16 April 2010

Pendekatan Pengajaran Penulisan Oleh Raimes: Satu Penilaian

Oleh Surani binti Hj. Abdullah
(Universiti Terbuka Malaysia Cawangan Kelantan)

Pengenalan
Dalam melaksanakan satu proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik boleh digunakan. Dalam tugasan yang diberikan ini, penekanan diberikan kepada pendekatan,kaedah dan teknik yang boleh digunakan oleh seseorang guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan pengajaran penulisan. Namun terdapat beberapa pendapat yang mengatakan bahawa tidak ada satu pun pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan di dalam bilik darjah, kecuali setiap pendekatan , kaedah dan teknik tersebut disesuaikan dengan tajuk penulisan yang akan diajar. Terdapat pendekatan yang boleh dijadikan garis panduan dalam proses pengajaran kemahiran menulis karangan iaitu pendekatan yang dikemukakan oleh Raimes. Raimes telah mengutarakan empat pendekatan yang boleh digunakan iaitu pendekatan terkawal, pendekatan bebas, pendekatan pola – perenggan dan pendekatan komunikatif. Kupasan setiap pandangan dikaitkan dengan dua pendekatan yang dikemukakan oleh Raimes.

Berdasarkan tajuk tugasan pertama, saya telah menyatakan definisi pendekatan, kaedah dan teknik berdasarkan sumber-sumber yang saya rujuki. Saya juga menyatakan pendekatan yang dikemukan oleh Raimes iaitu empat pendekatan yang boleh digunakan untuk mengajar kemahiran menulis. Ianya berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh tutor. Seterusnya, saya akan mengemukakan pendapat dan pandangan saya tentang kesesuaian pendekatan pengajaran penulisan yang dikemukakan oleh Raimes dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam bilik darjah.


Definisi Pendekatan, Kaedah dan Teknik
Menurut Kamus Dewan (2007), pendekatan dapat didefinisikan sebagaisatu kaedah atau cara, langkah-langkah yang boleh diambil bagi memulakan dan melaksanakan tugas. Kamarudin Hj. Husin (1988), mendefinisikan pendekatan sebagai satu kumpulan andaian yang saling berkait tentang hakikat bahasa, hakikat pengajaran bahasa dan hakikat pembelajaran bahasa. Edward M. Anthony (1963), berpendapat bahawa pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsur aksiomatik. 

Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Menurut Parera (1986), mengatakan bahawa pendekatan merupakan satu latar belakang falsafah atau pandangan mengenai idea utama yang hendak dibahaskan dan merupakan satu aksioma (pernyataan yang diterima umum dan menjadi asas kepada sesuatu huraian). Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu.

Mok Soon Sang (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran. Iaitu cara bagaimana suatu matapelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik.

Kaedah bermaksud cara atau peraturan membuat sesuatu . Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaitu teknik dan pendekatan. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek. Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992). 

Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur.

Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada murid bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah. Melihat kepada contoh-contoh yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987), nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inkuiri penemuan, Forebel dan sebagainya.

Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai objektif pengajaran.

Demikian juga dengan Hasan Langgulung (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi apa sahaja cara tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada murid bagi mencapai objektif pengajaran maka itu adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain.

Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua murid dalam semua keadaan. Kaedah harus berubah mengikut keadaan masa, tempat dan murid. Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan murid.

An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman murid yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan murid. Dengan cara ini murid akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik. 

Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran.

Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Teknik ialah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi ketiga). Edward M. Anthony (1963), mendefinisikan teknik sebagai satu muslihat atau strategi atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. Beliau juga mengatakan bahawa teknik ialah kemahiran guru yang digunakan untuk pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolaan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. 

Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah. Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1988), berpendapat bahawa teknik pengajaran ialah pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah dimana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.

Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajar-pelajarnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti.

Kesimpulannya, pendekatan adalah bersifat aksiomatik dan menggambarkan hakikat bahasa dan proses belajar bahasa yang dijadikan landasan untuk menyusun kaedah mengajar. Kaedah pula adalah bersifat prosedur dan teknik merupakan perlaksanaan kaedah dalam kelas. Hubungkait di antara tiga aspek ini memastikan kejayaan dan keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang.

Pendekatan pengajaran Penulisan Raimes
Pelbagai pendekatan, kaedah, dan teknik dapat digunakan dalam pengajaran aspek-aspek bahasa. Tidak ada satu pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan di dalam bilik darjah, melainkan masing-masing perlu disesuaikan dengan topik penulisan yang hendak diajar. Ini bergantung kepada kebijaksanaan guru kerana yang penting ialah pelajar dapat turut serta dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Pengajaran dan pembelajaran mestilah berpusatkan pelajar. Pelajar perlu berperanan sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru hendaklah bertindak sebagai pemudah cara dalam membantu pelajar mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan tajuk yang akan diajar. 

