Mohamad Saleeh Rahamad
Universiti Malaya
maisarah43@hotmail.com
Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di rumpun buluh;
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah menyusun jari sepuluh.
Pendahuluan
Berbanding dengan puisi tradisional Melayu yang lain seperti gurindam, seloka, nazam dan syair, pantun masih popular hingga sekarang. Pantun dua kerat dan pantun empat kerat masih mendapat tempat dalam masyarakat moden hari ini. Pantun masih kedengaran dalam lagu-lagu rakyat seperti boria, dondang sayang dikir barat dan lain-lain walaupun lagu-lagu rakyat ini sudah jarang-jarang berkumandang. Pantun juga masih digunakan dalam majlis-majlis tertentu seperti majlis peminangan dan pernikahan. Begitu juga dengan acara dan majlis lain, biasanya juruacara dan pembicara sering membuka, menutup dan menyelitkan ucapan dengan serangkap dua pantun. Sejak akhir-akhir ini pertandingan pantun juga sering diadakan di peringkat sekolah mahupun di peringkat universiti, dan ini sudah tentu merupakan perkembangan yang sangat baik bagi kesinambungan pantun Melayu.
Pantun dalam Kebudayaan Melayu: Dulu dan Kini
Pantun ialah sejenis puisi lama yang asli milik masyarakat Melayu. Keaslian pantun sebagai milik masyarakat Melayu turut diakui oleh pengkaji Barat sebagaimana dicatatkan dalam A Handbook to Literature (Holman dan Harmon , 1986: 357), sebuah rujukan glosari sastera yang berautoriti: “Usually considered as one of the sophisticated FRENCH FORMS, the pantoum was actually taken over from the Malaysian by Victor Hugo and other French POETS.”
Secara ringkas, pantun dapat didefinisikan sebagai ”sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (Kamus Dewan: 813) atau ”...sajak pendek, tiap-tiap kuplet biasanya empat baris (abab) dan dua baris yang dahulu biasanya untuk tumpuan sahaja” (Kamus Umum Bahasa Indonesia: 710). Bagi pantun yang popular, bentuknya terbina dengan empat baris, iaitu dua baris sebagai pembayang maksud, dan dua baris lagi sebagai maksudnya. Contohnya:
Masyarakat Melayu tradisional sangat kuat berpegang pada adat resamnya yang berpaksikan komunaliti. Seseorang anggota masyarakat berada dalam komunitinya dengan penuh rasa tanggungjawab. Keluar daripada lingkungan masyarakatnya merupakan satu tindakan deviasi yang menandakan keasingannya. Tindakan seperti ini merupakan tanda bahawa dia tidak diterima oleh masyarakatnya dan apabila dia berkeadaan demikian, dirinya tidak dapat lagi bergantung pada masyarakat. Ini amat ditakuti oleh masyarakat Melayu lama.
Perhubungan sesama anggota masyarakat diikat oleh rasa kekitaan, bukannya oleh kuasa kapitalisme. Jika sekarang segala-galanya ditentukan wang, dalam masyarakat lama segala-galanya ditentukan semangat kebersamaan. Itulah sebabnya banyak aktiviti kehidupan dilakukan ecara bergotong-royong. Konsep gotong-royong menjadi nadi kehidupan masyarakat Melayu. Bagi komuniti sawah padi misalnya ada kegiatan gotong-royong yang dinamakan ”berderau”. ”Berderau” ialah satu cara menyelesaikan kerja sesebuah keluarga secara bersama. Maksudnya, jika keluarga itu mahu menanam padi, seluruh anggota masyarakatnya akan turun membantu tanpa sebarang upah. Begitu juga apabila keluarga lain memerlukan bantuan, semuanya akan membantu.
Oleh sebab kuatnya ikatan kemasyarakatan itu, bentuk puisinya juga adalah sama dan tiada nama pengarang. Ini berbeza daripada puisi moden yang dihasilkan oleh masyarakat yang individualistik. Genre puisi moden, iaitu sajak dicipta oleh individu yang sangat menjaga individualiti dan hak ciptanya. Tidak dibenarkan sajaknya digunakan oleh orang lain tanpa mem=nyebut nama pencitanya. Pantun tidak demikian sifatnya. Pantun bebas digunakan oleh semua orang dan tiada sesiapa mahu mengaku itulah ciptaannya.
Walau bagaimanapun pada zaman moden ini ada juga pantun baru dicipta dan penciptanya mahu namanya diiktiraf sebagai pencipta pantun tersebut. Maksudnya dia mahu hak cipta atas pantun itu. Antara media yang menyiarkan pantun baharu ialah majalah Dewan Sastera. Selain itu ada juga pencipta pantun yang membukukan karya mereka seperti Halim R (Setaman Pantun Kenangan, 2006), Wan Khazim (Bukit Lagi Bintang Berkarang, 2006), dan sebuah antologi pantun oleh para pensyarah Universiti Sains Malaysia (Setaman Pantun Merdeka) sebagai ekspresi mereka tentang kemerdekaan Malaysia. Pantun-pantun dalam buku ini ada penciptanya dan ada hak ciptanya, tidak seperti pantun lama yang menjadi milik bersama.
