih baik, kelonggaran akan diberikan kepada murid-murid tersebut untuk melakukan aktiviti yang lebih mencabar. Ini bermakna murid-murid tersebut mempunyai sedikit kebebasan untuk menjalankan aktiviti mengikut daya pemikiran atau kemampuan mereka tetapi masih dikawal oleh guru. Sebagai contoh, jika pada peringkat awal murid-murid hanya mengisi tempat kosong dengan perkataan yang sesuai untuk melengkapkan karangan, pada peringkat ini murid-murid akan melengkapkan ayat dengan menggunakan frasa yang diberi. Ini menunjukkan bahawa pada peringkat ini latihan yang diberi adalah lebih mencabar berbanding dengan peringkat awal. 

Jelas kepada kita bahawa Pendekatan Terkawal memulakan proses pengajaran daripada mudah kepada perkara yang lebih susah atau daripada konkrit kepada abstrak. Pendekatan ini memang sesuai untuk murid-murid yang lemah seterusnya dapat memberi motivasi kepada mereka untuk terus belajar kerana aktiviti yang dijalankan adalah bersesuaian dengan kebolehan mereka. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang agak sukar dan tidak sesuai dengan kebolehan murid-murid akan mematahkan semangat mereka untuk terus belajar. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan untuk memberi bimbingan kepada para pelajar sama ada secara kelas, kumpulan atau individu agar mereka tidak mudah berasa jemu atau memudahkan mereka untuk menyiapkan sesuatu tugasan. 

Dengan menggunakan Pendekatan Terkawal, para pelajar akan diberi panduan dan bimbingan sepenuhnya. Jadi, mereka akan dapat belajar tentang sesuatu perkara dengan menggunakan bahan-bahan yang diberi oleh guru sebagai contoh untuk melaksanakan tugasan yang baru. Misalnya, jika guru memberi lembaran kerja yang mengandungi format surat rasmi untuk dilengkapkan oleh murid-murid, mereka akan dapat menjadikan format surat rasmi tersebut sebagai contoh untuk menulis surat rasmi yang lain dengan tajuk yang berbeza. Jadi, mereka akan dapat mempelajari sesuatu perkara berdasarkan contoh yang diberi tanpa melakukan banyak kesalahan.  

Berdasarkan pengalaman, para pelajar yang lemah biasanya tidak mampu untuk berfikir secara mendalam tentang sesuatu perkara dan tidak dapat mengemukakan pendapat atau idea yang berkaitan dengan sesuatu tajuk tanpa bantuan atau bimbingan daripada guru. Mereka juga agak malas untuk berfikir. Kadangkala mereka akan mengemukakan pendapat atau pandangan yang tidak logik atau tidak berkaitan dengan topik yang dibincangkan. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan untuk menggalakkan para pelajar  mengemukakan pendapat dengan memberi gambaran tentang sesuatu perkara atau tajuk yang dibincangkan. Dengan ini, mereka akan berasa lebih yakin untuk memberikan pendapat dan sudah pasti pendapat atau idea yang dikemukakan tidak akan terpesong.  

Berdasarkan keterangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa Pendekatan Terkawal yang diperkenalkan oleh Raimes ini sesuai diaplikasikan kepada pelajar-pelajar yang lemah. Ini kerana mereka agak pasif dan masih belum menguasai sesuatu kemahiran dengan baik. Dengan adanya bimbingan dan latihan yang berterusan, murid-murid pasti akan dapat menguasai sesuatu kemahiran itu sedikit demi sedikit. Pendekatan ini tentu sekali tidak sesuai untuk diaplikasikan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang kerana mereka lebih aktif, berfikiran terbuka dan mampu mengemukakan pendapat mereka berdasarkan sesuatu tajuk yang dibincangkan. Jadi, pendekatan ini tidak sesuai untuk mereka kerana akan membataskan pemikiran mereka dan membuatkan mereka berasa terkongkong. Pendekatan yang lebih sesuai perlu digunakan untuk murid-murid yang aktif. 

Satu lagi pendekatan pengajaran penulisan Raimes yang saya pilih ialah Pendekatan Bebas. Pendekatan Bebas sesuai digunakan untuk mengajar murid-murid yang aktif dan telah menguasai kemahiran bahasa dengan baik. Melalui pendekatan ini, murid-murid diberi kebebasan untuk mengemukakan idea atau pendapat tentang isu-isu atau tajuk yang dibincangkan. Pendekatan ini dapat meningkatkan daya imaginasi dan pemikiran pelajar agar mereka berfikir dengan lebih kreatif dan kritis. Pelajar juga akan dapat menggunakan pengetahuan sedia ada mereka untuk mengemukakan pendapat yang bernas atau menyelesaikan masalah yang dikemukakan. Ini akan mendorong murid-murid supaya rajin membaca dan mencari maklumat untuk menambahkan pengetahuan mereka. 