Menurut Raimes, terdapat empat pendekatan yang boleh digunakan untuk pengajaran penulisan wacana. Pendekatan-pendekatan tersebut ialah pendekatan terkawal, pendekatan bebas, pendekatan pola – perenggan dan pendekatan komunikatif. ( dalam Juriah Long dan rakan-rakan, 1990:214).

a) Pendekatan terkawal. 
Melalui pendekatan ini, guru dapat memandu dan mengawal pelajar daripada melakukan kesalahan. Pada peringkat awal, guru mengawal secara menyeluruh. Namun begitu, pelajar masih diberikan kebebasan untuk memilih perbendaharaan kata atau struktur ayat mereka sendiri. Melalui pendekatan ini, murid-murid dielakkan daripada menlakukan kesalahan.

Sebagai contoh, bentuk-bentuk kawalan yang diberikan oleh guru adalah dengan menyediakan sebuah penulisan yang menghendaki pelajar mengisi tempat-tempat kosong dengan perkataan yang sesuai; guru memberikan senarai frasa yang berkaitan dengan sesuatu topik dan pelajar perlu membina ayat untuk melengkapkan frasa; guru mengambil satu petikan yang menggambarkan sesuatu kejadian atau peristiwa kemudian pelajar disuruh menggambarkan semula keseluruhan pengalaman berdasarkan kejadian itu.

b) Pendekatan bebas
Pendekatan ini memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat mereka tentang sesuatu topik penulisan. Walau bagaimanapun, pendekatan ini hanya sesuai digunakan bagi pelajar yang sudah dapat menguasai bahasa dengan baik.

Contohnya dalam pengajaran penulisan wacana yang ada hubung kait dengan masalah pencemaran alam sekitar, guru boleh keratan-keratan akhbar dan majalah untuk ditunjukkan kepada pelajar.Aktiviti perbincangan dan sumbang saran boleh dijalankan dimana murid dapat memberikan pendapat melalui aktiviti tersebut. Dengan cara ini pelajar akan lebih berminat, aktif dan dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan diri.

c) Pendekatan Komunikatif
Dell Hymes yang merupakan pengasas pendekatan ini antara lain menyatakan bahawa kecekapan komunikatif merupakan penguasaan bahasa secara naluri yang dimiliki oleh seseorang pelajar, iaitu keupayaan pelajar mengguna dan memahami bahasa secara wajar dalam proses berkomunikasi dan berinteraksi dengan individu lain dan jalinannya dengan konteks sosial.

Pendekatan ini menegaskan tentang seseorang yang sudah mempunyai pengetahuan tentang struktur bahasa dan kebolehan membina ayat-ayat yang gramatis. Ini tidak bermakna dia sudah dapat berkomunikasi dengan baik dan berkesan memandangkan kecekapan berbahasa dan berkomunikasi itu juga menitikberatkan unsur-unsur lain yang boleh mempengaruhinya, seperti aspek-aspek sosiolinguistik dan psikolinguistik.

Sebagai contoh, penulisan tentang kemajuan teknologi perubatan mestilah memasukkan kata atau frasa yang ada hubung kait dengan teknologi tersebut, iaitu laras bahasa perubatan. Oleh itu, pendekatan ini membolehkan pelajar menggunakan bahasa yang sesuai untuk tujuan berkomunikasi termasuk dalam penulisan.

Berdasarkan pendekatan ini, dapat dikatakan bahawa pelajar menulis adalah untuk dibaca oleh orang lain atau masyarakat. Justeru, guru perlu memastikan dan menggalakkan pelajar menulis sama seperti dalam situasi kehidupan seharian mereka. Dalam hal ini, guru harus menyatakan kepada pelajar bahawa penulisan yang dihasilkan adalah untuk dinikmati oleh pembaca termasuk penulisan pelajar lain di dalam bilik darjah.

d) Pendekatan pola-perenggan.
Pendekatan ini mengutamakan ciri-ciri pembentukan perenggan yang baik. Ini dapat melatih pelajar supaya berkeupayaan untuk memberikan pendapat dalam perenggan dengan kemas dan teratur. Selain itu,pendekatan ini juga dapat membantu pelajar mengetahui cara-cara meringkaskan penulisan dengan baik. Pendekatan ini sesuai digunakan untuk murid yang sudah dapat menguasai kemahiran bahasa.

Antara latihan yang dapat diaplikasikan seperti latihan mengkaji contoh-contoh perenggan yang baik, menyusun ayat-ayat yang disediakan guru dalam satu perenggan yang kemas, pelajar mengenal pasti, memilih dan meninggalkan isi-isi untuk dimasukkan dalam satu perenggan dan pelajar mencari isi penting dan isi bantu dalam sesuatu perenggan.

Kesesuaian Pendekatan Pengajaran Penulisan Raimes
Kaedah dan teknik pengajaran dalam bilik darjah amat penting untuk memastikan pelajar dapat memahami dan mengaplikasi hasil daripada pengajaran yang dilaksanakan. Penulisan wacana sekolah menengah juga mempunyai banyak kaedah pengajaran yang boleh digunakan bagi memastikan pelajar dapat menulis dengan baik. Namun, pendapat mengatakan bahawa tidak ada satu pun pendekatan, kaedah, atau teknik yang paling sesuai digunakan dalam bilik darjah kecuali setiap pendekatan, kaedah dan teknik tersebut disesuaikan dengan tajuk penulisan yang hendak diajar.

Berdasarkan tajuk tugasan yang telah diberikan, saya telah membuat pembacaan dan penelitian tentang pendekatan-pendekatan yang telah diberikan oleh Raimes. Pendekatan-pendekatan tersebut ialah pendekatan terkawal, pendekatan bebas, pendekatan komunikatif dan pendekatan pola-perenggan. Pendekatan-pendekatan ini sesuai untuk digunakan dalam pengajaran penulisan. Kepelbagaian pendekatan ini adalah untuk merangsang minat dan kebolehan murid. Ini kerana tidak ada satu pun pendekatan, kaedah dan teknik yang paling sesuai digunakan dalam bilik darjah kerana setiap guru mempunyai pendekatan yang berbeza untuk menyampaikan sesuatu pelajaran. Faktor pelajar juga mendorong seseorang guru untuk memilih dan menggunakan pendekatan yang berlainan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini dapat diperhatikan kerana terdapat pelbagai tahap dan kemampuan serta pencapaian murid dalam sesuatu kemahiran berbahasa. Ini kerana murid yang berbezatahap penguasaannya memerlukan pendekatan yang berbeza.

Kemahiran menulis boleh diajar secara berperingkat-peringkat. Pada pendapat saya, pendekatan terkawal dan pendekatan bebas amat sesuai digunakan oleh seseorang guru dalam mengajar tentang aspek penulisan. Berdasarkan pendekatan Raimes, saya bersetuju dengan pendekatan terkawal untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana pendekatan ini boleh membantu golongan pelajar yang agak lemah dan masih belum menguasai kemahiran menulis karangan. Pendekatan terkawal merupakan satu pendekatan yang digunakan bagi membantu murid-murid menimba pengalaman mengarang supaya mereka biasa dengan struktur karangan. Menerusi pendekatan ini juga, guru memandu dan mengawal pelajar daripada melakukan kesalahan. Selain itu, pendekatan ini dapat mengelakkan murid-murid daripada melakukan kesalahan. Contohnya, murid-murid menulis karangan dengan berpandukan sepenuhnya kepada bahan yang disediakan oleh guru iaitu mengisi tempat kosong dengan menggunakan perkataan-perkataan yang telah disediakan terlebih dahulu. Murid akan melengkapkan tempat-tempat kosong dengan menggunakan jawapan yang telah disediakan. Melalui pendekatan terkawal, karangan disediakan oleh guru. Penggunaan bahasa dan isi yang terdapat dalam Karangan Terkawal ditentukan oleh guru, bertujuan untuk mengurangkan kesilapan dalam penulisan. Karangan ini dapat membantu murid mengeluarkan idea tanpa diganggu oleh kesilapan penggunaan bahasa.

Karangan jenis ini membantu murid memahami seterusnya menggalakkan murid supaya bermotivasi untuk menulis sesebuah karangan. Contoh aktiviti-aktiviti bagi pendekatan terkawal ialah menulis karangan berdasarkan gambar bersiri, menyusun ayat sehingga membentuk sebuah karangan yang lengkap, menyusun bahagian pendahuluan, bahagian isi dan bahagian penutup untuk membentuk sebuah karangan yang lengkap berstruktur.

Pendekatan terkawal ini banyak membantu golongan pelajar yang agak lemah untuk menguasai kemahiran-kemahiran menulis. Ini kerana urutan proses menulis karangan iaitu daripada mudah kepada susah.Proses ini akan menggalakkan dan merangsang mereka untuk belajar. Seterusnya mereka akan terus bermotivasi untuk terus belajar kerana aktiviti yang dijalankan adalah bersesuaian dengan kebolehan mereka. Kesesuaian aktiviti pengajaran dan pembelajaran kebolehan murid-murid akan merangsang minat dan semangat mereka untuk terus belajar. Oleh yang demikian, seseorang guru berperanan untuk memberi bimbingan kepada para pelajar supaya akan merasa gembira,berminat dan tidak mudah berasa jemu dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang telah diamanahkan oleh guru mereka.

Melalui pendekatan ini juga, seseorang guru dapat menambahkan keyakinan diri murid-muridnya, dimana mereka akan diberi peluang dan kebebasan untuk memilih perbendaharan kata atau menggunakan struktur ayat mereka sendiri. Hal ini wujud selepas murid sudah dapat menguasai kemahiran menulis.Contohnya, guru mengambil satu petikan yang menggambarkan suatu kejadian atau peristiwa kemudian murid disuruh menggambarkan semula keseluruhan pengalaman berdasarkan kejadian itu. Fenomena inia akan mencetuskan percambahan idea dan merangsang minat murid untuk menulis.

Saya juga bersetuju dengan pendekatan bebas yang dikemukan oleh Raimes untuk sesi pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis. Ini kerana melalui pendekatan bebas ini, murid diberi kebebasan untuk menyuarakan idea dan pendapat berasaskan pengetahuan sedia ada mereka. Melalui pendekatan ini, murid dapat bergiat aktif semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Pendekatan ini juga sesuai digunakan untuk mengajar murid-murid yang menguasai kemahiran bahasa dengan baik dimana mereka diberi kebebasan untuk mengemukakan idea atau pendapat tentang isu-isu atau tajuk yang dibincangkan dengan menggunakan perkataan sendiri. Ianya kurang sesuai digunakan untuk mengajar murid yang agak lemah dalam kemahiran berbahasa. Pelajar juga akan dapat menggunakan pengetahuan sedia ada mereka untuk mengemukakan pendapat yang bernas atau menyelesaikan masalah yang dikemukakan. Melalui pendekatan ini daya imaginasi dan pemikiran murid dapat ditingkatkan.Mereka boleh menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Kemampuan pelajar mencari dan menyelesaikan masalah akan dapat meningkatkan keyakinan dan motivasi para pelajar. Situasi ini akan menggalakkan murid-murid supaya rajin membaca dan berusaha untuk mencari maklumat melalui sumber-sumber yang ada, contohnya mendapatkan maklumat daripada internet. Murid bebas untuk mendapatkan pelbagai maklumat daripada pelbagai sumber.

Berdasarkan pendekatan bebas, murid-murid memainkan peranan yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran berbahasa. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator untuk membimbing murid dalam mendapatkan maklumat. Murid bertindak aktif untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat berdasarkan topik yang akan diajar oleh guru mereka pada hari tersebut. Contohnya, guru akan memberikan satu tajuk tentang Pencemaran Alam Sekitar. Murid akan membentuk kumpulan dan mengadakan sumbangsaran untuk mendapatkan maklumat-naklumat yang berkaitan dengan tajuk tersebut. Setiap ahli kumpulan bebas untuk menyatakan idea dan pendapat masing-masing. Melalui teknik perbincangan ini, percambahan idea dapat dijana dengan sebaik mungkin di mana setiap ahli kumpulan berperanan mendapatkan sumber-sumber dengan menggunakan majalah-majalah, surat khabar atau pun dengan menggunakan komputer untuk melayari internet. Hasil perbincangan di dalam kumpulan kemudiannya di bentangkan kepada kelas. Proses ini dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan diri seseorang murid untuk bercakap di khalayak ramai.

Kesimpulan

Dalam merealisasikan matlamat untuk meningkatkan kemahiran menulis, terdapat faktor-faktor yang memainkan peranan penting dalam mempengaruhinya. Antaranya ialah faktor minat, jantina dan kaedah serta pendekatan yang digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas. Faktor-faktor ini merupakan penyumbang terpenting dalam mempengaruhi keputusan dan pencapaian murid. Semakin tinggi minat seseorang murid untuk belajar semakin tinggi kecemerlangan yang akan dicapai olehnya. Perasaan kurang yakin dan berasa rendah diri kerana kurang menguasai kemahiran menulis, akan menjadikan mereka kurang berminat untuk menulis. Fenomena ini seharusnya dihindari untuk mencapai kecemerlangan dalam sesuatu mata pelajaran. Kepelbagaian pendekatan yang digunakan oleh guru akan mempengaruhi hasil pencapaian objektif pengajaran. Pemilihan kaedah dan teknik yang sesuai akan menjamin keberkesanan penyampaian sesuatu pengajaran serta pencapaian objektifnya secara optimum. Pemilihan kaedah dan teknik yang bersesuaian ini menyumbang kepada tahap penguasaan dan minat seseorang murid untuk belajar dengan lebih berkesan.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bagaimana untuk membantu murid lemah (GALUS) untuk menguasai teknik penulisan yang sesuai dengan kemampuan dan minat mereka.

Tanpa Nama berkata...

salam, terima kasih atas perkongsian ilmu. saya mohon share ya.

yati berkata...

Assalamualaikum. terima kasih atas perkongsian ilmu

cthajar berkata...

terima kasih di atas perkongsian