KESAN PENGGUNAAN PENDEKATAN PROSES DALAM KEMAHIRAN MENULIS KARANGAN NARATIF BAHASA CINA DALAM KALANGAN MURID TAHUN LIMA DI SEBUAH SEKOLAH DI KUCHING, SARAWAK
Oleh
Hii Yek Ming (IPG – KBL)
ABSTRAK
Kajian tindakan ini bertujuan untuk mengetahui kesan penggunaan Pendekatan Proses dalam pengajaran dan pembelajaran menulis karangan naratif Bahasa Cina dalam kalangan murid-murid Tahun 5 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina CHBK Kuching, Sarawak. Bertitik-tolak daripada ketetapan tersebut, kajian ini dijalankan dengan mempelbagaikan amalan pengajaran dan pembelajaran guru dalam mengajar kemahiran menulis karangan naratif dengan menggunakan pendekatan proses. Kajian ini melibatiah 34 orang murid Tahun 5 di sekolah tersebut. Berdasarkan pendekatan proses, dua sesi pengajaran dan pembelajaran menulis karangan naratif telah dirancangkan untuk menambahbaik pencapaian penulisan kalangan murid-murid Tahun 5. Hasil kajian mendapati pendekatan proses membantu dalam membaiki karangan naratif Bahasa Cina peserta kajian.
1.0 Siapa Saya
Saya ialah guru pelatih dari Institut Perguruan Batu Lintang yang dalam kursus PISMK OUM PC ambilan 2006. Saya telah membuat penyelidikan tentang penggunaan pendekatan proses untuk kemahiran menulis karangan naratif dalam kalangan murid-murid Tahun Lima di Sekolah Jenis (C) CHBK. Murid-murid Tahun 5 terdiri daripada campuran lelaki dan perempuan seramai 34 orang yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Kebanyakan mereka berasal dari luar bandar.
1.2 Keprihatinan saya
Menurut Sundralingam (1989), kegagalan murid menulis karangan yang baik ialah kerana guru bahasa masih menggunakan pendekatan yang tradisional. Guru mengemukakan satu tajuk karangan, seterusnya membincangkan isi-isi penting bersama murid dan kemudian murid akan menulis tajuk tersebut. Pendekatan ini bukan sahaja tidak menggalakkan hasil penulisan yang baik, kerana guru tidak memberi rangsangan yang sesuai untuk mencetuskan pemikiran murid serta tidak mengerakkan minat, malah murid juga kurang dipandu dari aspek proses menulis mengikut tahap-tahap tertentu. Kesimpulannya, daripada penyataan masalah yang telah dibincangkan, didapati prestasi dan kemampuan murid menulis karangan yang baik masih rendah dan perlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (p&p) menulis karangan yang sesuai dengan kehendak dan kemampuan murid sendiri.
Dalam proses p&p kemahiran menulis karangan di Tahun 5 sekolah ini, guru biasanya mengamalkan pendekatan tradisional iaitu guru menetapkan tajuk karangan untuk dihasilkan oleh murid-murid. Ini diikuti dengan aktiviti membincangkan isi-isi penting dan seterusnya murid diminta menulis karangan Oleh itu, dalam kajian ini, saya telah melaksanakan pendekatan proses untuk meninjau kesannya ke atas pencapaian kemahiran menulis karangan naratif dalam kalangan murid-muird Tahun 5 di SJK (C) CHBK. Menurut Keh (1990), penggunaan pendekatan proses dalam pengajaran penulisan karangan bukanlah satu yang baru. Pendekatan ini telah digunakan sejak 1970-an. Schwartz (1990) menerangkan bahawa pendekatan proses berperanan penting dalam penulisan karangan yang mana murid dibantu untuk melalui proses merancang, membuat draf dan menyemak teks. Model ini menekankan interaksi di antara guru dengan murid melalui aktiviti seperti perbincangan, menjadi model, kerjasama rakan sebaya dan berdialog mengenai teks.
Sepanjang praktikum saya di sekolah ini, saya mendapati murid-murid lemah mengemukakan isi ketika melakukan aktiviti menulis karangan naratif dalam bilik darjah. Oleh itu, kajian ini melaksanakan pendekatan proses untuk meninjau kesannya terhadap murid-murid Tahun 5 dalam mengemukakan isi-isi karangan. Kajian ini hanya melibatkan lapan orang murid Tahun 5 yang lemah dalam memberi isi-isi karangan berdasarkan prestasi sebelumnya. Lapan orang murid ini terdiri daripada 5 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Setiap murid diwakili oleh nombor dari 1 hingga 8 secara rawak. Proses penganalisisan data melibatkan penganalisisan latihan karangan 8 orang murid-murid Tahun 5 dari segi markah, analisis kandungan (isi karangan dan kriteria isi), analisis temu bual bersama murid dan analisis penulisan refleksi saya.
1.3 Tujuan kajian
Kajian ini bertujuan untuk:
• menambahbaik pencapaian penulisan dalam kalangan murid-murid Tahun 5.
• Mengkaji kesan pelaksanaan pendekatan proses terhadap murid-murid Tahun 5 dalam mendapat isi-isi penting untuk menghasilkan karangan yang baik.
1.4 Persoalan Kajian
Kajian ini cuba menjawab soalan berikut iaitu:
• Apakah kesan pelaksanaan pendekatan proses dalam penulisan karangan dalam kalangan murid-murid Tahun Lima?
2.0 Tindakan Saya
Dalam pelaksanaan perancangan tindakan, saya menjalankan dua sesi p & p berkaitan dengan kemahiran menulis karangan naratif dengan menggunakan pendekatan proses. Seramai 34 murid Tahun 5 terlibat dalam sesi p & p tersebut.