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk Pendekatan Terkawal dan Pendekatan Bebas adalah berbeza. Antara aktiviti yang sesuai untuk Pendekatan Bebas ialah perbincangan dan sumbang saran. Melalui aktiviti tersebut murid-murid bebas memberi pendapat dan pandangan mereka berdasarkan pengetahuan sedia ada. Mereka juga dapat bergerak aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Sebagai contoh, guru mengemukakan soalan atau isu yang perlu dibincangkan. Kemudian, murid-murid membentuk kumpulan dan berbincang tentang perkara tersebut. Selepas itu, wakil kumpulan akan membentangkan hasil perbincangan mereka. Aktiviti sebegini akan memberi peluang kepada murid-murid untuk bergerak aktif dan menghilangkan rasa bosan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. 

Kesimpulannya, tidak ada pendekatan, kaedah atau teknik yang terbaik untuk diaplikasikan di dalam bilik darjah. Ini kerana setiap pelajar adalah berbeza. Jadi, guru perlu lebih kreatif untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajar dengan menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik yang difikirkan sesuai berdasarkan ilmu yang hendak disampaikan agar murid-murid dapat menerima ilmu tersebut dengan baik. Sebagai contoh, guru perlu menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik yang berbeza untuk mengajar murid-murid yang pandai dan murid-murid yang lemah. Sekiranya guru menggunakan kaedah perbincangan atau sumbang saran untuk mengajar murid-murid yang lemah, sudah pasti aktiviti pengajaran dan pembelajaran tersebut tidak berkesan. Begitu juga jika guru menggunakan Pendekatan Terkawal untuk mengajar murid-murid yang pandai, sudah pasti murid-murid akan berasa bosan dan mengongkong kemahiran berfikir murid-murid. Oleh itu, guru perlu bijak memilih dan menentukan pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai untuk mengajar murid-murid agar pengajarannya menarik dan berkesan. 

4. Model Pengajaran Penulisan
4.1 Model Pengajaran Penulisan Kaedah Bergambar dan Carta
Penggunaan kaedah ini bermaksud penulisan yang dihasilkan adalah dengan berasaskan gambar yang dilihat dan ditunjukkan. Kebiasaannya, gambar bersiri akan digunakan sebagai bahan bantu mengajar dan peristiwa yang terdapat dalam gambar-gambar itu akan dijadikan bahan penulisan. Namun begitu, kaedah ini juga dapat dilaksanakan menerusi teknik penyampaian dengan menggunakan slaid. 

Teknik slaid lebih menarik dan dapat menimbulkan minat pelajar kerana menyeronokkan, ditambah lagi dengan iringan irama muzik yang bersesuaian, umpamanya pertunjukan slaid tentang kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan. Namun, teknik slaid memerlukan peralatan yang tertentu. Jika menggunakan teknik ini, pelajar mesti mempunyai daya ingatan yang kuat untuk mengingati gambar-gambarslaid yang telah ditonton. 

Dalam menggunakan kaedah bergambar, terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti dalam menyampaikan pengajaran, iaitu: 
  • Gambar yang digunakan mestilah sesuai sebagai bahan bantu mengajar dan tahap peringkat pelajar, disamping tidak mengenepikan aspek kualiti gambar;
  • Guru mengarahkan pelajar meneliti gambar yang disediakan dan memikirkan perkara-perkara yang dapat diperkatakan mengenainya; 
§         Pelajar disuruh mencatat idea atau isi penting yang hendak diperkatakan berdasarkan gambar yang dilihat;

§         Aktiviti sumbang saran dapat dijalankan, iaitu pelajar diberikan peluang menyuarakan pendapat dan idea mereka secara lisan dan kemudian guru menulisnya pada papan tulis, sambil menyemak kegramatisan ayat-ayat yang diutarakan.

§         Guru mengadakan sesi perbincangan dengan pelajar tentang isi-isi yang diberikan dan membuat rumusan tentang penyusunan isi-isi penting; dan

§         Pelajar menulis dengan berlandaskan perbincangan yang telah dilakukan.