Fungsi pantun adalah pelbagai tetapi semuanya masih tergolong dalam tujuan berkomunikasi antara sesama manusia, malahan ada juga yang digunakan untuk berkomunikasi dengan makhluk halus, iaitu dalam jampi mantera. Bagi tujuan berkomunikasi sesama manusia pantun tergolong dalam fungsi untuk berkasih sayang, adat resam, agama dan kepercayaan, budi, jenaka dan permainan, teka teki, kepahlawanan, nasihat dan pendidikan, kritikan, kembara, dan sebagainya.
Dalam budaya Melayu wujud amalan perucapan yang berbentuk kiasan atau tamsil ibarat bagi menjelaskan sesuatu secara berlapik kerana memang sifat manusia Melayu cenderung tidak berterus terang dalam apa-apa jua cara. Ini sifat yang sukar ditiru oleh bangsa lain kerana budaya sesuatu masyarakat itu terbentuk secara alamiah melalui perdampingan mereka dengan alam dan persekitaran yang berskala horizontal dan kepercayaan yang berskala vertikal.
Dalam perhubungan sesama manusia sama ada yang sama darjat mahupun berlainan darjat, pantun kerap dijadikan alat ekspresi kerana kesannya lebih mendalam di samping dapat menjaga kemaslahatan masyarakat. Lihatlah bagaimana pengarang Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) menyampaikan ekspresi sinikalnya terhadap golongan pemerintah yang tertakluk oleh hawa nafsunya melalui pantun yang berikut:
Dang Nilai memangku puan,
Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipihkan lada.
Kuning Ledang bagai dikarang,
Riang-riang disambar wakab;
Hairan memandang dunia sekarang,
Bayang-bayang hendak ditangkap.
(A. Samad Ahmad (peny.), 2000: 214)
Pantun tersebut mempunyai siratan makna yang sangat tajam menempelak kerakusan Sultan Mahmud hendak memperisteri Puteri Gunung Ledang walhal kewujudan Puteri Gunung Ledang itu tidak dapat dibuktikan. Tanpa mempedulikan logik realiti, Sultan Mahmud mengerahkan orang suruhannya pergi memanjat Gunung Ledang untuk meminang Puteri Gunung Ledang yang kononnya bersemayam di puncak gunung itu.
Episod ini merupakan lanjutan daripada gambaran kerakusan nafsu Sultan Mahmud sebelum baginda kembali menjadi manusia yang taat kepada Allah. Begitu hebat kerakusannya terhadap wanita jelita tentulah sukar untuk digambarkan oleh pujangga istana kerana kehormatan raja masih dipelihara dalam zaman feudal. Tetapi kebijaksanaan pujangga istana itu telah berupaya melepasi etika berkomunikasi dengan pihak istana melalui pantun yang penuh kiasan.
Seluruh pantun itu bersifat kiasan bagi menggambarkan kebebalan rajanya tanpa menggores ego darjat istana. Apabila perkataan “gila” digunakan untuk seseorang yang terlalu ingin beristerikan seorang wanita bayangan, pastilah imejnya direndahkan dengan melampau. Begitu juga dengan bait yang berbunyi “Bayang-bayang hendak ditangkap”, sinikalitinya terhadap keinginan raja diucapkan dengan halus. Permainan bahasa dan wacana dalam episod ini menyerlahkan kekuatan gaya pengucapan atau retorika Melayu yang jauh melepasi keindahan puisi moden. Sukar juga untuk membayangkan bagaimanakah penerimaan golongan istana pada masa karya ini ditulis. Adakah golongan raja tidak menyedari kecaman sarkastik tersebut atau mereka memang tidak membacanya, atau mungkinkah mereka gagal memahami makna yang tersirat. Walau apa pun, melalui pantun yang berkias itu sindiran terhadap raja yang bejat akhlaknya dapat disampaikan kepada khalayak sehingga zaman sekarang.
Dalam budaya Melayu, alam memainkan peranan yang penting kerana hidupnya masyarakat tidak terpisah daripada alam. Oleh itu, segala yang berlaku sentiasa dikaitkan dengan alam. Hal ini tercermin dalam bait gurindam yang berbunyi “Alam terbentang jadikan guru”. Oleh Muhammad Haji Salleh (2000: 240-241) keakraban manusia Melayu dengan alam dinukilkannya begini:
Manusia Melayu hidup dalam suatu persekitaran alam yang khusus. Sebagai penghuni alam yang amat setia ini, dia juga telah membuktikan dirinya sebagai pemerhati yang tekun dan teliti. Pusingan waktu, pergantian musim, perjalanan usianya, berserta segala tabiat khusus yang datang bersamanya, dicatat secara lisan ataupun kairografik. Pantai yang berubah setiap kali air bah dimasukkan ke dalam peribahasa dan pantun, begitu juga rumah yang dilambung ombak dijadikan metafora cabaran untuk mereka yang berani. Beribu citra dikutip untuk tabiat alam raya. Tetapi antara semua ini dia menemukan unsur harmoni yang hadir dalam alam semesta. Unsur ini dilihat sebagai membantu menenteramkan dan membantu suatu kehidupan yang aman. Ada juga suatu unsur lagi yang dilihat pada alam semula jadi, yang disanjung, iaitu keteraturan, suatu susunan yang jelas, dan dalam susunan ini akhirnya yang berlawanan ini ditenteramkan oleh kuasa imbangan tadi. Unsur-unsur yang diperhatikan dikutip dan dijadikan juga sebagai nilai dalam kehidupan sosialnya. Harmoni inilah juga yang dijadikan unggul yang dikira dapat membantu masyarakatnya berkembang dengan baik. Dalam sastera, unsur ini menjadi dasar unggul, kerana melaluinya karya dapat disusun secara teratur dan bahagian-bahagiannya saling melengkapi antara satu sama lainnya.