3.0 Metodologi Kajian
3.1 Reka Bentuk Kajian
Kajian ini telah dijalankan dalam bentuk kajian tindakan dengan menggunakan temu bual, hasil pelajaran murid dan analisis dokumen sebagai kaedah pengumpulan data utama.
3.2 Peserta Kajian
Peserta kajian tindakan ini terdiri daripada saya dan satu kelas murid-murid Tahun 5 SJK(C) CHBK. Karangan lapan orang murid dipilih untuk tujuan analisis kajian kerana lemah dalam memberi isi-isi karangan berdasarkan prestasi sebelumnya. Setiap murid diwakili oleh nombor dari 1 hingga 8.
3.3 Teknik Mengumpul Data
Data kajian ini dikumpul berdasarkan sumber seperti soalan-soalan temu bual, hasil penulisan murid-murid, skema permarkahan karangan dan hasil penulisan refleksi saya untuk melihat kesan penggunaan pendekatan proses dalam p&p menulis karangan.
3.4 Teknik Menganalisis Data
Proses penganalisisan data melibatkan penganalisisan lapan latihan karangan murid-murid Tahun 5. Ia dianalisis dari segi markah dan analisis isi karangan. Saya menemu bual murid-murid sebaik sahaja proses p & p tamat. Data yang dikumpul melalui temu bual dan penulisan refleksi dianalisis secara kualitatif yang mana data temu bual yang dikutip telah diubah dalam bentuk teks.
4.0 Dapatan Kajian dan Refleksi
Pencapaian kemahiran menulis karangan yang menggunakan pendekatan proses menunjukkan perubahan jika dibandingkan dengan kaedah tradisional yang digunakan sebelumnya. Pencapaian kemahiran menulis karangan naratif dengan menggunakan pendekatan proses didapati telah meningkat. Pencapaian ini jelas dilihat dari segi markah latihan karangan 8 orang murid pada bulan Julai dan Ogos. Melalui analisis yang diperolehi, didapati bilangan murid yang mendapat markah peringkat A meningkat pada bulan Ogos manakala bilangan yang mendapat markah peringkat D menurun daripada 2 orang pada bulan Julai kepada tiada orang pada bulan Ogos. Rajah 1 menunjukkan perbandingan markah latihan karangan 8 orang murid-murid Tahun 5 pada bulan Julai dan Ogos.
Selain itu, tata bahasa karangan juga didapati lebih baik selepas penggunaan pendekatan proses. Murid-murid diberi ruang yang banyak untuk berbincang bersama rakannya untuk memperbaiki bahasa dan tatabahasa karangan mereka semasa sesi konferensi. Di samping itu,
kesalahan tanda baca juga diperbaiki. Semasa murid-murid diberi peluang menyemak draf rakannya, murid-murid dapat menyedari tentang kesalahan yang dilakukan. Kesedaran ini membantu murid-murid membetulkan kesalahan mereka sendiri semasa menulis karangan seperti yang ditunjukkan oleh hasil kerja murid.
5.0 Kesimpulan
Kajian ini menunjukkan pendekatan proses member kesan kepada kemajuan dan peningkatan dalam kemahiran menulis karangan naratif Bahasa Cina dalam kalangan murid-murid Tahun 5 di SJK(C) CHBK. Ini jelas dilihat daripada markah pencapaian murid dari bulan Julai hingga bulan Ogos. Penggunaan pendekatan proses dalam p & p berkaitan dengan menulis karangan telah berjaya membantu murid-murid tesebut dalam mengatasi masalah kurang idea untuk menghasilkan isi-isi penting dalam menulis sesebuah karangan. Oleh itu, saya berharap saya dapat menggunakan pendekatan proses ini dalam proses p&p penulisan karangan pada masa akan datang.
Pendekatan proses dapat meningkatkan pencapaian kemahiran menulis karangan dalam jangka masa panjang. Murid-murid lama-kelamaan akan memahami proses-proses yang berlaku dalam mengarang iaitu daripada proses merancang, membuat deraf, menyemak, menulis semula dan menyemak kembali sehingga selesai penulisan karangan. Proses ini melibatkan masa yang lebih panjang untuk murid-murid membiasakan diri mereka dalam menulis karangan. Jika murid-murid dapat menguasai kemahiran menulis, sudah tentu proses pembelajaran penulisan karangan akan menjadi lebih baik dan menarik. Pendekatan proses ini amat sesuai dengan pembelajaran berpusatkan murid dan guru sebagai fasilitator dalam membantu, membimbing dan memberi motivasi kepada murid-murid.
Bibliografi
Abd.Aziz Abd.Talib. (1987). Langkah-langkah pemulihan dalam pengajaran kanak-kanak kemahiran menulis karangan: Satu pendekatan, Dewan Bahasa, 31(1).
Abd. Aziz Abd.Talib. (1988). Konsep gaya, mod wacana dan kesedaran mengenai membaca dalam penulisan: Implikasi daripada sudut pengajaran, Jurnal Dewan Bahasa, 704-719.
Britton, A. M., Mcleod, A. & Rosen. (1975). The development of writing ablities. London: Macmillan Education.
Byrne & Donn. (1981). Teaching writing skills. London: Longman.
Jemaah Nazir Persekutuan. (1989). Buku Panduan Penyeliaan Bahasa Sekolah Rendah dan Menengah. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia
Keh, C. L. (1990). A design for a process Approach Writing Course, EnglishTeaching Forum (1).
Lee S.K. (1994). Explorations process: Based writing tasks in English. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
1 ulasan:
boleh tunjukkan teknik pengajaran menggunakan pendekatan proses,langkah demi langkah untuk saya ajar murid saya. saya bakal mengajar murid tahun 6. saya tiada pengalaman mengajar tahap 2
Catat Ulasan