§         Sementara itu, teknik carta aliran bermaksud guru mengedarkan atau

menunjukkan sebuah carta aliran berdasarkan proses-proses penghasilan sesuatu bahan atau produk. Teknik carta aliran agak bersistematik mengikut kronologi peristiwa. Teknik ini ada persamaan dengan teknik gambar bersiri, bahawasanya setiap proses itu digantikan dengan frasa-frasa yang menceritakan secara ringkas apa-apa yang berlaku pada setiap peringkat yang dipaparkan dalam carta. 

Prosedur-prosedur atau peringkat-peringkat itu boleh ditunjukkan dengan menggunakan penanda ‘anak panah’ atau berbentuk paparan carta. Contohnya, carta aliran yang memperlihatkan proses membuat produk makanan.
 
 4.2 Cara Melaksanakan Model Pengajaran Penulisan Kaedah Bergambar Dan Carta 
Pengajaran penulisan kaedah bergambar dan carta hampir sama. Oleh itu, saya menggunakan satu model pengajaran sahaja untuk pengajaran penulisan kaedah bergambar dan carta. Berikut ialah model pengajaran penulisan kaedah bergambar dan carta yang saya cadangkan.

Tajuk: Penternak Ayam
Bahan Bantu Mengajar : Gambar Bersiri (Lampiran) 

Langkah-langkah Pengajaran 

Langkah 1
Guru mengedarkan gambar kepada murid-murid. Guru meminta murid-murid supaya meneliti aktiviti, peristiwa atau perkara-perkara penting yang dapat diperkatakan atau diceritakan berdasarkan gambar yang diberi. Guru boleh menetapkan jumlah aktiviti atau peristiwa yang dikehendaki bagi setiap gambar. Contohnya, guru ingin murid –murid menyenaraikan dua aktiviti atau peristiwa penting bagi setiap gambar. Selain itu, guru juga boleh memberi kebebasan kepada murid-murid untuk mencari sebanyak mungkin aktiviti atau peristiwa daripada setiap gambar tersebut. 

Langkah 2
Murid-murid diminta mencatat perkara-perkara penting, aktiviti atau peristiwa berdasarkan gambar yang diberi. Aktiviti ini boleh dilakukan secara individu atau kumpulan. Jika aktiviti ini dijalankan secara individu, guru hendaklah memainkan peranan supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi aktif. Sebagai contoh, guru perlu bersoal jawab dengan murid jika tidak ada pelajar yang ingin memberi pendapat secara suka rela. Bagi pelajar-pelajar yang lemah, guru hendaklah membimbing mereka agar mereka dapat menyatakan idea dengan lebih yakin. 

Sekiranya guru ingin menjalankan aktiviti ini secara kumpulan, guru hendaklah mengarahkan para pelajar supaya berada dalam kumpulan masing-masing sebelum aktiviti ini dajalankan. Setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua dan seorang pencatat. Guru hendaklah mengarahkan murid-murid supaya berbincang dalam keadaan yang terkawal. Murid-murid perlu diingatkan supaya mengambil bahagian dalam sesi perbincangan. Setiap pelajar diwajibkan mengemukakan pendapat berdasarkan perkara yang dibincangkan. Guru juga boleh menerapkan nilai murni kepada murid-murid semasa aktiviti kumpulan dijalankan. Contohnya, nilai bekerjasama dan bertolak ansur.  

Semasa aktiviti kumpulan dijalankan, guru perlu memainkan peranan sebagai fasilitator dengan memantau setiap kumpulan dan memberi bimbingan kepada kumpulan yang menghadapi masalah. Seelok-eloknya, setiap kumpulan dibekalkan dengan peralatan yang diperlukan untuk sesi pembentangan hasil kerja. Untuk peringatan, guru juga perlu menyatakan masa yang diperuntukkan untuk sesi perbincangan supaya murid-murid tidak terleka. 

Langkah 3
Setelah selesai sesi perbincangan, setiap kumpulan dikehendaki menghantar wakil kumpulan untuk membentangkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing. Semasa sesi pembentangan, seorang lagi ahli kumpulan dikehendaki mencatat idea atau isi penting yang dibentangkan oleh pembentang kumpulannya pada papan tulis. Murid-murid atau ahlikumpulan yang lain diminta mendengar pembentangan itu dengan teliti dan mencatat idea atau isi penting yang dibentangkan oleh kumpulan lain. 