Sengaja petikan ini dimuatkan dengan panjang untuk memelihara keindahan dan kepadatan pengucapan Muhammad Haji Salleh. Jika petikan ini diringkaskan, mungkin ada maksud yang tidak kesampaian. Dalam hal ini, Muhammad yang telah memahami puitika Melayu, terutama dari sudut makna dan citra yang dipadatkan”; dan oleh itu, tulisannya juga telah dipadatkan sehingga sukar untuk dipadatkan lagi. Pencuplikan kenyataan padat ini wajar dilakukan untuk mengetengahkan intelektualiti Muhammad.
Bagi merumuskan konsep puitika Melayu, terutamanya pantun, Muhammad memecahkannya kepada enam ceraian, iaitu (i) makna dan citra yang dipadatkan, (ii) makna dan citra yang dilayangkan secara halus dan tidak langsung [inilah fokus kajian makalah penulis] (iii)dunia yang berbelah dua (iv) muzik bahasa sebagai pengalun makna (v) sama ukuran atau imbangan (Muhammad Haji Salleh, 2000:240). Ciri-ciri yang dirumuskan oleh Muhammad sudah berupaya memberikan gambaran tentang puitika pantun dalam bentuk yang ilmiah dan sistematik.
Selain Muhammad, Francois-Rene Dallie (1988: 131), seorang peneliti dari Perancis mempunyai pandangan yang sama dengan ciri pertama (“makna dan citra yang dipadatkan” atau “Dunia luas yang dipadatkan”) sebagaimana katanya: “A Pantun is a universe in a nutshell”. Maksudnya, makna yang terkandung dalam pantun lebih luas daripada yang diungkapkan dalam bait-baitnya. Dallie juga melihat pantun sebagai ekspresi peradaban Melayu. Bagi beliau, pantun perlu ditelaah untuk memahami peradaban Melayu; dan begitu juga sebaliknya, untuk memahami pantun, peradaban Melayu perlu difahami dahulu. Maknanya, antara pantun dengan peradaban (atau tasawur) Melayu wujud hubungan resiprokal, saling berjerait kerana kedua-duanya memang terhubung oleh jalinan simbiotik.
Bagi tujuan makalah ini penelitian dan penemuan Muhammad tentang estetika pantun sudah memadai untuk menjadi rumusan puitika retorik tradisional itu. Untuk memanjangkan perbincangan, makalah ini akan menelusuri satu daripada ciri yang ditemukan, iaitu “makna dan citra yang dilayangkan secara halus dan tidak langsung” dengan memilih unsur metafora. Metafora merupakan satu daripada cabang bahasa kiasan yang sangat meluas digunakan dalam puisi, baik puisi tradisional mahupun puisi moden.
Bahasa kiasan juga disebut majas merupakan tenaga bahasa yang sangat ampuh untuk menyampaikan maksud perucapan secara berhikmah. Pembicara yang tahu akan letak duduknya hubungan antara perucap dengan dengan penerima akan memanfaatkan bahasa kiasan agar penyampaiannya dapat dilaksanakan dengan lembut atau sebaliknya. Ada kekuatan yang tersirat dalam gaya kiasan kerana dalam keadaan tertentu belum tentu pengucapan secara langsung sesuai diujarkan lantaran emosi manusia yang menjadi penerima itu juga mungkin telah terbiasa dengan komunikasi yang berhikmah dan berlapik.
Para seniman Romawi seperti Cicero dan Suetonicus telah menggunakan sarana majas dengan pengertian “bayangan, gambaran, sindiran, dan kiasan” (Tarigan, 1995: 112) Penggunaan majas tertentu yang bersifat konotatif dapat meninggikan kesan penyampaian dan mengubah nilai rasa. Kemarahan dan kemesraan misalnya, dapat disampaikan hanya dengan penggunaan kata tertentu tanpa diucapkan kemarahan itu secara langsung kerana penerima yang faham akan berupaya menghubungkan imej yang menjadi kiasan dengan nilai rasa yang disampaikan. Komunikasi akan menjadi lebih berkesan sekiranya ada persamaan budaya antara penghantar mesej dengan penerimanya.
Sekiranya kedua-dua pihak terpisah oleh perbezaan budaya, imej yang dimanipulasikan bagi maksud tersirat tidak akan dapat difahami oleh pembaca Dalam komunikasi sastera ada tiga kod yang menjadi dinding atau perantara karya dengan dengan khalayaknya, iaitu kod bahasa, kod sastera, dan kod budaya (Teeuw, 1992: 14-16). Ketiga-tiga kod itu perlu dikuasai untuk memahamkan makna yang tersirat dalam karya sastera. Setelah memahami budaya misalnya, barulah karya yang sarat dengan ikon budaya dapat diterjemahkan dalam mental penerima. Demikian jugalah dalam pantun yang ikon budayanya begitu dominan, terutama pada dua baris pembayang maksudnya.
Majas merupakan sarana retorik bagi tujuan meyakinkan atau mempengaruhi pembaca atau pendengar. Tarigan (1995: 114) memecahkan majas kepada empat kelompok, iaitu majas perbandingan, majas pertentangan, majas pertautan, dan majas perulangan. Untuk makalah ini hanya majas perbandingan yang terlibat kerana metafora terkelompok dalam majas jenis itu. Selain metafora, majas perbandingan mengandungi simile, personifikasi, alegori, dan antitesis. Umumnya, metafora berfungsi dengan cara menyamakan sesuatu dengan sesuatu yang lain secara langsung dan pembacanya dapat menghubungkitkan bahan perbandingan itu dengan makna yang dihasratkan sama ada melalui komparatif atau secara kontras.
Gambaran lelaki dan wanita
Sudah menjadi adat dan lumrah dalam percintaan, pasangan masing-masing akan dianggap sebagai orang yang paling menarik. Lelaki akan digambarkan sebagai seorang yang baik dan kacak serta berperawakan menarik. Begitu juga dengan wanita, digambarkan mempunyai rupa paras yang cantik jelita, manis menawan dengan fizikal yang menarik. Gambaran ini jelas dipaparkan menerusi contoh-contoh pantun yang berikut.
Lelaki
Gambaran senyuman lelaki yang manis diperlihatkan melalui pantun berikut:
Buah mengkudu kusangka kandis,
Kandis terletak dalam puan;
Gula madu kusangka manis,
Manis lagi senyuman tuan.
(Zainal Abidin Bakar.: 244)
Senyuman sang lelaki yang dicintai dilihat oleh si wanita diberi gambaran sebagai senyuman yang tersangat manis sehingga mengalahkan gula madu. Dalam masyarakat Melayu tradisional, bahan pemanis yang paling baik digunakan ialah madu kerana khasiatnya yang tinggi dan mudah diperoleh di persekitaran mereka tanpa melalui sebarang proses.
Kekacakan dan kebaikan lelaki yang abstrak pula dilambangkan menerusi ikon metafora konkrit ”bulan yang terang”, ”bintang nurani” dan ”panji-panji”. Ikon ”bulan” dan ”bintang” sangat sesuai dan berkesan digunakan oleh pemantun untuk memberikan gambaran yang menarik mengenai lelaki. Dalam sarwajagat Melayu tradisional, kedua-dua imej itu sangat dekat dengan makna keindahan, kebaikan, dan tuah. Dalam Hikayat Hang Tuah misalnya, bapa Hang Tuah bermimpi bulan jatuh ke riba sebagai petanda kedatangan tuah dalam keluarga mereka, iaitu kelahiran Hang Tuah. Bintang pula sering diasosiasikan dengan keindahan kerana kerlipan cahayanya pada waktu malam yang menyerikan dada langit. Lihat pemakaiannya dalam pantun yang berikut:
Kalau tuan pergi ke bendang,
Jangan dipetik buah rembia;
Tuan laksana bulan yang terang,
Cahaya liput serata dunia.
(Ibid.: 260)
Sampan pukat sampan Serani,
Boleh belayar tanah seberang;
Tuan umpama bintang nurani,
Makin ditentang bertambah terang.
(Ibid.: 260)
Penggunaan kata sendi nama ”laksana” dan ”umpama” itu menjadikan imej konkrit tersebut sebagai simile yang juga termasuk dalam kelompok ikon metafora.
Selain ikon-ikon di atas, pelbagai jenis ikon lagi digunakan oleh pemantun untuk menggambarkan kekacakan lelaki. Pantun-pantun berikut telah memperlihatkan ikon metafora untuk memberi gambaran tentang ketampanan lelaki. Ikon metafora ”emas dititik”, ”pelita tanglung” dan ”kunang-kunang sekebun” telah dijadikan perbandingan untuk memperlihatkan betapa menariknya lelaki tersebut.
Cik Ali selendang batik,
Batik datang dari Surabaya;
Tuan umpama emas dititik,
Belum disepuh bertambah cahaya.
(Zainal Abidin Bakar, 1984:” 291)
Dang Kasihan pergi ke Tanjung,
Akan permata pembeli lada;
Tuan laksana pelita tanglung,
Diribakan oleh paduka kakanda.
(Ibid.: 291)
Hujan panas kemarau embun,
Keluar ke madang menjemur padi;
Tuan umpama kunang-kunang sekebun,
Sebagai syamsu bersinar pagi.
(Ibid.: 292
Ikon metafora ”emas dititik” dan ”pelita tanglung” membawa konotasi budaya. Dalam budaya masyarakat Melayu, emas dititik merupakan emas yang tinggi mutunya kerana ditempa oleh seorang pandai emas. Ikon metafora ”pelita tanglung” pula mendekati budaya Cina kerana masyarakat itulah yang menggunakan lampu tanglung. Kecantikan pelita tanglung diserlahkan oleh kepelbagaian warnanya dan cahayanya pula dapat menyerikan kegelapan malam. Jadi sifat kedua-dua imej konkrit ini memberikan makna yang dihasratkan oleh pemantun. Sementara itu, ”kunang-kunang sekebun” merupakan ikon metafora yang bersifat hiperbolik kerana digambarkan secara berlebihan-lebihan. Cahaya daripada kunang-kunang memang tidak dapat memberikan apa-apa kerana kehalusannya tetapi apabila dikatakan sekebun, bermakna jumlahnya terlalu banyak dan dapat menghadirkan cahaya yang terang-benderang.
Ikon metafora dalam pantun berikut menggambarkan kebaikan dan kemuliaan lelaki. Segala kebaikan dan kemuliaan lelaki digambarkan melalui ”panji-panji”, ”minyak yang penuh”, ”sarbat minuman” dalam pantun berikut.
Anak Cina menebang keranji,
Habis buah bertabur-taburan;
Tuan umpama panji-panji,
Ditiup angin berkibar-kibaran.
(Zainal Abidin Bakar, 1984:” 261)
Sayang Laksamana mati di bunuh,
Mati ditikam Datuk Menteri;
Tuan umpama minyak yang penuh,
Tidak diberi limpahnya lagi.
(Zainal Abidin Bakar, 1984:” 291)
Hari-hari masuk ke taman,
Kerat-kerat kayu api;
Tuan umpama sarbat minuman,
Sedikit tak ralat di dalam hati.
(Zainal Abidin Bakar, 1984:” 292)
”Panji” diasosiasikan dengan kebesaran sesebuah kerajaan, ”minyak yang penuh” secara kulturalnya merupakan satu perbuatan memanjakan seseorang secara penuh hemah seperti menjaga minyak agar tidak tumpah, manakala ”sarbat minuman” menandakan tahap kemanisan yang enak dan dapat menghilangkan dahaga. Sesuai dengan situasi masyarakat tradisional semua imej konkrit itu memberikan makna yang memenuhi maksud yang disampaikan.
Wanita
Bukan sahaja lelaki digambarkan berperawakan menarik, wanita juga demikian. Pelbagai ikon metafora diperlihatkan dalam pantun untuk memperlihatkan gambaran kecantikan wanita.
Rumah kecil pintu ke laut,
Tempat orang menggesek biola;
Tubuh kecil bagai diraut,
Di situ tempat hatiku gila.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 261)
Gambaran kecantikan wanita divisualkan sebagai badannya yang ramping dan diberi perbandingan menerusi ”tubuh kecil bagai diraut”. ”Bagai diraut” Kecantikan wanita juga digambarkan sepert bidadari yang tidak terlawan kecantikannya dengan mana-mana wanita pun di dunia ini. Imej bidadari merupakan ikon kecantikan wanita dan puncak keseronokan bagi hamba Tuhan kerana bidadari hanya wujud di dalam syurga. Di sini kepercayaan agama memainkan peranannya untuk menghubungkan imej konkrit dengan imej mental dalam hasrat pemantun. Oleh itu, tidak perlu lagi penjelasan panjang lebar digunakan untuk menunjukkan ketinggian nilai wanita itu—cukup dengan penggunaan alusi ”bidadari”.
Hendak mayang seludang mayang,
Pakaian anak raja Cina;
Bidadari turun melayang,
Seri menampung bulan purnama.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 267)
Ikon metafora terhadap kecantikan wanita ditandai dengan ”mahkota”, ”intan”, ”cincin intan” dan ”emas tempawan” dalam pantun yang berikut:
Anak Cina cari sembilang,
Dapat sesekor di atas pasir;
Laksana mahkota gilang-gemilang,
Sebagai emas baharu diukir.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 280)
Tutuh nangka tinggi-tinggi,
Rotan mana di tengah huma;
Lamalah sudah abang mencari,
Dapatlah intan di tengah bunga.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 280)
Laksamana pergi ke Semantan,
Singgah menuju ke kualanya;
Adik laksana cincin intan,
Kakanda mabuk akan cahayanya.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 263)
Cenderawasih burung di awan,
Terbang hinggap di atas tikar;
Dinda ibarat emas tempawan,
Tidak boleh kulupa sekelip mata.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 243)
Gambaran Perasaan rindu
Perasaan rindu juga sentiasa berada dalam jiwa pasangan bercinta. Kerinduan ini jelas dalam ikon metafora yang digambarkan dalam beberapa petikan pantun berikut.
Buluh perindu berdahan tidak,
Ke tepi perigi rumpunnya senget;
Hatiku rindu tertahan tidak,
Seperti bumi menanggung langit.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 246)
Seseorang yang jatuh cinta sentiasa merindui kekasihnya. Ikon metafora jelas terlihat dalam pantun ini. Rindunya diibaratkan seperti bumi menanggung langit. Alangkah beratnya penanggungan rindu tersebut sehingga tidak dapat dibayangkan melalui kata-kata biasa. Ikon metafora ini telah berjaya menggambarkan betapa beratnya kerinduan yang ditanggung itu.
Gambaran perasaan cinta dan kasih sayang
Ikon metafora untuk mengungkapkan perasaan cinta, kasih dan sayang yang bergelora dan membuak-buak dapat dilihat dalam pantun percintaan. Dalam petikan sajak berikut dapat dilihat ikon metafora untuk menggambarkan perasaan ini.
Terang bulan di laman tangga,
Sarang penyengat di dalam padi;
Adakah orang semacam sahaya,
Menaruh kiamat di dalam hati?
(Zainal Abidin Bakar (peny.), 1984: 237)
”Kiamat” merupakan ikon metafora yang sangat ekstrem dari sudut kepercayaan agama. Kiamat bermakna kemusnahan dan secara kulturalnya membawa maksud kesengsaraan yang terlalu hebat. Rasa itu digandingkan untuk mengungkapkan perasaan cinta yang tidak terhingga oleh si pencinta terhadap pasangannya. ”Saya” juga merasakan dialah orang yang sangat mencintai pasangannya sehingga dia tertanya-tanya adakah orang lain juga ada mempunyai perasaan sebegitu.
Apa tanda hari nak petang,
Anak merbah terciap-ciap;
Apa tanda cinta nak datang,
Darah di dada gerap-gemirap.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 239)
Penanda bahawa cinta yang terbit daripada hati diberi ikon metafora ”darah di dada gerap-gemirap”. Ia merupakan petanda bahawa hati dan perasaan seseorang yang berdebar-debar apabila sudah jatuh cinta. Apabila darah digambarkan ”gerap-gemirap” maknanya ada satu rasa yang membuak-buak dalam diri dalam seseorang. Di sini terlihat unsur fisiologi digunakan untuk menggambarkan perasaan, tidak lagi seperti lazimnya, unsur budaya berperanan.
Mari dibungkus dengan kertas,
Dikarang pula berjalur-jalur;
Tuan di hati haram tak lepas,
Terang laksana cermin habelur.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 260)
Perasaan cinta terhadap pasangan sentiasa subur dan mekar itu diibaratkan terang seperti ”cermin habelur”. Cermin hablur ialah sejenis kaca yang dapat mengubah pandangan seseorang terhadap sesuatu objek, tetapi dalam pantun ini cermin hablur bermaksud cermin yang bercorak prisma dan memancarkan cahaya bersinar-sinar. Tiada unsur budaya dalam perbandingan ini; yang dilahirkan ialah unsur saintifik. Ini memperlihatkan ada unsur modeniti dalam oantun tersebut.
Perasaan cinta terhadap lelaki juga digambarkan dengan berkesan, iaitu lelaki diibaratkan sebagai ”mahkota hati” yang sentiasa berada di hati wanita.
Panjang rambut Siti Julita,
Panjang melilit ibu kaki,
Intan zamrud cermin mata,
Tuan seorang mahkota hati.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 273)
Mahkota tergolong dalam imej budaya bagi menggambarkan lambang kebesaran. Apabila mahkota diletakkan dalam hati, maknanya sang kekasih itu diberi taraf yang sangat tinggi.
Perasaan cinta seorang lelaki terhadap wanita pula digambarkan dalam ikon metafora dalam pantun berikut:
Inderagiri pasirnya lumat,
Kerang bercampur dengan lokan;
Bagai nabi kasihkan umat,
Begitu saya kasihkan puan.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 239)
Perbandingan dengan imej Nabi (Muhammad SAW) merupakan pandangan sarwa bagi umat Islam yang sangat tinggi darjatnya. Kedudukan Nabi Muhammad SAW mengatasi segala makhluk yang lain,dan oleh itu, dengan menyamakan kasih Nabi dengan kasih manusia kepada manusia lain sudah wujud pemaknaan yang jelas secara kulturalnya. Di sini juga berlaku permainan bahasa alusi kerana imej Nabi Muhammad sudah menghimpunkan makna kebaikan, kasih sayang, keikhlasan, kemurahan hati, dan segala bentuk sifat baik manusia, sesuai dengan imej Nabi sebagai ”contoh yang terbaik” (uswatun hasanah).
Gambaran pasangan yang sepadan
Pasangan kekasih yang sama cantik dan sepadan turut digambarkan dalam pantun. Biasanya dalam perbualan masyarakat Melayu seharian gambaran keadaan ini dapat dilihat menerusi ikon metafora ”pinang dibelah dua”, dan ”cincin dengan permata”. Selain itu, terdapat ikon metafora yang tidak bersifat budaya dalam pantun seperti ”paku lekat di papan”, ”dakwat dengan kertas”.
Burung jelatik burung jeladan,
Mencari sarang burung tempua;
Sama cantik sama padan,
Seperti pinang dibelah dua.
(Ibid.: 284)
Orang Aceh pulang ke kubu,
Loceng berbunyi pukul lapan;
Samalah kasih sama setuju,
Bagaikan paku lekat di papan
(Ibid.: 284)
Laksamana berempat di atas pentas;
Cukup berlima dengangurunya;
Bagai dakwat dengan kertas,
Sudah berjumpa dengan jodohnya.
(Ibid.: 265)
Kain batik selendang batik,
Mari sebar ke atas pentas;
Adik cantik abang cantik,
Bagai dakwat dengan kertas.
(Ibid.: 263)
Imej ”pinang dibelah dua” dapat difahami secara kultural dalam masyarakat Melayu kerana lazimnya orang Melayu menggunakan pinang dalam banyak majlis adat selain untuk kunyahan seharian. Pinang, apabila dibelah dua, memberikan gambaran kecantikannya dari segi larik di dalam buahnya. Kesamaan saiznya juga berupaya memberikan makna kesepadanan antara dua orang yang berpasangan. Sementara itu, ”dakwat dengan kertas” dan ”paku lekat di papan” tidak termasuk dalam ikon budaya. Kedua-dua imej konkrit itu berkait dengan teknologi, dan ini memperlihatkan pembaharuan dalam pemakaian ikon metafora. Mungkin juga kesannya tidak sekuat penggunaan imej alam kerasna imej alam lebih tekal sifatnya berbanding dengan unsur baru yang berbentuk tenologi.
Gambaran rintangan dan dugaan dalam percintaan
Setiap pasangan bercinta biasanya tidak akan terlepas daripada rintangan dan dugaan semasa berada dalam alam percintaan. Gambaran halangan semasa dalam percintaan diberi ikon metafora yang berkait dengan alam dan budaya.
Orang Aceh pulang ke Aceh,
Mengail kurau dapat senangin;
Bukan mudah kita berkasih,
Laksana wau melawan angin.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 267)
Dulang terletak di atas meja,
Lada secawan bunga berembang;
Sakit sungguh kanda bercinta,
Laksana bunga menanti kembang.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 314)
”Wau melawan angin” merujuk kepada permainan tradisi masyarakat Melayu, terutamanya yang tinggal di sawah padi atau di tepi pantai. Asosiasi antara kesukaran berkasih dengan kesukaran wau menyanggah angin mudah difahami kerana kedekatannya dengan budaya masyarakat. Demikian juga gambaran ikon metafora dalam bentuk simile ”Laksana bunga menanti kembang”. Kesannya dapat dirasai atau dibayangkan oleh mesyarakat yang sentiasa berdamping dengan alam. Di sini terlihat keeratan hubungan antara manusia Melayu dengan alam.
Gambaran penderitaan dan kekecewaan
Selain perasaan rindu dendam, cinta, kasih sayang, pantun percintaan turut menggambarkan jiwa yang menanggung penderitaan. Dalam petikan pantun di bawah, ikon metafora terlihat pada ”si burung balam” terkurung yang menggambarkan jiwa yang sedang merana kerana cinta yang tidak kesampaian atau cinta yang terputus di tengah jalan.
Selasih di Teluk Dalam,
Datang kapas Lubuk Tempurung;
Saya umpama si burung balam,
Mata terlepas badan terkurung.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 285)
Pantun yang berikut ini membawa imej di luar pandangaan budaya tetapi sebenarnya masih menyisipkan unsur tradisional.
Hari ini hari Sabtu,
Esok hari Ahad;
Laksana intan dalam batu,
Hendak diambil haram tak dapat.
(Zainal Abidin Bakar, 1984: 315)
Pantun itu menggunakan imej galian, ”intan dalam batu”, yang seperti tidak berkait dengan budaya tetapi lebih menyerlahkan ilmu geologi. Begitupun, disebabkan keeratan masyarakat Melayu dengan intan permata sebagai lambang kekayaan, unsur itu masih mempunyai makna budayanya. Selain itu, perbandingan antara kesukaran memperoleh cinta dengan kesukaran mendapatkan intan dalam bongkah batu juga sesuai dengan masa lampau kerana teknologi memisahkan intan daripada batu belum canggih. Tetapi jika dibawa ke zaman kini, perbandingan itu tidak lagi memberikan impak yang besar kerana teknologi moden sudah mampu melakukan kerja lebih daripada memisahkan intan daripada batu. Oleh yang demikian, pandangan bersifat budaya tetap dapat dicungkil daripada pantun tersebut.
Selain membicarakan soal kasih sayang dan percintaan, pantun juga banyak sekali digunakan untuk mendidik masyarakat agar menghargai sesuatu nilai hidup. Budi merupakan satu nilai budaya yang sangat dipentingkan dalam masyarakat Melayu, kerana seseorang itu hanya akan dipandang sekiranya dia tahu menghargai budi. Untuk menyimpulkan ekspresi tentang ketinggian nilai budi terhasillah pantun yang berikut:
Ada padi adalah beras,
Bertanak nasi periuk tembaga;
Ada budi adalah balas,
Orang berbudi kita berbahasa.
Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya;
Apa guna berbini cantik,
Kalau tidak dengan budinya.
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Seorang pengkaji pantun dari Perancis telah mengangkat pantun secara ilmiah melalui bukunya yang bertajuk Alam Pantun Melayu: Studies on the Malay Pantun (Francois-Rene Dallie, 1988). Antara pantun yang diterjemahkannya dengan amat baik adalah seperti yang berikut:
Cahaya redup menyegar padi,
Ayam berkoko mengirai tuah;
Jikalau hidup tidak berbudi,
Umpama pokok tidak berbuah.
(The dimmer light refreshes the rice,
The happy cocok will shake and crow,
For lack of kindness life’s not nice,
‘Tis like like a tree where fruit don’t grow)
(Francois Rene Dallie, 1988: 71)
Satu daripada pantun yang sangat popular bagi kanak-kanak atau orang yang baru belajar ialah
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Mana yang salah tolong tunjukkan.
(Jackfruit hang outside the fence,
Take a pole and knock them down,
I have just started learning, hence,
when I’m wrong please let me know.)
(Francois Rene Dallie, 1988: 77)
Di samping pantun yang bermoral, ada juga pantun yang agak erotis tetapi masih berkias penyampaiannya. Masih malu-malu pengucapannya, sesuai dengan budaya Melayu yang sangat pemalu, seperti yang kerap dicatat oleh orientalis. Antara pantun erotisnya ialah
Sakit kaki ditikam jeruju,
Jeruju ada di dalam paya,
Sakit hati memandang susu,
Susu ada di dalam kebaya.
(Sore is my my foot, pricked by a pest,
sea-holly, in the swamp it grows;
sore is my heart, watching her breast,
her breast alive beneath her blouse.)
(Francois Rene Dallie, 1988: 75)
Mencabar anak muda supaya jangan jadi penakut juga menjadi isi pengucapan pantun:
Apa guna kepuk di ladang,
Kalau tidak berisi padi;
Apa guna berambut panjang,
Kalau tidak berani mati.
(Why these baskets in the field,
if in it no rice has grown?;
why this long and flowing beard,
if you can’t face the unknown?)
(Francois Rene Dallie, 1988: 76)
Bagi orang yang mendengar, pantun sebegini sudah cukup untuk mencabar kejantanannya tanpa perlu dikerah-kerah. Dan penerimaannya juga lebih mesra berbanding jika kerahan tenaga dikenakan.
Orang Melayu juga terkenal dengan sense of humornya. Dalam pantun juga banyak sekali jenakanya.
Jalan-jalan sepanjang jalan,
Singgah-menyinggah di pagar orang;
Pura-pura mencari ayam,
Ekor mata di anak orang.
(Along the pathway, now and then,
O’er the fence he pops his head;
Pretending to look for a hen,
But peeping at girls instead.)
(Francois Rene Dallie, 1988: 100)
Kesimpulan
Sesungguhnya, jika ingin mengenali orang Melayu, kenalilah pantun terlebih dahulu; dan begitu juga jika kita ingin memahami pantun, kenalilah orang Melayu dahulu. Kedua-duanya saling berkait. Untuk memahami maksud pantun kita perlu faham isi hati orang Melayu yang sebenarnya pemalu, tetapi tegas, tidak suka berterus terang dalam menyampaikan sesuatu tetapi berani menyampaikan secara berkias. Sebaris kata daripada mulut orang Melayu mungkin membawa maksud yang tersirat. Untuk memahami pantun yang penuh dengan pembayang maksud dan ketertiban bahasa serta susunan kata. Fahamilah bahawa demikian juga sifat orang Melayu: penuh tertib apabila hendak memulakan kata, menyampaikan maksud, tidak gelojoh dan tidak menyakitkan hati orang. Oran Melayu sangat menjaga hati saudaranya. Walaupun hendak mengkritik, dia akan menyampaikan kritikannya dengan berhemah.
Untuk memahami pantun serta sifatnya, kita perlu mengenali orang Melayu terlebih dahulu. Misalnya, untuk mengetahui kenapa pantun mesti ada baris pembayang maksud sebelum menyampaikan maksud; kenapa ada unsur rima yang serupa; kenapa pantun lama tidak mempunyai pengarang individual; dan kenapa pantun dapat menyampaikan perkara yang besar dalam baris yang ekonomis. Untuk memahaminya, kenalilah orang melayu dahulu. Memang begtiulah sifat orang Melayu. Pendeknya pantun dan orang Melayu adalah satu citra yang saling membayangkan.
Berkomunikasi cara Melayu ialah berkomunikasi dengan kiasan; bukan dengan kegelojohan. Tetapi itu hanya dapat dilihat dalam tradisi Melayu lama. Melayu zaman kini sudah hilang keperibadiannya apabila pendidikan di sekolah sendiri tidak menggunakan pantun sebagai alat pendidikannya. Pantun hanya diajarkan sebagai genre sastera yang biasa, pusaka bangsa, tetapi bukan sebagai pembentuk peribadi yang harus diikuti. Maka kini yang terlihat ialah krisis jati diri, krisis identiti, krisis semasa anggota keluarga dan menanjak ke paras yang lebih tinggi.
Rujukan
A. Samad Ahmad (peny.). 2000. Sulalatus Salatin (Edisi pelajar). Kuala Lumpur: Dewan Nahasa dan Pustaka.
Holman, C. Hugh dan William Harmon. 1986. A Handbook to Literature. New York: Macmillan Publishing Company.
Muhammad Haji Salleh. 2000. Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Peirce, Charles Sanders. 1965. Collected papers Charles Sanders Peirce (Vol. I & amp; II). Cambridge Massachusett: The Belknap Press of Harvard University Press.
Rachmat Djojo Pradopo. 2005. Pengkajian Puisi: Analisis Strata Norma dan Analisis Struktural dan Semiotik. Yogjakarta: Gadjah Mada University Press.
Tarigan, Henry Guntur. 1995. Pengajaran Semantik. Bandung: Penerbit Angkasa.
Teeuw, A. 1992. Membaca dan Menilai Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zainal Abidin Bakar (peny.). 1984. Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2 ulasan:
terima kasjih atas tulisan pn ...sangat teruja
pokok cempedak di tepi paya
Patah dahan menimpa titi
jika tidak mendapat cahaja
Adakah tumbuh akan mati?
Catat Ulasan