Apabila setiap kumpulan selesai membentangkan hasil perbincangan mereka, kumpulan lain diberi peluang untuk memberi komen tentang idea atau isi penting yang dikemukakan oleh kumpulan tersebut. Kumpulan lain juga perlu peka terhadap idea atau isi penting yang yang telah dikemukakan oleh kumpulan terdahulu agar tidak berlaku pertindihan idea. Idea atau isi penting yang sama tidak perlu dibentangkan oleh kumpulan berikutnya. Selepas itu, murid-murid diminta membaca idea-idea yang tercatat pada papan tulis hasil perbincangan semua kumpulan. Guru juga boleh memilih murid-murid secara rawak untuk membina ayat secara lisan dengan menggunakan idea yang telah diperoleh. Kemudian, guru mengadakan perbincangan dengan para pelajar tentang isi-isi yang diberikan dan membuat rumusan tentang penyusunan isi-isi penting semasa menulis karangan. Di samping itu, guru juga boleh berbincang tentang sistem bahasa yang dirasakan perlu ada dalam karangan tersebut. Contohnya, penggunaan penanda wacana, penggunaan imbuhan, kata tugas dan lain-lain.  

Langkah 4
Selepas itu, murid-murid diminta menulis karangan dengan menggunakan idea atau isi-isi penting yang telah dibincangkan atau dibentangkan oleh setiap kumpulan. Aktiviti ini boleh dilakukan secara individu atau kumpulan. Jika aktiviti ini dilakukan secara kumpulan, seorang ahli kumpulan perlu menulis karangan manakala ahli yang lain membantu membina ayat-ayat yang gramatis. Guru pula memainkan peranan sebagai fasilitator. Semasa aktiviti ini dijalankan, guru perlu sentiasa mengingatkan para pelajar tentang kesalahan umum yang sering dilakukan oleh kebanyakan pelajar semasa menulis.

Setelah selesai menulis, murid perlu menyemak untuk memastikan sama ada terdapat tulisan yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain. 

Langkah 5
Seterusnya, beberapa kumpulan akan dipilih untuk membacakan karangan masing-masing. Semasa wakil kumpulan membaca karangan, murid-murid lain diminta mendengar dengan teliti dan memberi komen terhadap kesalahan yang terdapat dalam karangan tersebut, contohnya kesalahan dari segi struktur ayat, penggunaan imbuhan dan sebagainya. Guru juga hendaklah membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh setiap kumpulan pada masa itu juga. Setiap kumpulan diminta membuat pembetulan terhadap kesalahan yang telah dilakukan sebelum menghantar karangan mereka kepada guru. 

Langkah 6
Guru menyemak karangan tersebut dengan teliti dan membetulkan setiap kesalahan yang dilakukan oleh murid-murid. Selepas itu, karangan tersebut akan dipulangkan kepada murid-murid dan setiap ahli kumpulan dikehendaki menulis semula karangan tersebut dalam buku masing-masing. Setiap kumpulan juga diminta menyediakan satu salinan karangan yang telah dibaiki untuk ditampal di dalam kelas atau dijilid untuk dijadikan sebuah buku sebagai rujukan murid-murid. 

5. Penutup
Tugasan ini memberi penekanan kepada pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran khususnya dalam aspek pengajaran penulisan. Setelah melaksanakan tugasan ini, saya lebih memahami tentang pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang sepatutnya diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pengetahuan guru-guru tentang pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran sangat penting untuk membolehkannya melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan lebih menarik dan berkesan. 

Semua guru sepatutnya mengenal pasti tahap pencapaian pelajar mereka untuk memudahkan mereka merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai untuk digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Sesungguhnya, pengetahuan tentang pendekatan, kaedah dan teknik serta pengaplikasiannya oleh guru-guru di dalam bilik darjah akan memberikan kesan yang positif kepada para pelajar seterusnya akan dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang akademik. Kesimpulannya, guru-guru perlu menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran demi kebaikan dan kejayaan para pelajar. 


 Rujukan 
Juriah Long, Raminah Hj. Sabran & Sofiah Hamid. (1990). Pendekatan mengajar  bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Kamarudin Hj. Husin. (1988). Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Raminah Hj. Sabran. (1993). Kecekapan berkomunikasi dalam bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti. 

Raminah Sabran & Rahim Syam. (1985). Kaedah pengajaran bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti. 

Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM]. (2001). Sukatan pelajaran kurikulum bersepadu sekolah menengah bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Zainol Ismail. (2003). Fokus Unggul/ UPSR Penulisan. Johor Bahru: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Tiada ulasan: